>> Monday, August 16, 2021

 

Nasi Air, 



Sambal Ikan



 







Negeri Kelantan Darulnaim adalah salah sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan aneka makanan tradisional, terutama kueh-mueh.



Dalam hal ini, nasi  juga mempunyai aneka jenis pilihan. Salah satunya ialah Nasi Air. Tapi nasi air asli kampung ini tidak dijual di kedai-kedai makan, kerana ia terlalu simpel buatannya.



Justeru itu ia menjadi hidangan di rumah para petani di kampung-kampung, terutama di musim hujan bila lauk-pauk sukar diperolehi di pasar-pasar.



Kemudiannya bila pengaruh dari luar masuk ke Kelantan, menerusi perhubungan yang meluas dengan negeri-negeri lain, maka nasi air boleh dibeli di kedai-kedai makan di Kelantan.Tapi nasi air itu bukan origional, kerana ia dijual dengan sup daging atau tulang, atau dengan sayur, kerana itu ia lebih dikenali dengan nasi sup. Juteru itu walaupun nasi itu berair dan nasinya mungkin lembik, tapi bukan kerana kuah asalnya, iaitu air kosong, tapi bukan kuah sup.



Nasi air kampung itu dimasak dengan menggunakan lebih banyak air hingga nasinya menjadi lembik dan berair, kerana itu  kena makan dengan sudu.



Ia mempunyai lauk ikan yang dibuat khusus untuk nasi air.



Sambal Ikan



Inilah cara ringkas untuk membuat  lauknya.



Bahan-bahan yang diperlukan ialah ikan yang tidak banyak bertulang, seperti ikan kembung atau ikan pelata, ikan kering atau asing yang tidak banyak tulang, buah pauh ringan atau mempelam atau buah star [gemior].



Sebanyak mana bahan-bahan itu diperlukan adalah tergantung kepada berapa banyak yang hendak dimakan, walau bagaiamanapun tiga ekor ikan kembong, lima ekor ikan pelata kering, dan dua biji buah mangga putik yang sederhana besar.



Ikan hidup dan ikan kering dibakar tawar buah pauh dikoyak kulitnya, kedua-dua ikan hendaklah diperisikan, iaitu dibuang tulangnya.



Ikan tawar ditumbuk, jangan sampai hancur atau lumat, kemudian masukkan buah pauh, yang dipotong-potong isinya tanpa biji lalu ditumbuk semuanya. 



Kalau anda sukakan pedas, masukkan lada burung, dan tumbuk dan gaul-gaulkan semunya menjadi rata.



Rasaka kalau tak cukup masin tambahkan garam sekadarnya.



Lepas itu bolehlah dimakan dengan nasi air.



Selain itu sambal ikan ini sedap juga dimakan dengan nasi biasa [keras], dan makan bersama dengan timun cina [tembika] yang dipotong-potong. Untuk kuahnya kalau suka boleh dimakan dengan ikan singgan.



Selain itu ada sejenis nasi lembik lagi, iaitu nasi lecek khusus untuk makanan bayi dalam pantang. Ia nasi lembik biasa, tapi tidak berair seperti nasi air, kemudian nasi itu dilecek, iaitu ditekan dengan sudu atau apa sahaja untuk menjadikan seperti tepung, untuk disuap kepada bayi, dan biasanya disuap dengan sedikit gula yang juga dilecek atau dihancurkan.



Sekian fasal nasi air.

 



Pondok Rahmat



Kota Bharu Kelantan Darulnaim



16 Ogos 2021/



8 Maharam 1443

 

 


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP