BENARKAH JUARA SUKAN MEWAKILI BANGSA?

>> Saturday, April 25, 2015





BENARKAH JUARA SUKAN MEWAKILI BANGSANYA?


KESIHATAN amatlah perlu kepada kehidupan manusia. sukar untuk mencapai kemajuan yang ulung  tanpa kesihatan yang baik.


Justeru manusia memang berusaha unttuk mendapat kesihatan yang baik. Berbagai-bagai langkah mereka lakukan untuk mencapai tujuan tersebut.

                                           Medal sukan kepunyaan N.M.Syafiq Zaini


Salah satu cara untuk memperolehi kesihatan yang baik, ialah tubuh badan kita mestilah bergerak. Tidak boleh statis, diam dan kaku seperti orang yang mendapat keuzuran kerana ditimpa penyakit kronis.


Gerak-geri itu pula mestilah mencukupi. Ertinya hidup mesti cergas dengan melakukan berbagai-bagai aktiviti yang wajar.


Untuk menjalani kehidupan seharian berbagai-bagai aktiviti manusia lakukan. Tidak mencukupi dengan kegiatan-kegiatan hidup yang lumrah itu, seperti berjalan-jalan, menjalankan berbagai-bagai pekerjaan, mereka juga menambahkan lagi dengan berbagai-bagai aktiviti yang khusus untuk mendapatkan daya gerak fizikal mereka yang lebih cergas..


Maka dari ini, antaranya lahirlah apa yang dinamakan sukan, atau olahraga yang merupakan bidang yang tersendiri dalam kehidupan manusia. Berikut dengan kemajuan yang dicapai oleh manusia, mereka menciptakan berbagai-bagai  jenis olehraga yang berbeza-beza, seperti sukan bola, badminton, berenang, melompat, berlari dan sebagainya daripada ratusan sukan yang telah diciptakan.


Kemudian bila mereka bertambah maju, mereka berusaha pula untuk mencari atau memilih yang terbaik atau terpandai  dalam melakukan aneka jenis sukan itu. Mula-mula diadakan diperingkat kampung, daerah, negeri, negara dan seterusnya peringkat benua dan menjangkau peringkat dunia.


Maka dengan itu lahirlah juara-juara olahraga di peringkat daerah, negeri, negara dan dunia dalam serbaneka sukan yang mereka tetapkan. Seperti juara badminton, juara bola sepak, juara lumba lari, juara berbasikal, juara melompat jauh dan sebagainya.

Juara-juara ini muncul selepas berjaya menciptakan kejayaan dan menumpas pecabar-pencabar lain yang menyertai sesuatu pertandingan di berbagai-bagai peringkat, dan akhirlah juara dunia.


Kejayaan-kejayaan mereka capai itu boleh mengharumkan nama negeri atau negara yang mereka wakili. Merela akan disanjung, dan negara mreka akan terkenal bersama dengan keharuman nama mereka.

Sebenarnya untuk melahirkan juara-juara sukan itu tidaklah mudah. Ia memerlukan usaha-usaha yang khusus, termasuklah latihan-latihan yang wajar yang menelan masa dan perbelanjaan yang bukan sedikit terutama dari kerajaan yang mereka wakili.


Oleh itu memanglah wajar mereka yang menjadi wira itu diberikan sanjungan dan penghormtan oleh rakyat dan negara yang mereka wakili. Nama-nama mereka yang harum itu akan disebut-sebut dan mereka akan dimuliakan, terutama oleh peminat-peminat sukan.


Selain daripada dikurniakan dengan pengharagaan, medal atau pingat-pingat dan gelaran-gelaran kemuliaan, maka mereka juga sering dikurniakan dengan hadiah wang ringgit yang lumayan oleh pihak penganjur dan juga negara yang mereka wakili.


Andainya juara-juara itu dapat mempertahankan kejuaraan mereka selama beberapa tahun berturut-turut, maka keududukan mereka bertambah stabil dan nama-nama mereka kian bertambah harum dan kian dihormati sebagai mereka yang telah berjaya mewakili negara dalam sukan-sukan tertentu dan berjaya mengharumkan nama negara itu.


Benarkah Juara Sukan  Mewakili Bangsa?


Namun begitu bukan semua orang mempunyai pendapat yang sama bersedia menerima hakikat bahawa olahragawan adalah wakil bangsa dan negara, dan bagi mereka olahragawan adalah mewakili diri mereka sendiri sahaja.


Umpamanya Taufiq Al-Hakim seorang tokoh penulis Mesir yang terkenal pernah menegaskan, “Jaguh-jaguh sukan hanya mewakili diri mereka sendiri sahaja dan bukan mewakili bangsanya”.


Beliau berhujah, “Jika seseorang yang mempunyai kesediaan fizikal yang baik dan utuh, kemudian diberi latihan-latihan yang sewajarnya, maka dia mungkin dapat mengatasi jaguh-jaguh sukan yang lain, kerana badan itu satu sahaja baik dari apa bangsa sekalipun”.


Seterusnya beliau membandingkan dengan tokoh-tokoh yang terdapat dalam bidang ilmu dan kebudayaan. Katanya, “Tetapi keadaan berlainan di bidang kebudayaan, keilmuan dan kesenian, kerana jaguh-jaguh dalam bidang-bidang ini tidak mewakili tubuhnya sahaja, malah ia mewakili seluruh nilai kebudayaan, keilmuan dan kesenian bangsanya, kerana mereka sebetulnya merupakan intisari dari sejarah kebudayaan dan keilmuan yang tumbuh subur di dalam tanah airnya sejak ratusan tahun yang lampau, kerana di sebalik jaguh-jaguh ilmuan dan seniman terdapat pusaka-pusaka perkembangan keilmuan dan kesenian yang kaya dilalui oleh bangsa itu”.


Dan seterusnya beliau berhujah lagi, “Seandainya seseorang ilmuwan atau seniman melahirkan sesuatu ciptaan, maka itu bukanlah bererti bahawa dia telah memperlihatkan kejaguhannya dalam bidang-bidang itu, malah ertinya yang sebenar ialah perkembangan keilmuan dan kesenian di negeri itu telah tiba pada tahap yang membolehkannya muncul di tengah-tengah kemajuan bangsa-bangsa yang lain”.


Demikian mengikut Taufiq al-Hakim seorang tokoh sastrawan Mesir yang terlenal yang lahir pada 9 Oktober 1898 dan meninggal pada 26 Julai, 1987. Beliau adalah seorang penulis moden Mesir yang terkenal dalam bidang penulisan novel dan tokoh drama.


Terserahlah kepada anda untuk menilainya.



Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP