HUJAN, HUJANLAH...!!

>> Thursday, September 17, 2020

 



HUJAN HUJAN-HUJANLAH!!



 







PANTUN HUJAN

 



Hujan sudah mari



Pokok senang hati



Padi sudah jati



Petani riang hati.

 



Hujan lebat turun merata



Habis basah pokoknya pauh



Hendak lelap, lelaplah mata



Jangan dikenang si orang  jauh

 



Hujan turun di tengah hari



Habis basah pokok jati



Rasa sedih dalam hati



Yang pergi tak kembali.



 

 





DI LUAR langit agak mendung. Kaki langit sebelah Timur muram. Bola mata hari masih belum muncul. Masih beradu tidur di kaki langit diulit mimpi menunggu saat untuk mengambil tempat puteri dewi malam yang telah menghilangkan diri dengan terkuaknya tirai siang.

 



Hujan mungkin akan membasah bumi bila-bila masa bila awan tebal bergayut di langit bertukar menjadi titisan air dan luruh  ke bumi. Antara makhluk-makhluk Allah yang paling gembira ria menyambut ketibaan sang hujan ialah kanak-kanak, lebih-lebih lagi di kala musim tidak bersekolah.

 



Ini suasana di kampung dan desa waktu diri kecil-kecilan dulu, bukan lagi zaman sekarang yang bertaburan dengan hiburan sampai ke ceruk-ceruk pondok dan sudut-sudut rumah.

 



Zaman itu bila hujan mulai turun dan kami kanak-kanak  masih berada di rumah, hati kami melonjak gembira bagi itik mendapat air menunggu butir-butir hujan  bertambah besar dan  melebat membasuh bumi.


 

   


 Daun pisang Benggala Buat Payung Dalam Hujan





Kemudian bila hujan sudah cukup lebat, kami, kanak-kanak lelaki pun menyalin pakaian, sekadar berseluar pendek, tanpa baju akan terjun ke laman rumah  untuk berpesta hujaIbu bapa dan orang-orang dewasa tidak menghalang kami untuk bermesra-mesra dengan hujan yang hanya berkunjung  berkala. Tidak ada larangan takut sakit kepala atau demam kerana berpesta air hujan.

 



Kami bermain sepuas-puasnya mungkin bersama dengan adik beradik yang ikut berpesta air. Hanya bila badan telah mengiggil kesejukan dan bibir berkertup kesejukan baru kami berhenti dan naik ke ruma

 



Andainya seorang diri, kami hanya bermesra-mesra dengan mandi-manda air hujan yang turun dari langit, memandang ke langit, melompat-lompat kecil atau menadah kepala dari air yang gugur di cucuran atap atau menahan badan di air yang terjun dari celurang [saluran] atap.

 



Andainya berdua atau lebih kami main kejar-kejaran secara spontan, atau main lempar bola yang besar segempal tangan jika ada.

 



Bila badan telah mengiggil kesejukan, bibir atas menggelatup dengan bibir bawah, barulah kami naik ke rumah, menyalin pakaian yang kering. Tapi beberapa jam kemudian, jika hari masih siang dan hujan masih mencurah, kami berpesta air hujan lagi.

 



Tapi andai hujan lebat itu ditemani oleh ribut petir, kilat memancar dan bunyi pelakar bertali arus, sabung menyabung membelah bumi, barulah kami tidak akan memijak tanah bermain air hujan walau selebat mana sekalipun. Dalam keadaan alam yang bengis seperti itu orang-orang tua kami pun tidak akan mengizinkan kami bermain. Duduk-duduk sahaja menunggu alam kembali tenang tanpa bersanding dengan hujan yang turun.







Bila sudah menyalin pakaian, justeru kesejukan membuat perut  terasa kelaparan, lalu kami memijak kaki ke dapat, membuka periuk atau menyelak saji mengintip apa yang tersimpan.

 



Jika ada ubi kayu atau ubi setela rebus lalu kami pun santap  dengan kelapa muda yang diparut atau dikukur setelah  dicampur dengan garam dan gula secukup rasa. Ataupun pulut dimakan dengan kelapa bergula. Minumannya kopi o, teh o atau air sejuk kosong.

 



Demikianlah kiranya bermain hujan  sekitar rumah. Tapi bermain di padang [tanah kosong yang luas], kalau bilangan kami ramai kami bermain bola sepak, bola katak atau main cuh yang amat menyeronok bila bermain dalam hujan.

 



Kalau hendak berpergian dalam hujan ke mana-mana, kalau tidak ada payung kami pinjam saji di dapur atau menggunakan daun pisang sepelepah. Pilih daun yang besar, tidak carik atau koyak, biasanya daun pisang benggala buat penutup badan. Tapi kalau kebetulan angin bertiup menampar air hujan basah juga pakaian kami.

 



Bermain hujan di kampung, dalam keadan lantai bumi berhias selut, bukan tidak ada risiko, ada risikonya, Pada waktu malam, celah-celah jari kaki akan terasa amat gatal, lembab dan kulit mungkin terkoyak, terutama bila digaru kerana tersangat gatal. Kita panggil “kaki makan di air”.

 



Untuk mengatasinya, sebelum tidur waktu malam, sapukan celah-celah jari kaki yang bermasalah itu dengan adunan kapur barus [makan] dengan gambir dan sedikit air. Tapi rasanya pedih tidak terkata.

 



Unutk mempercepat proses penggeringannya  kaki itu disalai ke api dengan peleta catak yang bersumbukan kain dan minyak gas atau minyak tanah sebagai bahan bakar. Bila sudah kering, barulah dapat tidur dengan selesa tanpa sebarang masalah. Dan keesokan hari  bermain hujan lagi.

 



Itulah suasana di kampungku, kampung tercinta, Kampung Salor, yang sawah dan bendangnya luas terbentang  sesayup mata memandang. Semoga engkau kampungku dan seluruh penghuninya sentiasa menerima cucuran  rahmat Allah yang melimpah bila  hujan turun membasah bumimu buat selama-lamanya.




Namun rumah pusaka kami, rumah kenangan Pok Cu Leh Tok Bomoh dan Mak Su Munah telah berkecai ditelan bumi dan di atas poin-pin kehancurannya tinggal kenangan yang merobek hati

 



Sesungguhnya air hujan yang tumpah dari langit itu bersih dan membersihkan, atau suci dan menyucikan, walaupun dalam perjalanannya untuk sampai ke permukaan bumi terpaksa menempuh berbagai-bagai debu dan pencemaran yang terkumpul di  angkasa dan udara.

 



Dan titis-titis hujan yang turun itu merupakan tulisan-sulisan yang melukiskan tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Kaya dan Maha Pencipta.

 



Hujan itupun  berasal  dari laut atau tasik dan dari sungai di bumi yang airnya bertukar menjadi wap dan terangkat ke langit, lalu menjadi kumpulan-kumpulan awan tebal,  kemudiannya melalui proses-proses tertentu awan-awan tebal itu terburai pecah dan bertukar menjadi air hujan dan mencurah turun ke bumi.

 



Demikianlah proses naik dan turun air hujan itu akan berlangsung sepanjang masa dan sepanjang waktu tanpa henti siang dan malam  selagi dunia ini berkembang.

 



Allah berfirman:



“Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih, maka dengan itu Kami menurunkan air [hujan] dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang [berkuasa menurunkannya atau] menyimpannya”.-Al-Hijr [15]:22.

 



Dan Firman Nya lagi:

 


“Allahlah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah menyebarkannya di langit menurut yang Dia kehendaki dan menjadikannya berkelompok-kelompok, lalu engkau lihat  hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba=hamba Nya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka bergembira”.ar-Rum [30]: 48.

 



Pondok Rahmat



Rabu:



16 September 2020/



28 Muharam 1442

 

 

 


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP