ORANG-ORANG YANG LANJUT USIA TIDAK INGIN TUA
>> Sunday, February 1, 2015
ORANG YANG MINTA USIA LANJUT, TAPI
TIDAK INGIN MENJADI TUA
Kebanyakan manusia bercita-cita inginkan usia lanjut. Malah berdoa supaya dilanjutkan usia. Dengan itu dapatlah mereka menikmati kemanisan dunia dengan sepuas-puasnya. Mengecapi segala harta benda yang mereka miliki.
Mereka ingin hidup mereka sentiasa segar dan sihat. Kalau boleh tidak
disentuh oleh apa-apa penyakit buat selama-lamanya sepanjang hayat. Dapat
berbuat apa sahaja yang mereka sukai. Baik atau buruk. Bila-bila sahaja mereka
inginkan.
Mereka berjuang untuk hidup sihat, dan bila sihat ertinya umur panjang.
Biasanya orang yang sakit-sakit itu pendek usianya. Walau dalam realiti
hidupnya bukan begitu. Dan kematian itu ada sebab-sebabnya, dan di antara
sebabnya ialah diserang penyakit yang tidak mampu dirawat lagi.
Kian panjang umur seseorang ertinya kian meningkat usianya. Biasanya peningkataan
usia akan terpancar jelas pada wajah seseorang. Itu proses perubahan yang biasa
dilalui manuisa dan juga hewan tahap demi tahap hingga nyawa diragut maut yang
menyambar setiap yang bernyawa.
Bermula dari seorang bayi yang baru dilahirkan, terus berkembang menjadi seorang kanak-kanak, dari kanak-kanak menjadi remaja, dewasa, dan akhirnya tua. Wajah-wajah mereka tidaklah berkekalan atau statis, tapi terus berubah-berubah mengikut tahap usia masing-masing lalui.
Wajah seorang bayi tidak sama dengan wajah seorang kanak-kanak, wajah seorang kanak-kanak tidak sama dengan wajah seorang remaja, wajah seorang dewasa tidak sama dengan wajah seorang tua, dan seterusnya wajah seorang tua tidak sama dengan wajah-wajah dirinyna sendiri sebelumnya.
Dalam usia tua, atau dikatakan usia emas oleh orang sekarang, banyak
perubahan yang menimpa ke atas wajah seseorang. Banyak perubahannya. Kulitnya
berkedut atau berkeriput, kendur, lemah, urat-urat timbul, rambut beruban, gigi
tanggal sebagainya.
Banyak yang berubah. Tidak ada ketampanan lagi seperti seorang lelaki muda.
Tidak ada keanggunan lagi seperti wanita dalam usia muda jelita. Sudah tentu
pula daya penariknya telah mengucup tidak sejajar dengan nafsu mudanya.
Sesetengah orang tidak suka dengan perubahan yang suram ini. Penuaan. Mereka
ingin panjang umur, tapi tidak inginkan penuaan, malah ingin sentiasa kelihatan
muda jelita. Walau usia sudah lima puluhan tahun lebih tapi cita-cita dan usaha ingin
kelhatan seperti seseorang yang berusia puluhan tahun yang segar dan terik
kulitnya.
Kebanyakan mereka adalah terdiri dari kaum hawa. Mereka ingin lanjut usia,
tapi tidak inginkan penuaan, tidak ingin wajahnya berubah sebagaimana masa
mereka muda-muda dulu. Cntik dan jelita.
Malah kalau boleh mereka mahu hidup seribu tahun lagi?
Malah kalau boleh mereka mahu hidup seribu tahun lagi?
Aneh bukan?
Dulunya ada di antara mereka yang bekerja, mungkin memegang jawatan penting
dalam sesebuah jabatan, dan hidup sibuk dengan tugas harian. Tapi kini setelah
sampai ke satu tahap usia, mereka terpaksa berhenti bekerja, mahu atau tidak
mahu, untuk bersara. Ini memberi erti mereka telah memasuki gerbang tua.
Lainlah kalau mereka mempunyai perusahaan sendiri, boleh bekerja sampai ke
akhir hayat, kalau mereka mahu atau mampu.
Walau bagaimanapun wajah mereka tetap juga berubah, sejajar dengan usia
mereka, mahu atau tidak mahu. Dan inilah yang tidak disukai oleh wanita-wanita
seperti ini, iaitu wanita-wanita yang tidak sukakan penuaan. Mereka ingin sentiasa
kelihatan muda, walaupun usia telah menjangkau tua.
Untuk mengatasi hal itu berbagai-bagai usaha mereka lakukan yang menelan
masa dan belanja yang bukan sedikit pula. Tujuannya semata-mata untuk
mengekalkan kemudaan atau keremaajan wajah mereka, supaya tetap kelihatan
menarik dan disanjung.
Setiap hari wanita-wanita yang seperti ini menghabiskan masa berjam-jam di
hadapan cermin untuk menilik wajah mereka. Jangan ada kedut-kedut di hujung dan
di bawah mata, jangan ada kedut di dahi, jangan ada rambut yang putih, jangan ada
kulit yang berkedut, jangan ada mata yang layu, jangan ada kening yang jatuh,
jangan ada gigi yang luruh, dan jangan-jangan itu jangan ini yang boleh
menggambarkan keadaan penuaan.
Dengan itu mereka tidak lokek untuk berbelanja untuk menghilangkan
tanda-tanda penuaan yang tetap muncul juga di wajah mereka bersama dengan
hari-hari dan tahun-tahun yang berlalu. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan,
sesuatu yang necral, sesuatu semula jadi.
Kadang-kadang tanpa disedari, mereka telah terlajak menampal muka mereka
dengan bedak dan gincu untuk menutup penuaan di wajah, yang menyebabkan wajah mereka
bukan sahaja tidak sesuai dengan peningkatan usia, tapi juga kelihatan hodoh
wajahnya. Bak kata orang, “Rumah buruk disapu cat”. Kadang-kadang menjijikkan.
Aneka jenis ubat-ubatan mereka gunakan, ubat moden atau ubat-ubat
tradisional, jamu-jamu telah ditelan untuk mengekalkan awet muda, supaya kulit
sentiasa tegang dan wajah berseri seperti wanita-wanita muda.
Ada pula di antara mereka yang mampu menemui pakar-pakar untuk melakukan
pembedahan plastik untuk menegang kulit
muka atau memperbaiki wajah yang berubah ditelan masa itu supaya kelihatan
jelita kembali.
Namun begitu, kita juga sering mendengar khabar-kahbar yang mendukacitakan.
Usaha-usaha mereka untuk menahan penuaan itu, bukan sahaja tidak berjaya, malah
berakhir dengan tragedi yang menyedihkan. Wajah mereka bukan sahaja tidak
bertambah cantik, malah sebaliknya betambah buruk jua. Malah ada juga berakhir dengan keadaan yang lebih buruk,
terlantar di ranjang atau berakhir dengan penemuan ajal akibat usaha untuk awet
muda.
Sesungguhnya memang telah lama, sejak berabad-abad yang lampau lagi manusia telah berusaha keras untuk mencari rahsia penuaan dan mencari rahsia keremajaan sepanjang hayat. Ada dongeng mengatakan ada sebuah mata air muda, di mana barangsiapa yang meminumnya, wajahnya tidak akan tua buat selama-lamanya, ertinya kulitnya tetap remaja sepanjang hayatnya?
Benarkah ada mata air remaja? Dan adakah sebarang manusia pernah menemuinya
dan meminumnya? Dan dia tetap remaja sampai ke hujung hayatnya?
Sebenarnya wanita-wanita yang lanjut usia tapi tidak ingin tua seperti ini
telah lari pemikirannya dari landasan kewarasan berfikir. Mereka inginkan
sesuatu yang memang tidak mungkin dicapai di dunia ini. Sebab penuaan itu
berjalan sejajar dengan bergeraknya usia, hari, minggu, bulan dan tahun. Tidak
ada yang beku.
Sebagai orang tua, mereka seharusnyanya menerima hakikat bahawa kulit
mereka telah berkedut atau bekeriput, rambut telah putih beruban, kuku-kuku
yang sebam warnanya, pinggang yang mugkin bertambah membesar, tangan-tangan
mereka berkeriput dan tidak cantik kelihatan, langkah-langkah mereka yang
gontai, susuk badan yang susut. Semuanya tidak ghairah lagi dipandang mata.
Tapi itulah hakikatnya usia lanjut.
Dan itulah hakikat kejadian insan. Itulah hukum alam ciptaan Allah. Apa
yang mereka lihat di media-media massa, khususnya di kaca-kakca TV adalah
khayalan dan fantasi semata. Mengambil wanita-wanita cantik yang muncul dalam
TV itu sebagai idola kecantikan tidaklah wajar bagi seorang yang telah beusia
lanjut. Kecantikan mereka bukan kerana make-up atau perhiasan yang menyalut
wajah dan badan mereka, tapi kerana mereka sebenarnya wanita yang masih muda
dan telah sedia cantik jelita. Itulah hakikat yang sebenarnya.
Mana ada iklan, wanita, katakanlah artis yang telah berusia, muncul dalam
TV dengan wajah muda yang bergetah kerana bahan-bahan iklan yang dipakainya?
Mana ada wanita yang telah berkeriput wajahnya di alam realiti, telah bertukar
kulitnya menjadi terik dan menawan setelah mengenakan ubat awet muda? Mana ada wanita yang
kulitnya hitam legam, tiba-tiba bertukar warnanya menjadi putih melepak yang
cantik menawan sebaik-baik sahaja menyapu bedak ke badan? Yang ada adalah wanita-wanita
yang memang telah tesedia muda dan cantik dan memang mepesonakan.
Wanita-wanita tua yang ingin kembali seperti muda ini mengalami masalah
kejiwaan. Mereka berusaha menafikan keadaan dirinya yang sebenar. Mereka tidak
dapat menerima hakiat bahawa mereka telah tua. Mereka merasa kecewa dan
berusaha menafikannya, dan merasa malu dengannya. Kerana itu mereka berusaha
untuk menutupnya, dan berlagak seperti masih muda dengan hati yang dibungkus
kekecewaan.
Sikap negatif seperti inilah yang menyebabkan seseorang wanita menjadi
kelihatan bertambah hodoh. Kalau bersama-sama dengan orang ramai, tanpa
disedarinya, dia kelihatan seperti makhluk asing.
Seseorang wanita itu tetap cantik walaupun dia telah tua. Kelihatan cantik sesuai dengan usianya. Jika dia menganggap dirinya tidak cantik lagi, kerana telah berusia adalah satu kesilapan besar yang akan menjadi beban. Akan timbul kekesalan yang berpanjangan. Akan timbul huru-hara di hati dan perasaan kerana tidak puas hati dan tidak dapat menerima diri sendiri dengan sewajarnya.
Sebenarnya apa yang mereka perlukan dalam menghadapi hari tua ialah perubahan tanggapan atau sikap terhadap penuaan itu sendiri, dan keperluan mempunyai pemahaman yang betul tentang erti kencatikan itu sendiri. Sikap salah mereka selama ini yang menjadi batu penghalang kepada mereka untuk menjadi seorang wanita yang cantik dalam usia yang lanjut.
Adalah amat wajar kepada seorang wanita yang telah berusia menikmati usia tuanya itu, rela menerima dan menyukai wajah yang telah berubah tua, bukan seperti masa-masa yang lalu lagi. Mereka hendaklah merasa bangga dengan usia tua dan menggapnya sebagai satu anugerah dari Allah untuk memiliki usia yang lanjut. Masih hidup bernafas dan segar bugar. Bila mereka merasa bersyukur dan bangga dianugerahkan usia tua, maka orang-orang lain akan turut merasa betapa penting dan cantiknya mereka sejajar dengan usia mereka.
Justeru itu kecantikan bukanlah bererti menukar kulit yang berkedut kepada kulit yang terik, wajah yang berkeriput kepda tegang, tapi keacantikan yang sebenar adalah penukaran dari sikap yang salah dan negatif terhadap nilai kecantikan diri itu sendiri sebagai seorang wanita. Mereka tetap kelihatan cantik, disayangi dan dihormati walaupun berada di hujung usia. Malah mereka akan lebih disayangi, dihormati lagi.
Tentang
kelemahan usia tua ini Allah telah memperingatinya dalam al-Quran, dalam
firman-Nya yang bermaksud:
“Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia
menjadikan [kamu] setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia
menjadikan [kamu] setelah kuat itu lemah
[kembali] dan beruban [tua]. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan
Dia Maha Mengetahui, Maha Berkuasa”. Ar-Rum [30]:54.
Kg. Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment