KASIH ANTARSAUDARA SAMPAI KE MANA

>> Friday, May 3, 2013




KASIH ANTARSAUDARA

Setiap orang yang dilahirkan, jika dia bukan  anak tunggal, sudah tentu dia mempuyai saudara, dua beradik, tiga beradik dan sebagainya, baik lelaki ataupun perempuan. Mereka dibesarkan bersama oleh ibu bapa mereka yang bercita-cita ingin melihat anak-anak mereka hidup harmonis antara satu sama lain di masa-masa akan datang tanpa putus-putus hingga ke akhir hayat.

Ibu bapa yang prihatin dengan nilai-nilai mahabah dan kasih sayang ini akan mengasuh anak-anak mereka supaya hidup dan membesar dengan rasa kasih sayang, bertimbang rasa, bantu membantu antara satu sama lain, di samping mencegah mereka supaya tidak berkelahi atau bersengketa dengan mengamalkan sikap bertolak angsur.


Pada umumnya di zaman kanak-kanak ini, anak-anak boleh hidup harmoni dengan suadara-saudara mereka baik lelaki atau perempuan. Si abang akan menjaga adik atau adik-adiknya, beralah kepada adik-adiknya yang masih kecil dan sedia berkorban untuk adik-adiknya. Demikian juga si adik, walaupun nakal, tapi tetap menjaga kebajikan abangnya. Kecuali anak-anak itu memang dididik untuk menjadi anak-anak yang nakal dan jahat oleh kedua ibu bapanya, ataupun kerana terpengaruh unsur-unsur jahat dari luar.

Rasa kasih sayang di kalangan saudara-saudara itu akan terus berkembang subur hingga mereka bersekolah. Hubungan mereka terus berlangsung dengan penuh kemesraan dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, walaupun mereka mungkin tidak berada di sekolah yang sama, kerana mereka masih lagi tinggal bersama dan masih berada di bawah pengawasan ibu bapa yang prihatin terahdap budi bahasa dan akhlak anak-anak mereka.

Tapi  bila perubahan-perubahan suasana hidup kian terasa, bila ada di antara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi di dalam negara dan mungkin juga  di luar negara. Mereka bukan sahaja tidak lagi hidup sebumbung dan berjauhan pula dengan ibu bapa dan keluarga. Masing-masing sibuk dengan kesibukan masing-masing, walaupun jalinan kekeluargaan masih erat antara satu sama lain.

Tapi bila mereka tamat belajar dan masing-masing bekerja, mengikut pilihan dan kemampuan masing-masing, maka  perhubungan mereka mungkin akan mengalami perubahan walaupun hubungan kasih sayang masih terpaut.

Dan perubahan-perubahan ini biasanya akan menjadi makin ketara bila mereka mendirikan rumah tangga nanti, baik kepada lelaki atau perempuan, baik sebagai suami atau sebagai isteri. Masing-masing memabwa arus dan hala hidup masing-masing. Masing-masing mempunyai tanggungjawab masing-masing, tanggungjawab tugas dan pekerjaan, tanggungjawab kekeluargaan, kadang-kadang ringan dan kadang-kadang berat tergantung kepada keadaan masing-masing.

Jarak kedudukan mereka makin jauh, kerana masing-masing membina kehidupan sendiri-sendiri. Dalam meniti hidup inilah kadang-kadang, disedari atau tidak disedari hubungan kekeluargaan itu menjadi longgar dan kendur. Tidak ada abang lagi yang memikirkan adik-adiknya dan tidak lagi adik-adik yang memikirkan untung nasib abang-abangnya.

Kadang-kadang pengaruh pasangan, isteri atau suami, secara langsung atau tidak langsung, merenggangkan lagi hubungan mereka adik beradik. Malah mungkin ada pasangan-pasangan yang dengan cara-cara tertentu berusaha merenggangkan hubungan itu, dan serentak itu memihak kepada keluarga dirinya semata-mata, iaitu isteri atau suami dan anak-anak mereka.

Akhirnya hubungan mereka adik beradik, malah kadang-kadang dengan ibu bapa yang selama kini kemas dan kejat, turut menjadi kendur dan longgar, kerana sekru kasihnya yang amat tinggi nilainya itu telah dilonggar atau ditanggalkan. Akibatnya hubungan silaturahim menjadi kering.

Mereka hanya mungkin bertemu setahun sekali, atau dua tahun sekali, di hari-hari raya dan sebagainya. Tiada rancangan untuk menghangatkan hubungan yang dingin itu- pergi mari pun tidak, telefon pun tidak untuk bertanya khabar, kecuali jika ada keperluan yang mendesak.

Maka akhirnya hubungan persaudaran itu menjadi tawar-hambar, tidak bermakna lagi. Asas-asas mahabah dan kasih sayang yang ditanam oleh ibu bapa mereka sejak kecil itu telah reput ditelan masa yang berlalu dengan pantas, walaupun kedua orang tua mereka masih lagi ada bersama di kalangan mereka.

Tidak ada lagi semangat persaudaran, kasih antarsaudara, tolong menolong, hormat menghromati antara abang dan adik. Malah sebaliknya mungkin pula berlaku persengketaan antara mereka kerana sebab-sebab yang kecil sekalipun-mungkin kerana salah-salah cakap yang tidak bererti apa-apa pun menjadi isu-isu yang diperbesar-besarkan hingga sampai mengoyak hubungan kemesraan adik beradik yang selama ini terjalin dengan indahnya.

Ini belum lagi sampai kepada pembahagian harta pusaka, jika ada, bila semua orang berebut-rebut untuk mendapat hak yang lebih walaupun tidak mengikut syariat, hingga berbalah-cekah sama sendiri- lalu berkerat rotan, berpatah arang kerana harta dunia.

Perkara yang malang ini tidak sepatutnya berlaku. Malah perkara yang sebaliknya seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi kerana mereka semua bukan sahaja bertambah usianya, tapi telah meningkat dewasa dan matang dan mempuyai kemampuan untuk hidup dan berdikari. Yang perlu dikembangkan ialah semangat kasih sayang dan mahabah, dan bersikap lapang dada, dan bersedia menghulurkan tangan kepada mana-mana yang lemah dalam kehidupan mereka. Bukannya dengan memandang sinis dan mengejek.

Oleh itu jangan mudah merasa hati, menyimpan dendam, sebaliknya lapangkan hati, jangan diperbesar-besarkan perkara-perkar yang kecil, jangan digaru-garu kalau tidak gatal nanti tercalar kulit dan luka, jangan nganga mulut terlalu luas dan jangan buka telinga terlalu lebar nanti banyak yang tumpah dari mulut dan nanti telinga jadi tersumbat dan pekak.

Alangkah rapuhnya hubungan antarsaudara, kiranya anak-anak kecil berkelahi sesama mereka, orang tua pun ikut berkelahi sama, alangkah rapuhnya hubungan antarsaudara kalau isteri atau suami terus bertindak bila mendengar acuman-acuman yang belum tentu hujung pangkalnya, alangkah rapuhnya hubungan antarsaudara jika si suami merungut, maka si iateri pun terus bertindak menambah keruhkan lagi suasana kekeluargaan yang selama ini harmonis.

Alangkah goyahnya hubungan antarsaudara, kalau mereka bertengkar kerana berebut kamar tidur akibat ramai adik beradik yang pulang ke ruamh ayah dan bonda, alangkah goyahnya hubungan antarsaudara kalau bermasam-masam muka di kalangan adik beradik kerana berebut bilik mandi yang tidak dapat menampung semua orang sekali gus yang berebut-rebut hendak mandi.

Dan janganlah perbezaan fahaman politik sampai mencerai beraikan adik dan abang, apa lagi antara suami dan isteri. Sesiapa yang berada di jalan yang salah, relakan diri untuk kembali ke pangkal jalan yang benar. Jangan ikut nafsu-nafsi.

Dan janganlah kerana harta kekayaan menyebabkan seseorang sanggup memutuskan hubungan silaturahim dengan saudara-saudaranya yang papa kedana. Janganlah si berada beranggapan, bermain gulf atau berlibur di kelab malam lebih mulia daripada bertemu dengan saudara-saudarinya yang papa kedana. Semoga dijauhkan Allah.

Atau  adakah anda rela menjadi seorang wira atau wirawati  kepada pantun yang berbunyi:

“Nasi lemak buah bidara
Batang selasih saya lurutkan,
Buang emak buang saudara
Kerana kasih saya turutkan?”

Kasih antarsaudara seharunya diberi daerah yang lebih luas, melintasi wilayah dan sempadan, menjangkau dari dunia ke alam akhirat. Mereka bukan sahaja sedarah dan sedaging, seibu dan sebapa, tapi juga yang pentingnya seagama yang diredai Allah. Semoga kita semua bertemu akhirnya dalam satu kelompok keluarga manusia yang beriman dan bertakwa yang dirahmati Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Kalau dalam sebuah  masyarakat kekeluargaan yang kecil yang mempunyai pertalian persaudaran yang kental dalam satu ikatan keimanan, kita tidak mampu untuk bersatu, maka bolehkah kita diharap untuk menjuarai dengan jujur  perpaduan yang kental dalam sebuah lautan masyarakat yang terdiri dari sebuah bangsa dan negara atau di kalangan manusia sejagat?.

 



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP