CINTA GADIS PONDOK TOL

>> Sunday, November 22, 2015







CINTA GADIS PONDOK TOL



Ini bukan sebuah cerpen.Tapi secebis kisah yang pernah berlaku di alam maya ini.


Setiap kali saya melewati pondok tol ini saya akan terkenangkan seorang kawan. Pada masa itu dia masih muda, dan memiliki pekerjaan yang berpotensi di sebuah syarikat swasta yang terkenal di antero dunia.


Setiap hari untuk pergi kerja dari rumah ke pejabat dia terpaksa melepasi beberapa buah pondok tol, di mana untuk melepasinya, pemandu kenderaan terpakasa membayar cukai perjalanan yang telah ditempohinya sebagaimana telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tanpa membayar tol pengguna kenderaan tidak boleh meneruskan perjalanan.


Pada masa itu bayaran tol tidak mencekek seperti hari ini. Namun begitu setiap hari, beberapa ringgit juga terpaksa dihabiskan untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Walau bagaimana pun bayaran tol itu dijelaskan oleh majikannya setiap bulan. Dia perlu mendului pembayarnya, dan mengkelimnya di awal bulan yang mendatang. Justeru  tol tidak menimpa dan membebani pondoknya dengan kenaikannya dari masa ke masa itu.


Sejak akhir-akhir ini dia gembira sangat untuk berhenti dan membayar cukai perjalanan di salah sebuah pondok tol itu. Walaupun hari cuti hujung minggu, dan tanpa keperluan yang khusus, dia memandu keretanya melalui jalan bertol itu, dengan alasan-alasan rekaan dalam  benaknya untuk menghalalkan perbuatannya itu, yang akan diketawakan orang jika mereka mengetahui tujuan yang sebenarnya tersembunyi di lipatan hatinya.


Kenapa ya?





Pada suatu pagi dalam perjalanan ke tempat kerja seperti biasa dia berhenti di salah sebuah pondok tol itu untuk melunaskan hutang perjalannya. Dia terlihat seorang gadis baru yang bertugas pada pagi itu yang menghulur tangan mengambil bayarannya. Bila terpandang sahaja muka gadis itu hatinya terus berdetak dengan kencangnya. Seperti biasalah gadis itu mengukir seulas senuyuman kepadanya. Wah hatinya bertambah kencang debarannya persis ombak laut di musim gelora berdebur-debur meghempas pantai. Untuk sejurus dia terpana di situ. Gadis itu memberi isyarat jari kepadanya menunjukkan hadangan jalan di hadapan telah agak lama terangkat tapi keretanya masih belum bergerak.


Sejak saat itu entah kenapa dia tidak dapat melupakan wajah gadis yang manis mesra itu. Dia tidak pernah merasa seperti itu sebelumnya, walaupun telah ramai gadis-gadis yang cuba mendampinginya, termasuklah rakan-rakan sekerja sejabatan. Dia tidak pernah terpesona dengan mereka. Adakah ini cinta pandang pertama, bertanya dia sendirian dalam hatinya.


Sebelum itu memang ada gadis-gadis yang bertugas di pondok-pondok tol di situ, walaupun cantik-cantik wajahnya, tapi hatinya tidak pernah merasa berdebar kencang sebagaimana dia terpandang gadis itu walaupun untuk sekilas pandang. Dia berusaha keras untuk terus melupakan gadis itu, tapi tidak pernah berhasil, apa lagi kadang-kadang setiap hari mereka bertukar senyum di kaunter pembayarannya.


Sejak hari itu dia merasa ingin bertemu gadis tol itu walaupun untuk sekilas pandang untuk pembayaran tol. Dia terpesona dengan senyum manisnya. Perasaannya terasa berterbangan melihat wajahnya. Sehari tidak melihat wajah gadis itu hatinya tidak akan damai. Waduh dia telah jatuh cinta.


Dia tidak kenal gadis itu. Entah-entah sudah ada pemilik hatinya? Entah suka atau tidak dia kepadanya? Bagaimana caranya untuk memanjang cakap dengan gadis itu, dan memberitahu hasaratnya untuk berdamping dengannya, dan sekaligus juga menzahirkan cintanya yang berkobar-kobar itu.


Berbulan-bulan lamanya dia mengalami perasaan seperti itu. Kepastiannya setiap hari dia mesti melintasi jalan itu dan berhenti di tol dengan harapan melangit dapat bertemu dengan gadis itu menerusi pembayaran tol. Melihat senyum manis gadis itu menjadi penawar rindu kepadanya. Persis ada magnet ajaib di situ memukau perasaan dan hati, menembusi ke dasar jiwa mudanya.


Dia berfikir dan berfikir bagaimana caranya dia dapat menyampaikan hasrat suci yang tersemat di hatinya itu. Bagaimana untuk berhubung cakap dengannya? Kalau dibiarkan masa berlalu begitu lama, dia bimbang peluangnya akan terlepas, pintu hati si gadis akan terkuak terbuka untuk si kumbang  lain, dan tertutup untuknya.


Dia mesti bertindak segera untuk memulakan jalinan perkenalan dengan gadis yang dirinduinya itu. Ataupun terus melamar hatinya kalau ada peluang yang sesuai. Tapi bagaimana? Tidak ada siapa yang boleh diharap  dapat membantunya untuk menjadi orang tengah. Bagaimana ya?


Setelah berbulan-bulan berlalu, si pemuda mengambil satu keputusan yang berani, cuba mengadu nasib cintanya terhadap gadis itu. Senyum telah lama bertukar, bersilih ganti saban hari, tapi belum tentu terjalin seindah yang diharap-harapkan, walapun terasa harapan masih ada untuk kasih berbunga, dan cinta  bertaut. Harapan masih belum terjawab, masih di awan-awan.


Pada suatu petang dalam perjalan pulang ketika melunaskan tol di kaunter gadis pujaan hatinya itu,  dia telah memberanikan hatinya meletakkan kad nama dan sebuah handfon yang baru . Tapi bukan handfon canggih.


“Ini untuk awak”, katanya, sambil  merenung wajah gadis manis itu. Gadis itu kelihatan sedikit kaget, terkejut dan kehairanan, tapi bibirnya yang comel itu terus mengukir senyum, meluruhkan hati sang pemuda. “Terimalah. Nanti saya telefon”, katanya. Gadis itu tidak berkata apa-apa, masih dalam keadaan terpinga-pinga. Dia pun terus menukar gear kereta, dan kereta pun bergerak ke hadapan.


Hatinya pun terus berdebaran. Penuh dengan persoalan? Adakah gadis itu menerima hadiahnya itu? Atau dia akan membakulsampahkan hadiahnya itu, dan menganggap dirinya sebagai pengacau? Harap-harap gadis itu menerimanya dengan baik, dan sekurang-kurangnya mendengar apa yang akan dikatakannya nanti. Sanggupkah pula gadis itu menjawab panggilannya nanti?


Bila sampai ke rumahnya kira-kira setengah jam kemudian hatinya bolak-balik lagi. Tidak keruan. Hendak telefon atau tidak telefon? Adakah panggilannya akan dijawab nanti? Atau panggilannya dijawab tapi dia akan dimarah dan dimaki hamun?

Walau bagaimanapun dia kena berani, kalau tidak pertanyaan-pertanyaan dalam benaknya tidak akan terjawab. Sampai bila pun dia tidak akan mengetahui pandangan gadis itu terhadapnya. Kalau panggilan tidak disahut, kata-katanya tidak bersambut, itu adalah takdir Ilahi yang menentukan segala-galanya. Dia harus rela menerimanya.


Dengan hati yang berdebaran, kebimbangan dan pengharapan dia membuat panggilan, dan Alhamdulillah panggilannya berjawab. Masa itu sang gadis tidak lagi berada di pondok tol, tapi di pejabat, kerana pertukaran sif kerja. Maka dengan itu dapatlah dia bercakap agak panjang, dan menyatakan hasrat hatinya untuk berkenalan........


Gembira hati sang pemuda tidak terkata. Macam gunung emas jatuh ke riba. Dan akhirnya mereka berkahwin, berkeluarga dan mendapat cahaya mata yang akan mewarisi keluarga mereka.


Justeru kisah ini bukan sebuah cerpen maka berakhirlah ia dengan madah:


Cinta itu mendekatkan yang jauh, dan merapatkan yang dekat.


Cinta itu menautkan dua hati dan dua jiwa dalam kasih-rindu yang tidak bermusim.


Cinta itu sentiasa segar walaupun musim bunga telah lama berlalu dan musim gugur telah muncul.


Cinta itu rindu yang memanjang, tanpa sempadan masa dan tempat.


Kepada cinta masa itu hanya angka-angka yang tidak memberi apa-apa makna.


Cintalah menggerakan dunia ini. Chintalah yang menghidupkan maya ini.


Chinta oh cinta. Hiduplah dengan cinta seluas langit dan bumi ini. Cintailah orang lain, sebagaimana anda mencintai diri anda sendiri.



Jalan Teratai,
Saujana Utama 3,
Sungai Buloh.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP