SAYA RINDUKAN KG. SALOR DAN NASI BELAUK

>> Tuesday, September 8, 2015




SAYA RINDUKAN KG. SALOR DAN NASI BELAUK

Salor ialah sebuah daerah dalam Jajahan Kota Bharu Letaknya dari Kota Bharu menghala ke Pasir Pas. Kampung ini telah lama usianya. Telah beberapa generasi orang mendiamainya. Kira-kir 12 km dari Kota Bharu, ibu Negeri Kelantan.


Di dalam daerah Salor itu ada banyak kampung yang membentuk Kampung Salor itu sebagai sebuah daerah. Antaranya Kg. Salor, Kg. Gua, Kg. Teluk Gadis, Kg. Gertak Lembu, Kg. Selekoh Mat Rifin dan sebagainya.


Saya adalah seorang daripada insan yang pernah dilahir, dan dibesarkan di Kampung Salor. Saya cintakan Kampung Salor. Ke mana saya pergi saya selalu mengingatinya, mengenangnya dan merindunya. Sampai ke hari ini. Itulah kampung halamanku, di mana aku berada di sisinya sehingga aku dewasa.


Hari Raya Haji tidak lama lagi akan tiba, maka kerinduan itu kian membuak. Tapi pada hari ini tidak banyak lagi sisa-sisa zaman lampau itu yang masih ada di Kampung Salor untuk dilihat mata menghilang rindu. Orang-orang tua telah ramai yang pergi, kembali ke pangkuan Ilahi. Generasi yang kedua pula ramai tidak ada di kampung, melara mencari kehidupan di seluruh negara, demikian juga generasi-generasi yang seterusnya.


Justeru itu seperti apa yang saya katakan selalu, yang ada hanya kenangan yang hidup dalam ingatan yang berpanjangan, walaupun kian lama kian kabur dalam laluan masa yang begitu pentas berlari.


Saya  masih ingat, saya pernah pernah belajar di Sekolah Melayu Salor dari darjah satu hingga darjah enam, sehingga saya pindah belajar di Sultan Ismail College, Kota Bharu.


Sekolah Salor

Sekolah Melayu Salor ini mempunyai kawasan yang cukup luas. Pada suatu ketika ada tiga buah bangunan sekolah-yang dikenali dengan A, B dan C. Bangunan A merupakan sekolah asal, bangunan induk yang terletak di tepi jalan. Ada padang bola yang luas dan ada gelanggnag badminton. Ada kawasan untuk pelajar-pelajar bercucuk tanam. Saya mengambil bahagian sebatas.


Banyak pengalaman suka dan suka sepanjang masa persekolahan  tersebut yang menjadi penghias kenangan. Saya adalah salah seorang daripada pelajar yang pernah dilantik menjadi pengawas sekolah. Tanda pengawas ialah sekeping kain lelet warna merah yang dilekatkan di lengan baju lengan pendek.


Sekolah Salor masa itu sebuah sekolah yang terkenal aktif. Sukan tahunan diadakan secara besar-besaran. KDYMM Sultan Kelantan pada suatu waktu pernah berangkat mersamikan sukan Sekolah Melayu Salor. Pertunjukan-pertunjukan pentas gabungan tenaga guru-guru dan murid-murid diadakan dari masa ke masa. Ramai ibu bapa yang hadir menyaksinya.


Pesta Unggun Api Pengakap pernah diadakan secara besar-besaran dan meriah bertempat di tengah Padang Bola. Ramai ibu-ibu bapa dan orang-orang kampung menghadiri pesta tersebut, kerana dipenuhi dengan aneka cara yang menarik hati.

Dari masa ke masa pula diadakan pertunjukan wayang gambar percuma di Padang Sekolah oleh Jabatan Peneranagan. Ramai penduduk kampung hadir menyaksinya.


Biasanya di majlis-majlis seperti itu saya mengambil inisiatip sendiri menjaja kacang goreng. Kacang cabut atau kacang tanah saya pergi beli sendiri dari petani-petani China di Kampung Teluk Kandis, dan menggorengnya sendiri. Kemudian membungkusnya dengan akhbar dan memasukkannya ke dalam raga rotan yang besar, menyangkutnya di lengan dan menjaja di majlis-majlis tersebut. Biasanya kacang yang saya jual itu habis tidak bersisa.

Pasar

Selain dari sekolah, di Salor juga ada sebuah pasar yang amat termasyhur dalam tahun 1960an dan sebelumnya. Pasar ini mempunyai tiga buah bangunan, satu bangunan induk yang besar, sebuah pasar daging dan sebuah lagi pasar ikan yang terletak di kanan kiri pasar induk. Pasar induk itu dilengkapkan  dengan gerai-gerai kayu yang panjang, kalau tidak salah ingatan saya sebanyak enam buah untuk orang berjualan. Pasar induk ini digunakan untuk menjual barang-barang kering, seperti makanan, nasi dan kueh-mueh, sayur-sayuran dan sebagainya.


Pasar ini sebuah pasar terbuka, di mana di sebelah petangnya bila tidak ada orang berjualan, digunakan oleh kanak-kanak untuk melakukan berbagai-bagai aktiviti, seperti melompat dari gerai ke gerai, bermain haji, main kapalterbang, main berambat dan sebagainya.


Pasar ini pasar harian. Sentiasa penuh sesak dengan orang, sampai ke luar bangunan di mana penjual duduk atau mencangkung di atas tanah di satu kawasan lapang yang luas yang terletak di hadapan bangunan pasar dan dikapit oleh dua bangunan kayu memanjang di kiri kanannya hingga sampai ke tepi parit jalan raya. Bangunan panjang ini dgunakan sebagai kedai roncet atau kedai-kedai kopi, kedai emas, dan sebahagian kecilnya untuk tempat kediaman.


Saya pernah bekerja di pasar ini sebagai penyapu sampah. Bila penjual semuanya telah balik, dan selepas sekolah saya pun bekerja menyapu sampah. Upahnya seringgit sehari. Setiap hari wang upah itu saya serahkan kepada emak.


Nasi Belauk


Saya masih ingat di antara barang-barang jualan di pasar itu selain dari kueh-mueh ialah nasi belauk yang menggunakan gerai itu untuk tempat jualan dengan penjualnya duduk bersila. Alat pembungkus nasi masa itu ialah daun pisang benggala, dan pembungkus plastik masih belum ada lagi pada waktu itu.


Mok Wok


Seingat-ingat saya  seorang penjual nasi belauk dan nasi kerabu yang terkenal pada peringakt awalnya ialah seorang wanita yang dikenali dengan nama Mok Wok. Mok Wok ini isteri Hji Said. Nasinya cukup istimewa demikian juga tumis nasi kerabunya. Beliau duduk bersila di atas gerai.


Mok Nik Yam


Bila Mok Wok bersara, muncul pula Mok Nik Yam isteri Pok Nik Ya. menjual nasi belauk di atas gerai di Kedai Salor. Selain nasi belauk beliau juga menjual pulut pagi menisan atau gula melaka, dan menggunakan nyur atau kelapa parut. Pulut pagi beliau ini lemak dan manis. Sepuluh sen pun sudah cukup untuk makan sebagai pembasuh mulut selepas makan nasi belauk.


Mak Cik Wok


Selepas itu seingat-ingat saya tidak ada lagi penjual nasi belauk di atas gerai. Tapi timbul pula penjual nasi belauk yang juga popular, iaitu Mak Cik Wok isteri Sayid Agil yang dikenali dengan panggilan Abah. Beliau berjualan di kedai kopi kepunyaan keluarganya. Oleh sebab di kedai beliau ada jual minuman dan kueh-kueh, maka pelanggan-pelanggan lelaki akan makan di situ dengan minum teh atau kopi. Kueh-mueh itu diletak oleh para pengusaha. Nasi belauk beliau berlauk ayam gulai yang ringan dengan sambal lada burung yang menyelerakan. Saya kalau beli nasi bungkus, selalu minta sambalnya dilebihkan.


Di sebelah petang pula biasanya beliau membuat kueh bengkang yang amat masyhur  lemak dan manis. Biasanya belum masak lagi telah habis ditempah orang. Bengkangnya memang sedap.


Kak Nik Som


Selepas persaraan Mak Chik Wok muncul pula Kak Nik Som Abang Awang tukang rumah. Beliau adalah bekas penjual kanten Sekolah Salor sekian lama. Beliau tidak berjual di atas gerai dalam bangunan kedai, tapi di atas gerai di halaman rumahnya, iaitu satu petak daripada bangunan kayu yang panjang di bahagian belakang bangunan pasar, yang dibuat peneduh zink. Di sebalah rumahnya itu ada lorong memisahkannya dengan sebuah bangunan kecil sebuah lagi. Lorong itu bersambung dengan jalan menuju ke Sungai Kelantan di mana di hujung jalan sebelum sampai ke sungai, terletak rumah kami, Pak Cu Leh-Mak Su Munah. Beliau menjual nasi belauk gulai ayam dan gulai daging dan nasi kerabu. Nasi belauk beliau pun masyhur juga.


Saya pula setiap pagi sebelum ke sekolah membawa pulut bakar dan pulut lepa [pulut panjang] yang berinti sambal daging buatan emak saya, Mak Su Munah ke kedai kopi Abah untuk dijual. Sekadar kira-kira 40 biji pulut bakar dan pulut lepa habis dijual setiap hari. Sebelah petang pula saya pergi mengutip duitnya dan mengambil balik kiranya ada pulut yang berbaki.


Sebahagian daripada pulut emak itu saya bawa pula ke kanten sekolah untuk dijual. Tuan kantennya Kak Nik Som, dan mengutip wangnya bila habis sekolah, dan mengambil pulut jika ada yang berbaki. Begitulah setiap hari kerja saya selain dari belajar.

Pada sebelah petang selepas zohor, pula biasanya di atas gerai di bangunan indok Kedai Salor ada dua orang penjual kueh. Mereka adalah terkenal dengan nama Wok Mek dan Cik Bidah. Wok Mek terkenal dengan tepung bokol [talam] dan Cik Bidah pula terkenal dengan kueh lompat tikam, dua jenis kueh tradisional Kelantan yang rasanya cukup sedap.


Demikianlah sedikit coretan saya mengenai Kampung Salor, kampung yang sentiasa dekat di hati dan menjadi kerinduan saya. Generasi-generasi yang terkemudian, tidak tahu semuanya ini, apa lagi mereka pun tidak ingin mengambil tahu sejarah kampung mereka yang memang termasyhur dalam berbagai-bagai bidang itu, termasuk wanita yang comel-comel.


Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
PT.KB. Kelantan, Darulnaim.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP