Ziarah Takziah.
>> Sunday, May 19, 2013
Pagi Rabu [15.5.13/5 Rejab 1434]
selepas menjawab panggilan handset, entah kenapa, timbul keinginan untuk membuka dan
membaca SMS yang telah berhari-hari tidak saya baca. Ada beberapa SMS yang
masih dibaca dan salah satu daripadanya datang dari anak saudara di Kuantan
yang berbunyi:
“Nobli: Salam, dimaklumkan
bahwa Mak Su Yah di Felda Paching, Kuantan meninggal dunia malam tadi kira-kira
pukul 10.35 malam. Wassalam, Selasa 11.19 PM.”
Yang dikatakan Mak Su Yah itu
ialah salah seorang daripada sepupu saya yang tinggal di Kuantan, Pahang sejak
berpuluh-puluh tahun yang lampau lagi. Dia dan keluarganya adalah peneroka
FELDA Pacing Selatan dari sejak peringkat awal pembukaannya lagi. Beliau
adalah sebahagian daripada ribuan anak Kelantan yang berani mengadu nasib di
luar negerinya sendiri.
Saya dan anak saya, Ahmad Faris
Zaini hanya dapat pergi ke Kuantan pada pagi hari Jumaat kerana ada halangan
yang tidak dapat dielakkan. Kami sampai di Kuantan lewat tengah hari, dan pergi
ke rumah allahyarhamah lewat petang dan berada di situ hingga awal malam.
Menurut “Rahim” anggota keluarga allahyarhmah
yang tinggal bersama beliau yang kami temui di rumahnya, allahyarhmah mengidap
sejenis penyakit dalam perut yang merbahaya yang ketika dibawa ke rumah sakit
swasta didapati telah berada ditahap kritikal dan memerlukan pembedahan dengan
segera.
Bagaimana pun allahyarahmah keberatan untuk menerima rawatan selanjutnya dan meminta supaya beliau dibawa
pulang sahaja ke rumah. Beliau pulang ke rumah pada hari Isnin, dan hari Selasa
sebelah malamnya, iaitu pukul 10.35 beliau menghembsuakan nafasnya yang akhir.
Sesungguhnya dari Allah kita
datang kepada Allah kita kembali.
Semoga Allah cucuri rahmat ke
atas rohnya. Amin.
Sebahagian daripada keluarga saya telah datang menziarahi allahyarhamah lebih awal sebaik-baik sahaja mendapat berita beliau berada dalam ketenaatan, dan ketika saya sampai itu semua mereka telah pun pulang, termasuklah mereka yang datang dari Kedah. Kerana itu kami tidak berksempatan bertemu degan mereka semua di rumah peninggalan allahyarhmah itu.
Sejak beberapa hari yang lepas
ada beberapa berita kesedihan tentang kematian keluarga yang sampai kepada kami
dan menjadikan minggu lepas sebagai minggu belaungkawa kepada keluraga kami.
Sebelum kami bertolak ke Kuantan,
kami diberitahu tentang kematian bapak saudara kepada salah seorang menantu
perempuan saya setelah menderita sakit selama beberapa tahun.
Dalam perjalanan pula, ketika
sampai di Kuala Berang kami mendapat panggilan telefon dari anak saya di Kota
Bharu, memberitahu salah seorang daripada saudara kami yang tinggal di ibu
negara Kuala Lumpur baru sahaja meninggal dunia.
Dan seterusnya sebaik-baik sahaja
sampai di Kuantan dan masuk ke bilik hotel yang terletak di tengah-tengah bandar
Kuantan ini anak perempuan saya pula menelefon memberi tahu bapak saudara
suaminya yang tinggal di Tumpat baru sahaja meninggal dunia.
Sesungguhnya dari Allah kita
datang dan kepada Allah kita kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas
mereka semuanya yang telah kembali kepada-Nya.
Kami bertolak balik ke KK keesokan
harinya, Sabtu, dan dalam perjalanan pulang kami singgah terlebih dahulu
menziarahi pusara Mak Su Yah yang dikebumikan di tanah perkuburan Pacing Selatan itu.
Pusaranya betul-betul terletak di pintu jalan masuk ke tanah perkuburan
yang nampaknya dijaga dengan baik dan dalam keadaan yang tersusun rapi, serta
bersih.
Mak Cikku, Mak Ngah [Selamah},
ibu kepada allahyarhmah yang meninggal dunia
beberapa tahun yang lalu juga dikebumikan di tanah perkuburan Pacing Selatan itu
juga.
Setelah memanjatkan doa kepada
Allah, kami tinggalkan tanah perkuburan yang diulit kesepian itu dengan hati
yang terharu.
Dari Allah kita datang, dan
kepada Allah kita kembali.
Demikianlah kehidupan ini, silih
berganti, pergi dan datang, datang dan pergi sehinggalah dunia yang fana ini akan
berakhir dengan kemusnahan di penghujung usianya yang diakhiri dengan kiamat
sebagaimana dijanjikan oleh Allah S.W.T.
Wahai yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang
Terimalah hamba-hambaMu dengan rahmat yang melimpah-ruah,
Dalam samudera kasih dan sayang, reda
dan ampunan
Dan
“Semoga keselamatan tetap
melimpah atas kamu wahai ahli kubur Muslimin dan Mukminin
Insya-Allah kami semua akan
menysul kamu.
Semoga Allah merahmati
orang-orang yang terdahulu dan yang datang belakangan dari kami dan kamu semua.
Kami mohon afiat kepada Allah,
bagi kami dan bagi kamu semua”.
Amin,
0 comments:
Post a Comment