RACUN DALAM DAUN TEMBAKAU
>> Monday, August 25, 2014
Pada masa dahulu kalau kita pergi ke kampung-kampung di Kelantan, kita mungkin dapat melihat, orang-orang tua, terutama kaum wanita mengepit tembakau yang digentel di antara kedua bibirnya. Perbuatan mereka itu dikatakan “songel” tembakau.
Menyongel
tembakau itu ada cara-cara tersendiri. Tembakau yang digentel yang diletak
antara dua bibir itu, sekali sekali digunakan untuk membersih gigi-gigi di
bahagian depan, menggosok-gosoknya dengan memegang tembakau itu menggunakan
jari-jemari. Kemudian tembakau itu diletak semula di celah bibir, dan sekali
sekala dihisap dan ditelan airnya. Menyongel lagi.
Tembakau tepek
Adalah dipercayai songel tembakau ini dapat membersih dan menguatkan gigi. Ia biasanya disongel selepas makan sirih. Ia hanya dibuang selepas pengyongelnya merasa puas.
Tembakau
yang digunakan itu adalah tembakau khas yang digunakan untuk menyongel.
Tembakau songel. Ia menggunakan tembakau keping yang dikenali dengan nama “tembakau
tepek”. Ia boleh dibeli sekeping-sekeping, dengan harga beberapa sen sahaja
pada waktu itu.
Tembakau tepek yang termasyur adalah tembakau Barat. Yang dimaksud dengan Barat itu adalah Selatan Thailand. Pada masa dulu, orang-orang Selatan Thailand dipanggil orang Barat atau orang balik Barat. Tembakau dari Thailand dikatkan tembakau Barat.
Tembakau tepek Barat dikatakan lebih khayal daripada tembakau tempatan, kerana itu harganya lebih mahal sedikit.
Selain daripada digunakan untuk mengyongel, tembakau tepek ini juga digunakan untuk menhisap rokok daun. Sebatang daun rokok kering, yang panjang tidak sampai sejengkal dibuka, dimasukkan tembakau, kemudian digolong, dengan bentuk yang tersendiri, di mana sebelah hujungnya lebih kecil dari hujung sebelah lagi. Sebelah hujung yang kecil itu digunakan untuk menghisap dengan meletaknay antara dua bibir dan sebelah hujung lagi yang lebih besar sedikit digunakan untuk dinayalakan api, kemudian barulah dihisap.
Sekarang, adalah sukar kepada kita untuk melihat orang menyongel tembakau atau menghisap rokok daun, kerana rokok sigret telah menakluki selera perokok di seluruh dunia.
Bahaya Tembakau
Sudah
lama rokok sigret menjadi sejenis bahan makanan yang popular sampai sekarang.
Ia sejenis makanan yang merbahaya, boleh merosakkan kesihatan perokok. Namun
begitu para perokok tidak merasa gentar dengan risiko tersebut, lalu mereka terus
merokok. Bagi mereka, sekali merokok tetap merokok.
Salah
satu bahan penting dalam pembikinan rokok ialah tembakau. Setakat yang
diketahui terdapat lebih daripada 70 jenis pokok tembakau di dunia ini, tapi
yang popular digunakan untuk dagangan ialah jenis yang dikenali dengan nama
N.tabacum. Daun tembakau setelah diproses dengan cara-cara tertentu, khususnya
dikeringkan. Daun tembakau dipetik daripada pokok tembakau yang ditanam di
ladang-ladang tembakau.
Mengikut
kajian dalam daun tembakau itu mengandungi bahan beracun yang dipanggil alkolid
nikotin, iaitu sejenis bahan perangsang.
Kita
tahu menghisap rokok boleh mengancam kesihatan. Ia boleh menimpa beberapa
penyakit kronis ke atas para perokok. Malah di samping itu, daun tembakau,
bahan penting untuk membuat rokok itu sendiri pun mengandungi bahan beracun
merbahaya yang mengancam kesihatan manusia yang terlibat dengan penggunaannya.
Ribuan
orang dilaporkan mati setiap tahun akibat merokok. Berbagai-bagai penyakit
kronik dikaitkan dengan merokok, antaranya kanser, darah tinggi, dan sakit
jantung, sakit kerongkong dan penyakit paru-paru.
Tapi
yang lucunya, rokok memberi pulangan keuntungan
yang besar kepada para peniaga dan menyumbang
cukai yang istimewa kepada kerajaan yang rakyatnya terlibat dalam proses penjualan, pembikinan rokok dan menjadi perokok.
Namun begitu
pendapatan yang tinggi dari segi keuntungan itu tidak berbaloi jika
dibandingkan dengan akibat buruk yang meimpa para perokok yang terpaksa ditanggung.
Sebagai contohnya mengikut laporan, di China pada tahun 1993, hasil cukai yang
dapat dipungut daripada tembakau ialah sebanyak 41 billion yuan, tapi menurut
jangkaan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung ialah sebanyak 65 bilion yuan
untuk sakit dan kematian kerana merokok.
Namun
begitu menrut Peter Macinnis, seorang penulis sains yang terkenal dari
Australia kadar itu masih rendah jika dibandingkan dengan nilainya yang sebenar
yang akan diketahui nanti, kerana nilainya yang sebenar harga merokok hari ini
hanya akan dapat diketahui dengan jelas dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun
akan datang.
Beliau
menggungkap sebuah kes yang menarik untuk direnungkan berhubung dengan bahan
pembuat rokok yang utama, iaitu daun tembakau. Perkara ini, sejauh yang
diketahui satu-satunya yang pernah terjadi pada abad sembilan belas yang lalu
ialah tentang seorang penyeludup yang membalut kulit di badannya dengan daun
tembakau untuk menipu daripada pembayaran cukai. Peluh-peluh dari badannya
telah melembabkan daun-daun tembakau itu, akibatnya dia mendapati semua
simfton-simfton keracunan niktoin yang teruk.
Malah
hingga ke hari ini, menurut beliau, pekerja-pekerja di ladang tembakau di North
Carolina mendapat semacam bentuk keracunan nikotin yang serius, iaitu penyakit
hijau daun tembakau, setiap tahun.
Di zaman
moden ini, keadaan yang tipikal berlaku selepas pemungut-pemungut daun tembakau
terdedah kepada daun-daun tembakau yang basah, di waktu pagi atau selepas
hujan. Mengikut sains, nikotin ialah sejenis bahan alkaloid dengan pentas meresap menerusi kulit.
Menurut beliau, sebagai penyakit perindusrian, penyakit ini mula direkdodkan pada tahun 1970. Pada musim menuai, daun-daun tembakau dipungut oleh pekerja-pekerja dari pokok-pokoknya yang ditanam berbaris dengan mengepit daun-daun yang telah dipungut itu di bawah ketiak mereka ketika mereka bergerak dari sepohon ke sepohon pokok. Mengikut para penyiasat ketika bergerak dari pokok ke pokok itu, baju-baju dan kulit mereka melekat dengan air-airan daun tembakau yang bergetah dan beracun itu. Demikianlah cara daun tembakau yang beracun itu berjangkit kepada manusia.
Semetelah pula, mengikut kajian perubatan bahagian bawah ketiak adalah bahagian badan manusia lebih banyak meresap bahan-bahan kimia daripada kulit bahagian yang lain. Perkara itu wajar diwar-warkan untuk pengetahuan para pekerja, dan juga para perokok untuk menyedarkan mereka bahawa apakah bendanya yang mereka sumbat ke mulut mereka itu?
Justeru jika anda belum merokok, janganlah mencuba untuk merokok. Dan kalau anda seorang perokok, berusahalah untuk berhenti merokok kerana ia sentiasa mendedahkan diri anda kepada bahaya. Sungguh pun dalam merokok itu ada kenikmatan, tapi ia merupakan kenikmatan yang merbahaya, yang harganya nanti jauh lebih panjang dan mahal daripada kenikmatan sekejap yang anda rasai itu.
0 comments:
Post a Comment