MASYARAKAT BOBROK KERANA HARTA
>> Wednesday, March 9, 2016
MASYARAKAT BOBROK KERANA HARTA
Bukan sahaja individu dan keluarga, tapi juga seluruh masyarakat dan bangsa boleh bobrok kerana harta dan kekayaan.
Perkara ini boleh berlaku bila opini masyarakat terhadap nilai-nilai harta dan kekayaan telah menyeleweng dan rosak.
Opini ini telah diperkudakan oleh syaitan yang telah menyelungkar jauh hingga ke akar umbi jiwa manusia dan telah mengubah landskap kemanusiaan yang kian menipis membentengi jiwa manusia.
Keadaan telah menjadi terbalik kuang. Mereka tidak lagi menyanjung kebaikan. Sebaliknya mereka lebih memuliakan harta benda dan kekayaan daripada kemuliaan jiwa.
Camkanlah! Orang-orang yang yang berakhlak jahat, yang menjadi penggarung dan pencuri, yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan dimulai dan disanjung kerana pangkat dan kekayaannya.
Rumah-rumah besar, kereta besar, gaji besar, harta banyak, pangkat tinggi, akan dihormati, disanjung-sanjung dan dipuja.
Wanita-wanita yang mewah hidupnya, emas dan intan berlian yang bersalut penuh badan dan dengan pakaian-pakaian yang ekslusif lebih didekatI dan dipuja dan dihormati.
Sebaliknya mereka yang tidak berharta benda, yang miskin, tapi kaya dengan budi bahasa, dan berakhlak mulia, tidak dipandang walaupun dengan sepenceng mata. Persetankan mereka.
Mereka lebih menghormati harta benda dan kekayaan daripada menghormati sesama manusia yang telah dilantik Allah menjadi khalifah di bumi ini.
Bukan sedikit, anak-anak muda yang silau matanya dengan kerlipan dan germcingnya wang dan dinar, mereka terpukau dengannya, lalu sanggup melakukan apa sahaja untuk memilikinya.
Anak-anak gadis, lebih memberi keutamaan memilih bakal-bakal suami yang berpangkat tinggi, bergaji besar, kaya raya, walaupun tidak berakhlak dan tidak beragama.
Malangnya kadang-kadang mereka terpedaya juga, tebu yang mereka pilih rupanya teberau. Setelah diijabkabulkan sebagai suami isteri rahsia suami baru terbongkar. Kereta besar yang dimiliknya itupun sebenarnya kereta sewa, istana besar tgertepek-tepek dengan hutang, gaji besar, hutang keliling pinggang. Kahwin tak lama suami jatuh muflis. Aduhai nasib.
Ibu bapa kadang-kadang termakan tipu daya. Melihat bakal menantu, kacak bergaya, berkereta besar berpemandu, maka dengan segala senang hati menerima sebagai menantu, suami kepada anak gadis kesayangannya. Lepas kahwin baru terbongkar, menantu kerja pun tak ada, hidup menjadi taukeh dadah, dan sedang diburu polis. Nasi sudah jadi bubur. Nasib baik anak tidak sempat diperdagangkan.
Di samping itu banyak pula perseteruan dan perbalahan berpunca dari harta benda; kawan bertukar menjadi lawan, saudara mara bertukar menjadi seteru madu, anak-anak memusuhi ibunya, menentang bapanya, malah ada yang sampai sanggup mencedera dan membunuh ibu dan bapa kerana harta benda.
Manusia tidak memperdulikan halal atau haram mencari harta, betul atau salah. Nilai-nilai agama direndah-rendahkan dan diperlekeh-lekehkan, kerana yang penting bagi mereka ialah memperolehi apa yang mereka ingini atau cita--citakan, terutama harta kekayaan. Dalam memburu harta mereka tidak lagi memperduli halal atau haram. Tegahan-tegahan agama mereka langgar dan pijak-pijakkan tanpa kekok-kekok atau takut-takut, kerana mereka merasa sistem-sistem dan peraturan yang berjalan seolah-olah tidak mampu mencegah mereka untuk berbuat sesuka hati.
Imam Al-Ghazali pernah membuat ibarat yang menarik
mengenai orang-orang yang leka dalam mengejar harta dan kemewahan dunia.
Beliau melukiskan bahawa orang-orang yang memburu dunia itu seperti orang yang menaiki kapal yang sedang belayar menuju ke sebuah pelabuhan aman yang bernama Akhirat yang datang dari alam yang tidak diketahui.
Sewaktu dalam pelayaran, kapal singgah di sebuah pulau bernama Dunia untuk mencari bekalan-bekalan yang perlu untuk melanjutkan perjalanan ke pelabuhan yang penuh padat dengan kebahagian. Di atas pulau itu terdapat rumput rampai yang indah permai dan terdapat pasir-pasir yang ganjil laksana nilam, tapi bukan nilam yang ori atau tulen.
Nakhoda mengizinkan semua para penumpang turun ke pulau untuk berihat-rihat, bersiar-siar dan mencari segala keperluan yang dibutuhi dalam perjalanan, tapi jangan lalai, kerana bila dipanggil menaiki kapal untuk meneruskan perjalanan mereka hendaklah segera naik kapal.
Ada sesetengah penumpang bila selesai mengambil barang-barang sekadar yang berguna segera balik ke kapal tanpa membuang-buang masa lagi. Tapi sesetengah daripada penumpangnya pula menjadi rerpesona dan ralik dengan keindahan pulau itu, menyebabkan mereka menjadi lupa dan lalai, justeru menyangka keindahan di pulau itu adalah keindahan yang sebenarnya, sehingga bila loceng kapal memanggil penumpang dibunyikan, mereka tidak sedar, sehinggalah kapal itu membongkar sauhnya dan meneruskan perjalanan, meninggalkan mereka yang leka dan lalai itu di pulau tersebut. Mereka lupa perjalanan yang dituju masih jauh.
Tok-tok bila mereka sedar, kapal itu telah jauh belayar meninggalkan mereka, dan pulau itu pula dikelilingi oleh laut yang luas terbentang. Penyesalan pun datang, tapi penyesalan yang tidak berguna lagi, kerana masa terus berjalan meninggalkan mereka dalam kebingongan. Dan bila malam menjelang, binatang-binatang berbisa, ular, kala dan jengking pun keluar mengejar, dan me ngerumun untuk mengiggitnya. Maka sesal pun bertambah, tapi tidak berguna sedikit pun, hingga ada yang berseru, “Wahai mengapa aku tidak dijadikan tanah sahaja dulunya!”.
Perhatikanlah! Ketika harta masih banyak, pangkat masih di atas, teman kawan ramai sekeliling pinggang, tapi bila harta telah hilang, pangkat telah merundun, maka lalat langau pun tidak lagi sudi mendekati.
Sejarah membuktikan masyarakat yang berakhlak seperti ini akan binasa, dimusnahkan oleh Allah dari muka bumi.
Takutilah azab Allah! Tidak ada siapa yang mampu menanggung azab-Nya!.
Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung
Kubang Siput,
Parit, Pasir
Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment