ZIKIR TEKUKUR DAN AYAM JANTAN

>> Sunday, March 6, 2016




ZIKIR TEKUKUR DAN TASBIH AYAM JANTAN


Tekukur ialah sejenis haiwan, ia termasuk dalam jenis burung-burung yang bersayap dan boleh terbang.



                               Burung Zikir

Suara kicauannya sedap didengar. Justeru pada akhir-akhir ini sering diadakan pertandingan kicauan burung tekukur, seperti juga dengan pertandingan burung ketitir yang telah lama diadakan oleh penduduk-penduduk  nusantara, khususnya di tanah air kita.


Saya tidak pasti bagaimanakah hakim-hakim  memberi markah penilaian kepada tekukur-tekukur itu untuk muncul sebagai juara, kerana ia di luar dari bidang saya.


Bagi sesetengah orang, mereka suka mendengar kicau burung tekukur kerana mengandungi rahsia-rahsia Allah yang agung. Dalam lafaz-lafaz suara itu mengandungi zikir memuji Allah. Itulah yang membuat reka ralik mendengarnya.


Kata mereka kalau kita tinggal di kawasan perkampungan, yang masih mempunyai pokok-pokok, kebun-kebun tradisi kemungkinan besar kita dapat mendengar kicauan tekukur setiap hari di samping kicauan burung-burung dan aneka nyanyian unggas-unggas menyambut ketibaan  pagi yang melimpahkan rahmat.


Apa yang mereka dengar ialah zikir tekukur memuj Allah. Cubalah dengar, bukan sahaja dengan telinga anda katanya, tapi dengar juga dengan hati anda, hati anda. Jika anda mendengar dengan hati sudah tentu anda akan dapat memahami zikir tekukur itu.


Kata mereka, dalam bahasa Melayunya ia bermaksud: “Maha Suci Allah”.

Pada suatu waktu saya berada di Shah Alam, Selangor menghadiri satu majlis kesyukuran yang diadakan di rumah seorang sahabat. Ikut serta dalam majlis itu beberapa orang tamu sahabat dari luar negara. Setelah majlis selesai, sebahagian dari kami berlegar-legar sekejap di halaman rumah sebelum berangkat pulang. Di hadapan rumah, saya melihat ada sebuah sangkar kecil yang di dalamnya ada sepasang burung tekukur yang cantik. Ketika saya meninjau-ninjau burung itu, tiba-tiba seorang sahabat dari Afrika Selatan mendekati saya berkata, “Di tempat saya burung ini kami panggil Burung Zikir [Zikir Birds]”.


Setelah memberitahu di sini kami memanggil burung tekukur, saya pun bertanya beliau kenapa dipanggil Burung Zikir? Beliau menjelaskan kerana di sekeliling leher burung itu ada semacam kalung tasbih yang biji-bijinya berwarna kehitaman mencantikkan lagi burung itu. Memanglah pada bulu di sekeliling leher burung itu dihiasi dengan seutas tasbih yang melelet lehernya.


Ayam Jantan


Saya dan keluarga pernah tinggal di suatu kawasan pendalaman di sebuah wilayan Ulu Kelantan. Selama bertahun-tahun tinggal di situ kami  telah menimba berbagai-bagai pengalaman manis dan maung untuk melengkapkan hidup kami sebagai seorang insan.


Seorang tua di situ pernah memberitahu saya tentang rahisa ayam jantan atau bapak ayam yang menarik.


Biasanya bila ayam jantan mengeluarkan bunyi kita panggil ayam berkokok, dan bagi ayam betina pula kita panggil ayam berketak, bagi burung kita panggil berkicau.


Ayam-ayam jantan biasanya berkokok di waktu petang dan di malam hari, khususnya menjelang waktu Subuh. Kalau kita pernah tinggal di kampung, sudah tentu di waktu-waktu tertentu di malam hari kita dapat mendengar ayam-ayam jantan berkokok bertalu-talu, sahut- bersahutan di seluruh kampung. Semuanya bertasbih kepada Allah. Ia mewujudkan suatu suasasna yang unik, menyentuh hati dan perasaan. Allahu Akbar.


Di tempat kami tinggal sekarang, walaupun masih dalam suasana perkampungan, tapi kami tidak lagi dapat mendengar kokok ayam seperti itu yang memecah kesepian malam. Tidak ada ayam berkokok, kerana tidak ada siapa yang pelihara ayam.


Di samping waktu malam, ayam jantan juga  berkokok di waktu petang, atau di mana-mana waktu di siang hari yang ditafsirkan oleh sesetengah orang untuk memproklamirkan bahawa sesuatu kawasan itu adalah menjadi miliknya dan enggan dikongsi dengani ayam jantan yang lain.


Tapi orang tua yang saya katakan tadi memberitahu saya bahawa ayam jantan yang berkokok itu sebenarnya sedang melafaz zikir memuji Allah SWT.


Apa yang dizikirkan oleh ayam bapak itu?


Katanya ayam bapak itu mendendangkan zikirnya dalam bahasa Melayu bermaksud: “Wahai orang-orang yang lalai ingatlah kepada Allah”.


Justeru marilah kita semua bersikap lemah lembut, kasihan belas terhadap semua makhluk Allah, termasuklah pokok-pokok dan haiwan-haiwan yang tidak berakal fikiran.


Janganlah mezalami mereka. Jangan korbankan mereka tanpa sebab-sebab yang wajar dan dibenarkan. Jangan menebang atau memotong pokok-pokok tanpa sebab, jangan membunuh haiwan-haiwan tanpa tujuan, dan jangan rosakkan muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatanmu yang tidak bertimbang rasa dan kejam.


Kasihanilah mereka.


Rasulullah SAW bersabda, “Kasihanilah mereka yang ada di bumi, nescaya mereka yang di langit akan sayang pula kepada kamu”.


Kerana semuanya makhluk Allah dan sentiasa bertasbih kepada-Nya.


Allah berfirman, maksudnya:
“Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana”. Al-Hadid [57]:1.


Jangan terus menerus menjadi orang yang lalai, menyombong diri bukan sahaja kepada manusia, tapi juga kepada Allah SWT. Jangan terus menerus menjadi orang yang lalai, hingga sampai ke daerah yang kita tidak dapat berpatah balik lagi. Pintu taubat telah ditutup.


Ingatlah semua makhluk Allah bertasbih kepada-Nya baik yang ada di langit mahu pun di bumi.


Dengarlah bisikan-bisikan alam ini. Desiran bayu, hembusan angin, germsik daun-daun bergesiran, deburan ombak melanda pantai, nyanyian unggas-unggas, kicauan burung di dahan-dahan kayu, dan segalanya yang bergerak di alam, akan dapat diselami rahsianya jika didengar dan dinikmati dengan mata hati atau nurhani.


Semoga Allah berkekalan mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita, hamba-hamba-Nya yang hina-dina ini.



Lorong Majsid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.










0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP