KUALA KRAI PASKA BANJIR 2014
>> Thursday, January 29, 2015
KUALA KRAI
PASKA BANJIR 2014
Walaupun banjir
kira-kira se purnama telah lewat, tapi cerita-cerita tentang banjir masih
meniti dari bibir ke bibir, dan terpampang medi-media massa memutarkan
berbagai-bagai perkara menngenai banjir.
Banyak kisah-kisah
banjir telah dibongkar. Kebanyakannya mengoris hati dengan nasib ditanggung
oleh mangsa-mangsa banjir. Namun begitu ada juga cerita-cerita lucu,
cerita-cerita simpati, cerita-cerita yang memengkalkan hati dan sebagainya.
Pendeknya aneka cerita berbaur-baur yang menjadikan warna-warni kisah banjir yang
menarik.
Beberapa hari
yang lalu, kami sekeluarga telah berangkat menziarah sisa-sisa banjir di Kuala Krai,
salah sebuah daerah yang paling teruk ditelan banjir. Maksud kami hendak terus
ke Manek Urai dan La’loh. Tapi tidak
kesampaian, kerana kesuntukan masa. Kami juga dilarang untuk meneruskan hajat
tersebut kerana keadaan di Manek Urai pada waktu itu terlalu sesak dengan
pendatang-pendatang yang kebanyakannya berkunjung untuk menyampaikan
bantuan-bantuan banjir.
Di Kuala Krai, di Manek Urai dan di La’loh, kami mempunyai keluarga. Tapi anak saya dan keluarganya tinggal di Sungai Durian, KK, salah sebuah kawasan yang teruk ditenggelami banjir. Tapi rumah anak saya itu letaknya di dataran tinggi, di sisi bukit, maka ianya terlepas dari landaan banjir. Alhamdulillah. Sedangkan rumah-rumah yang terletak di atas tanah rata separas jalan raya dan di kaki bukit semuanya habis tenggelam.
Pondok Sungai
Durian, termasuk bangunan-bangunan pondoknya, masjidnya dan rumah-rumah kediaman
kakitangan-kakitangannya habis ditelan banjir. Apa yang dapat kami lihat hari
itu ialah pondok-pondok kayu yang menjadi sisa-sisa kemusnahan banjir. Ada
pondok-pondok yang senget, terkopak dindingnya, beralih tempat letaknya, dan
ada juga yang roboh dan hancur berkecai ditelan kuasa air. Beratus-ratus buah
pondok telah musnah.
Masjid Sungai
Durian juga ditenggelami air. Karpet yang baru dihampar menutupi lantai masjid
yang luas untuk keselesaan jemaah telah musnah berendam air. Waktu saya sampai itu
beberapa helai tikar dihampar buat sementara untuk jemaah bersolat. Sebahagian
lantainya masih gondol tanpa penutup.
Hati saya amat
sayu melihatnya. Selama kira-kira lapan tahun saya tinggal di Sungai Durian,
di masjid itulah tempat kami bersolat setiap hari dan juga belajar dari
guru-guru yang sentiasa berkhdimat menabur bakti kepada manusia. Pada masa-masa
yang lalu, sering juga air sungai melimpah, tapi, air hanya sekadar melalui di
sekitar masjid sahaja dan terus mengalir, tanpa menaiki masjid seperti
baru-baru ini.
Apa hendak
buat. Itulah ketentuan Ilahi untuk menguji hamba-hamba-Nya.
Saya juga
meninjau rumah teres kami yang terletak tidak jauh dari Pondok
Sungai Durian. Rumah teres dua tigkat. Kami telah dimaklumkan lantai tingkat
atas pun telah dicecah air menyebabkan semua penghuni-penghuni terpaksa
berpindah. Ada yang terpaksa keluar ikut tingkap tingkat atas kerana tidak sempat
berpindah, kerana sama sekali tidak menduga air naik begitu pentas dan tinggi.
Dan mereka diselamatkan oleh perahu-perahu yang kebetulan lalu di situ.
Seorang jiran
kami, seorang tukang jahit wanita memberitahu, semua barang dalam rumahnya
telah rosak, terbalik dan berendam air. Tujuh buah mesin jahitnya telah rosak,
dan masih belum dibaiki, serta dua buah mesin membuat kusyen kereta suaminya
juga turut ditenggelami air. Ini tidak termasuk lagi alat-alat rumah, seperti
peti sejuk, dapur, dan sebagainya.
“Tak tahulah
apa kami nak buat selepas ni?”, katana dalam nada keluhan yang berat.
BANDAR KUALA
KRAI
Arah ke hujung
hari pula kami memasuki bandar Kuala Krai yang masih berhabuk dan berdebu.
Kesan-kesan banjir amat jelas kelihatan. Kemusnahan. Banyak kedai yang
masih belum beroperasi, antara sebabnya kerana bangunan-bangunan itu tidak
dapat dibersihkan kerana ketiadaan air, atau air tidak memadai untuk mencucui. Bekalan
air paip tidak memadai dan hujan pula tidak turun.
Semua bank-bank
masih belum beroperasi. Mereka yang memerlukan khidmat bank terpaksa pergi ke
bandar-bandar yang tidak terlibat dengan banjir.
Ada beberapa
buah kedai kelihatan sedang dibasuh dengan menggunakan air yang diangkut dengan
kennderaan sendiri yang dimuat dalam tong-tong atau tangki-tangki.
Pada masa dulu,
tempat yang sering kami kunjungi semasa kami tinggal di Kuala Krai ialah
Perpustakaan Awam. Ia terletak di atas tanah tinggi berhampiran dengan Balai
Polis Kuala Krai, yang letakna tidak jauh dari Sungai Kelantan dan Tangga Bradley
tempat menyukat banjir. Saya dimaklumkan perpustakaan itu telah tenggelam. Alat-alat
dan buku-buku yang tidak sempat diselamatkan dalam perpustakaan itu telah
musnah ditelan banjir.
Kami pernah melihat
dalam foto Pasar Besar Kuala Krai sedang digenangi air. Pasar itu dua tingkat.
Macam-macam barang diperdagangkan di situ, termasuk di sekeliling pasar itu
yang dibina gerai-gerai dan bangsal-bangsal menjual bermacam-macam barangan, makanan dan pakaian dan alat-alat
rumahtangga. Hari itu kami lihat, para penjual sedang berjualan dengan membina
bangsal-bangsal sementara di kawasan hadapan pasar. Kami tidak sempat untuk
meninjau di kawasan belakang pasar.
Adalah
mengambil masa dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit untuk membina
semula bandar Kuala Krai yang telah rosak teruk ditelan banjir. Bagi mereka
yang pernah berada di bandar Kuala Krai sebelumnya sudah tentu hatinya terpukul
melihat wajah Bandar Kuala Krai selepas banjir sekarang. Jauh berubah.
Di
tengah-tengah Bandar Kuala Krai, di sebatang jalan yang sibuk, menantu kami Azaliza
Ismail, isteri Ahmad Faris Zaini telah beberapa tahun membuka klinik
pergigigan- Klinik Gigi Azaliza. Hampir semua benda yang ada dalam bangunan itu
telah musnah dimamah banjir. Yang tinggal ialah lantai dan dinding batunya yang
dibungkus oleh selut-selut dan lumpur banjir.
Ribuan ringgit telah musnah seperti dengan peniaga-peniaga lain di Bandar Kuala
Krai yang tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.
Tidak ada apa
yang boleh dibuat lagi. Ia hanya akan menjadi satu kenangan pahit yang
membayangi sejarah yang akan terus tersimpan dalam lipatan masa.
Ketika kami
bertolak balik ke Kota Bharu hari telah larut petang. Syukurlah sebahagian
daripada Pasir Tumboh tidak ditenggelami banjir, termasuklah kawasan rumah kami
yang Allah selamatkan dari banjir. Namun begitu kami juga telah bersiap-siap
untuk pindah jika keadaan memaksa. Tapi ke mana?
Ya Allah syukur
kepada Engkau yang telah melimpah rahmat-Mu kepada kami dengan menyelamatkan
kami daripada bencana banjir.
”Tidaklah seorang Muslimim itu ditimpa kepayahan, kelelahan, kecemasan,
kesusahan, kesakitan, mahupun kesedihan hinggakan duri yang menyakitinya pun
melainkan akan menyababkan Allah SWT berkenan menghapuskan dosa-dosanya”. –Muttafaq
Alaih.
Kg.Parit, Pasir Tumboh,
0 comments:
Post a Comment