BUNGA-BUNGI CINTA DAN KEHIDUPAN

>> Thursday, October 16, 2014






BUNGA-BUNGA, CINTA DAN KEHIDUPAN



                                        Bunga Keladi


Ketika melintasi peti tv yang sedang dipasang, saya terpandang gambar seorang pemuda sedang berdiri berhadap-hadapan dengan seorang gadis. Sang pemuda dengan seyum melebar menghulurkan sejambak bunga kepada sang gadis yang disambut oleh sang gadis. Sebelum saya terus beredar, saya mendengar sang pemuda antara lain berkata, “Awak tahu kenapa lelaki memberi bunga kepada wanita?”. Kemudian saya mendengar dia sendiri menjawabya, “Kerana lelaki itu sayang dan cintakan wanita itu”.



                               Wajah mencantikkan bunga


Ya bunga, cinta dan kehidupan sudah lama berpilin dalam sejarah kehidupan manusia di seantero dunia.


Orang-orang tua kita zaman dulu, ketika mudanya menghadiah bunga kepada gadis yang dicintainya. Antara bunga yang sering dihadiahkan ialah bunga cempaka.


Sang gadis pula menyangkutkan bunga itu sebagai penghias sanggul di atas jemalannya.


Tapi awas! Bunga yang diberikan oleh seorang pemuda kepada seorang gadis itu bukanlah sekadar bunga. Biasanya ia telah dijampi atau didoakan supaya sang gadis jatuh cinta atau tetap teguh mencintainya.


Allahyarahmah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] seorang penggemar bunga. Berbagai-bagai jenis bunga ditanam dalam pasu untuk menghiasi halaman walaupun kecil, dan ada di antaraya masih hidup dengan utuh sampai sekarang, dan berbunga walaupun masa telah berlarutan puluhan tahun.


Setiap hari perayaan, seperti majlis perkahwinan dan setiap hari raya, mesti ada sejambak atau dua jambak bunga hidup yang diletak dalam jembangan khas penyeri meja. Bunga-bunga yang indah itu kami beli dan pilih dari kedai bunga.


Dan tradisi ini masih diteruskan oleh anak perempuan kami, Noorbati Zaini. Setiap ada majlis di rumah, mesti ada sejambak atau dua jambak bunga hidup menghiasi meja. Saya harap tradisi yang baik ini akan terus berkekalan. Antara lain ia akan mencetuskan kenangan yang indah terhadap bondanya.


Saya terkenang suatu peristiwa. Ketika zaman persekolahan dahulu, saya “berkenaan” dengan seorang gadis sahabat perempuan adik saya. Saya rasa saya pernah sampaikan perasaan saya itu kepadanya. Jarak rumah kami agak jauh. Kalau naik bas memerlukan dua pertukaran bas. Tapi gadis ini pernah datang ke rumah kami.




Pokok berduri, berbunga putih




Pada suatu ketika adik saya balik dari bertandang ke rumah gadis itu di B....., adik saya menyerahkan sekerak ranting pokok bunga sambil berkata, “WH.... kirim untuk Abang Zain. Dia kirim salam.....”.


Saya terus tanam batang pokok itu di tepi pagar di sisi beranda rumah. Alhamdulillah ia hidup malah berbunga, kecil-kecil bungnya berwarna biru. Dari sepokok saya kembangkan jadi dua pokok, dan hidup subur di situ berpuluh-puluh tahun lamanya.


Tapi sejak kebelakangan ini mungkin sudah tidak ada lagi, kerana telah dimusnahkan oleh orang yang tidak mengerti menilai bunga, iaitu bila rumah tua pusaka itu roboh merata dengan bumi.


Demikianlah secebis kenangan manis saya berhubung dengan bunga.


Femenona romantis sang pemuda memberi bunga kepada sang gadis seperti ini sudah tidak ada lagi hari ini. Tidak ada sisa-sisanya lagi.


Namun begitu, hari ini nampaknya, kian ramai orang yang sukakan bunga. Baik mereka sedari atau tidak sedari. Lihatlah, hari ini hampir tidak ada lagi rumah-rumah yang tidak berbunga. Pokok-pokok bunga yang aneka jenis itu telah dijadikan penghias rumah dan laman-laman mereka.


Di kota-kota dan di bandar-bandar pun penuh berhias dengan pokok-pokok bunga yang menerbitkan warna aneka warna yang menambahkan keindahan pandangan sekitar.


Kebanyakan pembahagi-pembahagi jalan pun dihias dengan pokok-pokok bunga. Mungkin dari jenis pokok yang berbunga dan mungkin juga tidak. Banyak pula pokok-pokok itu dibentuk keadaannya dalam perkataan atau merupakan sesuatu benda.


Tidak berapa lama dahulu salah satu acara menyambut kunjungan para tetamu yang dihormati ke sesuatu majlis sering disambut dengan taburan bunga-bunga di kaki mereka. Bunga-bunga itu ditabur oleh gadis-gadis jelita yang berbaris di laluan mereka dengan kepala hanyanya ditudung dengan bunga-bungi.


Pandangan yang memilukan.


Rumah anda mungkin berbunga. Setidak-tidaknya bunga yang ditanam dalam pasu-pasu sebagai penyedap mata memandang.


Janganlah anda terkejut jika ada sejarah bangsa-bangsa di dunia ini ada kaitannya dengan bunga-bunga tertentu.


India mempunyai pertalian sejarah dengan bunga bakung.


Bangsa Arab mempunyai ikatan sejarah dengan bunga zahrahnya.


Bangsa Indonesia terpilin sejarahnya dengan bunga melati.


Bangsa negara Matahari Terbit terjalin sejarahnya dengan bunga Sakura yang memang terkenal itu.


Negara kita Malaysia dipintal sejarahnya dengan Bunga Raya.


Tentulah ada sebabnya yang istimewa  kenapa candakiawan kita memilih bunga raya sebagai bunga kebangsaan kita?


Bunga raya tidak tahan lama jika dipotong dari pokoknya. Ia segera lembek dan runduk walaupun batangnya dibenam dalam air. Berbau pun tidak. Kerana itu ia tidak dapat dijadikan hiasan meja.


Pada umumnya bunga-bunga itu mempunyai dua jenis bau, iaitu wangi dan tidak wangi. Bunga-bunga yang wangi itu biasanya memancarkan semerbak kewangiannya secara autokmatik bila sudah berkembang. Tapi bunga yang berbau busuk, biasanya perlu disentuh atau diusik terlebih dahulu untuk mencetuskan baunya yang busuk itu.


Hari ini pengobatan menggunakan bau-bau atau aroma kian popular di kalangan manusia. Antara aroma itu diperolehi daripada berbagai-bagai jenis bunga-bungi yang sesuai dengan penggunanya.


Aroma-aroma itu bukan sahaja dihidu kewangiannya seperti air wangi, tapi juga dinikmati kewangiannya dengan mandi-mandi bunga.


Aroma bunga-bunga itu boleh dibuat sendiri kalau anda mempunyai bekalan bunga yang wangi. Bau-bau wangi itu dapat mempengaruh perasaan dan fizikal mereka yang terlibat.


Demikianlah sekelumit tentang bunga-bungi dalam kehidupan manusia. Ia mempunyai rahsia yang tersendiri, Yang mengandungi rahsia Yang Maha Pencipta dan Maha Agong



                              Bunga cantik, belum pasti baunya sedap

“Cubalah perhatikan keindahan bunga yang mekar, yang menerbitkan tenteram dalam jiwa melihat warnanya yang indah pilihan: merah, merah jambu, hijau laut, kuning, lembayung dan lain-lain. Yang tak kuasa tangan menirunya. Sekuntum bunga yang kita lihat, yang baunya kita cium, yang kita pelihara dalam jembangan dengan perasaan halus, mempunyai rahsia yang amat dalam, menunjukkan kehalusan pekerajaan kuasa yang menitahkan adanya”.


“Keindahan didijadikan ilmu, tapi tdak dapat ditiru ditauladan. Keindahan hanya dapat dirasakan. Bunga yang telah kekurangan air penyiram, yang mulai tunduk laksana berhati hiba, yang berserak di lantai terpijak-pijak, adalah menyedarkan perasaan halus, menumbuhkan reda dan cinta dalam hati, hendak berkenalan dengan pengarang dan pengubahnya”.


Dan seterusnya, “Perasaan hati tak dapat dibuktikan oleh pengelihatan dan perasaan tapi ilmu tidak mahu berhenti hingga itu sahaja. Ilmu hendak menyelami rahsia itu lebih dalam. Maka terbukalah bagi akal barang yang ghaib bagi mata, terdengarlah oleh hati barang yang tidak didengar oleh telinga. Maka pada akhirnya ilmu pengetahuan telah beroleh pendapat, bahawasanya tumbuh-tumbuhan atau bunga-bunga itu mempunyai kehidupan pula”.


Demikian bisik Bapa’ HAMKA.


Demikianlah bunga dalam cinta dan kehidupan manusia sekadar renungan.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP