AWAN-AWAN BERARAK DI ANGKASA

>> Monday, April 20, 2015




AWAN-GEMAWAN BERARAK DI ANGKASA

                                     Awan dipandang dari Pondok Rahmat  

Adakah anda sering mendongak ke langit? Apa yang anda nampak?
.

Di antara perkara yang ternampak oleh mata kita, ialah mata hari, bulan, bintang-bintang dan juga awan-gemawan yang berarak di angkasa.

Jika mata hari, bulan dan bintang-bintang hanya dapat dilihat di waktu-waktu tertentu sahaja, tapi tidak dengan awan, ia mungkin boleh dilihat di sepanjang masa berada di mana-mana sahaja di ceruk langit yang luas terbentang itu.


Allah berfirman, maksudnya:

“Tidakkah engkau melihat  bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia juga menurunkan [butiran-butiran]  ais dari langit iaitu dari [gumpulan-gumpulan awan  seperti] gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya  [butiran-butiran ais] itu kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkan-Nya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan pengelihatan”. An-Nur [24]-43.


Apakah awan?


Secara ringkasnya awan atau dikenali juga sebagai mega ialah kumpulan air yang bergumpal-gumpalan yang berterbangan di udara. Kumpulan air ini boleh bertukar menjadi air dan bila gugur ke bumi, di kenali sebagai hujan. Hujan itu dikatakan  air turun dari langit.


Awan-gemawan terjadi bila udara yang cukup lembap naik ke langit, dan bila sampai ke satu tahap ketinggian, udara lembap itu bertukar menjadi sejuk lalu membentuk wap air di mana sebahagian darinya  bertukar menjadi titisan-titisan air atau butiran-butiran ais yang kecil lalu membentuk awan.


Tegasnya awan itu terjadi daripada titisan-titisan air atau butiran-butiran  ais.



                                     Awan Di Cape Town

   Awan-gemawan itu ada berbagai-bagai warna bila terkena sinar mata hari, terutama di waktu mata hari muncul di ufuk pagi, dan waktu tenggelam di ufuk petang. Waktu-waktu itu alangkah indahnya suasana langit untuk dinikmati dengan hati dan perasaan.

Selain daripada beraneka warna, awan-gemawan juga mempunyai aneka wajah atau bentuk gumpalan yang tidak dapat dikira jumlahnya. Wajah-wajah awan-gemawan ini sering timbul dan hilang, bertukar ganti dari masa ke masa. Tidak pernah ada satu awan yang serupa dengan awan yang lain,  malah bentuknya selalu berubah-ubah.


Keadaan awan-gemawan itu berbeza-beza kerana berbezanya ketinggian dan sukatan suhu di mana awan itu terjadi di langit. Keadaan itu juga yang menyebabkan awan mengandungi berbagai-bagai habuk yang berbeza-beza.


Pakar-pakar Iklim atau cuaca mempunyai banyak pengetahuan tentang awan-gemawan. Mereka mengetahui di mana awan-gemawan itu suka berkumpul di angkasa, di mana hujan akan berlaku, dan hubungkaitnya dengan perkara-perkara lain dan sebagainya.



Awan Di Kampung Parit, Pasir Tumboh
 
Dan mereka juga memberi berbagai-bagai nama kepada kumpulan-kumpulan awan-gemawan itu untuk memudahkan pengecaman dan pengkajian mereka, terutama berhubung dengan keadaan cuaca. Malah awan-gemawan adalah menjadi petunjuk kepada keadaan cuaca.


Antara kumpulan-kumpulan awan-gemawan yang bertebaran di langit dan memberi alamat mengikut  Glenn T. Trewartha  adalah:


Jenis-jenis Awan Dan Alamatnya


Alamat Cuaca Baik Dan Buruk


Awan memberi alamt cuaca yang baik. Awan ini dikenali dengan nama Awan Sirus, keadaannya tipis menyerupai bulu burung, berbentuk serabut dan kelihatan lembut seperti sutera. Jika kumpulan awan ini berpecah dan tidak mempunyai bentuk tertentu di langit, memberi alamat cuaca baik.


Sebaliknya awan ini memberi alamt cuaca yang buruk jika ia tersusun seperti jalur-jalur, atau berhubungan pula dengan kumpulan-kumpulan awan lain, seperti awan sirustratus atau altostratus.


Awan itu letaknya setinggi lima atau enam batu lebih di atas permukaan bumi.


Semua awan-awan ini mengandungi butiran-butiran ais.


Alamat Kedatangan Ribut


Awan yang mengalamatkan kedatangan ribut ialah awan yang dikenali dengan nama  Sirustratus yang keadaannya membentuk hamparan putih yang menutupi semua permukaan langit.

Letaknya sangat rendah di atas permukaan bumi, iaitu kira-kira 2000 kaki sahaja, yang membentuk keping-keping kabus.


Alamat Hujan Lebat


Awan jenis ini memberi alamat hujan yang turun tidak berhenti-henti dan menimpa merata-rata tempat. Awan ini dikenali dengan nama Awan Altostratus yang keadaannya terhampar dengan warna kelabu dan kebiru-biruan.


Alamat Hujan Turun Tidak Henti-henti


Awan ini keadaannya padat , tidak berbentuk  dan biasanya serupa dengan lapisan awan rendah yang tidak tersusun rata, dikenali dengan nama  Awan Nimbustratus. Keadaannya tebal, gelap dan tidak berbentuk. Kemunculan awan ini menandakan hujan akan turun tanpa henti-henti.

Ia berada kira-kira satu batu daripada permukaan bumi.


Alamat Ribut Petir


Ada awan yang memberi alamat akan berlaku  hujan lebat dan ribut yang tiba-tiba, juga ribut petir dan kadang-kadang hujan manek, ia dikenali sebagai Awan Kumulonimbus yang membentuk kumpulan awan yang besar dan berat, tinggi tegak seperti kemuncak gunung.


Awan ini terletak kira-kira dua hingga empat batu di atas permukaan bumi


Awan ini terjadi daripada titisan-titisan air.


Awan Kepala Ribut



                                     Awan di sebuah pantai Di Arika Selatan
 
Ada sejenis awan boleh menjadi kepala ribut iaitu Awan Kumulus. Awan ini keadaannya tebal dan padat, dan timbul dari udara langit yang tinggi. Bahagian atas awan ini berbentuk seperti kubah atau seperti kubis, sementara bahagian bawahnya hampir rata.


Awan Tertinggi Di angkasa


Awan yang paling tinggi terletak di angkasa dikenali dengan nama Awan Noctilucent. Letaknya kira-kira  setinggi kira-kira 30 hingga 50 batu dari aras permukaan bumi.


Kabus

Kabus itu sebenarnya awan yang turun dan bersentuh dengan permukaan bumi. Justeru tidak ada perbezaan yang asas antara awan yang bertebaran di angkasa dengan kabus di bumi. Bila awan berada di atas  atau dekat dengan permukaan bumi, awan itu ditukar namanya kepada  kabus, bukan lagi seperti ketika berada di angkasa dipanggil awan.


Kepercayaan Orang Tua


Mengikut pengamatan orang-orang tua kita, bila kabus atau awan itu berada di atas permukaan bumi menandakan musim hujan masih belum lagi habis. Tapi jika kabus itu berada tinggi daripada aras permukaan bumi, hingga melitupi bukit- bukau, maka alamatnya musim hujan telah habis.


Di kalangan para petani kita dahulu, jika menanam ubi torak [sejenis ubi yang keadaan isinya besar dan gemuk-gemuk] hendaklah pada musim kemarau dan berawan. Pada masa menanam ubi itu hendaklah dipandang ke arah awan tebal yang bergumpalan di langit sambil membayangkan bahawa ubi  torak yang ditanam itu akan berisi dan gemuk seperti kumpulan awan-awan di langit itu juga.


Itulah antara rahsianya kita digalakkan memandang ke langit untuk mencari rahsia kebesaran Allah. Awan-awan yang berarak di langit pun mempunyai aneka rahsia yang tidak akan diketahui kalau tidak dikaji dan diteliti.


“Dan engkau akan melihat gunung-gunung, yang engkau kira tetap di tempatnya, pada hal ia berjalan [seperti] awan berjalan. [Itulah] ciptaan Allah]  yang mencipta dengan sempurna segala sesuatu. Sungguh Dia Maha Teliti apa yang kamu kerjakan”. An-Naml [27]:88.


“Sesungghnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda [kebesasran Allah]  bagi orang-orang yang berakal”. Ali-Imran [3]:190.



Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP