MEDICAL CHECK-UP BERKALA TIDAK DIPERLUKAN?

>> Saturday, August 23, 2014






MEDICAL CHECK-UP BERKALA TIDAK DIPERLUKAN?



Pada umumnya semua manusia ingin hidup sihat, khususnya sihat jasmaninya. Tegasnya dalam bahasa yang kurang psikologinya, mereka tidak ingin sakit. Kerana kesakitan menjadi batu pengahalang yang besar kepada seseorang untuk melakukan apa yang mereka kehendaki atau apa yang mereka inginkan, terutama sakit berat.



                                     Awas ketika makan

Kerana ada penyakit yang meletak mereka terlentang di ranjang, ada penyakit yang menghalang mereka bergerak, ada penyakit yang menghalang mereka untuk bekerja, menghalang mereka untuk bertugas, menghalang mereka untuk berbicara, untuk melihat, untuk mendengar, malah juga menghalang mereka untuk beribadat kepada Allah yang Maha Berkuasa. Oleh itu segala hasrat dan cita-cita seseorang yang menghidap penyakit mungkin terbantut atau musnah buat sementara atau selama-lamanya.


Kerana itu tidak ada siapa yang inginkan sakit, tegasnya secara positifnya semua orang ingin sentiasa sihat dan sejahtera. Dengan itu dapatlah mereka melakukan apa-apa yang mereka kehendaki dan cita-citakan. Justeru manusia melakukan berbagai-bagai perkara untuk kekal sihat dan dapat menjauhkannya dari sebarang penyakit.


Oleh itu manusia, dari segala peringkat, terutama di kalangan berpendidikan dan di kalangan mereka yang mementingkan kesihatan, akan berbuat apa sahaja untuk menjauhkan mereka dari penyakit dan sebaliknya sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.


Daripada sini timbullah segolongan manusia mengambil peluang daripada kebimbangan dan ketakutan manusia pada penyakit itu untuk meraih rezeki dengan berbagi-bagai cara yang mereka wujudkan. Kebanyakan mereka yang terlibat dalam bidang ini mencari rezeki dengan menjual ketakutan kepada manusia yang dijadikan mangsa.


Untuk mencapai kesihatan yang baik itu, manusia sanggup melakukan apa sahaja bagi membolehkan mereka menikmatai kelazatan dunia ini, lahiriah dan batiniahnya. Berbagai-bagai usaha mereka lakukan. Kadang-kadang melibatkan perkara yang menjijikkan, najis-najis dan juga melibatkan amalan-amalan yang bodoh dan karut-marut.


Antara amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh mansuia untuk mendapat kesihatan yang baik ialah bersenam, dengan berbagai-bagai jenis senaman, yang bermodal atau tidak bermodal, yamg menggunakan alat-alat sokongan atau tulang empat kerat semata, di tempat tertutup atau terbuka, beramai-ramai dalam kumpulan atau bersendirian.


Selain itu mereka juga memakan ubat-ubat tertentu, termasuk menelan vitamin-vitamin khususnya dari serendah-rendah harga membawa kepada secanggih-canggih harga yang didakawa oleh pembekalnya dapat menjamin kesihatan yang baik di sepanjang hayat. Maka dari situ lahirlah “Makanan Untuk Kesihatan” yang khsusus yang didakwa mengandungi cukup zat yang menjadi keperluan jasmani seseorang.


Makanan setiap hari juga tidak boleh sebarangan, kualiti dan kuantitinya mesti dijaga, supaya tidak berlebih atau tidak berkurang, di mana kedua-dua faktor itu boleh menimbulkan bencana pada badan. Dalam hal ini program yang paling terkenal ialah berdiet, kurangkan makan atau makan sekadar yang perlu, untuk mengelak perut menjadi buncit atau badan jadi gemuk yang boleh menyebabkan penyakit.


Dan satu lagi cara yang kian popular sejak kebelakangan ialah melakukan “medical chek-up”, atau pemeriksaan kesihatan secara berkala, setidak-tidaknya enam bulan atau setahun sekali. Pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh, meliputi segala jenis penyakit yang mungkin terdapat pada seseorang. Ia biasanya dilakukan oleh orang-orang kaya, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, dan ahli-ahli politik, orang-orang bangsawan dan seumpamanya.


Orang-orang ini di waktu-waktu tertentu akan menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan yang teliti untuk mengesan apa-apa penyakit yang sedang ditanggungnya; maka jika ada, rawatan segera boleh dilakukan, kerana rawatan segera itu boleh menyelamatkan nyawa.


Pemeriksaan itu, mungkin dilakukan oleh pakar-pakar di rumah-rumah sakit kerajaan atau di hospital-hospital swasta yang akan dikenakan pembayaran lumayan. Tidak menjadi masalah kepada mereka kerana pesakit yang diperiksa itu biasanya terdiri dari mereka yang duitnya bukan sahaja penuh dalam poket dan tersusun dalam laci, tapi dalam bank-bank.


Biasanya jika hasil pemeriksaan itu didapati pesakit menghidap apa-apa penyakit, maka akan dirujuk kepada pakar-pakar untuk menerima rawatan yang khusus. Dan kiranya tidak ada apa-apa penyakit yang ditemui pada pesakit, maka sang doktor akan memberi wejengan supaya pesakitnya terus menjaga kesihatan supaya kekal dalam keadaan yang baik. Biasanya doktor akan menasihatkan pesakit jangan buat itu dan jangan buat ini, atau hendaklah buat itu dan buat ini; ataupun makan itu dan jangan makan ini supaya badan kekal sihat.


Kadang-kadang tidak jarang pula nasihat-nasihat itu meragu dan mengelirukan dan tidak menyakinkan pesakit, ataupun di luar kemampuan mereka untuk mematuhinya, akibatnya mereka membelakanginya, khususnya dalam soal makan minum.




                                      Berhati-hati memilih makanan


Persoalannya adakah Medical check-up berkala itu diperlukan? Perlukah semua orang setiap enam bulan atau dua belas bulan sekali menyerahkan diri mereka kepada doktor untuk diperiksa secara terperinci, sebagaimana ibu-ibu mengandung dijadualkan supaya menjalani pemeriksaannya di waktu-waktu tertentu sehingga dia melahirkan anak?


Dr., Professor dan penulis terkenal Vernon Coleman, menegaskan “Lucunya, bukti-bukti menyarankan walaupun medical check-up itu popular, tapi ia merupakan satu hasil yang meragukan”.


Katanya satu kajian rasmi yang dibiayai oleh Kerajaan British mendapati bahawa tidak ada perbezaan jelas dalam kesihatan orang-oang perseorangan yang telah mengalami medical check-up secara tetap selama tujuh tahun dengan orang yang tidak mengalami medical check-up. 


Katanya kajian terhadap 7,000 pesakit menunjukkan mereka yang menerima pemeriksaan kesihatan tidaklah lebih atau kurang kehilangan waktu bekerja, keperluan untuk masuk hospital, untuk bertemu dengan doktor keluarga mereka, ataupun untuk mati cepat jika dibandingkan dengan pesakit-pesakit yang tidak mengalmai pemeriksaan kesihatan.


Pasukan Task Force di Pemeriksaan Kesihatan Berkala [Periodic Heallth Examination]  Kanada telah mengkaji persoalan tersebut selama tiga  tahun sebelum mencapai kesimpulan bahawa pemeriksaan kesihatan tahunan hendaklah dihentikan. Kesimpulan kajian rasmi mendapati pemeriksaan kesihatan tahunan itu bukan sahaja tidak cekap tapi juga di waktu-waktu tertentu berpotensi merbahaya”.


Kata beliau pemeriksaan kesihatan tahunan hanya dapat memberi pernilaian  keadaan klinikal seseorang  pada waktu tersebut sahaja. Tidak ada jaminan seseorang yang diistiyarkan sihat pada hari Isnin tidak akan mempunyai tanda-tanda perkembangan awal penyakit yang mengancam nyawa pada hari Jumaat. Justeru dia telah diistiyarkan sihat, di sana ada risiko dia mungkin meminggirkan tanda-tanda amaran bahaya itu kemudiannya.


Pendapat beliau itu ada asasnya. Biasa terjadi, seseorang yang didapati sihat walfiat oleh pakar kesihatan pada hari ini selepas menjalani pemeriksaan kesihatan berkalanya, tiba-tiba tidak sampai seminggu kemudian, dia didapati mengalami sakit kronik, kanser paru-paru yang menyebabkan dia menderita selama beberapa tahun sebelum kembali ke pangkuan Ilahi.


Biasa terjadi, seorang doktor pakar jantung yang juga melakukan pemeriksaan kesihatan berkala dan profisionnya merawat pesakit jantung dan memberi nasihat kepada pesakit dan juga orang ramai bagaimana untuk merawat dan menjaga anggota jantung mereka yang penting itu daripada menderita aneka penyakit yang mengancam. Tapi tiba-tiba pada suatu hari, dia sendiri mendapati dirinya mendapat sejenis penyakit jantung, dan terpaksa menerima rawatan seperti orang lain juga, dan terlantar dalam wad selama beberapa hari sebelum diizinkan pulang untuk berihat lagi di rumah selama beberapa waktu tertentu sebelum dibenarkan menyambung semula tugasnya sebagai pakar jantung.


Dr. Vernon Coleman seterusnya membuat ungkapan yang berani dengan katanya, “Hakikat sebenarnya ujian medical check-up tidak memberi idea kesihatan lebih daripada sebuah penyata kira-kira bank yang dibuat secara rambang yang tidak memberi idea yang berguna tentang kedudukan keewangan. Sebagaimana sebuah kenyataan kewangan rambang bank itu dapat memberi kenyakian palsu kepada pelanggan, demikian jugalah pemeriksaan kesihatan secara rambang dapat memberi keyakinan palsu kepada pesakit”.


Justeru, beliau berpendapat jauh lebih berfaedah untuk mengajar seorang wanita bagaimana untuk memeriksa bengkak payu daranya sendiri atau bagaimana untuk berwaspada terhadap potensi tanda-tanda bahaya lebih baik daripada menyarankan kepada wanita itu untuk menjalani pemeriskaan kesihatan berkala sekali setahun.


Seterusnya beliau dengan sinis berkata, “Saya memang percaya dengan menggalakkan para pesakit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali itu, bererti doktor memberangsangkan pesakit mereka untuk meminggirkan tanggungjawab mereka sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada pakar perubatan”.


Beliau mengunggkap sebuah pepatah lama Cina yang berbunyi, “Berikan seekor ikan kepada seseorang, bererti anda memberi makan kepadanya untuk sehari. Tapi mengajar mereka untuk menangkap ikan, bererti anda memberinya makan untuk seeumur hidup”.


Menurut beliau tidaklah terlalu sukar untuk melihat pepatah itu dalam kaedah ilmu perubatan. Beliau tertanya-tanya adakah terlalu sinis kepadanya untuk menegaskan bahawa jika anda mengajar seseorang untuk mengail, bererti anda mungkin tidak lagi dapat menjual  banyak ikan kepadanya di masa-masa akan datang?.


Bukankah betul begitu?


Walau  bagaimanapun, seorang hamba Allah hendaknya jangan melupakan bahawa setiap penyakit yang menimpa adalah merupakan cubaan atau ujian dari Allah SWT yang perlu dihadapi dengan reda dan sabar, dan berhati-hati supaya syaitan tidak menyelinap masuk bermaharajalela dalam hati dan jiwanyha sehingga mereka terpedaya ketika jiwanya bertambah parah dalam keadaan  menderita diharui oleh penyakit.


Dan ingatlah kepada firman Allah, “Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sungguh Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya”. Ghafir:44.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP