AIDIL-ADHA DI TEBING SUNGAI SALOR

>> Monday, October 6, 2014






 AIDIL-ADHA DI TEBING SUNGAI SALOR


Pagi Aidil-Adha kelmarin kami berada di pinggiran Sungai Kelantan. Kami sampai di sana selepas Solat Sunat Aidil-Adha di salah sebuah masjid yang tidak berapa jauh dari situ.

Lokasi kami berada itu di Kampung Kedai Salor di tepi rumah “Pak Su Sulaiman”. Di situlah lembu korban akan dikorbankan. Hanya ada dua ekor lembu yang dikorbankan pagi itu di situ. Rumah Pak Su betul-betul terletak di tebing sungai, hanya beberapa langkah sahaja untuk sampai ke pinggirnya.


Arah ke atas sedikit, di atas pinggir terletak rumah kami, dimana sejak dari kecil hingga dewasa di situlah kami tinggal bersama dengan ibu, ayah dan saudara-saudara kami. Rumah pusaka. Tapi rumah itu sekarang sudah tidak ada lagi, ia telah runtuh dimamah masa yang berlalu dengan pentas.


Hari ini seluruh rumah papan yang besar itu telah musnah. Di atas runtuhannya itu telah ditumbuhi subur oleh hutan-hutan kecil dan pokok-pokok menjalar. Yang tinggal hanya tangga siminya yang berwarna hijau cera.






Kami mengambil kesempatan sekejap meninjau tapak rumah pusaka yang roboh itu. Terasa juga kesayuan mencuka hati. Banyak peristiwa suka dan duka disimpan oleh rumah yang runtuh itu yang masih hidup dalam kenangan kami.


Pada masa yang lalu, tebing sungai itu terletak jauh dari tempat kami berada sekarang. Ada tanah-tanah kosong yang ditanam dengan beberapa batang pokok kelapa yang tingginya menjulang ke langit. Tapi hari ini tanah-tanah itu telah runtuh di telan sungai dan hari ini merupakan sebahagian dari Sungai Kelantan yang mengalir ke laut.


Sebenarnya telah berekar-ekar tanah di pinggir sungai telah hanyut ditelan sungai, terutama pada musim tengkujuh air sungai pasang, dan kadang-kadang melimpahi tebing sungai membanjiri tempat-tempat lembah.


Di situ ada kawasan berpasir yang melandai sampai ke gigi air, di mana di situlah tempat kami dan penduduk-penduduk berhampiran mandi-manda dan mencucui pakaian. Setiap hari terutama di waktu petang ramai orang yang mandi manda, termasuk lelaki dan perempuan, dan anak-anak dara.


Di musim kemarau airnya cetek, hingga di tempat-tempat tertentu ada pasir yang timbul di tengah-tengah sungai yang sebelumnya tenggelam tapi di musim kemarau airnya cetek lalu pasisrnya timbul di permukaan air, yang kadang-kadang digunakan oleh kanak-kanak lelaki untuk bermain bola.


Tebing sugai tempat kami  berada pagi kelmarin tidak seperti dahulu lagil kerana tebing itu dibiarkan bersemak dan bersamun untuk mencegah tebingnya dari mudah terhakis oleh air yang sentiasa mengalir menuju ke laut. Beberapa perdu pokok buloh tumbuh subur, menjadi benteng kepada tebing daripada mudah dihakis air, sebagaimana dikatakan orang “seperti  aur [buloh] dengan tebing”.


Di tepi sungai yang telah runtuh itu dahulu terdapat seperdu pohon buloh minyak yang berbatang kecil dan tidak meninggi seperti buloh biasa atau buluh ulu kambil panggil. Ia dibiarkan tumboh subur di situ sehingga perdunya runtuh dan hanyut dibawa arus sungai.


Di bawah pohon buloh itu selalu ada sebuah gerai yang diperbuat daripada buloh tempat kami duduk berbual-bual pada waktu petang. Anak-anak muda dan juga orang-orang tua sambil menunggu  untuk mandi. Pada waktu petang, gerai itu terlindung dari timpaan sinar mata hari yang jatuh di selah barat yang melimpahkan cahayanya di permukaan air sungai.


Kami sering berdiri di tebing sungai di situ memerhati mata hari terbenam dengan bermainkan cahaya di ufuk petang yang mempesonakan.


Sering pula pada waktu malam terang bulan, khususnya di bulan mengambang kami anak-anak muda berkumpul di situ berbual-bual sambil menikmati sinaran cahaya bulan dan pupukan bayu malam yang menyegarkan.


Tapi semua itu sudah tidak ada lagi, tidak ada sebarang tempat lagi untuk kami berdiri melihat mata hari terbenam di waktu petang, kerana semunya sudah hanyut dibawa arus. Tebing-tebing baru ini pula penuh dengan semak dan samun menghalang pandangan.


Walau bagaimana pun tempat mengorbakan lembu pagi kelmarin suasananya damai dan menyegarkan. Daun-daun buloh dan pokok-pokok lainnya itu memayungi kami daripada ditimpa sinar mata hari. Rasanya nyaman dan dingin, necetuskan nostalgia zaman lampau.


Kami yang pada mulanya bercadang untuk memohon balik awal sebelum daging korban siap dilapah kerana sebab-sebab tertentu telah membatalkan niat itu dan hanya balik selepas semuanya selesai. Suasana keliling yang segar megesan pada perasaan dan hati.



Walau bagaimana pun kami dapat balik lebih pantas dari biasa, kerana kerja-kerja melapah lembu dapat diselesaikan dengan lebih pentas, kerana kami dibantu oleh beberapa orang yang bermurah hati menghulurkan bantuan keringat mereka. Terima kasih kepada mereka semua.


Dalam perjalanan pulang, kami teringat kepada khutbah hari raya iman muda di masjid pagi tadi. Dalam khutbah yang panjang itu, mengandungi banyak pesanan yang  berfaedah untuk dijadikan renungan. Antara lain katanya:


Orang hari ini biasanya merasa bimbang jika mereka meninggal dunia anak-anaknya tidak mendapat cukup makan atau kelaparan. Tapi mereka tidak merasa bimbang kesusahan yang akan mereka hadapi nanti kerana tidak membuat sebarang persiapan yang mencukupi untuk menghadapinya.


Kebanyakan ibu bapa amat gusar jika anak-anak mereka yang sedang belajar di sekolah-sekolah atau universiti gagal dalam peperiksaan, tapi mereka tidak merasa bimbang tentang nasib diri dan anak-anak mereka jika tidak lulus ujian di akirat nanti kerana tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.


Manusia berusaha keras siang dan malam untuk menjaga pekerjaan dan usaha mereka, supaya mereka tidak gagal dan jatuh muflis, tapi mereka tidak sedikit pun merasa bimbang nasib mereka jika diistiyarkan muflis nanti, di mana waktu itu tidak dapat ditebuskan lagi seperti di dunia hari ini.



Keneraan terus meluncur, dan sedar-sedar kami telah sampai ke rumah dengan seribu kenangan.


Ketika masuk ke kawasan rumah, suara takbir hari raya kedengaran bergema dari radion kenderaan yang baru dionkan dan kedengaran melantunkan dua baris ayatnya yang terakhir yang membawa erti:


“Tiada Tuhan melainkan Allah sendiri, benar janji-Nya, Dia menolong akan hamba-Nya, Dia menguat/mengagungkan tentera-Nya, dan Dia menghancurkan al-Ahzab.


Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”.


Amin

 






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP