NASIB BAHAGIA SEEKOR KUCING

>> Thursday, February 26, 2015





NASIB BAHAGIA SEEKOR KUCING



Ada seekor kucing jantan. Dalam usia yang masih muda. Kucing ini seekor kucing peliharaan.Bukan gelandangan. Disayangi oleh pemeliharanya sekelurganya. Mereka bukan sahaja menjaga makan dan minumnya, tapi juga kesihatannya.



Justeru mereka tidak mempunyai anak kecil lagi kucing ini dilayang seumpama anak mereka sendiri. Makan minum cukup istimewa. Kalau sakit dibawa ke doktor untuk diperiksa dan diubati.


Kucing ini walaupun dijaga dengan begitu rapi, kalau keluar dari rumah atau rebannya, dia akan menyelinap keluar pagar bermain-main di luar kawasan rumah, biasanya mencari kawan-kawan, dan juga gewang. Tapi pemergiannya tidak lama, dia akan segera balik.


Tapi pada suatu hari dia tiba-tiba menghilangkan diri.Sejak keluar dari rumah pada waktu pagi, dia tidak balik-balik ke rumah sehingga malam hari. Puas tuannya menunggu-nunggu dengan seribu persoalan, kucing itu tidak mucul-muncul juga.


Pagi besoknya mereka keluarnya mencari-cari si kucing di sekitar kawasan perumahan mereka. Tapi kucing itu tidak juga diketemui. Entah ke mana lesapnya. Mereka balik ke rumah dengan hampa, namun berharap kucing itu akan balik juga nanti.


Waktu tengah hari, kebetulan hari cuti, seorang jiran memberitahu kepada mereka, dia pernaht terlihat kucing itu telah dilanggar kereta waktu sedang tidur di tengah jalan. Dia tercedera.


Ini berita yang mengejutkan. Maka kedua-dua suami isteri itupun, dengan bantuan anak mereka,  melancarkan gerakan pencaraian yang lebih intensif. Jaringan kawasan pencarian diperluaskan. Namun begitu, pencarian tetap gagal.


Mereka balik ke rumah dengan hampa. Pada tomahan mereka, kucing mereka  telah terkorban. Entah di mana kuburnya. Tidak diketahui. Namun mereka tetap meredakannya. Kalau sudah ajal tidak ada siapa pun yang boleh menghalangnya. Seperti umur manusia juga.


Kucing lain boleh dicari nanti. Masih ada kucing gelandangan yang tidak berumah akan sampai nanti di pintu pagar. Pilih yang mana satu. Atau pergi ke kedai-kedai jualan haiwan, pilih dan beli kucing lain yang disukai. Tidak pelik. Bukan sahaja kucing, anak-anak manusia pun boleh dibeli kalau berduit dan tahu caranya.


Tapi pada suatu ketika, beberapa hari kemudiannya, tiba-tiba kucing yang hilang itu muncul kembali di halaman rumah tuannya. Keadaannya amat parah sekali. Seluruh badannya berlumuran dengan darah. Dia tercedera parah. Amat tidak berdaya.

Kucing itu segera dibawa berjumpa doktor. Dia tidak boleh dibiarkan mati begitu sahaja tanpa rawatan yang sewajarnya. Setelah dijalankan pemeriksaan yang terliti, sebelah tulang rahangnya didapati telah patah.


Tulang rahang yang patah itu perlu dirawat. Ia memerlukan pembedahan. Sekeping besi telah dimasukkan ke rahangnya untuk membetulkan tulang rahang itu.


Dia ditahan dalam wad selama beberapa hari dalam usaha pemulihannya. Kemudian baru dibenarkan pulang. Seperti rawatan terhadap manusia juga yang tercedera mana-mana tulang, doktor akan memasukan kepingan besi untuk membantu penyembuhannya.


Kalau dulu, zaman saya kanak-kanak dulu, kalau ada haiwan-haiwan yang tercedera kepatahan tulang, seringnya ayam, tidak dibawa ke doktor. Doktor haiwan pun mungkin tidak ada pada waktu itu. Bukan seperti sekarang. Berlambak. Biasanya yang patah ialah tulang kaki, paha atau sayapnya.


Untuk merawatnya mudah sahaja. Biasanya yang buat kerja ini adalah kanak-kanak seperti kami masa itu. Kami tumbuk garam dan kunyit sampai hancur. Dengan menggunakan secarik kain buruk, kami balut garam kunyit di tempat yang patah itu, dan lepaskan sahaja biar dia berjalan. Biasanya tidak lama kemudian ayam itu akan sembuh seperti biasa. Saya telah lupa berapa lama, ia mengambil masa untuk sembuh.


Perbelanjaannya tidak sampai dua sen untuk harga dua sudu garam. Kunyit tidak berbeli, ditanam sendiri di tepi rumah.


Tapi saya tidak pasti pula, bagaimana kalau yang patah itu tulang rahang, apa yang patut kami buat, kerana ianya tidak pernah berlaku di zaman kami itu. Tidak ada ayam atau kucing yang patah tulang rahang di kampung yang tidak ada kenderaan bermotor pada waktu itu.


Nasib baik kucing itu hidup di zaman sekarang, tidak seperti zaman saya kanak-kanak dahulu.


Tapi hari ini pembedahan untuk kucing yang patah tulang, bukanlah murah. Ratusan ringgit, kalau tidak ribuan, tergantunglah kepada sejauh mana komplikitednya kerja-kerja pembedahan yang dijalankan oleh doktor itu. Dan tergantung juga kepada ubat-ubatan yang akan menysul nanti.


Barangkali itulah antara sebabnya, ada ibu bapa yang mempunyai anak yang bercita-cita untuk menjadi doktor, menasihati mereka supaya menjadi doktor haiwan. Permintaannya bertambah banyak dari masa ke masa, dan perolehan kembalinya tidak pula kecil, kalau tidak sebesar khidmat terhadapa makhluk yang bernama manusia. Risikonya pun tidak begitu besar seperti berdepan dengan manusia.


Sudah beberapa hari berada di dalam wad, kucing itu dibenarkan pulang. Mengikut nasihat doktor, kucing itu perlu dijaga dengan rapi. Makanannya perlu disuap kerana dia tidak boleh makan sendiri. Kucing itu tidak boleh dibiarkan keluar rumah, boleh membuatnya menjadi tertekan, yang akan meganggu otaknya. Mungkin boleh membuat, dia menjadi kucing gila.


Demikianlah setiap hari  kucing itu dilayan dengan penuh kasih sayang. Seperti melayan manusia yang menghidap sakit kronik. Makannya terpakasa disuap. Air terpaksa diminumkan. Nasib baik, anunya tidak perlu dibasuh, kalaudia kencing dan berak.


Mereka yang mengetahui kisah kucing itu mungkin akan melahirkan rasa simpati dan kasihan terhadap nasib malang si kucing terpaksa menanggung kepedihan yang begitu di dalam hidupnya. Tidak mungkinkah mereka merasa kasihan dan simpati yang terpaksa terpaksa ditanggung oleh tuannya yang menghabiskan sebahagin daripada masa hidup mereka untuk memberi layanan yang begitu rupa pada seekor kucing. Dan tidak mungkinkah mereka merasa simpafi di mana si pemelihara kucing terpkasa menggunakan sebahagian daripada bajetnya untuk dikongsikan bersama dengan kucing?

 
Beberapa minggu lagi, kucing itu terpaksa dibawa pula menemui doktor, untuk dibedah lagi, membuang besinya, bila tulang rahangnya telah sembuh kembali waktu itu.


Dan tentunya khidmatnya bukan percuma. Sememangnya tidak ada benda yang percuma dalam dunia ini, Kecuali cahaya mata hari yang memancar di langit siang, cahaya bulan yang mengembang di sebalik awan waktu malam, cahaya bintang-gumintang yang bergayutan di angkasa biru di malam hari, dan udara sekeliling yang bergerak bebas yang kita sedut untuk bernafas.

Seperti yang saya katakan, kucing itu amat bertuah hidup di zaman mutakhir ini. Demikian juga dengan haiwan-haiwan yang lain, Di zaman manusia amat prihatin terhadap nasib haiwan. Malah kadang-kadang, terutama di Barat manusia  nampaknya berindak, lebih kehaiwanan daripada kemanusiaan. Haiwan yang Allah jadikan untuk makanan manusia itu pun mereka sediakan peraturan yang sulit untuk menyembelihnya. 


Sesetengah pemelihara burung ketitir atau merbuk dan burung candik di negara kita mungkin dapat merasakan apa yang diandaikan ini. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk binatang kesayangan mereka. Betul atau tidak!


Sungai Buloh,
Selangor.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP