MENGEJAR BAYANG
>> Tuesday, May 28, 2013
Definisi yang sebenarnya, bayang ialah bahagian atau tempat yang tidak
terkena sinar atau cahaya kerana terpampang atau terlindung oleh sesuatu benda.
Atau dalam bahasa yang lebih berbelit sedikit dikatakan bayang ialah
sesuatu lembaga yang wujud pada sesuatu
benda atau latar belakang kerana cahaya yang menimpanya tersekat atau tertahan
oleh benda itu.
Umpamanya cahaya matahari yang menimpa sesebuah bukit atau gunung, sudah tentu cahaya mata hari itu tidak dapat
menembusi bukit atau gunung itu untuk sampai ke bumi, maka timbullah bayangnya.
Demikian juga yang berlaku jika mata hari menimpa bangunan-bangunan,
pokok-pokok, malah benda-benda yang kecil
sekalipun, seperti serangga-serangga, dan sebagainya akan terjadi bayang.
Keadaan seperti itu juga berlaku, bila bulan terang, bila sinar dari lampu,
pelita atau unggun api yang menyala menimpa ke atas sesuatu, maka akan timbul
bayang-bayangnya.
Dengan itu bererti bayang itu akan sentiasa ada selagi dunia ini ada bersama
dengan adanya matahari atau cahaya.
Saya mempunyai sebuah pengalaman yang sukar untuk dilupakan mengenai bayang
ini. Peristiwa ini berlaku pada suatu malam bulan terang. Ketika saya melangkah
naik tangga pada malam itu, saya ternampak ada sebuah lembaga di bawah tangga
yang menakutkan. Saya menjerit dan belari naik ke rumah. Keesokan harinya saya
jatuh demam panas yang hampir meragut nyawa saya. Ia mengambil masa lebih dari
sebulan untuk sembuh. Disepanjang masa demam itu kaang-kadang saya pengsan dan tidak
sedarkan diri buat beberapa waktu. Tapi dengan izin Allah saya kembali sembuh
dan dikurniakan usia panjang hingga ke hari ini. Alhamdulillah. Selepas itu
saya berfikir apa yang saya lihat malam itu mungkin bukannya lembaga ghaib, tapi
bayang-bayang saya semdiri yang timbul bila bulan menimpa badan saya ketika saya
melangkah menaiki anak-anak tangga yang mengejutkan saya. Peristiwa ini berlaku ketika
saya masih kanak-kanak.
Dan di tangga itu jugalah, salah seorang dari kakak saya, ketika bermain
berhimpit-himpit, iaitu tolak menolak badan ketika duduk di atas anak tangga, telah
terjatuh, dan mengakibatkan sebelah tangannya telah patah.
Semua peristiwa ini telah lama berlaku. Pada masa itu rumah kami diperbuat daripada kayu, agak tinggi dari tanah, yang letaknya tidak jauh daripada Sungai Kelantan, dalam Kampung Kedai Salor. Hari ini rumah usang pusaka itu telah tersembam bumi, kerana terbiar tidak terjaga. Setiap kali saya melihatnya hati saya menjadi tercalar kecewa.
Semua peristiwa ini telah lama berlaku. Pada masa itu rumah kami diperbuat daripada kayu, agak tinggi dari tanah, yang letaknya tidak jauh daripada Sungai Kelantan, dalam Kampung Kedai Salor. Hari ini rumah usang pusaka itu telah tersembam bumi, kerana terbiar tidak terjaga. Setiap kali saya melihatnya hati saya menjadi tercalar kecewa.
Bayang Dalam Al-Quran
Allah berfirman tentang bayang dalam kitab suci al-Quran:
Dalam Surah 13 Allah berfirman: “Hanya kepada Allah jualah sujud [patuh] segala apa yang di langit dan
di bumi, baik dengan kemauan sendiri ataupun terpaksa. [Dan demikian juga]
bayang-bayang mereka [sujud] pada waktu pagi dan petang”. Ar-Rad:15.
Dalam Surah 16 Allah berfirman: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan
segala sesuatu yang diciptakan Allah yang bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam
keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka berendah hati”.Al-Nahl: 46.
Dan dalam Surah 25 Allah berfirman: “Tidakkah engkau memerhatikan
[penciptaan] Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan [dan memendekkan] bayang-bayang; dan sekiranya Dia menghendaki
nescaya Dia jadikan [bayang-bayang itu]
tetap, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk”. Al-Furqan: 45,
Bayang Dalam Peribahasa
Bangsa kita mempunyai beberapa peribahasa mengenai bayang atau
bayang-bayang, antaranya:
- Jika kita mengharapkan sesuatu yang belum pasti atau sesuatu yang tidak diketahui
hujung pangkalnya akan diperolehi, maka dikatakan: Bayang disangka
tubuh.
-Jika kita hendak melakukan sesuatu, terutama yang berisiko yang tinggi kita biasanya dinasihat supaya melakukan sesuatu itu sesuai atu sepadan dengan kebolehan atau kemampuan kita dengan kata-kata, supaya kita berjaga-jaga : “bayang biarlah sepanjang badan”.
-Sebaliknya jika kita telah melakukan sesuatu di luar daya kemampuan atau
kekuatan kita, maka dikatakan: “Bayang tidak
sepanjang badan”.
Atau dikatakan “Seperti mengejar bayang-bayang”,
kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin teracapai sebagaimana kita mengejar
untuk menangkap bayang-bayang sudah tentu tidak akan berjaya ditangkap, kerana
kalau kita kejar dia berlari, dan kalau kita berhenti, maka dia pun berhenti,
namun untuk menangkapnya tetap tidak dapat. Kerana bayang tidak dapat dipegang
atau diambil, kerana ia tidak wujud seperti wujudnya benda-benda atau material.
-Jika kita telah melakukan sesuatu keburukan atau kejahatan atau sesuatu
perbuatan berdosa maka kita mungkin akan diburu oleh rasa ketakutan, maka kita
akan dikatakan: “Takutkan bayangnya sendiri”.
.-Jika kita terlampau cinta dan rindu dendamkan seseorang, tapi tidak mendapat balasan, maka kita akan digelar "gila bayang". Cinta yang tidak disahut dan diketepikan,meneyebabkan seseorang mabuk kepayang
Disamping itu ada juga penggunaan kata “bayang” bukan bererti bayang dalam maksud yang sebenarnya, tapi sebagai kiasaan kepada keadaan atau sesuatu sitiwasi. Seperti perkataan “terbayang” atau “terbayang-bayang”, “membayangi”, ”membayangkan”, dan sebagainya.
Dalam Kepercayaan
Orang-orang tua kita juga tidak terlepas daripada menyimpan tahyul
mengenai bayang.
Pantang nelalui di bawah bayang-bayang sesuatu yang dianggap berpuaka, seperti
pokok-pokok besar, kerana ditakuti ditimpa musibah.
Ada sesetengah orang pula percaya, jika seseorang ingin berdamping atau
berkawan dengan hantu, jin atau iblis, pukullah bayangnya sendiri di bawah
sinaran cahaya matahari sampai bayang itu hilang. Bila bayang itu hilang, maka dipercayai,
orang itu telah berjaya mendampingi makhluk perosak itu.
Kita juga dilarang duduk atau berada di antara bayang sesuatu dengan
bahagian yang tidak ada bayang, seperti bayang sepohon pokok dengan bahagian
yang tidak berbayang, kerana dipercayai tempat seperti itu disukai oleh hantu
dan jin atau makhluk-makhluk perosak yang lain.
Di sepanjang jalan antara Kota Bharu ke Gua Musang, ada sebuah bukit yang
melindungi sebahagian daripada jalan itu dengan bayang-bayangnya, yang
menyebabkan sepanjang kawasan itu kelihatan redup dan sejuk, walaupun di siang
hari yang panas, hinggakan bukit itupun dinamakan Bukit Sejuk. Mengikut apa
yang dimaklumkan kepada saya, kemalangan jalan raya sering berlaku di sepanjang
kawasan yang dibayangi oleh bukit itu.
Ada sejenis permainan dalam budaya kita yang bermain-main dengan bayang, iaitu wayang kulit. Tok dalang yang
bermain dengan patung-patung wayang kulit itu sebenarnya bermain dengan
bayang-bayang patung itu pada kelir setelah disuluh dengan cahaya lampu untuk
ditonton ramai. Panggilan “Shadow Play” untuk wayang kulit oleh orang Barat
lebih menepati daripada panggilan “wayang kulit” dalam bahasa kita, kerana yang
dipermainkan itu adalah bayang-bayang patung tersebut yang diperbuat daripada
kulit atau belulang –belulang binatang.
Dalam istilah ilmu jiwa, ada suatu istilah yang berpunca dari bayang. Mengikut
sebuah dongeng Greek, ada seorang lelaki bernama Narcissus melihat wajahnya
dalam dalam air di sebuah kolam. Dia
merasa amat kagum dan memuja-muja dirinya sendiri, malah jatuh cinta dengan
dirinya selepas melihat bayang-bayangnya dalam kolam itu. Mangambil sempena
dengan peristiwa itu ahli-ahi psikologi menamakan orang-orang yang merasa kagum
dengan dirinya sendiri, bangga dan sombong sebagai Narcissism yang digolongkan
sebagai sejenis penyakit jiwa.
Walau bagaimanapun, janganlah kita menjadi manusia pengejar bayang, iaitu
mengejar sesuatu yang memang nyata tidak akan berjaya kita memperolehi, kerana
itu kita mesti berpijak di alam nyata, mengejar sesuatu yang jelas dan nyata
bukannya mengejar bayang, yang tidak akan membuahkan sebarang hasil selain
daripada penat dan lelah.
Dan bayang-bayang yang paling besar yang menggoda dan menimpakan kerosakan
dan kemusnahan yang total kepada umat manusia ialah dunia yang keadaannya tak ubah
seperti bayang-bayang yang kelak akan hilang lesap bersama dengan padamnya
cahaya matahari. Jangan terpedaya dengan bayang-bayangan dunia ini, sampai bila
pun kita tidak akan berjaya menangkapnya, sehingga kita meninggalkan dunia bayang-bayangan yang penuh fantasi,
pesona dan khayal ini untuk menuju kehidupan di alam dunia yang sebenarnya, dunia
yang realiti yang nyata dan kekal abadi, itulah dunia yang bukan bayang-bayang
lagi, dunia sebenarnya, iaitu dunia hakiki yang diperolehi setelah kita
melintasi gerbang maut yang wajib ditempoh oleh setiap makhluk yang hidup.
Jangan jadi pengejar bayang-bayang, bayang-bayang apa sekalipun, tapi
kejarlah realiti, sesuatu yang benar dan hakiki untuk membolehkan kita
meraihkan kejayaan yang sebenarnya di dunia dan akhirat.
0 comments:
Post a Comment