PENGAJARAN DARI BANJIR 2014

>> Saturday, January 17, 2015



                                 
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      
MENGUTIP PENGAJARAN DARI BANJIR 2014


Kira-kira hampir setengah purnama lebih telah berlalu  selepas banjir 2014 melanda. Namun kisah-kisah tentang banjir masih rancak diperkatakan dari berbagai-bgai sudut. Ia berlegar dari mulut ke mulut, menerusi media-media massa dan hubungan alam maya yang begitu pantas tersebar ke seluruh penjuru alam.


                                     Barang-barang bajir dilonggokkan.-Foto kiriman


Impak-impak berat yang  ditimpa oleh banjir 2014-2015 itu terhadap alam sekitar dan juga kehidupan manusia begitu hebat dan masih jelas kelihatan di sana sini di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.  Berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan suasana yang mengharukan itu, khususnya bantuan-bantuan kebendaan kepada mereka yang ditimpa malang. Sampai ke hari inipun bantuan-bantuan masih mencurah-curah sampai ke kawasan tersebut.


Kita lihat begitu banyak orang-orang perseorangan, pertubuhan-pertubuhan, badan-badan tertentu dan juga pehak berkuasa telah  muncul sebagai badan-badan kebajikan menghulurkan bantuan-bantuan yang amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir. Kita berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan pembinaan semula struktur masyarakat yang telah rosak ditelan banjir ini.


                                         Rumah yang terbalik kuang-Foto Kiriman


Banyak pengajaran yang boleh diperolehi dari peristiwa banjir besar ini. Salah satu pengajarannya yang penting ialah dari segi pendidikan jiwa manusia yang diperolehi secara langsung daripada peristiwa ini, terutama kepada kita yang sedang berusaha mencari rahsia  kehidupan yang sebenarnya.


Panjangkan langkah kita, dan ambil masa untuk berkunjung ke tempat-tempat yang telah dilanda banjir besar itu. Kalau boleh bawalah keluarga kita bersama.


Perhatikanlah bagaimana kesan-kesan banjir yang menimpa mereka yang sedang diuji oleh Allah. Semoga dengan melihat suasana tersebut dengan dekat, dengan mata lendir kita sendiri akan menimbulkan keinsafan yang mendalam di lubuk jiwa kita.



                                         Tempat berteduh sementara-Foto Kiriman

 
Tidak mencukupi dengan hanya menonton tv, melihat WhatApp atau membaca akhbar-akhbar dan majalah-majalah tentang kisah manusia yang sedang menerima ujian dari Allah dengan begitu hebat sekali menerusi peristiwa banjir besar ini. Khususnya kepada mereka ang tidak dilanda banjir atau mendapat ujian banjir tapi tidak seteruk tempat-tempat tersebut.


Kalau kita mempunyai bahan-bahan bantuan bawalah bersama dan edarkan kepada mereka  yang sedang menerima ujian itu. Semoga ringan sedikit beban yang mereka tanggung. Wangkah, makanankah atau alat-alat keperluan hidup yang diharap-harapkan oleh mereka. Kalau tidak mampu, pergilah ziarah sebagai tanda simpati kita kepada mereka dengan membawa hati untuk mengambil ibrah atau pengajaran dari perisitwa itu.


Anda tentu dapat melihat, ada di antara mereka itu mungkin telah kehilangan keluarga yang tersayang kerana ditelan gelumbang banjir.



                                         Sudah berkecai ditelan banjir-Foto kiriman


Ada di antara mereka sudah kemusnahan rumah, pondok-pomdok tempat tinggal kerana ditelan arus banjir dan terpakasa menumpang di tempat-tempat tinggal sementara. Atau tinggal di dalam khemah-khemah yang daif.


Lihatlah anda, rumah-rumah yang hanya tinggal tiang-tiang terpacak, ada yang tinggal jamban-jamban, malah yang hancur lebur berkecai tidak bersisa sedikit pun.


Ada yang kerosakan kenderaan yang begitu teruk, atau terus hilang dibawa arus banjir yang mengganas.


Dan ikut musnah ialah segala harta benda mereka, termasuk barang-barang keperluan harian yang terpaksa dicari ganti yang baru untuk meneruskan kehidupan harian mereka.


Ada di antara mereka yang kehilangan sumber-sumber pendapatan untuk menanampung hidup setiap hari.


Ada gedung-gedung perniangaan yang telah musnah dan hancur ditelan banjir, dan menimpakan kerugian ribuan ringgit. Ada yang tidak lagi mampu untuk membangun kembali dan terpaksa memikul kerugian.


Sampai ke hari ini masih ada lagi mangsa-mangsa yang tidak dapat membersihkan kediaman mereka kerana tidak ada air atau  air yang diperlukan tidak mencukupi, kerana itu keadaan rumah mereka masih tonggang langgang penuh dengan kekotoran..


Ada di antara mereka yang tidak mempunyai sumber kewangan dan terpaksa bergantung kepada bantuan-bantuan untuk meneruskan kehidupan yang telah berubah dengan pesatnya kerana banjir.


Ada di antara mereka yang kemusnahan pokok-pokok dan tanam-tanaman mereka yang ditenggelami oleh banjir dan tidak mampu lagi mengeluarkan hasil seperti masa-masa yang lalu, atau terpkasa menunggu masa yang lama untuk pulih kembali, sedangkan tanaman-tamanan itulah yang menyumbang hasil pendapatan kepada kehidupan harian mereka selama ini.


Ada di antara mereka yang menderita sakit-sakit berpunca dari banjir, terutama kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak begitu kebal dalam menghadapi perubahan cuaca sebegitu rupa. Dan keadaan mereka masih lagi berpanjangan hingga ke hari ini, malah mungkin ada yang meringkuk di rumah-rumah sakit untuk menerima rawatan.


Dan selepas banjir pula, suasana keliling yang tidak normal dengan debu-debu, dan air bersih yang tidak sempurna, dan cuaca yang selalu berubah-ubah, jalan-jalan yang telah rosak boleh mengancam kesihatan. Ini menambahkan lagi penderitaan hidup mereka.


Amatilah semua itu bagaimana Allah telah menguji hamba-hamba-Nya. Resapkanlah semua ini ke dalam hati dan jiwa kita. Rasa-rasakanlah bagaimana kiranya ujian-ujian seperti ni menimpa kita? Menimpa keluarga kita? Mampukah kita menanggungnya? Sabarkah? Bolehkah kita terus bersyukur?



                            Klinik ini sudah tidak lagi di Kuala Krai. Yang ada hanya bangunan batu.

 
Sesungguhnya kita sentiasa digalakkan untuk melihat sendiri mereka yang bernasib malang sepanjang masa, di mana-mana sahaja dalam apa-apa bentuk sekalipun semoga kita mendapat pengajaran yang berguna darinya. Tinjaulah di tempat-tempat orang yang susah kehidupan, di kawasan-kawasan orang miskin yang hidup melarat, kunjungilah rumah-rumah anak-anak yatim, dan juga orang-orang diuji dengan berbagai-bagai penyakit.

Lihatlah orang-orang yang hangus tubuh kerana terbakar, lihatlah bagaimana kulit-kulit melecur orang yang menjadi simbahan acid, lihatlah orang-orang  yang tercedera parah dalam kemalangan, ada yang pecah kepala, patah tulang-temalang, malah ada yang maut. Lihatlah mangsa-mangsa sakit kronik bagaimana getirnya mereka menghdapi kehidupan ini.

Dan waktu ini lihatlah musibah banjir, dan penderitaan mangsa-mangsa banjir yang menerima ujian begitu hebat dari Allah. Sedangkan kita masih selamat, tidak tersentuh dek banjir yang melanda? Apakah itu bukan rahmat Allah? Perhati dan lihat-lihatlah dengan mata dan hati sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.


Syukurlah, ribuan syukur kerana kita terlepas dari semua ujian itu, tidak tersentuh sedikit pun oleh ujian-ujian yang sebegitu berat. Mata anda masih boleh dapat melihat, tulang-temalang masih kuat untuk meneruskan kehidupan, daya fikiran anda masih sempurna, dan, dan, dan sebagainya.


                                    Tidak ada apa  yang tinggal-Foto Kiriman
Adakah kita masih lagi belum bersedia untuk merasa lapang dada dan bersyukur kepada Allah dengan segala macam nikmat yang Allah kurniakan kepada kita itu? Dijauhkan dari musibah yang melanda. Kita tidak termasuk dari kalangan mereka yang menerima ujian yang begitu berat seperti mereka?


Ingatlah banjir, sebagai satu cara Allah menguji hamba-hamba-Nya. Bersyukurlah kita yang selamat dan terlepas dari bencana banjir.


Walau bagaimanapun Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya. “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu memuliakannya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata:”Tuhanku telah memuliakanku”.Namun bila Tuhannya mengujinya dengan membataskan rezekinya, maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. Sekakli-kali tidak [demikian]”.al-Fajr [89]:15-17.


Kg. Parit,Pasir Tumboh,
Kota Bharu.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP