Adakah Anda Ingin Umur Panjang?

>> Friday, June 28, 2013




                                                                                                                              
ADAKAH ANDA  INGIN  PANJANG USIA?


Biasanya setiap orang ingin berusia panjang, dengan beraneka sebab yang mereka sahaja mengetahuinya. Oleh itu ada di antara mereka selain daripada berdoa untuk minta dipanjangkan usia, tapi juga berusaha melakukan berbagai-bagai aktitviti untuk mengelak daripada titimpa oleh berbagai-bagai jenis penyakit kronik yang biasanya menjadi punca kepada kematian masyarkat dunia dulu dan sekarang.

Dr. Flander Dunbar, Pengarah Penyiasatan Penaykit Jiwaraga Universiti Columbia, Amerika Syarikat pernah membuat kajian terhadap 300 orang lelaki dan wanita yang berusia 100 tahun atau lebih mengenai rahsia usia mereka yang lanjut itu. Hasil penyiasatan itu telah mendedahkan beberapa sifat-sifat yang dimiliki oleh mereka yang berusia 100 tahun atau lebih itu.

Kita pungut di sini untuk perhatian bersama.

Berumah Tangga

Salah satu factor umur panjang yang terdedah dalam kajian itu ialah berumahtangga atau berkahwin. Mereka yang berkahwin biasanya berumur panjang. 98 peratus orang-orang di dalam kajian itu semuanya sudah beruamhtangga. Daripada itu pula sebanyak 39 peratus adalah terdiri dari mereka yang berkahwin lebih dari satu kali. Walaupun pasangan hidup mereka telah meninggal dalam usia  90 atau 100 tahun, tapi kecendrungan suami atau isteri yang masih hidup ialah untuk berkahwin lagi. Kebanyakan perkahwinan mereka berbahagia dan jarang berlaku perceraian.

Germbira Dengan Kerja

Kajian itu menunjukkan semua mereka berbahagia dengan pekerjaan mereka. Kajian itu menunjukkan mereka sukakan pekerjaan mereka, kerana mereka sendiri yang menjadi majikannya. Justeru pertentangan pendapat tidak berlaku semasa bekerja. Kebanyakan mereka yang berusia 100 tahun itu terdiri dari majikan, ilmuan dan bekerja sendiri.

Sesetengah daripada mereka yang bekerja dalam organisasi-organisasi yang besar bila mendapati diri mereka tidak sesuai dengan ketuanya, atau terpaksa bekerja dalam suasana yang tegang dan tertekan, mereka mengatasi keadaan itu dengan mencari pekerjaan baru yang mempunyai suasana kerja yang lebih menyenangkan.

Keluarga Besar

Orang-orang yang menyertaii kajian itu semuanya mempunyai keluarga yang besar. Jumlah ebrej anak setiap keluarga ialah 4 orang, berbanding dengan 1.6 orang di kalangan seluruh penduduk tempatan seluruhnya.

Menyertai Pertubuhan Amal

Kebanyakan mereka yang berusia 100 tahun itu adalah menjadi ahli kepada sesuatu pertubuhan amal atau kebajikan. Salah seorang wanita tua yang berusia 90 tahun dalam pernyiasatan itu masih lagi berusaha memungut derma bagi faedah yang berhubung dengan keagamaannya.

Bekerja Sepanjang Usia

Cita-cita untuk terus bekerja sepanjang hayat walaupun selepas masa pencen adalah salah satu lagi rahsia panjang usia. Kebanyakan mereka yang dikaji itu, masih lagi bekerja walaupun usia mereka sudah melebihi usia 65 tahun. Malah mereka mahu terus bergiat dan untuk mencapai kejayaan baru.

Mereka tidak memikirkan masa-masa yang telah lalu, dan menunjukkan minat yang besar kepada keadaan sekitarnya dan juga kepada perkembangan-perkambangan baru, sambil memandang ke hadapan. Mereka berfikir, mereka boleh hidup lama lagi, dan mereka mahu terus bebas dan merdeka dari segi kewangan dan perasaan.

Seorang banker bank yang berusia 100 tahun selepas menyerahkan pekerjaannya kepada anaknya, lalu merancang untuk menubuhkan pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negeri. Contoh yang satu lagi ialah Theodore Francis Green, walaupun usianya sudah lebih 90 tahun waktu itu, tapi masih kuat, dan menjadi salah seorang penasihat undang-udang yang terkenal dan pernah menjadi pengerusi Komiti Dewan Senat Perhubungan Luar Negara.

Dr. David Stone Cypher, pernah memberi wejengan kepada orang-orang yang ingin hidup sampai tua dengan pernyataan yang singkat, “Janganlah menyerahkan sesuatu yang tak wajar diserah”.

Hidup Dalam Bandar Yang Sibuk Dan Bising
Walaupun ganjil kedengaran, tapi hidup dalam bandar yang sibuk dan bising merupakan faktor mereka berusia panjang.
Kajian Dr. Flander Danbar itu menunjukkan kebanyakan orang-orang yang panjang usianya ialah mereka yang hidup di bandar-bandar yang genting dan kuat tekanan hidupnya, dan bukan di tempat-tempat yang sebaliknya.

Suka Bergaul

Satu lagi sifat orang-orang yang berusia panjang itu ialah mempunyai ramai kawan, pandai berjenaka, dan orang-orang merasa senang bila bergaul dengannya. Kebanyakan mereka mudah mencari sahabat, gembira dan disukai orang. Perasaan mereka aman tenteram dan mereka mempunyai pandangan hidup yang sangkaria atau optimis.

Dr. Dunbar memberi contoh , seorang tua yang berusia 90 tahun, bila ditanya adakah dia ingin belajar tentang ilmu haiwan dan ilmu tumbuh-tumbuhan yang memakan masa selama 5 tahun, dia menjawab, “Lima tahun tidak apa-apa, ayah saya meninggal dunia ketika berusia 140 tahun dengan rambutnya beruban putih”.

[Pagi tadi, 28 Jun 2013] penulis  telah terbaca sebuah berita ringkas tentang seorang wanita tua yang berusia 100 tahun. Dia dilahirkan pada tahun 1913 di Oaxaca, Mexico. Wanita itu namanya Manuela Hernandez baru berjaya menamatkan pelajaran sekolah rendahya, dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

Katanya dia hanya sempat belajar sekolah selama setahun sebelum Perang Dunia Pertama meletus, dan terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga menjalankan kerja-kerja rumah. Katanya hasrat beliau untuk masuk sekolah itu terbuka bila disuarakan oleh cucunya ketika beliau berusia 99 tahun].

Hidup Tenteram

Satu lagi rahsia panjang usia ialah berjuang dalam hidup dengan tenang setiap hari. Kajian Dr. Dunbar itu menunjukkan bahawa kehampaan dan kebimbangan yang selaris atau kerap berlaku  itu dapat memendekkan usia seseorang selama beberapa tahun.

Seorang tua yang berusia 100 tahun lebih pernah menegaskan, “Hidup saya sejak dahulu adalah menarik. Saya pernah digilis trak. Saya pernah kena tembak, dan mengalami pecah kepala sebanyak tiga kali, tapi saya masih hidup sampai sekarang”.

Walau bagaimanapun, kepada kita umat Islam perkara yang amat penting dalam membelanja usia ini, baik pendek atau panjang ialah berhubung dengan mutu atau nilai   hidup kita itu. Ke manakah kita telah membawa usia kita itu sepanjang hidup kita di dunia? Di mana kita telah meletakkan usia kita itu? Di tempat yang mulia atau sebaliknya di tempat yang keji dan hina?

Kualiti hidup inilah yang akan menentukan nilai usia kita sepanjang hidup di dunia, dan akan dibawa ke neraca Ilahi untuk dipertimbangkan bagi menentukan halatuju kita di akhirat nanti, ke syurga atau ke neraka, bahagia atau celaka. Oleh itu marilah kita semua menghabiskan usia kita yang dikurniakan oleh Allah itu dengan menjalani hidup dengan sebaik-baiknya menurut segala perintah Allah SWT. untuk mendapat rahmat-Nya dan keredaan-Nya bagi menjamin kehidupan yang berbahagia di alam yang kekal dan abadi itu.

Amin.



















Read more...

Kasihkan Isteri Sampai Ke Mana?

>> Wednesday, June 26, 2013



KASIHKAN ISTERI SAMPAI KE MANA?


Selapas Solat Asar di masjid petang semalam, seorang sahabat masjid mengajak saya berbual singkat sambil berjalan. Tubuhnya besar, usianya hampir 90 tahun, tapi masih segar dan cergas. Dia telah menduda hampir enam tahun kerana kematian isteri yang dinikahinya sejak mereka masih muda. Dia mempunyai beberapa orang anak lelaki dan perempuan, dan juga sebilangan cucu. Mereka semua tinggal berhampiran dengan rumahnya.



“Umur saya sekarang sudah dekat 90 tahun. Tapi Allah kurniakan tubuh saya yang sihat seperti ini, kerana saya lalu makan”. Terangnya tanpa saya bertanya. “Saya makan apa sahaja, tidak memilih”.



“Saya masih bujang”, katanya, “Banyak orang suruh saya kahwin tapi saya menolak. Baru ini pula ada orang menawar kepada saya seorang wanita untuk dijadikan isteri. Saya pun sukakan dia. Tapi saya tolak. Saya katakan, saya bukan tak sukakan wanita itu, tapi sebenarnya saya tidak ingin kahwin”.


“Oh begitu”, kata saya. “Makan minum setiap hari macam mana? Masak sendirikah?”.



“Tidak”, jawabnya, “ Anak-anak saya bergilir-gilir menghantar makanan setiap hari untuk saya makan. Hari ini, anak ini dan besok anak yang  pula. Belum Asar tadi, dia nak hantar nasi, tapi saya kata saya masih belum nak makan. Saya nak makan dekat Maghrib nanti”.



“Kalau begitu baguslah”, kata saya, “Nasib baik ada anak tinggal berhampiran dan bertimbang rasa pula”.



“Alhamdulillah" Balasnya.

"Kenapa tak kahwin sebenarnya?”, korek saya.



“Begini, Kalau kawhin ini susah sedikit. Banyak urusan. Wanita yang jadi isteri saya itu, sudah tentu mempunyai anak dan mungkin cucu-cucu yang telah besar. Bila ada anak-anak atau cucu itu bersalin atau mengadakan sesuatu majlis sudah tentu kita mesti hadir. Takkan nak biarkan dia pergi seorang nanti. Nanti apa pula kata orang. Sedang anak-anak dan cucu-cucunya itu telah menjadi sebahagian daripada keluarga kita semuanya”. Terangnya.



Setelah merenung muka saya sekejap, beliau menyambung, “Semuanya itu menambah tugas. Dan tugas-tugas itu menjadi penghalang kepada saya untuk datang ke masjid seperti biasa. Sebab itulah saya tak nak kahwin lagi. Lagi pun wanita yang jadi isteri saya itu nanti mesti pula dilayan sebagai seorangi isteri. Bukan begitu”.



Saya menangguk-anggukkan kepala.  Dan bertanya lagi, “Habis malam-malam tidur seorang dirikah?”.



“Tidak. Di malam hari ada dua orang cucu yang datang menemani saya tidur. Yang seorang itu memang telah tinggal bersama saya sejak isteri saya meninggal dulu”.



Saya ingin bertanya lagi sesuatu, tapi tak sempat, bila dia berkata,  “Baiklah. Saya ada kerja sedikit di rumah. Jumpa malam nanti di sini”, katanya meminta diri. Dan kami pun berpisah.



Saya berjalan sendirian ke rumah. Untuk mencari bayang-bayang tempat berteduh daripada ditimpa cahaya matahari petang yang terik panasnya, saya melalui jalan pintas melintasi sebuah kebun rambutan orang.



Saya teringat sebuah kisah yang berlaku di kampung lama daulu yang diceritakan oleh ibu saya sendiri. Katanya seorang jiranya kematian isteri. Saya lupa nama lelaki itu, tapi saya ingat nama isterinya Derasa. Setiap hari selepas kematian isterinya, bila senja berlabuh, dia akan duduk di atas tangga rumahnya dan tak henti-henti menyeru memanggil nama isterinya itu, “Derasa-Derasa-Derasa”. Suaranya hiba dan mendayu. Akhirnya dia jatuh sakit dan membawa kepada kematiannya tidak lama kemudian.



Beberapa tahun yang lalu pula ada seorang lelaki kematian isteri. Dia seorang guru pencen. Selepas isterinya meninggal, dia selalu mendakwa dirinya sakit, dan selalu minta supaya dibawa ke hospital. Anak-anaknya nampak dia normal sahaja. Dan bila dibawa ke hospital, dia selalunya minta untuk dimaksudkan wad, dan bila masuk wad dia enggan keluar wad, walaupun telah dikeluarkan oleh doktor, kerana katanya dia masih belum sihat dan perlu menerima rawatan.



Menurut doktor, lelaki ini tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya itu. Pemergian isterinya itu merupakan pukulan yang hebat kepada dirinya. Jiwanya menderita. Dia menjadi kecewa dan putus harapan. Isteriya itu adalah segala-gala kepadanya. Dialah tonggak hidupnya. Bila tonggak telah roboh, maka runtuhlah segala-galanya. Tidak lama kemudian, dia benar-benar jatuh sakit dan menghembus nafasnya yang terakhir. Semoga Allah mempertemukan dia dengan orang yang dicintainya itu.



Saya juga teringat kata-kata seorang wanita di suatu majlis kepada seorang lelaki kawan lamanya. Dia sseorang janda yang telah sepuluh tahun lebih kematain suami. Mempunyai banyak harta. Lelaki itu teman persekolannya dahulu yang telah beberapa tahun menduda kerana kematian isterinya.



“Awak tidak pernah kahwin selepas kematian isteri awak beberapa tahun yang lalu. Saya merasa bangga dengan awak, kerana ramai lelaki tidak seperti awak, walaupun isteri mereka masih belum mati, masih hidup, tapi mereka sudah mencari  wanita lain untuk tambah isteri lagi. Tapi awak tidak, walaupun isteri awak telah mati”.



Lelaki duda itu tidak berkata-kata, dia hanya tersenyum kuma-kumis atau tersipu-sipu. Saya pasti dia masih menduda sampai sekarang.



Berapa ramai lelaki seperti dalam kisah ini? Kebanyakan lelaki yang bergelar suami, tanah perkuburan isteri masih merah mereka sudah pun mempunyai teman hidup yang baru, malah ketika isteri masih hidup lagi pun mereka sudah mencari isteri baru, dua, tiga atau empat.



Lantas kita bertanya, kasih suami kepada isteri sampai ke mana? Adakah sebagaimana doa yang sering diucapkan kepada pengantin baru, “Semoga berbahagia sampai ke akhir hayat?”. Perhatikanlah kad-kad jemputan yang anda terima, itulah doanya untuk pengantin baru itu. Begitilah dulu dan begitulah sekarang.



 






Read more...

Tok Guru Nik Aziz Tolak Perjuangan Berlandaskan Kebangsaan

>> Monday, June 24, 2013





TOK GURU NIK AZIZ TOLAK PERJUANGAN BRLANDASKAN KEBANGSAAN



SUDAH MENJAJDI pengetahuan umum Tok Guru Nik Aziz telah melepaskan jawatannya sedikit masa yang lalu sebagai Menteri Besar Kelantan yang telah dipegangnya selama 23 tahun. Namun begitu beliau masih memgang jawatan Marsyidul Am PAS.

Dalam masa beliau memegang jawatan Menteri Besar, beliau telah memperkenalkan dasar pemerintahan negeri yang popular MEMBANGUN BERSAMA ISLAM. Dasar yang mengenepikan perjuangan yang berlandaskan  bangsa atau kepentingan kebangsaan, tapi mengutamakan perjuangan berlandaskan Islam.

Ramai rakyat Kelantan yang bersedih hati bila mengetahui beliau telah mengundurkan diri dari jawatan Menteri Besar walaupun rela dengan keputusan yang diambil oleh beliau itu dan menyerahkan tanggungjawab pemerintahan negeri kepada penggantinya yang diharap dapat meneruskan perjuangan Islam dengan lebih baik lagi.

Oleh sebab tidak dapat menerima perjuangan yang berasaskan bangsa atau kebangsaan itulah menjadi salah satu sebab utama kenapa beliau tidak rela PAS bergabung dengan UMNO sehingga ke hari ini, walaupun keduanya pernah bersama satu ketika dulu dalam era pemerintahan Dato’ Hj. Mohd Asri sebagai Menteri Besar Kelantan ketika itu.

Sedutan pendapat beliau di bawah menunjukkan bagaimana komitednya beliau terhadap perjuangan untuk menegakkan syiar Islam dan menolak perjuangan berdasarkan kebangsaan sebagaimana sering diluahkan oleh beliau dari masa ke masa.


















































MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Kenyataan Pertama:
Membangun Bersama Islam

“Hakikatnya, Islam yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah membenarkan sebarang penindasan di atas nama kaum. Jika ditinjau di dalam sejarah, Islam adalah agama dari Allah SWT datang ke bumi melalui Nabi Muhammad saw yang berbangsa Arab. Sekalipun berbangsa Arab, namun di tengah-tengah sikap orang-orang Arab yang berbangga dengan darah keturunan, Islam tetap diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa selain Arab. Sejarah membuktikan munculnya sahabat-sahabat Nabi seperti Salman yang berbangsa  Parsi, Bilal yang berbangsa Habsy dan Syuaib yang berbangsa Rom. Demikialah Islam tidak pernah memandang perbezaan darah dan warna kulit sebagai satu isu yang penting”.

“Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik. Oleh itu, tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan kaum. Manusia secara fitrah, dijadikan Allah  dalam bentuk, kelompok dan budaya yang berbeza dan semua mesti menerima dan menghormati kepelbagian dan perbezaan itu sebagai satu lumrah dan hukum alam yang akan terus berlaku. Kepelbagian dan perbezaan itu bukanlah untuk berpecah belah dan bermusuhan.

“Seharusnya amalan hidup yang kenal mengenal dan membantu antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai. Dalam hal ini, pendirian saya bahawa kita semua adalah berasal dari satu bapa namanya Adam dan satu ibu yang namanya Hawa, Justeru kita semua bersaudara dan mana mungkin sesama saudara boleh menindas antara satu sama lain.

“Justeru, apabila saya diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, saya perkenalkan dasar MEMBANGUN BERSAMA ISLAM agar dilihat bahwa Islam itu bukanlah hanya sekadar agama yang berada di dalam masjid dan madarasah tapi juga ditampuk pemerintahan. Dalam masa yang sama, hak-hak rakyat yang tidak beragama Islam tetap kita pelihara dan jaga”.

“Hakikatnya, telah terpelihara keharmonan kaum dan kebajikan non-Muslim di bumi Kelantan. Sewaktu rusuhan kaum 1969, Allahyarham Dato’ Asri Muda pada masa itu sebagai Menteri Besar Kelantan telah memanggil semua penghulu untuk diberikan arahan khas bagi memastikan orang-orang Cina yang sedang menjadi mangsa rusuhan di Pantai Barat terjamin keselamamtannya di bumi Kelantan. Alhamdulillah, tidak ada sedikitpun pertumpahan darah berlaku di Kelantan sekalipun di Kuala Lumpur banyak nyawa melayang”.

Alhamdulillah, pada saat pihak lain mengangkat keris dan melaungkan hidup bangsa dengan merendah-rendahkan mertabat kaum lain, kami di Kelantan mengangkat persamaan darah dan keturunan di tempat yang sepatutnya dan menafikan sebarang bentuk penindasan, ketidakadilan dan diskriminasi kaum”.

[Ucapan Menteri Besar Kelantan
 di Majlis Makan Malam Mesra Kaum
pada 16 November 2011]



























 








































MENOLAK PERJUANGAN BERLANDASKAN KEBANGSAAN

Kenyataan Kedua:
MENOLAK KEBANGSAAN

“Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr, Zainal Kling, seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya, padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air. 

"Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semunya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan Islam. Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, professor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut. Terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersembam. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.

“Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kacamata “orang cerdik pandai” ini.

“Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pemimpin  tinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyaaan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Semuanya termaktub dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.

“Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam? 

“Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan Hudud dengan lebel “hilang akal”, di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!

“Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royaliti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?

"Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.

“Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu membuat bising”.

Kenyataan Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebagai A—Musyidul Am PAS
Kepada Harakahdaily

 






Pada Harakahdaily 11 Syaaban 1434 [20 Jun 2013]

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP