HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM

>> Saturday, May 31, 2014






HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM



ISLAM adalah agama yang sempurna, menjamin kebahagian hidup insan di dunia dan di akhirat. Oleh itu sudah tentu, Islam mempunyai peraturan dan undang-undang yang tersendiri untuk menjamin kebahagian hidup manusia di dunia di akhirat. Orang-orang yang berbuat kesalahan mesti didakwa dan dihukum jika didapati bersalah.
.

Antara hukuman-hukuman yang diperuntukan oleh Islam ialah hukum sebat. Bila disebut hukum sebat kebanykan kita akan terbayang kepada hukum sebat yang dijalankan di penjara-penjara sekarang, bila pesalah telah dijatuhkan hukuman oleh para hakim.


Sebenarnya hukum sebat dalam Islam berbeza dengan hukum sebat yang berjalan di penjara-penjara sekarang. Perbezaan itu terdapat dalam cara-cara melakukan sebatan, alat-alat sebatan, anggota-anggota yang boleh disebat.dan sebagainya.


Rencana HUKUM SEBAT DALAM ISLAM ini walau pun singkat, tapi boleh memberi kefahaman yang jelas kepada mereka yang  membacanya. Rencana ini ditulis pada tahun 1985 oleh seorang ilmuan Islam, Dato’ Haji Daud bin Muhammad. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Penyelia Agama Kelantan, Kadi Besar Kelantan dan kini Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.


Ikutilah sepenuhnya tulisan beliau itu.


Aanggpan Masyarakat


Anggapan sesetengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang terkandung dalam hukumm dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari segi alat pemukul [rotan], cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan berbagai-bagai lagi.


Dalam risalah yang kecil ini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh Ugama Islam terutamanya yang berhubung dengan alat sebat, cara-caranya dan anggota-anggota yang boleh dipukul [disebat].


Hukuman sebat dikenakan sebagai seksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan. Mengikut istilah Fuqaha:



Ianya bertujuan antara lain-lainya:


1.Sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya  akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.


2.Membersihkan masyarakat dari perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.


3.Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah.


4.Untuk menjadi contoh tauladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-prbuatan jenayah.


5.Supaya mereka akan merasa kecut hati untuk mendekati perbuatan-perbuatan yang keji itu lagi.


Hukuman Sebat:


Hukuman sebat terbahagi kepada dua bahagian:


1.Sebat dalam masalah hudud iaitu seksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah SWT.


2.Sebat dalam masalah ta’zir, iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada seksaan-seksaan ta’zir, selain daripada seksaan hudud, qisas, diat dan kifarat, dan erti ta’zir itu ialah denda yang menjadi pengajaran.


Syaruk tidak menetapkan sesuatu seksaan atau hukuman tertentu bagi  kesalahan ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri.


Jenis-Jenis Kesalahan Hudud


Jenis-jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah:


1.Zina


Firman Allah, maksudnya:


“Orang-orang perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah dijatuhkan hukuman sebat tiap-tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali sebat”. An-Nur:2.


Yang dimaksdukan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum berkahwin, ertinya yang belum merasai persetubuhan halal, iaitu dengan cara berkahwin, ada pun penzina yang telah berkahwin hukumannya ialah rejam. Ini adalah berdasarkan hadis berikut.


Sabda Rasulullah maksudnya:


“Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW  semasa baginda berada di dalam masjid lalu beliau memanggil Rasulullah seraya berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina”.


Maka Rasulullah berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.


Maka apabila lelaki berkenaan telah berbuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah SAW  memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila?”.


Jawab lelaki itu”Tudak”.


Nabi bersabda lagi: “Adakah engkau telah kahwin?”.


“Ya”.


Maka Nabi bersabda:”Bawalah dia dan jalan hukuman rejam”.


Menuduh Zina


Firman Allah, maksudnya:

“Dan mereka yang melemparkan tuduhan zina ke atas perempuan-perempuan yang bersih, kemudian mereka tidak dapat membawa dan membuktikan dengan empat orang saksi  maka hendaklah dikenakan ke atas mereka yang menuduh hukuman sebat lapan puluh kali”. An-Nur: 4.


Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram, tertanggung ke atasnya [wajib] membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan seksaan.


Melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah perbuatan yang menyentuh maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu tuduhan zina yang melulu ke atas seseorang. Perbuatan itu akan melahirkan kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan ruamhtangga dan masyarakat. Anak-anak yang lahir dari seseorang yang tertuduh zina akan menjadi mangsa. Kerukunan dan kebahagian suami isteri akan rubuh dan hancur berkecai.


Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat dengan lapan puluh kali sebat.


3.Minum Arak


Firman Allah, maksudnya:


“Wahai orang-orang yang beriman,  sesungguhnya arak, judi, patung dan tenunan nasib adalah keji dan kotor dari pekerjaan syaitan, maka hendaklah kamu jauhi semuanya itu”. Al-Maidah:90


Sabda Nabi SAW, maksudnya:


“Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua jenis arak hukumnya haram”.


Dan lagi satu hadis, maksudnya:


“Dari Abu Said Al-Khudri dan Ali bahawa Nabi SAW telah menghukum empat puluh kali sebat dalam kes minum arak”.

Islam mengharamkan arak kerana ianya merupakan ibu segala keburukan, kejahatan dan sebagainya. Ianya boleh membinasakan diri, akal dan harta di samping perbuatan orang yang selalu minum arak itu amat keji sama seperti orang yang menyembah berhala.


Sabda Nabi SAW, maksudnya:


“Orang yang ketagih arak itu adalah seperti penyembah berhala”.


Oleh kerana minuman arak itu adalah dari perbuatan dan pekerjaan syaitan yang amat keji, maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan empat puluh kali sebat sama ada peminum yang mabuk atau pun tidak.


Kesalahan Ta’zir


Firman Allah, maksudnya:

“Dan wanita-wanita yang kamu takut nusyuznya [derhakanya] maka nasihatilah mereka dan pulaukanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka”. An-Nisak: 34


Ayat tersebut merupakan hujjah dan dalil bagi ahli-ahli perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan ta’zir dan sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan ta’zir yang serius untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu. Keistimewaan hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa [kerajaan]  dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai-bagai kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya seperti dalam kes hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta merta setelah disabitkan kesalahannya dan sudah itu dibebaskannya untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan biasa bersama-sama keluarganya;


Kadar Hukuman Sebat

Ulamak Syafii berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan [sebat] ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang dripada empat puluh kali sebat.


Sabda Nabi SAW, maksudnya:


“Sesiapa yang melebihi had sakatan dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas”.


Alat Sebat


Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja. Sebat boleh dijalankan dengan mengguna rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu atau pun hujung kain semuanya boleh digunakan. Ulamak telah sepakat mengatakan bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksdunya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.


Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya itu maka hendaklah yang sederhana ukurannya, jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya, supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.

“Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya:”Seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apa bila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang lain. Akhirnya diberi kepada baginda tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya”.


Cara Melakukan Sebat


Ketika melaksanakan hukuman sebat, hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matalamat dan tujuannya.


Anggota-anggota Yang boleh Dipukul


Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-rata anggota tubuh badan pesalah itu, kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.


Keadaan Pesalah


Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk, dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakaian yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.


Pesalah Mengandung


Dan jika pesalah mengandung, hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak sama ada anak kandungan itu daripada perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini berdasarkan kepada hadis berikut yang bermaksud:


“Dari Saidina Ali r.a. bahawa beliau berkata: “Bahawa seorang umat [hamba] Rasulullah SAW telah berzina, maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW, maka sabda Rasulullah, “Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya, kemudian bolehlah sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya”.


Pesalah Sakit


Jika didapati pesalah dalam kedaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh, kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannnya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah meggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpul seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.


Maksudnya:

“Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat [seikat] kerana lelaki itu telah melakukan perbuatan zina”.


Ini kerana pesalah yang sakit merana yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh itu sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya akan membawa maut kepadanya dan dalam keadaan begini diambil jalan tengah, iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar atau seumpamanya yang diikat dengan satu ikatan sahaja.


Friman Allah, maksudnya:


“Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukullah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu”.-Sad: 44


Dengan cara yang semikian adalah lebih baik dari dibiarkan tanpa menjalani hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang wajib dibunuh.


Pelaksanaan Hukum Sebat Dihenti?


Hukumn sebat dihenti dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh mengugurkan hukuman hudud iaitu:


1.Apabila pesalah menarik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman jika hukuman sebat kerana zina dijatuhakn berikutan dari pengakuannya sama ada pengakuannya itu dibuat secara langsung atau tidak.


2.Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman sama ada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari empat orang.


Masa Dan Tempat Melaksanakan Hukuman


Tidak boleh dijalan hukuman sebat dalam masa dan keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk jika dibimbang boleh membawa kebinasaan kepada pesalah dan bagi kesalahan hudud adalah dikehendaki supaya dijalankan hukuman sebat di hadapan orang-orang mukmin.


Firman Allah, maksudnya:


“Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.-An-Nur: 2.


Yang dimaksudkan dengan sekumpulan itu mengikut pendapat Mujahid: seorang lelaki dan ke atas sehingga sampai kepada seribu orang.


Manakala Ibnu Ziad pula berkata: “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh empat orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan empat orang saksi dalam kes zina”. Dan pendapat Ibnu Ziad ini selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafii.


Akhirnya dengan terlaksananya hukuman sebat maka tercapailah kebaikan dan kepentingan umum [orang ramai] kerana Islam memandang kebaikan dan muslihat orang ramai itu lebih utama dari muslihat perseorangan dan dengan itu juga terhindarlah kerosakan, keruntuhan moral dan sebagainya dan seterusnya terciptalah kemuliaan dan kebahagian serta sentiasa mendapat inayah, rahmat dan pertolongan Allah amin.
















Read more...

PANTAI CINTA BERAHI YANG KEMALAPAN CINTA

>> Monday, May 26, 2014





                                         Lukisan Alam-Hijaz

PANTAI CINTA BERAHI  YANG KEMALAPAN CINTA


                                          Batu-batu  yang memeuhi persisi pantai PCB


Sudah lama benar saya tidak menapak kaki di Pntai Cinta Berahi yang ditukar nama kepada nama baru, Pantai Cahaya Bulan atau ringkasnya PCB. Pada masa dulu, PCB terkenal sebagai tempat tumpuan berkelah di hari minggu, dan tempat untuk berihat-rihat yang sering dikunjungi oleh orang ramai.


Pantainya berpasir putih yang melandai di mana kanak-kanak suka bermain-main pasir, orang-orang muda suka duduk-duduk bercanda, sementara orang-orang tua membentang tikar untuk duduk-duduk dan makan-makan bersama-sama keluarga dan rakan tolan.



                                         Hanya atas batu yg pejal tempat berlabuh
 
Ketika kami bertugas di sebuah penerbitan dulu, setiap tahun untuk selama beberapa tahun di pantai PCB inilah kami mengadakan hari perkelahan keluarga yang diisikan dengan berbagai-bagai acara. Idea  mengadakan perkelahan tahunan ini datangnya daripada bos sendiri sebagai tuanpunya syarikat. Tempat untuk mengadakan perkelahan itu diserahkan kepada pemilihan anak-anak buah. Dan biasanya PCBlah yang sering menjadi pilihan utama kami.

                                          Batu di mana-mana

Perbelanjaannya diperolehi daripada  sumbangan  para pekerja setiap bulan, dan dikumpul shingga cukup setahun, dan bakinya akan ditanggung oleh syarikat. Setiap pekerja dibenarkan membawa semua anggota keluarganya tidak kira berapa ramai.




                                     Peniaga layang-layang aneka bentuk dan warna


Pada hari Jumaat, 23 Mei 2014 yang lepas kami berkunjung ke PCB atas satu urusan. Kami tinggal di sebuah rumah banglo Homestay yang sewanya RM6000 sebulan di Kg. Badan tidak jauh dari pantai PCB. Tapi kami hanya tinggal sehari sahaja, selesai kerja, kami pun balik pada tengah hari keesokan harinya.

                                     Langit petang di Pantai PCB   


Saya dan dua orang cucu mengujungi pantai PCB lewat petang hari yang sama, dengan harapan pengujung sudah tidak begitu ramai lagi. Tapi dugaan kami  meleset, walau pun hari kira-kira sudah hampir senja para pengunjung begitu ramai, malah kian larut senja kian bertambah ramai lagi. Bila sampai di penghujung jalan menuju ke tepi laut saya membelokkan kereta ke kiri untuk mencari parkir kereta.



                                         Para peniaga tidak melepas peluang mencari reeki


Sebelah kiri jalan kecil menghadap ke laut berderet-deret dengan kedai-kedai tempat orang menjual serba aneka makanan hingga sampai ke pengakhiran  jalan di mana bila kenderaan yang sampai ke situ terpaksa berpatah balik menuju ke jalan raya semula.


Petang itu pengunjung ramai memenuhi ruang legar yang sempit. Sesetengah mereka berada dalam kedai-kedai makan dan juga di tepi-tepi batu tambak dan juga di atas batu-batu dengan aneka gaya. Setelah sampai ke hujung jalan,  tidak ada sebuah parkir . pun yang kosong yang dtemui, malah di hadapan dan di belakang kereta kami, masih berbondong-bondong kereta mungkin juga sedang memburu tempat untuk parkir kereta yang entah ada entah tiada. Semuanya terpakasa berpatah balik.  Di mana sahaja ruang di sebelah kanan dan kiri jalan penuh dengan kenderaana yang diparkir, termasuk motosikal yang lebih mudah mencari parkir.



                                         PCB di waktu yang sepi

Mengalami keadaan yang seperti itu, saya mendapat kesimpulan bahawa PCB hari ini bukan lagi tempat untuk mencari kenteraman dan kedamaian seperti di masa-masa yang silam.


                                         Waktu petang yang sibuk di PCB


Laut China Selatan yang terbentang luas, dengan langit biru terserkup di atasnya. Pantainya telah ditambak dengan batu-batu bukit yang di susun bertimbun-timbun sepanjang pantai untuk mengahalang pantai dari terus terhakis menalan bumi PCB.


Mula sampai tadi saya terpenga-penga sekejap, kerana di hujung jalan di hadapan saya, bukan laut PCB yang tenang yang kelihatan sejauh mata memandang tapi longgokan-longgokan batu-batu bukit yang besar-besar membarisi tepi pantai untuk mencegah pantai dari terhakis. Nampaknya sudah begitu banyak bumi pantai PCB yang telah  dihempas ombak dan ditelam laut, bersama dengan pokok-pokok kelapa dan ru bersama dengan bangunan-bangunannya sekali yang terletak di tepi pantai.


Pantai PCB tidak lagi seindah seperti di zaman silamnya. Menawan dan menggetarkan hati dan sukma, tempat orang memilin kasih, tempat orang berihat-rihat, bersantai-santai dengan keluarga sambil menikmati suasana pagi atau petang yang nyaman, lebih-lebih lagi pada waktu malam, ketika bulan mengembang di langit biru luas terbentang yang dihiasi oleh kiluan ribuan bintang-bintang yang cahayanya berkelip-kelipan.


Dalam kenangan saya terbanyang pada suatu malam kami berada di Pantai Cinta Berahi ini. Kami hanya berdua, suami isteri. Di langit tenang, bulan sedang mengembang. Laut berbisik-bisik melanda pantai yang landai. Bayu mengelus-ngelus membawa udara sejuk yang nyaman dan menyegarkan. Kami duduk berdua-duan, persis dua sejoli muda yang sedang berpacaran sambil memandang ke laut yang berkilau airnya memantulkan limpahan cahaya bulan yang memerak di angkasa. Kami tidak banyak berbicara, tapi berdiam meresap ketenagan malam lautan PCB ke dalam hati kami yang diumbang ambing oleh kerinduan yang tidak bertepi. Semamangnya dalam suasana tertentu kita tidak perlu banyak bicara, hanya sentuhan dan jalinan rasa menjadi lebih bermakna dalam suasana yang semurni itu. Kami tidak tahu berapa lama kami berada dalam terpukau seperti itu, dalam suasana alam yang begitu romantisnya menemani kami. Sedar-sedar hari telah larut malam.


Sampai ke detik ini pun terasa kerinduan bila teringatkan suasana tersebut, dan itulah kali terkahir kami berada di pantai PCB yang damai itu. Kesayuan yang tidak tergambar. Selepas itu kami tidak lagi datang berdua-duan, tapi datang sekali-sekala berkeluarga dan tinggal di resort-resort di situ menyebabkan kami tidak berkesempatan untuk menikmati suasama alam yang permai seumpama itu.


Dan hari ini, saya berada di pantai PCB dan meniti di atas timbunan batu-batu itu dengan begitu berhati-hati, takut-takut terjerlus dalam lubang batu-batu itu, betul-betul di hujung jalan menuju ke laut; saya memandang ke laut petang, dan tempat kami duduk pada malam syahdu itu telah tenggelam di dalam lautan, namun begitu kenangan saya masih tidak dihanyut oleh  ombak dan gelumbang. Tempat saya duduk di malam itu adalah sejajar dengan tempat saya berdiri ke arah laut, tapi arah ke hadapan sedikit, di mana pada waktu itu terdapat pasir yang agak meninggi dan memanjang, sebelum ianya turun melandai hingga sampai ke gigi laut.




Berlagak di atas batu




PCB letaknya arah ke utara, sepuluh km dari ibu negeri  Kelantan Darulnaim, Kota Bharu. Dulunya PCB ialah sebuah pantai yang indah dan begitu termasyur di Ngeri Cik Siti Wan Kembang ini, baik di kalangan generasi muda ataupun tua. Butir-butir pasirnya memutih melandai dengan dibayangi oleh pohon-pohon kelapa yang melambai-lambai bila dibelai angin, dan pokok-pokok ru yang daunnya menari-nari dengan bisikan-bisikan bila dipupuk bayu yang berhembus dari laut membawa pesanan-pesanan  yang tersendiri yang hanya mungkin difahami oleh para pencinta di alam bumi dan di alam langit.


Tapi hari ini semuanya sudah tidak lagi, hanya jadi nostalgia yang muncul dalam bayang-bayangan masa lalu yang tidak mungkin dilupai oleh mereka yang pernah menikmati keindahan dan kesegarannya.
                                     Masjid PCB tempat kami berhJumaat

Dulu namanya Pantai Cinta Berahi yang bermaksud dalam basa Inggerisnya Beach Of Pssionate Love.  Justeru menyebut nama itu mencetuskan ingatan kepada cinta asmara yang berbaur nafsu, sesuatu yang dianggap tidak beretikal, maka nama itu telah ditukar kepada sebuah nama baru Pantai Cahaya Bulan yang bermaksud Beach Of Moonlight. Pertukaran nama itu tidak menukar ejaan singkatnya PCB. Namun begitu di kalangan kebanyakan penduduk Kelantan, PCB masih juga dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi. Lagi pun dalam loghat Kelantan perkatan “berahi” itu selain bererti nafsu berahi ada satu lagi makna yang bererti suka atau gemarkan sesuatu, seperti dikatakan berahi makan  kerpok atau berahi makan akok atau berahi mandi di laut dan sebagainya.


Namun, janganlah dilupakan bahawa di sepanjang jalan dari Kota Bharu, bermula dari Kampung Penambang, pengunjung-pengunjung dapat singgah di tempat-tempat menjual Kain Songket Kelantan dan juga bahan-bahan kraf yang lain. Arah ke Utara lagi menuju ke PCB, di pinggir jalan ada banyak pula tempat menjual beraneka bahan hasil batik Kelantan yang juga termasyur sejak sekian lama.


Jika sesiapa yang suka melihat orang ramai, dan kenderaan yang banyak bertaburan, kunjungilah PCB pada hari Jumaat mulai tengah hari sampai kira-kira pukul lapan malam, demikian juga pada hari Sabtu jika kebetulan hari cuti sekolah. Kami tinggalkan PCB dengan seribu kenangan lampau di mana PCB yang telah kehilangan cintanya, kerana ditelan masa yang telah merubah wajahnya yang jelita menjadi suram.









Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP