DILEMA- WANITA WARGA EMAS

>> Monday, January 12, 2015




                                          DILEMA WANITA WARGA EMAS?






Bila seseorang dikurniakan usia lanjut, maka ertinya dia akan  mencapai tahap usia tua. Pada hari-hari kebelakangan ini, rata-rata usia manusia telah bertambah lanjut. Ini bersebabkan cara-cara kehidupan mereka yang lebih baik dan kemajuan kesihatan yang kian meningkat, termasuk kemajuan di bidang perubatan yang menjadi faktur penyumbang kepada peningkatan usia itu.






Sayangilah warga emas  



Jika anda pernah berkeluarga, bersuami isteri dan mempunyai anak-anak dan cucu, maka tidak dapat tidak pada perghujung usia tua itu, anda akan mengalami hidup sebatang kara, kerana salah seorang daripada pasangan hidup anda telah kembali lebih dulu ke alam baqa. Kalau suami yang pergi dulu, maka yang tinggal adalah isteri sebagai janda, dan kiranya isteri yang pergi terlebih dulu, maka yang akan tinggal sendirian ialah lelaki yang dipanggil duda.



Dan kiranya selepas pasangan anda meninggal dunia, dan anda kahwin lagi, dengan suami baru atau isteri baru, peristewa yang sama juga akan berulang di mana perpisahan akan berlaku juga, baik sebagai duda atau janda tua. Salah seorang daripada anda akan mengambil jalan mendului anda. Begitu peraturan hidup kurniaan Allah SWT. Tidak ada pilihan lain, kecuali anda mati bersama dalam detik yang sama, yang jarang berlaku, ketika ditimpa kemalangan yang meragut nyawa.


Mengikut catatan, sejak lama dulu lagi, para wanita yang bergelar isteri lebih ramai yang panjang usianya daripada suaminya. Justeru mereka akan ditinggalkan sebagai janda untuk meneruskan kehidupan. Perkara ini berlaku kerana beberapa faktor.


Antaranya kerana faktor tanggungjawab kaum lelaki lebih berat daripada kaum wanita. Di mana pada masa dahulu, kaum lelaki sentiasa terlibat dalam perjuangan atau peperangan-peperangan yang mencedera atau memusnahkan..


Tidak dapat dimungkiri mereka yang ditinggalkan sendirian itu akan mengalami problam yang tersendiri, baik dari segi jiwa dan raganya. Lebih hebat lagi jika perpisahan itu berlaku dalam usia yang larut. Jika yang ditinggalkan sendirian itu adalah kaum wanita yang telah mendirikan perkahwinan sejak mereka masih muda, sebaik-baik sahaja lulus pengajian. Sudah lama mereka hidup bersama, berpuluh-puluh tahun lamanya, tiba-tiba mereka ditinggalkan sendirian, tanpa teman di sisi.


Keadaan mungkin berlainan kiranya perpisahan dalam usia yang masih muda, masing-masing boleh mencari pasangan yang baru untuk meneruskan kehidupan buat sementara. Namun begitu perkara yang sama juga akan berulang, iaitu perpiisahan yang memang tidak dapat dielakkan. Itulah hakikat hidup: bertemu dan berpisah adalah lumrah alam.


Wanita-wanita yang ditinggalkan bersendirian ini, terpakasa membuat keputusan, samada mereka ingin tinggal sendirian, atau tinggal bersama keluarga, anak-anak dan cucu, kecuali mereka yang malang, tidak disayangi dan dibuang oleh keluarga sendiri dalam keadaan dhaif dan tidak berdaya. Mereka tidak mempunyai apa-tapa pilihan.


Sebenarnya kalau diberi pilihan kebanyakan wanita lebih suka tinggal sendirian tanpa anak dan cucu di samping, walaupun ketika menjanda dalam usia tua. Lebih-lebih lagi andainya mereka mempunyai rumah sendiri yang telah miliki bersama suami sepanjang hayat mereka yang lalu, di mana mereka hidup bahagia bersama suami dan di situlah anak-anak mereka dilahirkan. Ini bukan bermakna mereka tidak sukakan anak-anak dan cucu-cucu lagi. Rumah itu menyimpan banyak kenangan.


Saya faham benar dengan Allahyarhmah ibu saya, Maimunah Ismail [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang amat berat untuk meninggalkan rumah usang yang pernah beliau tinggal dengan ayah saya Saleh semasa hayatnya [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya]. Hanya di penghjung hayatnya dia terpaksa juga berpindah tinggal bersama dengan anaknya. Namun begitu dari masa ke masa dia minta balik ke rumahnya itu, dan setiap kali hari raya, dia akan balik beraya di rumahnya itu, di mana semua anak-aak datang berkumpul beramai-ramai.


Tapi andainya seseorang wanita itu tidak cukup kuat dan sihat, dan tidak mampu mengurus diri sendiri dengan sempurna, mereka terpaksa juga, mahu tidak mahu, berpindah tinggal serumah dengan anak-anak dan mungkin cucu-cucu yang sememangnya tidak mengizinkan mereka tinggal sendirian, bukan sahaja dari segi kesihatan, tapi juga dari segi keselamatan diri untuk tinggal sebatang kara di zaman penuh cabaran yang getir ini.


Namun keadaan tidak akan menjadi selesa kepada mereka kiranya, suami atau isteri kepada anak-anaknya itu kurang atau tidak bersedia mentua mereka tinggal bersama mreka, yang biasanya dianggap sebagai beban. Keadaan ini akan menjadi dilema kepada janda tua yang masa  mudanya menyayangi anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan sanggup brgadai bergolok untuk membesar dan memberi pendidikan yang cukup kepada anak-anaknya.


Bagi mereka yang berduit, hidup sendirian ini boleh diatasi dengan mencari pembantu atau pembantu-pembantu rumah yang jujur untuk mengurus kehidupan rumahtangganya, termasuklah makan minumnya. Pembantu rumah ini akan lebih selesa jika diperolehi dari kalangan keluarga sendiri yang boleh dipercayai, daripada mendapat pembantu-pembantu rumah  asing yang tidak pernah dikenali sebelumnya.


Kebanyakan anak-anak hari ini, bila sudah bekerja dan berumah tangga, sudah tentu mempunyai rumah kediaman mereka sendiri atau bekerja jauh daripada rumah kediaman orang tua mereka, maka tentulah sukar kepada mereka untuk tinggal serumah bersama-sama dengan ibu mereka, dengan meninggal rumah mereka sendiri yang jauh lebih sempurna dari rumah ibu atau ayah mereka yang usang itu. Justeru sang ibu yang tidak berdaya terpaksa berlindah mengikuti mereka.


Kepada para ibu yang menjanda dalam usia tua, kerana kematian suami atau sebagainya, hendaklah bersikap tenang dan bijaksana dalam memilih gaya hidup yang sesuai dengan mereka. Buatlah pilihan yang bijaksana hendak tinggal sendirian atau bersama keluagra, iaitu anak-anak dan menantu yang pengasih dan penyayang.


Satu perkara yang perlu diingati walaupun anda mempunyai kemampuan yang mencukupi dan masih mampu mengurus diri sendiri, tapi akan tiba juga masanya anda mungmin akan menerima halangan yang menjadi penghadang kepada anda untuk tinggal sendirian tanpa keluarga, walaupun anda mempunyai pembantu rumah yang setia. Itulah masa anda memerlukan keluarga, khususnya anak-anak yang bersedia berkhdimat untuk anda.


Walau bagaimanapun, usia tua adalah sesuatu anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya di penghujung hayat mereka. Justeru adalah amat malang, kiranya di peghujung hayat anda ini anda hidup dalam kedukacitaan, kebimbangan dan kemurungan yang mengharukan hidup. Anda mesti menghabiskan sisa-sisa usia anda yang masih ada itu dalam kegembiraan, kesyukuran dan kebahagiaan.


Sesuaikanlah diri anda dengan suasana-suasana keliling yang terpaksa diterima dengan reda, kiranya tidak ada pilihan yang boleh dilakukan lagi. Anak-anak dan keluarga mestilah menyedari hakikat bahawa orang tua mereka yang sebatang kara itu amat memerlukan limpahan kasih sayang, dari segi jiwa dan raganya dari mereka. Berikan perhatian yang sewajarnya kepada mereka sejauh anda mampu.


Jangan sama sekali membuang mereka seperti kain buruk yang tidak bernilai sebagai penyapu kaki. Jangan biarkan mereka jadi manusia gelandangan dan jangan tinggalkan mereka di rumah orang-orang tua atau miskin atau di rumah-rumah kebajikan, sedangkan anda mampu menyara mereka.


Berikan ruang kepada mereka untuk lebih banyak mendekati diri keapda Allah. Kalau mereka mampu galakkan mereka menghadiri majlis-majlis keagamaan, terutama di masjid-masjid berhampiran rumah. Kalau masih mampu biarkan mereka melilibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan membantu masyarakat, seperti mengajar anak-anak belajar al-Quran dan sebagainya. Dan ini akan memberi manfaat yang besar kepada mereka ruhani dan jasmaninya.


Dan mereka sendiri pula janganlah menumpu perhatian kepada program-program hiburan di kaca-kaca TV sepanjang malam dan siang semata-mata. Tontonlah rancangan-rancangan yang boleh memberi faedah, menyegarkan jiwa, bukannya rancangan-rancangan hiburan yang menyuburkan fantasi dan nafsu semata. Setiap detik yang berlalu amat berharga, penuhilah sebaik-baiknya masa itu wahai para ibu, supaya anda tidak kerugian nanti.


Masa yang ada itu juga boleh digunakan untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah, terutama membaca al-Quran, memahami maknannya dan menghayatinya. Ia memberi berkah. Nur al-Quran akan memancar dari dunia hingga akhirat. Dapatkanlah keselesaan dan ketenangan dari al-Quran, Kalamullah itu. Dampingilah dia sepanjang masa. Baiklah hubungan dengannya.


Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kel.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP