TERKENANG MASA LALU
>> Tuesday, April 7, 2015
TERKENANG MASA LALU
“Terkenang semasa dulu
Hatiku merasa rindu
Mungkinkah dapat bertemu
Padamu cahaya mataku
Masa berganti masa
Hatiku tidak lupa
Terbayang di ruang mata
Wajah datang menjelma”.
R.Azmi Dalam:
“Terkenang Semasa Dulu”.
Dan yang tinggal hanya kenangan
TERKENANG ialah teringatkan sesuatu perkara yang telah silam atau tidak berada di hadapan mata lagi yang digauli dengan getaran-getaran perasaan yang tersendiri.
Biasanya setiap kenangan dibaringi oleh perasaan rindu. Rindukan seseorang, atau rindukan sesuatu yang telah berlalu.
Biasanya yang dikenang dalam rindu itu sesuatu yang telah hilang dan tidak akan menjelma menjadi kenyataan lagi.
Terkenangkan seseorang yang dicintai yang telah pergi buat selama-lamanya, yang tidak akan menjelma lagi kecuali sebagai bayangan dalam ingatan.
Bagaimana indah dan bahagianya ketika bersama. Tapi sekarang kebahagian itu
telah lesap, dan yang tinggal hanya kenangan. Terpisah oleh tabir ghaib yang
tidak dapat ditembusi.
Rindu yang tidak mungkin menjadi kenyataan lagi. Alangkah peritnya
menyimpan rindu seperti ini. Tapi keperitan itu kenikmatanya. Lagi perit
rasanya, lagi nikmat merindu. Lagi kuat merindu, lagi rancak terkenang.
Seperti pungguk merindukn bulan. Sampai bila pun, bulan tidak akan jatuh ke
riba. Tapi setiap kali bulan menggembang, si pungguk tetap berlagu sayu
merindukan bulan nun jauh di langit yang tinggi. Itulah kenikmatan merindu.
Bila orang terkenang, dia akan merindu. Dan bila merindu dia akan
terkenang. Terkenang dalam rindu dan rindu dalam kenangan.
Putus cinta bukan ertinya putus hidup. Cinta itu tetap ada. Hati kita setiap masa terbuka untuk menerima cinta. Kenangan dan kerinduan tidak menutup pintu hati kita, kecuali kita sendiri mengunci pintunya. Dalam hal ini, Allah tidak menghukum kita, tapi kita menghukum diri kita sendiri, kerana ketololan kita.
Justeru, janganlah dibiarkan sebarang kenangan dan kerinduan menimpakan kesan yang negatif. Buruk padahnya
Kita hidup di alam nyata, bukan alam impian. Kita berada di kalangan
manusia yang hidup, bukannya dalam alam kenangan yang tidak wujud di alam
nyata.
Kenanglah kiranya kenangan itu boleh membahagiakan kita.. Kenanglah kirangnya kenangan itu boleh mendorongkan kita bergerak lebih maju. Kenanglah jika kenangan itu memberi manfaat kepada kita.
Jangan sama sekali membiarkan kenangan itu merosakkan diri kita, melemahkan
semangat kita mengecewakan kita, menimbulkan rasa marah dan dendam.
Tapi kenangan yang boleh memberi kesedaran kepada kita, boleh menambah
keimanan kita, ketaatan kita keapda Allah, kerana semuanya berlaku dengan
ketentuan-Nya belaka. Itulah takdir. Terimalah hakikatnya.
Terkenang, terkenang juga. Rindu, rindu juga, tapi teruskan hidup sebagai
biasa, walau seribu kenangan mendatang.
Kenangan persis lautan
Kadang-kadang tenang
Kadang-kadang bergelora
Siapa yang lalai
Akan hanyut dibawa aurs
Seorang duda yang bijaksana selalu terkenangkan isterinya yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Dia tetap merindunya. Setiap kali terkenang, dia merasa kehibaan dan kesayuan mencuka hatinya. Terasa kepiluan menyucuk rasa. Tapi dia tidak membiarkan kenangan dan kerinduan itu merosakkan hidupnya. Membinasakan jiwanya. Dia sedar dia harus bangkit kembali membina hidup di atas kenangan dan kerinduan itu.
Sedangkan membina istana di kayangan pun tidak salah, malah itu adalah
kebiasaan.. Tapi selepas membinanya tegakkanlah tiang dan tapaknya, supaya istana
itu dapat tegak dengan utuh dan tidak runtuh menyembah bumi.
Ditinggal manusia tidak bererti apa-apa. Tidak mengapa. Tapi jangan sampai
ditinggal Allah, buruk padahnya.
Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment