BERKHIDMAT UNTUK ORANG LAIN

>> Monday, April 7, 2014




 
BERKHIDMAT UNTUK ORANG LAIN


BERKHIDMAT untuk orang lain. Berfikir tentang kepentingan orang lain. Mengutamakan orang lain. Menyenangkan hati orang lain. Semuanya dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana Allah.


Ianya merupakan sikap yang mulia. Sikap yang terpuji. Sikap yang dihormati, dan amat berfaedah.




Berkhidmatlah Dengan Ikhlas



Ada berbagai-bagai cara untuk berkhidmat kepada orang lain, untuk menggembirakan orang lain, dan untuk menyenangkan hati orang lain. Dan orang lain itu siapa sahaja selain dari diri kita, baik isteri dan anak-anak, baik rakan sekerja, ketua-ketua pejabat, rakan-rakan dan sahabt handai, dan orang-orang yang tidak dikenali dan sebagainya, asalkan bukan diri kita sendiri.


Di antara caranya ialah memberi bantuan material kepada mereka yang membutuhkannya, menghulurkan bantuan tenaga kepada mereka yang memerlukannya, menyampaikan wejengan dan nasihat kepada mereka yang mengharapkannya, mematuhi nasihat yang baik dan juga menurut kata-kata yang baik yang boleh menyenangkan. Dan sebagainya, dan semuanya dilaksanakan dengan ikhlas.


Namun begitu, ada beberapa faktor yang menghalang seseorang untuk berbuat perkara yang baik. Antara faktor itu, menurut ahli psaikologi, Phyllis W. Young ialah takut kepada apa yang orang kata. Tegasnya takut kepada umpatan orang.


Mereka ini sering bertanya-tanya apakah pendapat orang lain terhadap mereka, apa kata mereka terhadapnya? Apa yang mereka umpatkannya?


Orang-orang seperti ini  berpendapat mereka berada dalam keadaan yang lemah atau tidak cukup daya untuk berhadapan atau menghadapi dengan gagah dan wajar segala opini dan pendapat orang lain terhadap mereka.


Tapi persoalannya bukanlah soal kuat, gagah atau berani menghadapi opini orang lain terhadap mereka, tapi lebih kepada soal prinsip atau dasar hidup yang perlu dimiliki oleh seseorang dan berpegang teguh dengan penuh keupayaan kepada prinsip itu. Dasar hidup ini amat perlu dimiliki oleh setiap orang, kerana di atas dasar inilah manusia bergerak setiap masa. Dasar yang betul ini akan membebaskan kita daripada ketakutan kepada hal-hal yang tidak wajar, seperti takut kepada umpatan orang yang memang sifatnya suka mengumpat


Dan sikap merdeka daripada ketakutan kepada apa yang orang fikir dan katakan, takut kepada umpatan dan keji orang, bukan sahaja berguna kepada diri kita, tapi juga baik kepada masyarakat seluruhnya yang akan menangguk faedah darinya.


Cara untuk mempunyai keberanian untuk bergantung teguh dan melahirkan keyakinan kita yang benar, adalah lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan. Apa yang perlu kita lakukan ialah buktikan kepada diri kita  apakah dasar hidup yang betul itu. Setelah minda kita yakin dalam hal ini, maka kita mempunyai tapak yang utuh untuk berdiri tegak dan berjuang  dengan hati yang lapang


Untuk mencari dan membuktikan dasar hidup yang benar  kajilah kisah-kisah hidup orang-orang ternama, tokoh-tokoh yang unggul dalam berbagai-bagai bidang, seperti ahli-ahli falsafah, para pejuang, para pemimpin dan sebagainya.


Baginda Rasulullah SAW sendiri adalah tokoh yang agung. Baginda rela berlapar dan berdahaga demi perjuangan untuk menegak agama Islam. Malah rela menggadai nyawanya sendiri. Rela hidup derita dan susah. Menolak kemewahan hidup yang ditawarkan kepadanya. Selalu memikirkan nasib umatnya dan berdoa untuk kesejahteraan mereka.


Para sahabat juga tidak kurang hebatnya dalam memberi khidmat kepada orang lain. Mereka melupakan kepentingan diri mereka sendiri. Mahabahnya tersebar luas meliputi seluruh bumi.


Sahabat Abu Bakar As-Shiddik rela mengorbankan dirinya demi orang yang dikasihiya, Rasulullah SAW. Ketika mereka berdua berjalan menuju ke Gua Tsur untuk bersembunyi daripada musuh kaum kafir yang mengejar mereka, sesekali beliau berada di hadapan Nabi SAW dan sesekali berada di belakangnya. Beliau berbuat demikian semata-mata untuk menyelamatkan Baginda. Bila beliau merasa musuh ada di hadapan, beliau bekejar ke hadapan Nabi SAW, dan bila beliau merasa musuh berada di belakang Nabi SAW, beliau berundur ke belakang untuk menjadi benteng melidungi Nabi SAW.


Demikian jugalah dengan para sahabat dan pejuang-pejuang yang lain yang rela berkorban bukan sahaja untuk Nabi SAW tapi juga kepada semua orang. Lihat kepada orang Ansar yang berjuang untuk membantu orang Muhajirin yang tidak mempunyai apa-apa ketika sampai di Madinah.


Bila kita mengkaji kehidupan mereka nescaya kita akan dapati mereka menganjurkan falsafah hiudp yang sama, iaitu berbuat baik kepada orang lain. Dengan berbuat baik kepada oang lain bukanlah bererti mereka ingin menggembirakan hati mereka sendiri kerana dihormati oleh lain itu, tapi tujuan mereka adalah suci dan ikhlas, iaitu  semata-mata untuk berkhidmat kepada orang lain, khususnya masyarakat yang mereka cintai,


Namun begitu, tidak ragu-ragu lagi bahawa kita juga mungkin telah berjaya membuktikan kepada diri kita sendiri akan kebodohan kita berbuat baik semata-mata untuk menyukakan orang lain. Hidup untuk menyukakan orang lain  boleh menyusahkan kita, memayahkan kita, boleh menyebabkan kita dilanda kehampaan dan ketakutan kerana kita  tidak pernah pasti apakah yang dikehendaki oleh orang lain daripada kita pada sesautu waktu itu, dan juga kita tidak boleh menyukakan hati semua orang.


Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi kegembiraan kepada semua orang. Kita hanya seorang, sedangkan orang-orang lain ramai. Malah untuk menyukakan seorang manusia pun tidaklah mudah. Kita mungkin pernah melakukan sesuatu yang kita percaya dapat menggembiarkan hati suami atau isteri kita, tapi bila mereka mengetahuinya, mereka bukan sahaja tidak bersetuju dengan tindakan kita itu, malah terus memarahi kita..


Malah ada orang yangi sepanjang hidupnya berada dalam pertentangan, konflik yang tidak kehabisan, kerana dia sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati orang lain. Dia sedar bila dia berusaha untuk menggembirakan seseorang, dalam masa yang sama dia tidak menggembirakan orang lain. Kerana keinginan dan kepentingan manusia tidaklah sama. Satu perkara yang disukai dan diperlukan orang lain, mungkin berbeza dengan oang lain pula.


Ada seorang suami bertindak menukar pekerjaannya, kerana mengikut pendapat isterinya, ia akan lebih baik kepadanya. Dia berbuat demikian dengan tujuan untuk menyenangkan hati isterinya itu. Selepas itu, dia memberi tahu ayahnya, tapi ayahnya tidak bersetuju dengan tindakan yang telah diambilnya itu.


Akibatnya dia mulai merasa resah dan menyesal berpanjangan sehinggalah dia bertemu dengan seorang sahabatnya yang memberi keyakinan kepadanya bahawa dia telah mengambil tindakan yang betul. Apa yang dikatakan oleh isterinya memang benar. Dan ini berjaya menghilangkan keresahan dan penyesalannya.


Walau bagaimana pun, kita hendaklah sentiasa bertindak mengikut prinsip untuk berbuat baik kepada orang lain, bukannya mengikut kemahuan kita sendiri semata-mata, termasuklah keinginan kita untuk mendapat sanjungan dan pujian orang lain.


Selagi kita tidak melahirkan keinginan yang rakus dan tidak ikhlas dalam berbuat baik kepada orang lain, maka sudah pasti kita berfikir dan bertindak dengan  betul. Justeru minda kita akan jelas tentang keputusan dan tindakan yang telah kita ambil itu, maka kehidupan kita akan menjadi berfaedah dan harmonis.


Mengenai pekerjaan pula. Selama ini kita bekerja semata-mata untuk menyukakan hati majikan kita. Tegasnya bekerja untuk membodek bos. Mengampu bos. Mulai sekarang kita hendaklah menukar kepada bekerja berdasarkan prinsip yang mulia berasakan kebijkasanaan, ketepataan, kesetiaan, dan kesemangatan. Sebaik-baik sahaja kita berhenti berjuang untuk menyukakan bos kita, dan bekerja mengikuti prinsip-prinsip yang mulia itu, kita akan bebas daripada ketakutan untuk menerima kegagalan yang mungkin menimpa.


Lebih jauh lagi, kita akan merasa amat puas hati kerana bekerja mengikut keyakinan kita sendiri, berdasarakan prinsip-prinsip yang mulia, justeru kita tidak akan merasa kecewa walaupun tidak disanjung dan dipuji walapun di saat kita memang wajar menerimanya, ataupun sebaliknya mendapat kecamanan walaupun kita merasa tidak adil.


Dalam kehidupan bermasyarakat, kita telah melakukan tindakan yang mulia melakukan sesuatu kepada orang lain sebagaimana kita megharap mereka melakukanya kepada kita. Dengan itu persahabatan kita akan menjadi kreatif dan bebas dari ketakutan dan perasaan hina.


Dengan melakukan prinsip-prinsip  berbuat baik dan bertindak mengikut kepercayaan kita sendiri demi untuk orang lain dan bukannya mengikut apa yang kita fikir orang mengharap daripada kita, necaya kita akan mendapat penghormatan dan keyakinan orang lain, di rumah, di tempat kerja dan juga dalam kehidupan bermaasyarakat.


Fikirkanlah bagaiamana kita menghormati orang-orang yang berfikir dengan bebas, dan juga orang-orang yang berfikir dan bertindak  mengikut keyaikinan hati mereka sendiri walaupun tidak disukai dan dicerca oleh orang lain yang tidak menyetujuinya. Sedangkan apa yang mereka lakukan itu adalah benar.


Sebaliknya, renunglah sekejap, bagaiamana tidak tertariknya hati kita kepada orang-orang yang tidak berani untuk melahirkan pendapatnya sendiri, walaupun mereka yakin akan benarnya. Itulah dikatakan si pengecut itu mati terlebih dahulu daripada kematiannya yang sebenar.


Cara untuk mengatasi ketakutan kepada apa orang akan fikir dan katakan atau umpatkan tentang kita ialah dengan menghunjamkan tujuan hidup yang benar dalam diri kita sendiri. Tapi pastikan ianya memang benar, kemudian buatlah sikap dan bertindaklah menurut keyakinan kita itu tanpa ragu-ragu dan berbolak-balik seperti lalang ditiup angin.


Maka dengan itu barulah kita  akan mampu dengan beraninya menegaskan, “Biarlah apa yang orang  fikirkan dan biarkan mereka kata  apa sahaja yang mereka sukai. Katakan apa yang mereka hendak kata, dan umpatlah apa yang mmereka hendak umpatkan. Aku tidak kisah. Ia bukan urusanku”.


Insya-Allah, dengan mengamalkan sikap yang bebas ini dengan prinsip hidup yang mulia untuk berkhdimat kepada orang lain, kita akan lebih dihormati,  mendapat hubungan yang lebih erat dengan orang lain, baik dalam kehidupan rumah tangga atau pun dalam kehidupan bermasyarakat, lebih daripada sebelumnya, dan kemampuan kita dalam dunia pekerjaan akan berkembang dan melebar di luar daripada kepercayaan selama ini.


Sekian.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP