KEUTAMAAN HUKUM ALLAH

>> Thursday, April 24, 2014





KEUTAMAAN HUKUM ALLAH






Pada umumnya yang disebut undang-undang itu ialah peraturan-peraturan tertentu yang bersangkut paut dengan kehidupan dan perbuatan manusia yang digubal untuk menjamin kesempurnaan hidup mereka di muka bumi Allah ini.


Setiap negara bertamadun di dunia ini mempunyai peraturan dan undang-undang mereka sendiri bagi menjamin  keamanan dan kententeraman penduduk-penduduknya.


Biasanya peraturan dan undang-undang hasil bikinan manusia itu dibuat oleh kalangan cerdik pandai yang terdapat pada suatu kaum atau bangsa tersebut.


Pada umumnya undang-undang itu ada dua bentuk. Pertama undang-undang bertulis dan kedua undang-undang tidak bertulis yang merupakan amalan tradisi turun temurun yang telah diterima oleh sesuatu masyarakat atau bangsa itu.


Dalam Kaca Mata Islam


Dalam kaca mata Islam, undang-undang itu terbahagi kepada dua jenis:


Pertama, undang-undang yang berdasarkan undang-undang bikinan manusia, dan undang-undang ini dikenali dengan nama undang-undang manusia [Man made law].


Kedua, undang-undang berdasarkan kepada undang-undang Allah SWT, iaitu undang-undang yang terus datang dari Allah yang dikenali dengan nama undang-undang Allah.


Manusia membuat undang-undang untuk menjaga kepentingan mereka sendiri, khususnya semasa hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Justeru kerap berlaku  kewujudan satu-satu undang-undang bikinan manusia itu hanya untuk menjaga kepentingan sesuatu pehak atau golongan yang tertentu sahaja. Atau pun undang-undang itu dibikin untuk menjaga kepentingan suku atau kaum, atau bangsa mereka sahaja. Malah kerap pula berlaku bertujuan untuk menjaga kepentingan pembuat undang-undang itu sendiri atau pun suku sakat mereka sahaja.


Kerana itu, andainya di kalangan pembuat undang-undang itu atau di kalangan suku sakat mereka terdapat mereka yang cenderung atau berkepentingan kepada sesuatu perkara, maka undang-undang  ataupun peraturan yang dibikin itu pasti bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka, umpamanya untuk kepentingan ekonomi dan politik atau pun lain-lain kepentingan.


Justeru penggubalan satu-satu undang-undang itu mungkin terikat dengan kepentingan sesuatu pehak atau satu kalangan yang berkepentingan, sebab itu pada umumnya undang-undang itu mungkin berbeza antara satu tempat dengan suatu tempat, atau antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain di dunia ini, kerana berbezanya sikap dan kepentingan manusia yang membikin perundangan itu sendiri.


Oleh sebab itu, tidak ada keseragaman sejagat dalam pelaksanaan undang-undang yang demikian. Di samping itu ada berbagai-bagai pentafsiran pula terhadap sesuatu undang-undang yang sama oleh orang-orang yang berlainan. Ini tergantung di atas sudut pengelihatan masing-masing. Misalnya perbuatan kahlwat dan perzinaan dianggap satu kesalahan di negara-negara Islam, tapi tidak di negara-negara bukan Islam, khususnya negara-negara Barat yang beranggapan bersekedudukan dan berzina sebagai satu cara hidup yang bukan sahaja tidak bersalah, malah tidak pula memalukan pelaku-pelakunya, sehingga melahirkan anak di luar nikah pun bukan lagi satu keaiban, malah kadang-kadang menjadi kebangaan.


Dalam Islam


Tapi di sisi Islam, manusia tidak boleh membuat undang-undang sesuka hati mereka, demi kepentingan diri atau suku sakat mereka. Ini kerana dalam Islam, sudah ada ketentuan di dalam membuat undang-undang, iaitu ketentuan daripada pencipta undang-undang Yang Maha Agong daripada segala penggubal undang-undang, iaitu Allah SWT.


Allah berfirman:


Dalam Surah al-A’raf, ayat 54, Allah berfirman: “Segala penciptaan dan urusan  menjadi hak-Nya. Maha Suci Allah , Tuhan seluruh alam”.


Dalam Surah, al-An’am, ayat 57, Allah berfirman: “Menetapkah [hukum itu] hanyalah hak Allah. Dia menerangkan kebenaran dan Dia pemberi keputusan yang terbaik”.


Dalam Surah Yunus, ayat 57, Allah berfirman: “ Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran [al-Quran] dari Tuhan-mu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”.


Dalam Surah al-Taubah, ayat 31, Allah berfirman: “ Mereka menjadikan orang-orang alim [Yahudi], dan rahib-rahibnya [Nasrani]  sebagai tuhan selain Allah, dan [juga]  Almasih putra Maryam; padahal mereka disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka persekutukan”.


Dalam Surah Shad, ayat 26, Allah berfirman: “ Wahai Daud! Sesungguh engkau Kami jadikan khalifah [penguasa]  di bumi, maka berilah keputusan [perkara]  di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”.


Selaras Dengan Kehendak Allah dan Rasul


Oleh itu dalam Islam, membuat undang-undang yang bercanggah dengan kehendak Allah dan Sunah Rasul adalah satu kesalahan besar dari segi akidah yang boleh menguggurkan syahadah atau mencabutkan iman seseorang Muslim.


Demikian pula sebarang undang-undang yang diperbuat semata-mata dengan tujuan untuk mempertahankan pemerintah, baik kedudukan pemimpin ataupun pengikut-pengikutnya, adalah bercanggah dengan Islam.


Sebenarnya undang-undang yang berdasarkan kehendak Allah ialah undang-undang yang dirujuk kepada al-Quran dan al-Hadis untuk menjaga kesuciannya.


Dalam Surah al-Hasyr ayat 7, Allah berfirman: “Apa sahaja yang disuruhkan oleh Rasul kepada kamu, maka kerjakannya. Dan apa sahaja dilarangkan kepada kamu, maka jauhkannya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras hukumya”.


Dengan itu nyatalah  kutakuasa undang-undang dalam Islam adalah bersumber daripada perundangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW baik daripada al-Quran atau as-Sunah.


“Seluruh rakyat termasuk pemerintah tidak berkuasa membuat undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang yang dibawa oleh Rasulullah SAW”. Demikian ditegaskan oleh Sayid Qutb.


Oleh itu sebarang undang-undang yang dibikin oleh manusia tapi bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah adalah batal ataupun tidak mempunyai kuasa undang-undang,  kerana ia tidak mempunyai sandaran pertama iaitu Allah yang memberi kuat kuasa undang-undang.


“Teori ini berlainan dari semua teori perundangan ciptaan manusia, termasuk dasar perundangannya yang menjadikan rakyat sebagai sumber segala kuasa, dengan erti rakyat yang boleh mengadakan undang-undang untuk mengikut kehendak mereka dan segala apa yang diperundangkan mereka mempunyai kuat kuasa undang-undang”. Demikian ditegaskan oleh Sayid Qutb lagi.


Kata beliau lagi, “Sumber semua kuasa dalam Islam ialah Syariat Allah yang dibawa oleh Rasulullah SAW  dan tugas rakyat ialah berdiri teguh, di atas syariat ini, memelihara dan melaksanakannya dan tugas pemerintah pula ialah bertindak selaku wakil rakyat untuk melaksanakan syariat itu. Dalam syariat inilah terletaknya seluruh hak rakyat dan mereka tidak berkuasa untuk melanggar apa sahaja peraturan dan undang-undang yang dibawa Rasulullah SAW”.


Sementelah pula undang-undang Allah ini tidak boleh diubah, ditambah mahupun dikurangi, kerana ianya merupakan undang-undang yang sempurna yang  telah tercatat dalam al-Quran dan As-Sunah Rasul-Nya.


Terkeluar Dari Syahadah


Umpamanya hukuman-hukuman yang berhubung dengan janayah Hudud atau Qisas tidak harus diubah, dipinda ataupun ditukar ganti bagi mengawal kemushlihatan-kemushlihatan yang tetap. Walau apa pun kemushlitan-kemushitan itu. hukum Allah tidak berubah bagi semua masyarakat, masa dan tempat, ini kerana hukum itu digubal oleh Allah SWT sendiri bagi menjaga kepentingan umat manusia seluruhnya.


Namun begitu, kiranya di dalam sesuatu persoalan yang dihadapi oleh manusia itu tidak terdapat dalam nas-nas yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka bolehlah manusia membuat undang-undang mengenainya, tapi dengan syarat undang-undang itu tidak bercanggah dengan  mana-mana dasar yang dibawa oleh Rasulullah SAW- lagi pun undang-undang bikinan manusia itu boleh ditukar ganti, disemak dan dikaji dari masa ke masa mengikut keperluan semasa.  

SAW bersabda:


 
“Barang siapa yang melihat sesuatu kemungkaran haruslah dicegah dengan tangan, maka jika dia tidak mampu memperbuat demikian, haruslah dicegah dengan perkataannya, maka jika tidak berkuasa berbuat demikian, maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman”.


Sehubungan dengan itu,  pemimpin atau bukan pemimpin, akan terkeluar dari syahadah jika enggan memikul tugas yang ditetapkan oleh Allah, iaitu melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini.


Berkatalah Khairul Ghazali, “Kita hendaklah beriman bahawa hanya Allah yang mempunyai hak mutlak dan tertinggi untuk membuat peraturan, hukum, perlembagaan, undang-undang untuk diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita dan seterusnya dunia kita.  Tauhid Uluhiyyah menginginkan supaya kita berusaha sedaya upaya untuk menjadi semua sistem di muka bumi Allah ini bebas daripada undang-undang buatan sendiri [man made law]  yang tidak menjadikan al-Quran dan As-Sunah sebagai undang-undang”.


“Sesiapa sahaja yang cuba menandingi Allah  dengan membuat perlembagaan sendiri, maka dia dengan sengaja cuba menandingi keuluhiyyahan Allah dan menjadi musyrik. Sekiranya dia benar-benar yakin bahawa sistem demokrasi, kapitalis,  republik, komunis atau apa saja idelisme yang lain itu lebih baik daripada undang-undang Allah, maka dia telah kafir mengikut ijmak [persetujuan”.



Dalam Surah  al-Jatsyiah, ayat 18. Allah berfirman: “ Kemudian Kami jadikan engkau [Muhammad]  mengikut syariat [peraturan] dari agama itu, maka ikutilah [syariat itu] dan janganlah engkau ikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui”.


Setelah kita memahami ayat-ayat al-Quran tersebut, maka nyatalah bahawa kedua-dua sikap itu, iaitu mencipta undang-undang sendiri yang bercanggah dengan kehendak Allah SWT dan keenganan melaksanakan undang-undang Allah SWT boleh membuat seseorang Islam rosak imannya dan tertanggal syahadahnya. Semoga Allah menjauhkan kita daripada terjebak perangkap kekufuran dan terhumban ke neraka jahanam yang amat pedih seksaannya itu.


Dalam Surah al-Mai-dah, ayat 44, Allah berfirman: “ Sungguh, Kami yang menurunkan Kitab Taurat; di dalamnya [ada] petunjuk dan cahaya. Yang dengan kitab itu para nabi yang berserah diri kepada Allah memberi putusan atas perkara orang Yahudi, demikian juga para ulama dan pendeta-pendeta mereka, sebab mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, [tetapi] takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu jual ayat-ayat-Ku dengan harga murah. Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir”.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP