>> Saturday, August 21, 2021
APA
peduli
ORANG
LAIN?
Episod Pertama
Samad baru
sampai ke rumah, disambut oleh isteri dan anak-anaknya. Belum lagi meletak
punggungnya, kedengaran antara lain dia berkata kepada keluarganya.
“Tiap-tiap kali aku
balik, aku lihat anak perempuan Limah dua
orang tu duduk menjual aiskrem di tepi
jalan. Tak ada kerja lain anak gadis itu hendak buatkah. Bosan aku melihatnya.
Apa dah jadi dengan Limah, tak tahu malukan?”.
Limah yang
disebutnya itu ialah tetangganya, yang baru kematian suami, tempat mereka
bergantung hidup. Kerana itu anak-anaknya terpaksa berhenti sekolah untuk
membantu mencari rezeki keluarga.
Episod Dua
Daud yang
berjiran dengan rumah Samad itu baru sampai ke rumah. Setelah duduk-duduk
sekejap bersama isterinya, sebelum menyalin pakaian dia pun berkata, “Saya
lihat sejak Pak Dol mati, dua orang anak perempuannya itu hari-hari berjualan. Tak sekolah
dah barangkali. Sayang”.
“Yalah bang.
Kasihan budak-budak tu”. Jawab isterinnya simpati.
“Bagaimana kalau
kita tolong carikan bantuan untuk budak-budak tu belajar?”.
"Bagus tu bang.
Tapi bagaimana?”. Tanya isterinya balik.
“Mula-mula ini
biar abang berbincang dengan Pak Imam majid kita dulu, kalau-kalau pihak masjid
boleh membantu”. Jawab Daud.
Bila isterinya
setuju dengan cadangannya itu, dia meminta isterinya itu bertanya khabar dengan
Mak Limah tentang perkara yang sebenar mengenai mereka, dan isterinya
bersetuju.
Menjaga Atau
Menyelak Tepi Kain Orang
Menjaga
kepentingan diri adalah penting,
terutama dalam menjaga hak milik sendiri, termasuk harta benda.
Kalau tidak
dijaga kepentingan itu sudah tentu akan diceroboh orang yang mementingkan
dirinya semata.
Walaupun menjaga
kepentingan diri itu satu keperluan, kita juga wajib menjaga kepentingan orang
lain bersama. Jangan anggap orang lain seperti sampah yang tidak berguna.
Malah sebagai
seorang Islam, kita wajib mengambil tahu dan memain peranan dalam membina
masyarakat, khususnya masyarakat Islam.
Kita tidak boleh
melupakan saudaramara kita, dengan menutup mata dengan apa yang berlaku atau
menimpa mereka. Cubit peha kiri, peha kanan sakit jua.
Justeru itu kita
mestilah bersama-sama membantu mereka yang ditimpa kesusahan itu, bukannya
sekadar melihat dan mendengar, malah tersenyum senang kerana mereka ditimpa kesusahan
sedangkan kita tidak terkena apa-apa.
Lemparkan rasa
bongkak dan sombong, di mana kita boleh hidup sendirian tanpa orang lain. Manusia
tidak pernah hidup sendirian, mesti bergantung kepada orang lain untuk
meneruskan hidupnya.
Mengambil tahu
hal orang lain seperti yang digambarkan dalam episod kedua itu tidak dilarang,
malah digalakkan. Ia bukan menyelak tepi kain orang, tapi bersama menjaganya.
Sebaliknya gambaran dalam episod pertama itu tidak
digalakkan malah tidak diperlukan, kerana itulah dikatakan “menyelak tepi kain
orang lain”.
Namun begitu,
kita juga tetap merasa pelik, bila ada orang-orang berada menghulurkan bantuan
kepada orang Islam yang berada jauh dari mereka, di luar negeri dan di luar negara,
sedangkan orang-orang yang berdekatan, ibu bapa, adik beradik, saudaramara dan
sanak saudara mereka sendiri hidup merana dan memerlukan bantuan dilupakan begitu
sahaja? Kenapa semut di seberang laut nampak , tapi gajah di hadapan mata tidak
kelihatan?
Walau
bagaimanapun sikap mementingkan diri sendiri inilah yang menambahkan kepincnagan masyakat
Islam zaman moden ini yang hidup bernafsu nafsi, mementingkan diri sendiri.
Sikap inilah
yang turut berjaya membina kesomboangan diri seseorang yang memincangkan lagi
masyarakat.
Sikap buruk ini
mestilah segera dibasmikan dari diri seseorang, barulah masyarakat Islam yang
bersatu padu dapat dibina. Senang sama senang, susah sama susah, berat sama
dipikul, ringan sama dijimbing. Demikianlah ajaran Islam yang syumul.
Buanglah rasa
bangga diri, rasa sombong diri, rasa memandang diri penting dan orang lain
kerdil dan hina.
Seorang Islam
tidak merasa senang hati, jika diri dan keluarganya hidup senang dan mewah
sedangkan jiran-jiran sekitar hidup dalam dahaga dan kelaparan. Mengikat perut
kelaparan.
Itulah maksud
dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,:
“Tidaklah beriman orang Islam yang tidur
pada malam hari dalam kenyang sedangkan tetangganya kelaparan”.
Pondok Rahmat,
Kota Bharu
Kelantan Darunaim,
21 Ogos 2032
12 Mahram
1443
0 comments:
Post a Comment