Sedekah Membuka Pintu Rahmat

>> Friday, July 16, 2010


SEDEKAH Membuka Pintu Rahmat



PARA Nabi dan para salihin adalah terkenal sebagai manusia yang pemurah dan dermawan, dan tidak merasa kekok untuk memberi sedekah kepada mereka yang memerlukanya. Kerana demikianlah perintah Allah menyuruh manusia berbuat kebaikan kepada sesama manusia.

Nabi Allah Sulaiman as. setiap hari menerima tetamu, dan baginda menyambut mereka dengan sebaik-baiknya dan menjamu mereka makan. Untuk makan para tetamtu itu, baginda menyediakan makanan yang diperbuat dari tepung halus yang telah diayak, tapi kepada putera-puteranya pula baginda menyediakan makanan-makanan yang diperbuat daripada tepung kasar yang belum diayak, dan kepada baginda sendiri pula baginda menyediakan makanan yang diperbuat daripada gandum yang belum ditumbuk.

Nabi Ibrahim as. pula tidak akan makan melainkan bersama dengan tetamu. Justeru itu kadang-kadang baginda tidak makan selama tiga hari berturut-turut, kerana tidak ada tetamu yang berkunjung.

Rasulullah saw. seorang yang dermawan, sehingga bila ditawarkan perbendaharan dunia ini oleh Allah kepadanya, baginda menolakknya, kerana lebih suka, “makan sehari dan berlapar sehari”.

Para sahabat juga ramai yang pemurah hati dan dermawan. Bila Nabi saw. menganjurkan untuk bersedekah, maka para sahabat tidak teragak-agak untuk menunaikannya.

Sayyidina Abu Bakar As- Siddiq sebagai seorang yang terkemuka dalam kalangan kaumnya menyahut seruan Nabi saw. itu dengan membawa semua harta kekayaannya untuk disedekahkan.

Ketika ditanya oleh Nabi saw. apakah yang ditinggalkannya untuk anak-anaknya, Sayyidina Abu Bakar menjawab, “Allah dan RasulNya, dan Allah akan memberikan lagi kepadaku dengan berganda-ganda”.

Kemudian tampil pula Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra. menyerahkan kepada Nabi saw. separuh daripada harta kekayaannya.

Ketika ditanya oleh Nabi saw. apakah yang ditinggalkannya untuk anak-anaknya, beliau kedengaran menjawab, “Separuh hartaku, dan Allah akan menambahku lagi”.

Menjelang Perang Tabuk, sahabat Abdulrahman bin Auf telah mengsedekahkan kepada Rasulullah saw. sebanyak 4000 dirham, iaitu separuh daripada apa yang dimilikinya dan menyimpan separuh lagi untuk kegunaan diri dan keluarganya.

Tapi kita sebagai manusia biasa ini adalah makhluk yang pelupa. Suka melupakan sesuatu. Justeru Tuhan yang Maha Pemurah yang menganugerahkan segala-galanya kepada kita pun, kita boleh melupakanNya. Kita menerima kurnia nikmat Allah yang terlalu banyak, tapi kita dengan mudah melupakanNya, iaitu tidak mensyukurinya. Kita makan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, tapi kita tidak berteriamkasih kepadaNya. Malah sebaliknya, ada pula dari kita yang menyalahgunakan segala kurniaan Allah itu.

Sesungguhnya memang ramai dari kita menjadi manusia yang melupakan kurniaan-kurniaan Allah yang amat besar itu.

Dengan bertindak demikian, maka bererti kita telah menjatuhkan martabat kita ke taraf yang paling hina, persis haiwan yang melata di bumi, yang dikurniakan fikiran, tapi fikiran itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.

Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 29, maksudnya, “Dialah yang telah menciptakan untuk kamu apapun yang ada di bumi ini semuanya”. Justeru janganlah kita kedekut dan bakhil, bersedekahlah kita.

Tapi kita hendaklah ingat memberi sedekah itu hendaklah dilakukan secara senyap, sembunyi-sembunyi atau rahsia, seolah-olah kalau tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak menyedarinya.

Memberi sedekah secara senyap-senyap itu sunah, dan ini berlainan daripada pemberian fitrah, sunah dilakukan secara terang-terangan.

Dengan tujuan untuk merahsia atau menyembunyikannya itulah para sedekahwan atau dermawan zaman lampau lebih suka memilih orang-orang buta untuk diberikannya sedekah, atau menampalkan sedekah-sedekah itu kepada baju fakir miskin yang sedang tidur, ataupun meletaknya di tengah-tengah jalan yang akan dilalui oleh fakir dan miskin. Dengan berbuat demikian mereka yang kurang bernasib baik itu tidak mengetahui langsung siapakah pemberi sedekah yang dermawan itu.

Tapi pada hari ini, kebanyakan kita kalau memberi sedekah atau derma, kita terlalu suka menghibuh-hibuh atau mewar-warkannya ke seluruh dunia, dengan menyiarkannya dalam media massa, akhbar, majalah, radio dan tv. Biar semua orang tahu kita seorang baik hati dan dermawan. Tidak jarang pula derma-derma itu disampaikan dalam upacara-upacara meriah dan mewah, dihadiri oleh pembesar-pembesar negara, seolah-olah menyempurnakan upacara penyerahan sedekah itu.

Malah kadang-kadang ada pula dari kita yang terlebih dahulu mengisytiharkan akan menghulurkan derma, tapi kemudian kita ponteng, dan janji untuk bersedekah itu tidak kita tunaikan. Kadang-kadang kita tulis cek, tapi cek pun, cek tendang, yang tidak mempunyai nilai. Masyallah, berbohong pula kita kepada manusia dan Allah.

Di samping itu amatlah pentingnya sedekah yang kita berikan itu dengan penuh keikhlasan dan kerelaan, tanpa sebarang paksa atau terpaksa. Dan ketika menghulurkan sedekah atau selepasnya, jangan pula kita mengungkit-ungkitkannya untuk menyinggung hati penerima sedekah. Sedekah yang kita berikan itu jadi makruh dan pahala sedekah itu akan lesap dalam hembusan angin lalu sahaja.

Sedekah adalah sifat positif. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang suka menderma ataupu dermawan. Lawan daripada sifat positif ini ialah kedekut atau bakhil ataupun kikir atau lain-lain panggilan atau gelaran yang layak bagi kita jika ada persamaan maknanya yang menunjukkan kebakhilan.

Andai sedekah menguak pintu kebajikan. Andainya sedekah membuka pintu rezeki, maka sudah tentu pula bakhil dn kedekut menutup pintu kebajikan, mengunci pintu rezeki. Bakhil adalah sejenis pengidapan penyakit jiwa.

Selain daripada harta benda dan kekayaan, duit dan barang-barangan, kita yang mempunyai kekuatan dan tenaga, dan mempunyai ilmu pengetahuan, tapi bakhil atau kupit untuk menyedekahkan tenaga dan menyebarkan ilmunya itu boleh juga dikelaskan sebagai manusia bakhil.

Allah memberi amaran kepada kita yang bakhil dengan firmanNya yang mengancam, dalam Surah Ali Imran, ayat 180, yang bermaksud, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan [diseksakan] dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan [isi] langit dan bumi. Dan [ingatlah] Allah amat mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerja”.Ali Imran:180.

Dan dalam Surah Al-Lail, dari ayat 8 hingga 11 yang bermaksud, “Sebaliknya, orang yang bakhil [daripada berbuat kebajikan] dan merasa cukup dengan kekayaannya dan kemewahannya, serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan, dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus ke dalam azab seksa hari akhirat”. Al. Lail:8-11.

Dan ancaman Allah lagi kepada kita yang bakhil, maksudnya, “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah , maka khabarkanlah kepada mereka dengan [balasan] azab seksa yang tidak terperi sakitnya, [Iaitu pada hari dibakar emas dan perak [ dan harta benda] itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka [sambil dikatakan kepada mereka]:”Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasakanlah [azab dari] apa yang kamu simpan itu”.AtTaubah:34-35

Patut juga kita mengingat pesan Khalifah Sayyidina Abu Bakar As-Shidiq terhadap kita yang kedekut untuk memberi sedekah, dimana beliau telah mengingatkan:

-Bila si bakhil meninggal dunia, segala harta benda peninggalannya akan dipusakai oleh kaum kerabatnya, lalu mereka habiskan di jalan yang tidak diredhai Allah.

-Mereka mungkin menggunakan harta kekayaan yang ditinggalkannya itu untuk memenuhi kepuasan nafsu sarakahnya, seperti berzina.

-Harta benda yang ditinggalkan oleh si bakhil itu mungkin akan musnah kerana bencana, seperti kecurian, kebakaran dan sebagainya.

-Si bakhil mungkin jatuh sakit, lalu hartanya terpaksa dihabiskan untuk merawat penyakitnya itu.

-Andainya si bakhil diberkas oleh pemerintah yang zalim, mungkin semua harta bendanya akan dirampas.

-Atau si bakhil menyimpan harta bendanya itu di sesuatu tempat, tapi kerana sesuatu sebab dia tidak dapat mengambil balik hartanya itu.

Justeru bersikap dermawanlah, manusia yang rela memberi sedekah baik berupa buah fikiran, tenaga dan juga harta bendanya menurut kemampuan masing-masing.

Allah S.W.T. telah menjamin keberuntungan terhadap orang-orang yang membebaskan dirinya dari sikap kikir dan kedekut, sebaliknya suka bersedekah, dengan firmanNya yang bermaksud, “Dan [ingatah] sesiapa yang menjaga serta memilihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat jahilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”. Al-Hasyr:9.

Dan andainya kita tidak mendapat apa-apa faedah dunia pun dari persedekahan kita itu, tidak bererti apa-apa, itu tidak penting, dan bukan menjadi tujuannya, kerana yang lebih pentingnya kita akan dikurniakan laba yang berlipat ganda di akhirat kelak dan ianya merupakan sekeping tiket yang boleh mambantu kita untuk memasuki syurga Allah yang kekal dan abadi. Justeru,nikmat dunia,tidak ada ertinya jika dibandingkan dengan nikmat akhirat.

Walaupun begitu banyak ruang-ruang keberkatan untuk pemberi-pemberi sedekah, dan seluruh manusia dianjur dan digesa supaya memberi sedekah, walau apapun kedudukan kita dalam masyarkat, janganlah kita mengharap untuk menjadi penerima sedekah, dan menutup diri kita untuk menjadi pemberi sedekah. Tentulah kurang manis, walaupun halal, kita hidup bermewah-mewah, membeli beberapa buah kereta, membina rumah besar, berkawhin sampai tiga dan empat isteri, kerana mendapat sumbangan sedekah yang tidak putus-putus dari orang ramai yang ingin menambat hati kita kerana kedudukan kita yang dianggap mulia di sisi mereka, seddangkan ekonomi mereka jauh lebih merosot dari kita.

Semoga Allah menerima segala amal ibadat kita, serta sedekah kita yang kita hulurkan dengan tertib dan ikhlas, dan menilainya selaras dengan pengetahuan dan kebijaksanaanyaNya.

Hiduplah dengan mahabbah, dan harmoni dalam lautan kasih sayang dengan memperbanyakkan sedekah ikhlas mengikut kemampuan masing-masing.

Amin! Alhamdulillahi Auwalan Waa Akhir.

Renungilah

Abu Zar Ghifari ra. berkata baginda Rasulullah saw. telah bersabda kepadanya,“Hai Abu Zar!Apakah engkau menganggap kekayaan itu adalah berlebihan harta?”.

Beliau menjawab, “Ya, tidak syak”.

Baginda bertanya lagi, “Apakah engkau menganggap kekurangan harta itu adalah kemiskinan?”.

Beliau menjawab, Ya”.

Baginda lalu bersabda, “Kekayaan hanyalah kekayaan hati dan kemiskinan hanyalah kemiskinan hati”.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP