TOK UBAN DI KELANTAN DAN TUBAN DI JAWA APA KAITANNYA?

>> Thursday, September 3, 2015





TOK UBAN DI KELANTAN, DAN TUBAN DI JAWA  APA KAITANNYA?


_________________________________________________________________________
Menurut sejarat tempatan Tok Uban adalah nama yang diberi sempena dengan nama peneroka pertamanya yang beruban dari kepala hingga ke seluruh badannya. Tapi pendapat ini tidak dapat diterima bulat-bulat oleh pengkaji-pengkaji sejarah..........

_________________________________________________________________________


Tok Uban adalah nama sebuah tempat dalam Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Ianya sebuah mukim seluas kira-kira tiga puluh kilometer persegi. Sementara Tuban adalah nama suatu tempat di Jawa Timur, Idonesia. 


Di situ ada sebuah tasik dan kini dikenali seabagai Danau Tuban. Di dalam tasik ada sebuah masjid yang cantik yang dibina oleh Sultan Brunai.


Pengkaji-pengkaji budaya dan sejarah seperti  Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi amat tertarik hati dengan Tok Uban dan pernah membuat kajian mengenainya. Menurut beliau di Tok Uban ini telah dijumpai beberapa artifek sejarah yang penting.


Tempat ini dinamakan Tok Uban oleh penduduk-penduduk tempatan mengambil sempena dengan seorang peneroka pertama yang membuka kawasan tersebut.  Peneroka ini berambut putih daripada kepala hingga ke seluruh bulu di badannya. 


Menurut penduduk tempatan, namanya Sulaiman, seorang perajurit dari Patani yang telah lari menyelamatkan diri daripada musuh-musuh yang inngin membunuhnya.


Tapi bagi Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi beliau tidak dapat menerima dengan mudah kenyataan tersebut. Katanya, “Tetapi bagi saya timbul  pertanyaan apakah tidak mungkin Tok Uban itu dicari persamaan dengan nama-nama di tempat lain di seluruh Kepuluan Melayu mulai dari Semenajung Indocina sampai Kepuluan Indonesai dan Filipina”.


Menurut beliau sebagaimana terdapat dalam Kertakerjanya dalam “Seminar Arkelogi Malaysia Dengan Tumpuan Khusus kepada Negeri Kelantan”, yang berlangsung di Kota Bharu pada 22 hingga 24 Ogos 1986, nama Tok Uban terdapat di mana-mana sahaja. Di Selatan Siam dinamakan Teluban, di Jawa disebut Tuban, iaitu sebuah pelabuhan penting di zman Majapahit, di Bali terdapat juga nama Tuban dan di Filipina disebut dengan nama Takluban.


Tuban ialah  berasal dari kata Tuban yang  bererti air putih  yang keluar dari rahim seorang ibu ketika akan melahirkan anak. Perkataan tuban itu amat penting kepada orang Melayu hingga diabadikan sebagai nama tempat.


Kata beliau, lokasi Tok Uban ini amat penting, kerana di situ terdapat sebatang sungai  yang mengalir ke Kuala Tabal. Dulu airnya sangat deras dan dalam. Sungai itu telahpun diampang dan diberi nama baru Danau Tuban. Pada masa dahulu Sungai Tok Uban ini  digunakan oleh pedagang-pedagang kecil  membawa dagangan mereka dari Kuala Tabal ke Tok Uban. Justeru  ia menjadi tempat lalu lintas  dari pendalaman ke Kuala Tabal dan sebaliknya, maka sudah tentu di Tok Uban ini terdapat kesan-kesan sejarah yang amat penting.  Di antara peninggalan sejarah itu berupa barang-barang seramik China yang diduga berasal dari Zaman Dinasati Song 960-172M.


Di daerah Tok Uban ini ada beberapa tempt penting yang perlu dikaji, seperti Tanjung Puteri, Kota Nahligai, Cherang dan Tegayung. Tidak jauh dari Sungai Tok Uban ada suatu tempat namanya Lubuk Jong. Di situ terdapat sebuah  dongeng yang terkenal. Mengikut ceritanya, Awang Buntal baru  balik dari pelayaran niaga yang jauh telah dikutuk oleh ibunya sendiri. Akibatnya, perahu atau jung Awang Buntal telah tenggelam di dasar Sungai Lubuk Jong. Cerita Awang Buntal ini serupa dengan cerita Nakhoda Tanggang atau Malim Kundang.Di sinilah tempat penemuan banyak barang-barang sermik purba itu


Di zaman dahulu, di Tok Uban ini terdapat mukimin orang-orang Siam yang dapat dihubungkan dengan sejarah zaman lampau. Boleh jadi orang-orang mukimin Siam ini  adalah bekas keturunan  perajurit Siam yang pada suatu waktu  yang lampau menyerang  Kelantan atau mereka adalah petani-petani Siam  yang dibawa masuk  oleh kerajaan Siam. Tapi sekarang sudah tidak ada lagi di Tok Uban kerana terdesak oleh orang-orang Melayu.


Di antara barang-barang lama yang pernah dijumpa di Sungai Tok Uban  ialah seekor patung itik yang ditemui di dasar Sungai Tok Uban dan sebuah pinggan yang di dalamnya ada huruf bergaya di zaman dinasti Song yang berbunyi Fook yang bererti untuk tuah. Di samping itu terdapat lagi aritfek-artifek seramik yang pada tahun tahun1960an banyak disimpan oleh penduduk-penduduk tempatan.


Pada tahun 1960an, penulis dengan bebeapa orang teman, termsuk Abdullah Nakula dan Allahyarham Abdullah Yusof, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, pernah mengadakan penyelidikan di daerah Tok Uban dan sekitarnya serta melihat arus sungai Tok Uban yang mengalir pula ke Kuala Lemal untuk masuk ke Sungai Kelantan. Di sepanjang Sungai Tok Uban-Kuala Lemal didapati serpihan-serpihan seramik yang sangat penting untuk dikaji, di samping itu terdapat pula makam-makam tua.


Demikianlah coretan ringkas Drs. Abdul Al-Ahmadi mengenai Tok Uban yang patut dijadikan dasar renungan kepada pengakji-pengkaji sejarah, terutama di kalangan anak-anak watan Tok Uban sendiri.

Bertahun-tahun telah berlalu adakah perkara ini prnah diberi perhatian?


Tambahan:


Hari ini kota purba dan pelabuhan penting di zaman Majapahit, Tuban yang terletak di sebelah utara Jawa Timur itu  merupakan bandar yang popular dan menjadi distenasi para pelancung. Tuban dianggap sebuah bandar penting yang mempunyai nilai sejarah dan budaya. Di sini terdapat pusara Sunan Bonang, salah seorang daripada Wali Songa yang terkenal dalam sejarah Indonesia itu. Tuban terletak kira-kira seratus kilometer dari kota Surabaya dan mengambil masa kira-kira selama dua jam dengan kereta untuk sampai ke Tuban.


Saya pernah sampai ke Tuban beberapa tahun yang lalu, tapi buat masa yang amat singkat. Insyallah dalam masa akan datang saya akan sampai lagi ke Tuban. Sahabat handai saya masih ramai di sana.- Mohd Zain Saleh



Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
PT.KB. Kelantan Darulnaim.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP