TASHA AZIZ DAN DAUN PUN BERZIKIR
>> Saturday, April 19, 2014
Saya terbaca sebuah rencana tentang Tasha Aziz berjodol “Tergamak Mereka Aibkan Saya” sebagaimana tersiar dalam Berita Harian, Ahad 6 April 2014 yang lalu. Rencana itu merupakan wawancara wartawan BH dengan beliau berhubung dengan kelewatan membuat bayaran kepada sebahagian daripada pelakon-pelakon drama bersiri terbitannya, iaitu Apam Lemak Manis.
Jujur
saya katakan, saya bukannya seorang peminat drama TV dan sebagainya. Saya juga
tidak tahu apakah drama Apam Lemak Manis itu. Dan saya juga tidak pernah
mengikuti kecoh-kecoh mengenai bayaran yang tertonggak itu yang menyebabkan
beliau dikecam dan dikutuk oleh pelakon-pelakonnya sendiri.
Beliau menjelaskan kelambatan melunaskan bayaran itu berlaku kerana sebab-sebab tenikal berhubung dengan drama tersebut yang tidak memuaskan hati pehak tv dan terkapksa berkali-kali disunting semula. Inilah pokok pangkalnya menurut beliau.
Tapi
para pelakonnya itu tidak puas hati dengan penjelasannya itu dan membuat
berbagai-bagai tuduhan yang memalukannya, menurut beliau. Sepatah kata beliau,
“Ada yang tuduh saya makan hasil titik peluh mereka.......Saya terkilan sangat.
Saya terkilan sangat.....Tergamak mereka mengaibkan saya!”.
“Sakit
hati hanya Tuhan saja yang tahu.......”.
Saya
tidak bermaksud untuk mencampuri perbalahan mereka. Saya juga percaya, Tasha
yang tidak pernah saya kenali bahawa dunia kerjaya yang beliau bergelumang
dalamnya adalah dunia yang penuh dengan cabaran, dunia hiburan yang terpakasa
berdepan dengan aneka fitnah sepanjang masa.
Tapi apa yang tersentuh di hati saya ialah jawapan kepada pertanyaan apakah tindakan yang akan beliau ambil? “Kalau ikutkan hati, saya nak saman malu. Mereka malukan saya.....Tapi, TIADA GUNANYA SAYA MEMANJANGKAN SENGKETA”. Ertinya dia reda apa yang berlaku dan tidak bermaksud untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang memusuhinya itu.
Alhamdulillah. Memberi maaf adalah sikap yang terpuji. Sebagai seorang manusia biasa saya biasanya tidak berani menasihat orang supaya bersabar. Sebab saya tidak yakin saya sendiri boleh bersabar bila ditimpa oleh musibah, walaupun tidak sebesar musibah yang menimpa orang saya berikan nasihat itu.
Apa yang
ingin saya sebutkan ialah di masa itu saya sedang membaca novel DAUN PUN
BERZIKIR karya Taufiqurrahman Al-Azizy, dan ketika rencana pendek ini diketip kemudiannya
saya sudah pun selesai memabacanya. Sebenarnya novel itu telah lama benar
berada dalam simpanan saya, tapi baru berkesempatan membacanya.
Novel
menjalin kisah mengenai muda-mudi yang sedang mencari cinta. Watak utamanya seorang pemuda miskin tapi berhati cukup mulia, iaitu Haydar dari Desa
Gagatan. Dan seorang pemuda lagi dari kota bernama Bram yang menurut
novelisnya, “Perjalanan pencarian cinta yang panjang telah dilalui oleh Bram.
Jiwa, harta dan air mata telah dikorbankan. Namun, hanya cinta kepada sang
Rabb-lah yang dapat merobohkan hati kekasih yang beku. Sesungguhnya, cinta
kepada-Nya jauh di atas segala cinta dunia”.
Pemuda
Haydar ini amat malang nasibnya. Dia dihina lahir dan batin, Dicaci maki, di buruk-burukkan,
di cerca dan difitnah dan dikatakan gila, kerana kemiskinannya. Tapi dia tetap
sabar menerimanya, dan sedia memaafkan semua mereka yang menzalaminya itu.
Ketika
menjelaskan sikapnya terhadap mereka itu, Haydar berkata, “Semoga Allah
mengampuni orang yang bersalah. Semoga, Dia memberi kesabaran kepadaku dan
kepada ibuku”.
Selepas
sedar dari pengsan kerana dibelasah akibat fitnah yang jahat, beliau dinasihati
pula oleh seorang tua, ayah seorang gadis bernama Nayla yang berdoakan untuknya dan
doanya itu menydedarkan Haydar dari pengsan.
Kata
orang tua itu, “Berilah maaf kepada orang yang menyakitimu, Haydar. Bersabarlah
atas ujian yang diberikan Allah kepadamu. Barang siapa bersabar, maka Allah
akan memberi pertolongan kepadanya, sebab sabar adalah penolong. Bersabarlah
dengan hatimu, sebab sabar akan menerbitkan cahaya di dalam hati. Tahanlah
marah, sebab marah adalah nyala api neraka yang boleh membakar jiwamu”.
Selepas
pondok usangnya dibakar menjadi abu kerana fitnah, ibunya Makcik Salamah masih
memberi nasihat kepadanya supaya bersabar. Ujar ibunya, “Haydar. Kita memang
sudah tidak punya gubuk lagi, tetapi cepat atau lambat, gubuk kita pasti
musnah. Tidak ada yang kekal, kecuali wajah Allah, nak. Tidak ada yang abadi,
kecuali DiriNya. Engkau bersedih, ibu pun berduka. Kita memang sudah tidak
memiliki tempat tinggal, tapi setiap tempat adalah milik Allah. BERILAH MAAF
KEPADA ORANG RAMAI YANG MEMFITNAHMU. Kuatkan hatimu, nak, agar hati ibumu ini
juga kuat menerima ujian yang diberikan Allah..............Semua sudah diatur
oleh Yang Maha Kuasa. Rumah kita telah musnah, semoga kecintaan kita kepada-Nya
tidak musnah”.
Dan
novel cinta fantasi ini berakhir dengan Haydar memberi kemaafan kepada semua
orang yang telah menganiyanya, memfinahnya, mencaci makinya dan menyeksakan jasadnya.
Alangkah indahnya kalau watak Haydar ini wujud dalam masyarakat kita di
sepanjang masa. Alangkah cantiknya dan indahnya dunia ini, bila fiksi menjadi
kenyataan.
Saya
tidak berani menasihati sesiapa pun supaya mencontohi watak yang hebat ini.
Saya belum pasti saya akan dapat bersabar sebegiitu rupa jika diuji oleh Allah.
Harapkan dijauh.
“Wahai
Tuhan kami. Jangan Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana
Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami”. Al-Baqarah:
286
0 comments:
Post a Comment