SEMARAKKAN IMAN, JAUHKAN MAKSIAT

>> Monday, October 20, 2014






MARI KITA SEMARAKKAN IMAN





“Saya percayakan Allah”.


Kata-kata itu merupakan pengakuan bahawa dia orang yang beriman.


Ertinya dia telah mengenal dirinya, dan Penciptanya, iatu Allah.


Itulah sebabnya percayakan Allah merupakan tangga pertama kepada rukun Iman enam berkara.


Ianya tersusun dari:


-Percayakan Allah


-Percayakan sekalian Malaikat.


-Percayakan sekalian kitab.


-Percayakan sekalian Rasul.


-Percayakan Hari Kemudian, iaitu Hari Kiamat.


-Percayakan untung baik dan jahat daripada Allah SWT.


Tapi haruslah diingat mengatakan “saya percayakan Allah” atau pengakuan “saya seorang beriman” semata-mata tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan amalan atau perbuatan yang sejajar yang dengan kerangka iman itu. Tegasnya ia mesti disertai oleh amal perbuatan.


Amalan-amalan itu ialah mematuhi segala perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya, seperti perintah mendirikan solat, puasa bulan Ramadan, dan menjauhi larangan-larangan seperti berzina, merompak, menipu dan sebagainya dari jenis-jenis yang dikelaskan sebagai dosa oleh agama.


Jika segala perintah-perintah itu tidak dipatuhi maka tidaklah sempurna iman seseorang.


Malah itulah sebabnya ada ulama-ulama berpendapat bahawa orang lelaki yang dengan sengaja meninggalkan kewajipan bersolat bererti secara automatik telah bercerailah dia dengan isterinya.


Apa ertinya mengaku diri beriman, tapi tidak sembahayang? Apa erti mengaku diri beriman, tapi enggan membayar zakat hartanya sebagai diperintahkan? Apa ertinya mengaku diri beriman, tapi tidak berpuasa dalam bulan Ramadan?


Maka Bapa’ HAMKA lalu membuat kesimpulan, “Ini adalah pertanda bahawa pengakuan [beriman-p] belum betul, kepercayaan belum duduk, ertinya iman belum ada! kalau iman belum ada nescaya Islam pun belum ada!”.


Cahaya Iman


Iman itu mempunyai cahaya, iaitu Cahaya Iman yang amat hebat. Menurut Bapa’ HAMKA, Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa iman itu ada mempunyai beberapa ukuran, iaitu ukuran biasa, ukuran tinggi dan ukuran lebih tinggi.


Diibaratkan seorang Mukmin berdiri di bumi Mekah, cahayanya dapat bersinar jauh ke Selatan, sampai ke Shan’ak di negeri Yaman, sampai ke utara di Negara Iraq. Malah ada yang lebih dari itu lagi, cahayanya meliputi seluruh muka bumi.


Tegas beliau, “Cahaya iman Muhammad meliputi seluruh langit dan bumi, dan cahaya Allah meliputi seluruh alam yang kelihatan dan yang ghaib”.


Tapi sebaliknya, ada pula orang yang cahayanya di sekeliling dirinya sahaja, ada pula yang tidak mempunyai cahaya langsung, dan ada pula mereka yang dulunya mempunyai cahaya tapi dicabut Tuhan cahaya itu kerana telah dikotori oleh perlakuan maksiat atau dosa yang dilakukannya yang memang amat mudah mengotori dan menghapuskan cahaya iman.


Cahaya iman itu bukan sahaja memberi cahaya hidup lahiriah sekarang, malah dapat memanjangkan umur dan membuat orang jadi kaya raya.


Sebagaimana kita semua tahu umur manusia telah ditentukan Allah sejak azali lagi, dan ia tidak dapat ditambah atau dikurangkan. Orang yang ditakdirkan berusia enam puluh tahun, tidak dapat ditambah ataupun dikurang lagi walaupun sedetik. Demikian juga dengan rezeki, kalau sudah ditetapkan sekilo ia tidak akan jadi dua kilo  atau dikurang jadi setengah kilo.


Tegas beliau, “Semua sudah tertulis dengan pasti dalam Ilmu Tuhan. Tetapi dengan iman, bukan sahaja cahaya cemerlang jadi bertambah, bahkan umur dapat bertambah panjang dan rezeki dapat berlipat ganda jadi kaya raya. Iaitu nilai umur itu dipanjangkan dan nilai harta itu dipertinggi”.






Rasulullah SAW bersabda,


“Barangsiapa yang ingin agar umurnya itu berbekas panjang dan harta bendanya meluas lebar, hendaklah hubungkan silaturahim, ertinya kasih sayang, dengan sesama manusia”.


Telah disinggung di atas tadi bahawa perbuatan dosa atau maksiat itu boleh menggelap hati, menghilangkan cahaya iman.


Dalam hal ini kita sering lupa bahawa dosa itu bukan sahaja kesannya menimpakan diri si pendosa sahaja, orang yang bermkasiat sahaja, tapi ia boleh menimpakan kesan buruk yang lebih luas kepada orang-orang lain yang tidak berdosa sekalipun.


Itulah sebabnya Allah SWT memberi amaran kepada umat manusia supaya menjauhi perbuatan-perbuatan dosa atau maksiat yang boleh membawa kepada kemusnahan dan kecelakan kepada dunia ini.


Allah berfirman, maksudnya, “Dan jagalah diri kamu daripada melakukan dosa [yang membawa bala bencana] yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, [tetapi akan menimpa kamu secara umum]. Dan ketahuilah bahawa Allah amat berat azab seksanya


Oleh itu amatlah malang sekali, jika kita melihat ramai orang-orang Islam yang berani meminggirkan amaran Allah itu dengan sewenang-wenangnya, malah sesetengahnya merasa bangga berbuat demikian, mereka tidak segan-segan melakukan pelanggaran terahdap larangan-larangan Allah dan berbuat mungkar, maksiat dan dosa tanpa teragak-agak lagi.


Kerana itu tidaklah hairan akibatnya banyak berlaku berbagai-bagai bencana yang menimpa, mengakibatkan  berbagai-bagai kerugian yang besar ke atas nyawa dan harta benda manusia, seperti gempa bumi, ribut taufan, kebakaran, banjir besar, terpedaya dan tertipu, kemiskinan dan sebagainya yang begitu banyak untuk diungkapkan bencana yang sering menimpa umat manusia.

Oleh itu berhati-hati supaya tidak berbuat maksiat dan dosa yang bukan sahaja menzalami diri sendiri, tapi juga sekali gus menganiya orang lain yang tidak berdosa.



Sebaliknya marilah kita semarakkan iman kita, kuatkan iman kita, tingkatkan iman kita, dengan benar-benar menjadi orang Islam yang beriman yang patuh dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita kembali kepada Islam dengan seluruh jiwa raga kita. Itulah iman yang sebenarnya.

 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP