>> Tuesday, August 24, 2021
GERAKAN
MEMBURU
TUPAI
Kisah ini telah lama
berlaku. Di kampung saya. Berpuluh-puluh tahun yang lalu. Cerita benar.
Kampung saya
ialah Kampung Kedai Salor. Terletak di tengah perjalanan dari Kota Bharu ke
Pasir Mas, Kelantan.
Ceritanya
mengenai orang-orang kampung memburu musuh-musuh pokok seperti tupai dan
burung.
Di Kg. Kedai
Salor ini banyak pokok-pokok buah-buahan kepunyaan orang kampung, untuk makan
sendiri. Buah duku, langsat dan durian dan lain-lain.
Bila tiba musim
buah, biasanya orang-orang kampung akan membuat acara memburu binatang-binatang musuh pokok itu, seperti
tupai.
Tupai adalah antara
musuh-musuh pokok yang populer waktu itu.
Tupai-tupai ini memang ada sepanjang masa di kampung memakan aneka buah-buahan
yang tidak bermsim. Dalam musim buah binatang-binatang seperti tupai menjadi
lebih ramai dan galak mencuri buah-buahan.
Untuk menghalau
tupai-tupai itu dan seumpamanya mereka akan berkumpul beramai-ramai di suatu
tempat di kampung tersebut. Biasanya waktu petang, selepas Asar.
Penduduk-penduduk
kampung akan beramai-ramai keluar berkumupul di sesuatu tempat, kemudian mereka
memulakan perarakan masuk ke dalam kampung.
Tujuan mereka
ialah membuat bising untuk menakut-nakut bagi menghalau tupai dan seumpamanya.
Justeru itu ada
mereka yang membawa tin-tin kosong untuk dipalu sambil berarak dengan tempek
dan sorak-sorai yang gamat Ada yang membawa tongkat untuk memukul pokok-pokok yang
boleh mengeluarkan bunyi bising di sepanjang jalan. Biasanya pokok buloh akan
mengeluarkan bunyi yang deras atau kuat lantang bila diketuk.
Sesunggguhnya
tupai-tupai dan seumpamanya akan terkejut dan melarikan diri ke segenap arah
biasanya sampai ke hujung kampung atau ke pinggir hutan dan masuk bersembunyi
di sana.
Orang-orang
kampung pula kalau bernasib baik akan membawa selaras senapang patah milik sah
salah seorang penduduk di situ. Namun begitu jarang digunakan untuk menembak perburuan
kerana tidak berpeluang.
Bila sampai ke
hujung kampung atau ke pinggir hutan mereka akan berhenti kerana telah selesai.
Mereka balik semula ke tempat mereka memulakan gerakan tadi mungkin ada sedikit jamuan disediakan di situ,
bubur atau cendol disediakan secara
pakatan.
Buat Lepok
Selain dari
tupai musuh pokok yang datang berkala di musim buah ialah keluang yang
beroperasai di waktu malam hari.
Saya sering
melihat pada waktu senja kumpulan keluang ini terbang dari arah seberang
sungai, entah dari mana akan datang ke kampung di musim buah, dan mereka akan
beroperasi sebaik sahaja gelap malam tiba memakan buah-buah, khususnya buah langsat
dan duku.
Pandangan menarik
ketika melihat kawanan keluang terbang tinggi di atas dada sungai dalam waktu
senja dengan coretan warna-warni langit yang
endah sentiasa terukir dalam kepala bila bila mengingat sungai tempat kami
mandi-manda saban hari.
Justeru itu
orang-orang kampung mempunyai cara yang tersendiri pula untuk menghalau
keluang-keluang dan sebagainya itu.
Antaranya mereka akan membuat sejenis alat dari sekatang buloh yang dibelah dua tanpa putus dan bila sebelah darinya ditarik dengan tali dari bumi dan bila dilepaskan ia akan berlaga dengan sebelah lagi yang dikat kejat pada batang pokok mengeluarkan bunyi “pok-pok” yang menghalau keluang-keluang dan tupai itu pergi.
Bahagian lepok yang diikat dengan tali itu ditarik dan
dilepas berulang kali untuk mengeluarkan bunyi bising yang mampu menghalau
keluang, tupai dan sebagainya itu.
Tapi bagi mereka yang tidak ingin membuat lepok khusus
dari buloh mereka akan membuat lepok
dengan tin-tin kosong dari tin susu dan sebagainya.
Tin-tin kosong
ini yang diikat bergugus dan digantng di atas pokok akan ditarik berulang-ulang kali dari hujungnya di
tanah bila ada musuh-musuh pokok dan akan mengeluarkan bunyi bising yang mengejutkan keluang, tupai
dan sebagainya yang menyebabkan mereka segera melarikan diri.
Untuk para penanam pokok yang hasilnya berkongsi dengan haiwan itu ada sebuah Hadis yang menjadi penawar hati kepada mereka, yaaang bermaksud:
"Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain baginya kecuali sebagai sedekah".
Demikianlah
secebis kenangan manis saya terhadap kampung yang sentiasa menjadi kerinduan,
Kampung Salor.
Pondok Rahmat
Kota Bharu Kelantan
Darulnaim.
24 Ogos 2021/
15 Nahram 1443
0 comments:
Post a Comment