PETANG YANG BERAHSIA

>> Friday, October 31, 2014






PETANG YANG BERAHSIA

                                     Pada suatu petang
HARI itu hakikatnya waktu atau masa. Satu hari ada dua puluh empat jam. Dan dalam masa tujuh hari kita katakan seminggu. Dan dalam empat minggu kita kata sebulan. Demikianlah seterusya ke tahun. Demikian masa berlalu.


Pada umumnya dalam masa satu hari itu kita bahagikan kepada dua waktu, iaitu siang dan malam. Siang itu cerah, ada mata hari dan malam itu gelap tanpa mata hari yang telah terbenam bila siang melabuhkan kelirnya.


Siang itu pula pada umumnya, kita bahagikan kepada waktu pagi dan petang, walaupun ada waktu tengah hari yang berada di tengah-tengah antara pagi dan petang.



                                     Langit petang
 
Kita hanya menyebut tengah hari bila kita hendak makan, iaitu “makan tengah hari”, dan kita tidak kata makan petang untuk makan tengah hari itu, tapi yang disebut ialah “lunch” dalam bahasa Inggerisnya.


Dari segi ibadat pula masa dua puluh empat jam itu dibahagikan kepada lima waktu, Maghrib, Isyak, Subuh, Zuhur dan Asar, di mana menandakan waktu umat Islam solat wajib lima kali sehari.


Namun begitu, dari segi peribatan juga waktu pagi dikatakan bermula dari waktu Subuh sampai kepada waktu Zuhur, dan petang pula bermula dari waktu Asar sampai kepada waktu Isyak. Maka dengan itu barang siapa yang tidak sempat menunaikan zikir mereka selepas solat Subuh, bolehlah melakukannya sehingga sebelum waktu Zuhur, demikian juga mereka yang tidak sempat berzikir petang selepas Asar bolehlah berzikir sehingga kepada waktu Isyak.


Kadang-kadang kita sebut juga “sore” untuk waktu petang atau “evening”. Kata-kata ini agak kesusasteraan sedikit. Di “ambang sore” maksudnya di ambang petang.



                                     Di ambang senja
 




Waktu petang adalah waktu penghujung hari siang, menjelang malam, atau di ambang malam. Malam tiba dengan didului oleh waktu Maghrib. Alam akan mulai diserkup oleh kegelapan malam, di mana bola mata hari mulai terbenam di kaki langit senja yang mulai membentangkan sayapnya.


Ertinya kalau hari ini kita berusia empat puluh hari, maka bererti kita mungkin telah melalui empat puluh petang, atau kalau berusia empat puluh tahun bererti telah empat puluh tahun kita lalui waktu petang. Ia akan terus berlanjutan hingga ke akhir hayat kita.


Waktu petang banyak mempunyai rahsia yang tersendiri. Ramai orang terpesona dengan suasana waktu petang. Mereka kagum melihat mata hari terbenam di kaki langit dengan menebarkan warna warni berlakar-lakar di ufuk langit. Lebih-lebih lagi ketika mereka berada di pinggir sungai, di pesisir laut yang luas terbentang, di kemuncak gunung atau bukit, atau di pinggir padang yang saujana mata memandang,  di mana mereka dapat melihat mata hari terbenan di kaki langit senja. Kurniaan Allah yang Maha Bijaksana. Masya-Allah.

Sebenarnya kian ramai manusia yang terhibur melihat keindahan alam ciptaan Allah. Hatinya diliputi oleh ketenangan, perasaannya dibaluti keharmonian, dan jiwanya merasa aman dengan kebesaran Ilahi.



                               Rumah di tepi sawah waktu petang. Endah dan damai
 
“Carilah bahagia dalam rimba dan belukar, di lurah dan di bukit-bukit, di kebun-kebun dan di kayu-kayu, di daun-daun yang hijau dan bunga yang mekar, di danau dan sungai yang mengalir. Carilah bahagia pada sang suria, yang terbit pagi dan terbenam petang, pada awan yang sedang berarak dan berkumpul, pada burung-burung yang sedang hinggap dan sedng terbang, pada bintang-bintang yang berkelap-kelip dan tetap di tempatnya. Carilah bahagia di kebun bunga di dekat rumahmu, di bandarnya yang baru dibikin, di barisan tanamannya yang baru di atur. Carilah di pinggir sungai sambil bermenung, di puncak-puncak bukit yang didaki dengan payah, ke dalam lurah yang dituruni. Carilah ketika mendengar aliran air tengah malam, pada bunyi angin sepoi-sepoi basah, pada persentuhan dayu-dayu kayu ketika hendak lurut, pada cengkerik tengah malam dan bunyi katak di tengah sawah”.


Demikianlah nasihat Bapa’ HAMKA untuk mereka yang ingin mencari kebahagian yang boleh dinikmati dari segenap penjuru alam ini. Carilah di mata hari terbenam di ufuk langit, rasa-rasalah getaran-getaran perasaan dan hati anda ketika disentuh oleh suasana maya yang tidak dapat digambarkan itu.


Tapi sungguh malang hari ini, ketika sudah larut petang, menjelang Maghrib kita masih sibuk di luar-luar rumah, di pasar-pasar raya untuk membeli belah, berada di resturan-resturan sedang makan dan minum, di pawagam-pawagam untuk menonoton filem, di dewan-dewan untuk menonton pesta-pesta hiburan, berada di padang-padang atau di gelangang-gelanggang ralek dengan aneka permainan, dan hiburan. Biasanya Maghrib pun entah ke mana berterbangan dengan kelekaan yang dibuai-buai oleh syaitan.


Anak-anak kita pun kita biarkan mereka berada di luar rumah, leka bermain-main di medan permainan, di halaman-halaman rumah dan sebagainya walaupun senja telah lama bertandang ke alam jagat ini.


Sekiranya berada dalam rumah sekalipun, kita masih berlonggok-longgok di depan kaca TV, menoton tayangan yang sepakat kita sukai, dengan hilai dan ketawa, walaupun azan di kaca tv lama telah hilang, hinggalah sampai waktu Isyak.


Kita sebenarnya bukan mencari kebahagian, tapi kita sedang menggali lubang musibah untuk kita terjun bersama ke dalamnya, tanpa merasa takut dan gentar.


Kita lupa kepada nasihat Rasulullah SAW yang berpesan supaya kanak-kanak kecil  berada dalam rumah bila telah tiba waktu petang atau Maghrib, kerana pada waktu itu semua jenis makhluk halus keluar dari sarangnya untuk mencari rezeki dan menjadikan manusia sebagai mangsa gangguan mereka.


Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda, “Apabila malam menyelubungi, maka tahanilah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah dan tutuplah bekas-bekas makanan dan sebutlah nama Allah biar pun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya”.-H.R.Bukhari.


Beberapa orang pengail ikan, termasuk seorang imam masjid, pernah memberitahu saya bahawa menjelang waktu Maghrib, biasanya jurang-jurang mereka banyak mengena ikan, hinggalah sampai waktu Isyak. Ini menyebabkan mereka sentiasa tertangguh-tangguh untuk pergi solat Maghrib kerana kail mereka mengena, walaupun sebelumnya tidak ada seekor ikan pun yang menelan mata kailnya. Sedar-sedar azan Isyak telah berkumandang. 


Pak Iman itu mencabar saya supaya mencubanya sendiri kalau saya tidak percaya. Ini semua tipu daya syaitan untuk mengalih ingatan manusia kepada Allah dan terus berada dalam kesesatan.



                                  Awang senja mulai berkumpul memayungi maya
 

Demikian juga mengikut pengamatan kami. Bekalan Internet di sekitar kawasan  kami ini memang amat tidak memuaskan. Kadang-kadang sehari suntuk tidak ada. Tapi biasanya menjelang waktu Maghrib bekalannya bukan sahaja ada, tapi juga  laju pula. Kalau kita tidak hati-hati kita meungkin terperangkap, dan hilang waktu solat Maghrib atau lewat untuk solat kerana untuk merebut bekalan Internet yang agak memuaskan waktu itu. Sebab selepas itu belum pasti keadaannya akan pulih.


Apakah ini semua secara kebetulan?


Justeru, janganlah kita kedekut untuk memohon perlindungan kepada Allah yang Maha Berkuasa.


“Ya Allah! Sesungguhnya pada petang ini aku mempersaksikan kepada-Mu dan aku mempersaksikan Malaikat yang memikul Arasy-Mu, Malaikat-malaikat dan semua makhluk-Mu bahawa sesungguhnya Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Mu dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Mu”.


“Ya Allah! Dengan pertolongan Engkau kami berada di petang ini dan dengan kekuasaan Engkau kami hidup dan mati, dan kepada-Mu tempat kembali”.




Read more...

NASI BELAUK DAN NASI BUNGKUS FENOMENA BARU

>> Monday, October 27, 2014




NASI BELAUK DAN NASI BUNGKUS FENOMENA BARU



Sejak kebelakangan ini telah lahir satu fenomena baru dalam masyarakat Kelantan, iaitu fenomena nasi belauk, nasi bungkus untuk sarapan pagi.


                                         Nasi belauk dikat dengan getah


Orang yang pernah datang ke Kelantan tentu pernah mendengar perkataan “nasi belauk” dan “nasi bungkus”.


Nasi belauk bermaksud “nasi yang ada lauk” yang dimakan bersama nasi, seperti ikan, ayam atau daging dan sebagainya yang digulai, digoreng dan sebagainya.


Tapi bagi orang Kelantan, makna ”nasi belauk” itu lebih jauh sedikit dari itu. Ia tidak sekadar bermakna nasi yang ada lauk, kerana semua orang pun tahu setiap nasi yang hendak dimakan pasti ada lauk-lauk tertentu. Tidak ada nasi kosong tanpa lauk untuk dimakan.



Nasi belauk





Bila disebut nasi belauk ertinya nasi yang tidak mempunyai banyak bahan yang disediakan, sebagaimana hidangan biasa yang mungkin beberapa jenis lauk-pauk, sayur-sayuran dan juga bahan penyicah, seperti sambal atau budu. Tapi nasi belauk tidak mempunyai banyak varitinya dalam hidangannya selain dari lauk. Kalau ada pun mungkin sedikit sayur seperti kacang atau timun yang dimasak dengan lauk-lauk tersebut, ataupun disediakan timun mentah, sehiris dua sebagai ulam dalam satu hidangan nasi belauk.


Justeru bila disebut nasi belauk, bererti ianya tidak dihidang dengan beberapa buah pinggan, tapi menggunakan sebuah pinggan sahaja yang disikan dengan nasi, diletak lauk di atasnya, sambal dan sedikit ulam. Itu sahaja.


Oleh itu bila ada orang berkata, dia makan nasi belauk sahaja di rumah, maka bererti dia makan nasi dengan begitu simpel sekali, tanpa aneka hidangan. Ia menunjukkan dia makan nasi dengan lauk yang diletak di atas nasi dalam sebuah pinggan sahaja.

Biasanya pada masa yang lalu bila disebut nasi belauk ertinya ialah nasi yang dijual oleh peniaga-peniaga  nasi belauk, biasanya kalau di kampung-kampung dijual di gerai-gerai khusus yang di didrikan di ditepi-tepi jalan, atau di dekat-dekat rumah, mungkin juga di kedai-kedai kopi kampung atau warung-warung.


                                         Pelanggan di sebuah kedai makan


Tapi hari ini nasi belauk telah di jual di restauran-restauran, atau di kaki-kaki lima restauran, di mana selepas memeblinya mereka boleh makan di dalam resturan yang menyediakan berbagai minuman kesukaan ramai.


Pada masa yang lalu pembungkus nasi belauk ialah daun pisang. Daun pisang yang digunakan untuk pembungkus nasi belauk ialah daun pisang Benggala. Daun pisang jenama lain tidak begitu sesuai sebagai pembungkus kerana daunnya keras dan mudah koyak. Tapi daun pisang Benggala keadaannya lembut dan lebih tahan koyak.


Tapi kemudian daun pisang Benggala pun kian sukar untuk diperolehi, kerana tidak ramai orang yang gemar menanam pokok pisang Benggala, kerana itu harganya tinggi. Oleh itu untuk pembungkus  nasi belauk, penjual-penjual menggunakan kertas-kertas akhbar sebagai lapisan kedua pembugkunsnya yang diletak di lapisan bawah di mana di atasnya diletak daun pisang untuk diletakkan nasi di atasnya.


Kemudian bila semacam plastik  pembungkus makanan khas direka, maka penjual-penjual nasi belauk menggunakan pembungkus plastik tersebut untuk membungkus nasi, tanpa menggunakan daun pisang yang memang mempunyai aromanya yang tersendiri yang tambah membuka selera.


Biasanya sebagai penggemas bungkusan nasi belauk itu pada masa yang lalu penjual-penjual nasi belauk menggunakan lidi yang dipotong pendek-pendek dan ditajamkan kiri kanannya kemudian dicucuk pada daun pisang tersebut. Tapi sejak ke belakangan ini mereka telah menggunakan getah bulat sebagai penggemas bungkusan nasi, dan juga menggunakan paku untuk menyucuk bahagian atas bungkusan nasi itu sebagai ganti lidi yang agak sukar untuk diperolehi sejak kebelakangan ini.  Bila hendak makan, pencucuk lidi atau paku itu akan dicabut dari pembungkus nasi.


Selain itu biasanya hari ini nasi belauk tidak lagi dibungkus, tapi dihidangkan dengan pinggan, atau pembungkus plastik tanpa perlu dibungkus untuk dibawa pergi, kerana pembeli terus memakannya  di warung itu juga.


Ketahanan nasi belauk yang dibungkus itu dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat. Ada nasi belauk yang tahan lama tidak rosak atau basi, iaitu dari pagi sampai ke petang tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk; ada juga yang tahan dari pagi sampai ke tengah hari masih belum basi, tapi ada pula yang cepat basi yang bila menjelang tengah hari. Ini kerana terpengaruh kepada beberapa faktor, antaranya kerana keadaan nasi itu sendiri, dan kedua mungkin kerana gulainya dimasak tidak cukup teliti. Tapi kalau dimasukkan ke dalam peti sejuk  ia tahan lebih lama, dan bila hendak makan hendaklah dipanaskan.


Di Kelantan hari ini, khususnya di bandar Kota Bharu ada beberapa jenama nasi belauk, dan beberapa kedai menjual nasi belauk yang popular. Kedai-kedai yang menjual nasi belaku setiap hari ramai dikerumuni oleh pemakan-pemakannnya, termasuklah para pelancong yang turut meramaikan kedai makan itu.


Ada kedai-kedai nasi belauk yang laris ini menyediakan nasi yang mereka masak sendiri, tapi ada sebahagian daripadanya menempah nasi-nasi bungkus yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha lain, dan ada  sesetengah gerai yang menjual nasi  belauk bungkus yang disedikan oleh mereka sendiri.


Ada kedai yang  menyediakan aneka jenis nasi bungkus dan kueh-kueh yang dibekalkan oleh pengusaha-penguasa yang memang telah ternama dan menjadi rebutan pembeli untuk bersarapan. Kedai-kedai makan seperti ini mengumpulkan berbagai-bagai jenis bungkusan nasi dan kueh-kueh daripada pengusaha-pengusaha yang ternama untuk dipasar dan menjadi  pilihan pelanggan-pelaggan mereka.


Pada dua tiga hari yang lepas kami cuba mengunjung salah sebuah daripada kedai makan yang terkenal itu untuk sarapan, walaupun hari telah pukul sepuluh pagi lebih. Tapi pelanggan-pelangan masih ramai, kereta pun sukar untuk diparker dan semua meja telah dipenuhi. Di samping itu masih ramai lagi orang yang masih rela berdiri menunggu meja kosong. Nampaknya mereka telah lama menunggu tapi masih boleh bersabar.


Setelah melihat keadaan seperti itu kami terus beredar dari situ dan menuju ke sebuah kedai lain yang  juga ternama  yang letaknya agak jauh dari situ. Tapi bila kami sampai kira-kira pukul sebelas lebih, semua meja telah pun penuh dan orang-orang yang menunggu giliran untuk mendapat meja makan masih ramai berdiri.



Nasi tumpang dan teh tarik






Kami tidak lama di situ, dan terus beredar mencari kedai makan yang lain pula. Bila kami sampai di warung tersebut, pelanggan tidak begitu ramai lagi, dan ada dua buah meja yang belum dipenuhi. Cukup untuk kami.


Saya menjadi tertanya-tanya bagaimana kita manusia rela berkorban menghabiskan waktunya untuk mencari kedai-kedai makan dan bersedia pula untuk menunggu meja dikosongkan, bukan seminit dua tapi mungkin setengah jam lebih untuk mendapat meja makan yang akan dikosongkan. Mereka rela berdiri menunggu dalam keadaan yang tidak selesa sekalipun tanpa berungut.


Masya-Allah!


Alangkah baiknya kalau kita boleh bersikap begitu lapang dada dengan masjid, sabar dan bersedia menunggu tanpa merasa berat hati dan tanpa merungut di masjid.


Dan ketika bersedap-sedap dengan makan dan minum itu, selalulah ingat kerpada peringatan Allah, “Wahai manusia! Makanlah dari [makanan] yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-lagkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu". Al-Baqarah:168


 







Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP