BERSIAP SEDIA UNTUK HIDUP SENDIRIAN

>> Wednesday, February 10, 2016







BERSIAP SEDIA UNTUK HIDUP SENDIRIAN




Setiap manusia lumrahnya hidup berpasangan. Berlaki dan berbini. Bersuami dan beristeri. Dengan itu dapatlah turunan mereka diperlanjutkan selagi dunia berkembang menerusi zuriat yang mereka lahirkan.


                                 Bersama Cucu


Malah bukan sahaja makhluk manusia, makhluk haiwan-haiwan dan jin-jin juga hidup berpasangan lelaki dan perempuan, tradisi yang telah bermula sejak manusia pertama diciptakan, Adam dan Hawa.


Usia jalinan manusia sebagai suami isteri itu pula ada mempunyai batas-batas yang tertentu, sebagai ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Mahu tidak mahu, pada suatu ketika mereka suami dan isteri terpaksa berpisah jua. Itulah ketentuan Allah.


Perpisahan itu berlaku dalam dua bentuk, pertama berlaku kerana kehilangan penyesuaian antara suami dan isteri, yang menyebabkan mereka terpaksa bercerai hidup. Kedua bercerai kerana kematian salah seorang daripadanya, sang isteri atau suami.


Andainya suami yang pergi dulu, maka tinggallah isterinya sebagai janda, sebaliknya jika isteri yang mendului pemergiannya, maka tinggallah suaminya sebagai duda.


Jika kedua-duanya berusia panjang, maka berpisahan akan berlaku dalam usia yang tua, usia pencen atau bersara. Ini adalah ketentuan sejak azali lagi. Dan bila salah seorang daripadanya pergi dengan apa cara sekalipun, maka tinggallah yang hidup seorang diri, tanpa suami atau isteri di sisi.


Yang mungkin ada, ialah anak-anak dan cucu cicit yang ditinggalkan oleh arwah, dan diwarisi oleh suami atau isteri yang tinggal.


Justeru itu sang suami atau isteri yang ditinggalkan itu akan hidup keseorangan, kecuali dia ingin mencari pasangan baru. Suami baru atau isteri baru dalam usia yang telah lanjut sekalipun kiranya mereka mempunyai jodoh  atau bertemu jodoh yang dicari.


Tapi mereka yang memilih tidak ingin berkahwin lagi, terutama yang telah lanjut usianya, terpaksa menjalani hidup keseorangan. Walaupun mereka mempunyai anak-anak yang ramai, termasuk anak-anak perempuan, dicampur dengan cucu-cucu, mereka tidak akan mememperolehi teman seperti suami atau isteri yang mendampingi mereka sebelumnya.


Semua manusia hari ini hidup dengan menuntut ilmu, sehingga menyeberangi lautan sekalipun. Setelah tamat nanti, mereka menghabiskan masa dengan bekerja untuk mencari rezeki sesuai dengan kelulusan yang mereka sandang. Bekerja sendiri atau makan gaji, yang akan menelan masa mereka yang panjang.


Kesibukan dengan kerja ini, baik apa-apa kerja sekalipun membuat mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi  untuk berada di rumah, bersama-sama ayah dan bonda mereka yang keseorangan itu. Keluar pagi, balik petang, dalam keadaan yang telah kehabisan tenaga. Itulah kelumrahan hidup hari ini.


Dan keadaan menjadi bertambah gawat, bila mereka juga mempunyai anak-anak kecil yang memerlukan penjagaan. Walaupun mungkin anak-anak itu ditinggalkan bersama-sama pengasuh, tapi habis masa bekerja, anak-anak itu terpaksa dibawa balik ke rumah dan dijaga dengan sewajarnya pula.


Mana ada masa untuk bersama ayah dan ibu yang keseorangan itu, walaupun dia seeorang anak perempuan yang pengasih dan peyayang. Masa dan kerja menghalang mereka memberi perhatian yang sepenuh secara keperibadian kepada orang-orang tua mereka yang bersendirian itu. Kalau mereka mampu, pembantu rumah akan disediakan, tapi itupun mengalami kesukaran juga, jika pembantu rumah itu perempuan, dan yang hendak dirawat itu adalah seorang lelaki, tentu ada batas-batas kesopanan yang terasa berat untuk dicerobohi.


Justeru suami atau isteri yang tidak bercadang untuk mencari pasangan baru selepas mereka berpisah wajib di penghujung hayat nanti, mestilah membuat persediaan awal yang sewajarnya. Dari segi keewangan, mereka yang bekerja mungkin tidak timbul kerana mereka memperolehi pencen atau bunus yang sejajar dengan jawatan mereka.


Namun begitu yang penting juga mereka hendaklah menjaga kesihatan mental dan fizikal. Jiwa mesti utuh, kuat iman dan bertaqwa. Supaya dapat menghadapi segala cabaran yang mendatang dengan sendiriannya tanpa rakan kongsi di sisi.


Mereka juga mesti menjaga kesihataan fizikal dengan sewajarnya dengan cara pemakanan yang seimbang dan gerak badan yang sejajar. Supaya dengan itu penyakit-penyakit kronis dapat dielakkan, yang menyebabkan hidup mereka terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain.


Ini kalau berlaku, minta dijauhkan Allah, akan menyusahkan keluarga, khususnya anak-anak cucu untuk menjaga mereka. Sedang anak-anak zaman sekarang, seperti dikatakan di atas tidak ada ruang yang mencukupi untuk menjaga orang tua mereka dengan sepenuhnya, walau bagaimana kasihnya kepada orang tuanya itu.


Katakanlah, seorang penghidap penyakit kencing manis yang serius akibat kecuaian menjaga kesihatan, boleh menimpakan berbagai-bagai penyakit kritikal lagi yang berkaitan dengannya, seperti penyakit mata rabun dan buah pinggang. Seseorang yang ditimpa penyakit kronis seperti ini sudah tentu tidak mampu mengurus diri sendiri dan perlu bergantung hidup kepada bantuan orang lain sepanjang masa. Inilah yang dimaksudkan menyusahkan orang lain. Kalau hidup sendirian, suami atau isteri telah pergi, keadaan akan menjadi lebih rumit.


                                 Mencari Ilmu  


Kerumitan akan meningkat, kiranya suami yang duda, atau isteri yang janda itu, mempunyai rumah sendiri yang telah merea tinggali bersama sebagai suami isteri sepanjang hayat mereka dan mereka enggan pindah, tinggal bersama-sama anak-anak mereka yang telah membina kehidupan mereka masing-msing. Biasanya orang-orang yang menduda atau menjanda keberatan untuk meninggalkan rumah yang telah lama menjadi sebahagian dari hidup mereka yang penuh dengan kenangan pahit dan manis sebagai isteri atau suami. Kenangan yang sukar untuk dilupakan mereka.


Ibu saya, Munah ketika suaminya meninggal beliau dalam usia 50-han tahun rela tinggal sendirian di rumah pusakanya dan enggan tinggal bersama-sama dengan anak-anaknya. Sehinggalah sampai ke satu peringkat di mana beliau tidak lagi  mempunyai kekuatan fizikal yang mencukupi keutuhannya, untuk pengurusan diri sendiri dengan selesa beliau masih juga enggan meninggalkan rumah pusaka itu. Beliau hanya sanggup meninggalkan rumah itu di waktu-waktu tertentu tinggal bersama-sama dengan anaknya buat seketika, kemudian beliau akan kembali semula ke rumah asalnya dan rela tinggal sendirian. Pada hari beliau meninggal dunia di rumah anaknya, jenazahnya dikembalikan ke rumah lamanya yang masih didiaminya itu untuk pengurusan pengebumiannya.


Oleh itu suami isteri, terutamanya para suami, janganlah terlalu bermalas-malas dengan isteri, ringankan tangan membantu isteri menjalani urusan rumahtangga. Mentang-mentang mempunyai isteri yang taat dan rajin, maka anda biarkan dia memikul beban rumahtangga sendirian, sehingga untuk membuat secawan air minum untuk diri anda sendiri pun anda tidak pandai. Bayangkanlah jika ditakdirkan di hayat tua nanti, pasangan anda itu pergi terlebih dulu dari anda? Bagaimana anda hendak mengurus diri anda? Kecuali anda bercita-cita untuk mencari pasangan baru sebagai pengganti yang telah silam itu
.

Ada seorang lelaki yang telah bersara, demikian juga isterinya, tiba-tiba isterinya pulang ke pangkuan Ilahi secara trajis tanpa diduga-duga sama sekali. Pemergian isterinya itu menjadi beban yang berat kepadanya. Dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Sepanjang menjadi suami isteri, secawan air minum pun dia tidak pernah membuatnya sendiri, malah segelas air kosong pun perlu disediakan oleh isterinya. Walaupun dia mempunyai anak-anak, tapi semuanya telah berumahtangga dan membina hidup sendiri masing-masing. Kematian isterinya menjadi pukulan haibat kepadanya. Apa lagi kesihatannya pun telah lama merundun. Setelah kira-kira sebulan berduda, dia terpaksa membuat keputusan yang tidak disukainya, berkahwin lagi, walaupun bercanggah dengan janji setia dengan isterinya dulu bahawa masing-masing tidak akan kahwin lagi jika salah seorang dari mereka pergi terlebih dulu. Tapi apa hendak buat keadaan telah menjadi begitu genting dan mendesak, dan menyebabkan dia menangis berhari-hari menjelang hari perkahwinannya untuk kali kedua itu.


Setiap orang, suami atau isteri mestilah bersiap sedia untuk menyambut hari yang pasti akan tiba, hari mana mereka akan tinggal sendirian, berpisah buat selama-lamanya  dengan orang yang  dikasihi, yang selama ini banyak membantu urusan hidup mereka, andainya mereka dikurniakan usia yang lanjut, dan menjejaki usia tua. Bersiap sedia dari segi fizikal dan mentalnya, ruhani dan jasmaninya. Suami hendaklah belajar masuk dapur, bukan sahaja untuk membantu isteri, tapi juga utuk belajar masak sendiri sekadarnya untuk memenuhi keperluan diri. Jangan sampai hendak buat secawan air minum atau segelas air minum pun anda tak mampu. Jagalah kesihatan dengan sebaik-baiknya dengan doa dan harapan semoga anda terus sihat walafiat sepanjang masa, terutama terhindar dari bahaya penyakit-penyakit berat yang boleh membebankan orang lain, dalam kehidupan tanpa isteri atau suami di sisi nanti.


Demikianlah sedikit pandangan  sekadarnya untuk menghadapi hari tua bersendirian, tanpa isteri atau suami di sisi. Semoga kita dapat mengurus diri sendirian, sekadar kemampuan tanpa semata-mata membebankan orang lain sejajar dengan usia yang telah mara jauh ke hadapan.



Jalan Teratai,
Sungai Sungi Buloh,
Selangor, DH




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP