HOSPITAL KUALA KRAI DALAM NOSTALGIA

>> Saturday, April 26, 2014







HOSPITAL KUALA KRAI DALAM NOSTALGIA


Petang Jumaat semalam, 25 April 2014 kami berada di Hospital Kuala Krai yang terletak di atas sebuah bukit dalam bandar Kuala Krai yang mempunyai penduduk multi bangsa. Dari Kota Bharu kami sampai hampir pukul enam petang.



Tujuan kami ialah untuk menziarahi seorang anggota kaluarga yang sakit yang baru beberapa hari diwadkan di hospital itu untuk menerima rawatan lanjut.


Kepada kami sekeluarga, Hospital Keluarga  mempunyai nostalgia yang tersendiri yang tidak mungkin dapat kami lupakan sepanjang hayat kami. Antaranya  pada bulan Julai 2009 isteri saya, Asiah Yaacob telah dibawa ke wad kecemasan kerana mengalami sesak nafas. Waktu itu sudah pukul enam petang lebih.






Waktu sampai di hospital itu, dia masih kuat, boleh turun dari kereta sendiri, dan berjalan sendiri ke wad kecemasan  dan menolak untuk dipimpin. Katanya dia boleh berjalan sendiri.



Dia diarahkan duduk sebuah katil untuk dijalankan pemeriksaan segera  oleh kakitangani perubatan. Keputusan pemeriksaan segera itu tidak ada menunjukkan sebarang pengidapan yang serius.


Kemudian dia dipindahkan ke katil lain di mana dia akan ditempatkan di situ buat sementara waktu. Sebelum dipindahkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut. Kami mengucap syukur kepada Alllah dan merasa amat lega.


Namun begitu, tidak lama kemudian, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah menjemput isteri saya ke pangkuan-Nya. Semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya.


Tapi cara layanan seorang doktor yang bertugas dan duduk di meja dihadapan wad yang diselangi beberapa buah katil  tidak menggembirakan kami.


Sebelum itu saya sering mendengar berbagai-bagai rungutan tentang ketidakselesaan orang ramai terhadap layanan-layanan daripada bahagian kecemasan itu. Tapi sukar kepada kami untuk mempercayainya.

Saya mohon maaf kerana terpakasa menyebut perkara yang telah bertahun-tahun berlaku, semata-mata untuk dijadikan iktibar.


Kerana  kelmarin pula ketika kami dalam wad, ada keluarga pesakit merungut tentang rasa tidak selesa hati mereka terhadap layanan yang mereka terima dari wad kecemasan itu. Peristiwa yang sama seperti yang kami alami kira-kira lima tahun dulu juga.



Di samping itu, kelmarin saya lihat bilik wad pun berasak dengan katil-katil yang semuanya dipenuhi dengan pesakit, antaranya ada yang sakit kronis. Ini  mungkin berlaku di mana-mana. Pesakit ramai, wad tidak sejajar dengan pesakit. Tambahan pula, waktu itu masa lawatan di mana keadaannya penuh dengan orang ramai yang datang untuk menzirahi keluarga dan sahabat handai mereka yang terlantar menerima rawatan.


Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia mereka tetap bersyukur kerana masih ada ruang kepada mereka untuk diwadkan dan menerima rawatan dengan sebaik-baiknya.


Selain itu salah satu problam lagi yang dihadapi oleh para pelawat hospital ialah tempat parkir kereta yang tidak mencukupi. Saya difahamkan perkara ini telah lama menjadi masalah.


Kelmarin ketika sampai, kami terus naik ke atas bukit mencari parkir khas yng disediakan oleh pihak hospital, tapi setelah berputar-putar tidak ada, kami pun terus turun ke bawah untuk mencari parkir Majis  Daerah Kuala Krai di pinggir jalan raya. Kalau hari bekerja parkir Majis Daserah ini kena bayar, tapi tak apalah asalkan ada parkir kosong. Setelah menunggu-nunggu, nasib baik ada sebuah kereta meninggalkan parkir, dan dapatlah kami memarkirkan di situ. Alhamdulillah.


 
Dari tempat parkir di bawah bukit itu, kami berjalan kaki melintas jalan dan mmendaki bukit ke wad. Kalau orang berusia lanjut, atau orang yang tidak begitu sihat, tentu sukar  untuk berjalan kaki, kerana terpaksa mendaki terus menerus hingga ke kaki wad. Di samping itu kalau kebetulan hujan lebat pula menambahkan kerumitan kepada pelawat untuk berjalan kaki menuju ke wad.


Tapi mujurlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bangunan hospital Kuala Krai ada dua buah. Hospital baru digunakan tempat pemeriksaan pesakit dan menerima rawatan langsung, terletak  agak jauh dari hospital lama itu. Sementara hospital lama hanya ditempatkan wad kecemasan dan wad-wad pesakit sahaja.


Kemduian kami tiggalkan Hospital Kuala Krai dengan penuh nostalgia, dan dengan harapan pesakit akan sembuh dan semoga layanan hospital kepada orang ramai bertambah baik dengan memberi perkhdimatan yang terbaik kepada masyarakat.


Semoga Allah kabulkan doa kami!





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP