Corat-Coret Kembara Dari Aring Ke Kuantan

>> Monday, May 20, 2013







CORAT-CORET KEMBARA DARI ARING KE KUANTAN

Pada hari Jumaat [17 Mei 2013] yang lalu, kami kembara dari Kuala Krai, Kelantan ke Kuantan, Pahang kerana ziarah belasungkawa. Dari Kuala Krai kami menghala ke Gua Musang untuk melalui Aring ke Kuala Berang melewati Tasik Kenyir dan seterusnya langsung ke Kuantan.



         Sebahagian daripada jalan yang rosak antara Aring dan Tasik Kenyir

Kami menduga, menerusi jalan tersebut kami akan mendapat keselesaan perjalanan, kerana dapat memendekkan perjalanan kami dan dapat mengelak daripada kemungkinan kesesakan jalan untuk sampai ke Kuantan, daripada mengikuti jalan biasa menerusi Pasir Puteh, Jerteh dan terus ke Kuala Berang andainya kami tidak ingin mengikuti jalan lumrah iaitu jalan luar dari Jerteh ke Kuala Terengganu, Kemamam dan seterusnya ke Kuantan.

 
Sebuah pandangan yang endah dalam perjalanan


Pagi itu dari Aring kami menuju ke Kuala Berang, melalui Tasik Kenyir, dan dari Kuala Berang, menuju ke bandar Al-Muktafi Billah Shah melalui Bukit Besi Seterusnya menuju ke Kuantan menerusi jalan bawah [interior road].

Anak saya, Ahmad Faris Zaini yang memandu kenderaan hari itu telah beberapa kali melalui jalan tersebut sewaktu dia bertugas di Johor. Tapi saya hanya baru pertama kali melalui jalan tersebut, kerana saya lebih suka mengambil jalan biasa melalui Jertih sehingga sampai ke Paka atau Permaisuri baru mengambil jalan bawah menuju ke Kuala Berang.

Berlatarbelakangkan Tasik Kenyir

Tidak kami duga sama sekali bahwa jalan Aring ke Tasik Kenyir hari ini banyak mengalami kerosakan, berlubang-lubang di banyak tempat yang melambatkan perjalanan. Di samping itu ada juga tebing jalan yang runtuh ke dalam jurang. Mengikut anak saya, jalan itu telah lama rosak sejak dia melaluinya beberapa kali pada beberapa tahun yang lalu, tapi hari ini kerosakannhya bertambah teruk lagi.

Melalui jalan Aring-Kuala Berang hari ini amatlah menyeska. Menyakiti tubuh  badan, kerana kenderaan terpaksa terhingguk-hingguk ketika melalui jalan rosak, dan ini melambatkan perjalanan walaupun boleh dikatakan tidak ada kenderaan melaluinya. Pada hari itu kami hanya berselisih jalan dengan beberapa buah kenderaan sahaja yang merangkak-rangkak di tempat yang jalannya rosak.



              Pandangan endah daripada alam semula jadi di Tasik Kenyir

Namun begitu ada beberapa tempat yang pandangannya menarik untuk ditonton sepanjang perjalanan itu, tapi semuanya itu kehilangan serinya kerana jalan yang begitu teruk kerosakannya boleh membunuh selera manusia yang ingin menikmatinya.

Bilakah jalan ini hendak diperbaiki? Adakah setelah kerosakannya meningkat dan memerlukan lebih banyajk perbelanjaan baru hendak diperbaiki? Pilihanraya telah berlalu, masa untuk menabur janji telah berlalu, dan inilah pula masanya untuk bertindak?

Bandar Kuantan mulai dimandikan matahari pagi

Mungkin andainya di Tasik Kenyir itu dibina kasino tempat bersuka ria dan di Aring pula dibina sebuah padang golf yang canggih, maka jalan itu mungkin tidak akan terbiar begitu merana dan menderita menyeksa rakyat yang lalu.
 
Bandar Kuantan di waktu pagi Sabtu

Memikirkan jalan itu begitu menyeksa untuk dilalui, maka keesokan harinya, Sabtu dalam perjalanan pulang ke Kelantan, kami  tidak lagi bersedia melalui jalan Kuala Berang- Tasik Kenyir- Aring. Dari Kuantan kami pergi ke Pacing Selatan, terus ke Bukit Goh untuk menuju ke Kuala Berang. Sementara itu kami berhenti makan pagi yang kedua di sebuah simpang masuk ke Bukit Goh dan makan nasi belauk. Sebelum itu kami telah makan pagi sebiji thosai seorang di bandar Kuantan behampiran tempat kami menginap, di sekitar Mega Mall tapi thosainya tidak secucuk dengan selera kami dan kuahnya juga tidak menyentuh selera.
 

Restauran Nasi Kampung tempat kami makan tengah hari

Sebaik-baik sampai lewat tengah hari Jumaat kami makan di sebuah restauran, iaitu nasi putih, sayur taugeh, telur dadar, hati ayam goreng kicap, budu, sambal dan semangkuk kecil sup ayam. Menyelerakan juga rasanya.

Pada beberapa tahun yang lalu saya dan isteri, [Asiah Yaacob, semoga cucuri rahmat ke atasnya], pernah tinggal kira-kira sebulan lamanya di sekitar kawasan tersebut kerana suatu uruan yang penting, justeru itu kami tahu di mana tempat hendak makan. Sebuah daripada kedai yang sering kami makan nasi tengah hari kepunyaan bumiputera telah tidak dapat kami temui lagi di situ.

Ahmad Faris Zaini sedang menghirup sup di Permaisuri

Dari Bukit Goh kami terus ke Kuala Berang dan terus ke Bukit Besi, sebuah bandar kecil yang pada suatu masa terkenal dengan nama jolokan Permata Bumi, kira-kira 85 km dari Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu dan bila tiba di persimpanagan jalan, kami tidak membelok ke kiri untuk ke jalan Tasik Kenyir tapi sebaliknya mengambil jalan ke kanan menuju ke Permaisuri kira-kira 75 km dari situ. Permaisuri ialah sebuah bandar kecil yang menjadi bandar pusat Setiu. Kami berhenti makan tengah hari di Permaisuri dan makan masakan tradisonal, ikan singgan, ikan selar bakar, sayur buah ketereh [gajus], kerabu kacang cambah [taugeh], budu, sambal belacan, dan ayam masak kicap dan semangkuk kecil sup tulang, yang rasanya macam daging import.


           Masjid Bukit Bakar yang bersih dan cantik terletak di tepi jalan

Dari situ kami menuju ke Jerteh, sebuah bandar perniagaan yang terletak dalam Jajahan Besut dan terus ke Pasir Puteh, dan mengambil jalan raya ke Macang, namun kami tidak terus ke Machang mengikut jalan lumrah, tapi sebaliknya mengambil jalan lama ke Machang dan kemudiannya membelok ke kiri menuju ke Bukit Bakar, untuk  ke Machang dan terus  ke Kuala Krai.

Kami singgah solat jamak di Masjid Bukit Bakar yang tersergam indah dan baru dibina yang terletak di tepi jalan tak berapa jauh dari simpang ke tempat perkelahan Bukit  Bakar. Air paip masjidnya dingin dan nyaman, membuat kami terasa hendak mandi. Sejuk macam air tandak yang turun dari bukit rasanya.

Sebahagian daripada keluarga di Paching Selatan

Kami rasa kami tidak akan merangkak di jalan Aring untuk ke Kuala Trengganu atau Pahang lagi di masa-masa akan datang selagi tidak ada kepastian jalan itu telah diperbaiki. Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab untuk memperbaiki jalan itu sehingga sanggup membiarkannya begitu banyak dan lama merana dalam kerosakan yang menyeksa rakyat yang menggunakannya?

Walau bagaimanapun, sebagai rakyat negara Malaysia, kami berharap  jalan Aring-Tasik Kenyir-Kuala Berang itu dapat diperbaiki dengan segera demi kepentingan negara dan rakyat jelata yang ingin menikmati hasil pembangunan negara yang telah merdeka lebih dari setengah abad itu.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP