POKOK-POKOK SEBAGAI UBAT SECARA LANGSUNG

>> Monday, February 15, 2016





POKOK-POKOK  SEBAGAI UBAT SECARA LANGSUNG



Manusia memang telah lama bukan sahaja menjadi rakan setia kepada tumbuhan-tumbuhan, sebagai sumber makanan dan juga bahan-bahan pembinaan bangunan dan sebagainya, tapi juga sebagai bahan-bahan perubatan, tegasnya sebagai ubat penyembuh penyakit yang ampuh.




                                                 Pokok Oak


Mengambil bahan-bahan daripada pohon kayu, seperti akar, daun dan bunga untuk dijadikan penawar adalah perkara biasa dalam masyarakat Melayu, terutama sekali dengan jalan bahan-bahan itu direbus dan air rebusannya diminum untuk menyihatkan badan. 

Banyak bahan-bahan seperti itu terdapat di alam semula jadi di seluruh dunia. Malah sejak kebelakangan ini lebih ramai orang mencari kesembuhan daripada alam semula jadi seperti itu yang dipanggil ubat pilihan kedua. Adalah dipercayaii penggunaan ubat-ubat gantian  seperti itu kurang berisiko daripada ubat-ubat kimia yang sering digunakan sekarang yang tinggi risikonya, kerana mempunyai kesan-kesan sampingan yang kuat.


Selain daripada menggunakan bahagian-bahagian tertentu daripada pohon-pohon untuk direbus atau diasah dan diminum airnya untuk perawatan, ada lagi cara penggunaannya secara langsung daripda bahan-bahan tersebut.


Saya sebut sedikit sebagai contohnya, umpamanya ada sejenis pokok kayu, digunakan sebagai tali pinggang dengan tujuan untuk kekuatan tenaga batin lelaki dan dipakai sewaktu akan berhubung intim dengan isteri dan ada sejenis kayu dijadikan tongkat atau dibawa bersama dalam potongaan pendek ketika keluar rumah, untuk menjauhkan diri daripada binatang-binatang berbisa, seperti ular.


Dan hari ini pula ramai orang menggunakan pohon-pohon kayu yang telah dicanai, kemudian dijadikan permata cincin, dipakai pada jari, seperti cincin batu permata, zamrud atau delima. Makin banyak kayu-kayu itu dikumpulkan kecil-kecil untuk dijadikan permata cincin, lagi baik, kerana mempunyai khasiat yang beraneka ragam, sebanyak jenis kayu yang digunakan itu.


Selain daripada dijadikan permata cincin, dan yang lebih ketara lagi digunakan sebagai buah tasbih untuk menghitung bilangan zikir yang dikehendaki, supaya tidak berlebihan atau berkurangan dari apa yang telah ditetapkan.


Menurut kepercayaan, cincin-cincin permata kayu itu digunakan untuk menyihatkan badan, dikasihi dan disayangi, digeruni, jauh daripada gangguan-gangguan makhluk halus dan sebagainya, seperti juga cincin-cincin yang dipernbuat daripada batu permata.


Kepercayaan kepada khasiat-khasiat pokok seperti ini kian meluas di kalangan masyarakat seluruh dunia.


Satu cara lagi ialah cara mencari kesembuhan daripada pokok yang masih tegak di bumi, terutama pokok-pokok tertentu yang masih hidup ataupun telah mati dan kering yang dipercayai mempunyai khasiat yang tertentu.


Pada suatu masa saya pergi ke rumah keluarga menantu terdekat  di Kampung Chepa, Kota Bharu. Rumahnya terletak di tepi jalan. Di hadapan rumahnya, berhampiran dengan pintu hadapan ada sepohon pokok tua yang segar. Mengikut cerita tuan rumah, pokok itu berguna untuk merawat penyakit telinga yang bengang atau bunyi berdengung dalam telinga.


Caranya mudah sahaja. Letakkan telinga yang berdengung pada batang pokok tersebut buat sekejap dan lakukan berulang-ulang kali buat sesuatu waktu. Ulangilah hingga sembuh.

Beliau memanggil pokok itu sebagai “Pokok Berdengung” sahaja, dan nama sebenarnya telah saya lupa.


Bagi saya, itulah kali pertama  saya mendengar pokok berdengung untuk merawat problam telinga dengan cara melekapkan telinga ke batangnya.


Tapi sayangnya, baru-baru ini saya bercadang untuk pergi ke sana untuk merakamkan gambar pokok tersebut, malangnya saya diberitahu ia telah ditebang untuk membina sebuah rumah kedai di atas tapaknya.


Bagaimana pokok tersebut boleh menyembuhkan sakit telinga yang berdengung dengan cara mudah seperti itu? Itulah pertanyaan yang timbul dalam benak saya.


Kemudiannya saya terbaca dalam buku The Psycology Of Healing oleh Murry Hope berhubung dengan kemampuan sejenis pokok dan juga haiwan-haiwan tertentu merawat penyakit seperti itu.


Beliau mengunggkap sebuah kisah benar yang berlaku ke atas seorang yang bernama Mike Spring. Lelaki ini seorang yang lumpuh dari pinggang ke bawah dan sentiasa mengalami kesakitan .


Pada suatu masa Mike Spring belayar pergi balik dari rumahnya di Amerika ke suatu tempat bernama Kepulauan Azores yang terletak di Atlantik Utara, kira-kira 1000 batu Barat Portugis. Bila balik ke rumahnya beliau memberitahu penyakit lumpuhnya telah dapat diatasi.

Dalam hal ini beliau membuat kenyataan yang menggemparkan juruacara tv dengan mengumumkan bahawa satu-satunya dia dapat menghilang kesakitan yang sentiasa menggoncangkan tubuhnya ialah dengan jalan mendakap pokok oak.


Katanya dengan berbuat demikian dapat membebaskan sepenuhnya rasa sakit selama beberapa jam untuk membolehkan dia hidup dengan selesa.


Cara yang mudah dan tidak memerlukan apa-apa bayaranpun.


Ketika ditanya apakah penjelasan sains di sebalik perkara tersebut, beliau mengatakan tidak ada, kerana perkara itu hanya berlaku begitu sahaja.


Namun, katanya beliau pernah mendengar daripada sumber orang-orang Indian Amerika yang telah menggunakan rawatan seperti itu selama bertahun-tahun dan memberi hasil yang memuaskan.


Adakah anda, khususnya yang tinggal di desa-desa atau berhampiran dengan hutan-hutan mengetahui atau setidak-tidak pernah mendengar cara perawatan penyakit seperti  ini?


“Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. Al-Imran [3]:191.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP