>> Friday, April 30, 2021
SALOR
TOK BIDAN
POK CHU LEH
[Bahagian 6]
Menjadi bidan
menguruskan kelahiran anak tradisinya kerja wanita. Tidak ada lelaki jadi
bidan, kecuali di hospital dalam masa kebalakangan ini.
Tapi Che Leh
sebagai seorang bomoh mempunyai keistimewan dalam ilmu perbomohan, kerana
walaupun sebagai seorang lelaki tapi beliau mempunyai kebolehan untuk menjadi
mak bidan, mengurus kelahiran bayi.
Biasanya tugas
perbidanan beliau akan dipohon, terutama dari kalangan keluarga terdekat bila ibu
yang hendak bersalin itu mengalami masalah berhubungan dengan pengelahiran
anak, seperti bayi amat sukar untuk keluar, uri atau tembuni lekat, tidak
keluar dan lain-lain lagi.
Biasa seorang
ibu yang lekat uri selama dua tiga hari akan mengundang beliau untuk merawat
dan selalunya Alhamdulillah beliau berjaya menyelesaikannya.
Justeru jika
anak-anak menantu perempuan yang hendak bersalin biasanya beliau akan diundang
bersama dengan mak bidan untuk menyambut kelahiran bayi. Pada masa dulu para ibu boleh melahirkan
bayi di rumah sendiri dengan menjemput mak bidan ke rumah, tidak seperti
mutakhir ini melahirkan bayi memerlukan
bidan yang khusus untuk menjamin keselamatan ibu dan anak.
Anak Che Leh
Zubaidah [ Che Doh/ Kak Doh] melahirkan kedua-dua anaknya, lelaki dan
perempuan, Azlan bin Abdul Rahman dan Armawati binti Abdul Rahman di hadapan Mok Bidan, Mok Su Hawa dan Che Leh
di rumah kami di Kampong Salor.
Isteri saya
Asiah Yaacob, [Che Yah/ Kak Yah] ketika melahirkan anak pertama kami, Arham Zaini adalah di hadapan Che Leh bersama mak bidan Mok Jah
di rumah kediaman kami di Kg. Paya Purnama. Anak kedua tidak sempat menjemput beliau kerana Che
Leh berada di Tanah Suci Mekah.
PENGALAMAN MEK
[MOK LONG]
Tulisan ini
diubahsuai daripada cerita yang pernah tersiar dalam Blog Pondok Rahmat.
Mek [Mok Long] terbaring dalam bilik tidur. Sudah
beberapa hari beliau begitu.
Mek sakit perut
hendak bersalin. Bulannya sudah sampai, menunggu saat kelahiran bayi sahaja
lagi.
Mok Bidan, Tok
Yam dari Dusun Muda pagi-pagi lagi sudah sampai untuk menyambut kelahiran
bayinya itu.
Pada masa yang
lalu, Mek bersalin dengan mudah, tidak ada apa-apa masalah atau komplikasi.
Tapi kali ini
lain sedikit, kerana menurut Tok Yam anak yang dikandunginya itu berada dalam
keadaan songsang. Merbaya melahirkan anak songsang.
Mek merasa gerun
untuk melahirkan anaknya yang songsang itu. Takut bayi tersangkut, tidak
keluar. Dan kalau keluarpun tentu dalam keadaan sukar. Gerun.
Walau
bagaimanapun Mek bertaukal, berserah diri kepada Allah Yang Maha Pengasih dan
Penyayang.
Tok Yam sedang
menggosok-gosok perut Mek dengan minyak, sambil meminta Mek bersabar dan
sentiasa ingat kepada Allah.
Walau
bagaimanapun Mek merasa kurang selesa kerana seseorang yang ditunggunya masih
belum tiba. Ayahnya Che Leh yang tinggal di Kg. Salor, sedangkan beliau di
rumahnya di Kampong Bawah Kg. Sireh, Kota Bharu.
Che Leh walaupun
bukan Mok Bidan, tapi mempunyai ilmu perbidanan yang diwarisinya secara turun
temurun. Beliau mengetahui tata cara
orang bersalin.
Pada masa-masa
yang lalu setiap kali melahirkan anak,
Che Leh ada bersama dengan Mek. Begitulah sudah lapan orang anak Mek bersalin,
dan yang ini kali yang ke sembilan diharap Che Leh pun ada bersamanya.
Che Leh berjanji
akan sampai pada pagi itu untuk menyambut kelahiran cucunya. Tapi beliau masih
belum sampai lagi.
Mek berharap dan
bedoa semoga Che Leh akan selamat sampai sebelum tiba waktu beliau melahirkan
nanti.
Tiba-tiba Mek
merasa sesuatu denyutan dalam perutnya dan menyebabkan anak dalam perutnya
keluar. Beliau berjaya melahirkan anak yang sedang ditunggu-tunggunya itu.
Mek melahirkan
anak di hadapan Mak Bidan Tok Yam dan ayahnya Che Leh yang
menyambut kelahiran bay itu. Selamat dilahirkan.
Walau
bagaimanapun Mek banyak menumpahkan darah hingga pada suatu ketika beliau tidak
sedarkan diri.
Kemudian bila
Mek membuka matanya, beliau ternampak ayahnya Che Leh tersembul di muka pintu
yang terbuka sedikit itu.
Beliau lalu
bertanya, “Che gi mana tadi?” kerana pada sangkanya selepas menyambut cucu Che
Leh keluar sekejap dari bilik.
“Che tidak ke
mana-mana. Che baru sampai ni”, ayahnya Che Leh menjelaskan keadaan yang
sebenarnya. Dia baru sampai.
“Bukankah Che
ada bersama Tok Yam tadi?”, katanya lagi.
Tapi Che Leh
tidak menjawab apa-apa, lalu masuk dan duduk di sebelahnya sambl mengambil bayi
itu.
Kalau begitu
siapa tadi?
Anak yang
dilahirkannya itu dinamakan Khairulzaman bin Ibrahim, dan panggilan timangannya
Pok Su semperna dengan beliau anak bongsu.
Mek meninggal pada tahun 2017.
Kisah ini
diperoehi dari anak Mek, Zawiyah Ibrahim.
Ilmu perbidanan
ini selain diperolehi secara berguru oleh Che Leh, ia juga merupakan warisan
daripada neneknya seorang bidan yang terkenal di Kampung Salor. Dalam waktu
usia rentanya, dan tidak mampu berjalan orang-orang kampung masih
berkehendakkan khidmat perbidanan neneknya itu, kerana itu beliau akan diletak
dalam kandaran dan diusung ke rumah ibu yang hendak bersalin itu.
Saya terlupa
nama nenek itu, dan catatan saya mengenainya masih belum ditemui.
Sukar Bersalin
Pada suatu masa,
seorang keluarga menghadapi masalah kerana isterinya sukar untuk bersalin,
Sudah beberapa hari isterinya terbaring di pembaringan, menunggu anak lahir,
tapi pernah keluar-keluar. Mok bidanpun dah resah menunggu.
Kemudian lelaki
itu mengundang Che Leh supaya membantu kelahiran anaknya itu. Pada masa itu
kedudukan rumah mereka terpakasa pergi dengan keretapi, kerana belum ada jalan
raya yang sampai ke sana seperti hari ini.
Kata Che Leh
waktu beliau sampai itu wanita itu berada dalam kelam kabut, beberapa bahagian
daripada badannya telah diikat oleh mok bidan dengan kain batik lepas untuk memudahkan
pengelahiran, seperti dipinggang. Ini kata Che Leh bertambah merimahkan bakal
ibu itu.
Beliau meminta
semua ikatan itu dibuka untuk memberi keselesaan kepada sang ibu yang sedang
mengalami kepayahan itu.
Kemudian Che Leh meminta segelas air bergas, rasanya air oren dan sebiji telur ayam kampung mentah. Setelah
memperolehi keduanya beliau mencampur dan menggaduknya supaya menjadi sepadu.
Selepas itu ibu itu diminta meminum air oren itu sampai habis.
Alhamdulillah
tidak lama kemudian bayi dalam kandungan ibu itupun keluar menjenguk dunia. Alangkah gembiranya
mereka tidak terkata.
Ketika ditanya
Che Leh kenapa perkara itu berlaku, katanya ibu itu sudah letih dan kehabisan
tenaga, lalu Che Leh beri dia minum air oren supaya kuat kembali dan boleh meneran
bayi seperti biasa.
Itu sahaja katanya.
Betulkah begitu?
Kemudian selepas
melahir seorang anak lagi setahun dua kemudian suami wanita itu meninggal dunia pergi meninggalkan anak yang masih kecil. Akibatnya beliau kehilangan sumber pendapatan.
Pada suatu hari
wanita itu datang menemui Che Leh supaya membantunya untuk mendapat suami baru untuk membolehkan beliau hidup
dengan lebih baik jika ada suami yang dapat membantu keluarga.
Che Leh tidak
keberatan, lalu membantu wanita itu dengan memberi sejenis celak kening yang
perlu dipakai sebagai pelaris. InsyaAllah dia akan mendapat suami.
Alhamdulillah, tidak
beberapa lama kemudian wanita itu telah mendapat suami baru, dan hidup berbahagia
sampai ke hari ini.
Dan anak yang dilahirkan dulu dengan kepayahan itupun masih ada dan sudah berumahtangga dan mendapat
anak-pinak. Tidaklah dapat dipastikan apakah dia diberitahu tentang masalah
yang pernah dihadapi oleh ibu dulunya itu.
Pondok Rahmat
Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.
Jumaat:
30 April 2021/
18 Ramadhan 1442