Manggis Dan Khasiatnya

>> Monday, August 16, 2010




MANGGIS Dan Khasiatnya

Pada masa lalu, kalau kita pergi ke kampung-kampung di negara kita ini, kita dengan mudah dapat melihat pokok-pokok manggis, ia bukan sahaja ditanam di kebun-kebun, tapi juga ditanam di kawasan-kawasan kediaman, berhampiran dengan rumah sekalipun, ataupun di kawasan persekolahan.

Di sekolah saya, Sekolah Melayu Salor, Kota Bharu terdapat beberapa pohon pokok manggis yang ditanam berbanjar tepi paya sebagai turus pagar. Pada petang, atau musim cuti sekolah, berkebetulan dengan musim buah, kami kanak-kanak lelaki tidak melepas peluang untuk memanjat pokok-pokok manggis itu untuk mendapatkan buah-buahnya yang manis.

Tapi hari ini pokok-pokok manggis tidak lagi ditanam di kawasan perumahan. Ia hanya ditanam di kebun-kebun atau di ladang-ladang. Perkara ini mungkin berlaku kerana pokoknya besar, dengan dahan-dahannya yang banyak yang panjang dan berkembang melebar tumbuh pada batangnnya itu, justeru setiap pokoknya memakan raung yang besar untuk tumbuh. Ia boleh mencampai setinggi lebih dari 6.25 cm.

Di samping itu pokok manggis juga memakan masa yang agak lama untuk berbuah. Kalau ditanam dengan bijinya paling cepat ia memerlukan masa selama 5 hingga 8 tahun untuk berbuah, malah ia mungkin memakan masa lebih lama lagi, iaitu selama 12 hingga 20 tahun untuk berbuah jika keadaan pokoknya tidak elok.

Namun begitu jika ditanam secara cantuman ia memakan masa yang lebih pendek, iaitu kira-kira 4 tahun untuk berbuah, andainya keadaan pokoknya elok.

Semua bahagian pokok manggis mempunyai getah, baik daun, tangkai, batang, tangkai daun dan juga buahnya, iaitu getah yang berwarna kuning.

Manggis berbunga di hujung ranting, sekuntum atau beberapa kumtum dalam satu tangkai. Di situlah keluar buanya nanti.

Buah

Buah manggis yang masih muda mungkin gugur bila ada serangga yang menghisap cecair di dalamnya.

Buah yang masak juga mungkin rosak, kerana mengandungi getah, yang kita panggil “cam getah”. Getah itu masuk ke dalam buah, menyebabkan isinya busuk dan kulitnya keras, justeru itu ia tidak boleh dimakan. Perkara ini berlaku kerana hujan lebat turun dalam musim kemarau sewaktu buah manggis sedang membesar.

Isi buah manggis yang lembut boleh dimakan begitu sahaja dalam keadaan segar, dan juga boleh dibuat jem manggis, jeli dan dibuat jus minuman yang enak rasanya. Rasanya masam manis.

Manggis adalah salah sejenis buah-buahan yang berasal dari Semenanjung Malaysia merupakan salah sejenis buah yang paling digemari oleh masyarakat dunia memakannya.

Buah manggis yang telah masak tapi belum matang, keaadan isinya agak pejal, tapi rapuh, rasanya masam manis dan enak dimakan.

Buah yang masak boleh dikopek dengan tangan, dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk kedua-dua belah tangan untuk mmecahkan kulitnya, dan lebih mudah jika diletak dalam kedua belah pangkal tapak tangan, lalu di masukkan ke celah peha, lalu dihimpit atau dirapatkan kedua-dua peha kemas-kemas. Himpitkan sekadar yang perlu, supya buahnya tidak menjadi terburai di celah kangkang. Inilah cara kopek manggis yang tradisonal yang dipanggil “cekah buah se-ta [manggis].

Anda hendaklah hati-hati ketika mengkopek buah manggis, kerana airnya kalau terkena pakaian, agar sukar untuk ditanggalkan, malah kalau tak kena caranya, ia tidak akan hilang.

Kegunaannya

Batang pokoknya yang keras sesuai untuk dibuat lesung penumbuk padi. Kalau batangnya dibelah-belah dijadikan keping-keping dan dahannya dipotong-potong kemudian dijemur kering, boleh dibuat kayu api.

Akar pokok manggis jika direbus dan diminum berguna untuk wanita yang kedatangan haidnya tidak teratur.

Kulit pokok manggis jika direbus dan minum berguna untuk merawat ulser dalam perut. Ia juga bergna untuk merawat penyakit demam panas.

Kulit buahnya yang kering jika direbus dan airnya dibuat mandian berguna kepada mereka yang berpenyakit kulit seperti ulser.

Jika air rebusan tadi dikemam ia berguna kepada orang yang terkena penyakit bengkak anak tengkok.

Dan jika rebusan airnya diminum pula dapat merawat penyakit bengkak usus dan salur kencing.

Kulit buah yang kering itu jika dikisar sampai menjadi debu yang halus, jika ditelan dapat merawat penyakit cirit-birit dan desenteri.

Kulit buahnya yang dijemur kering boleh dijadikan bahan bakar seperti juga kulit buah getah, terutama untuk memangang. Untuk memudahkan penjemurannya, kulit-kulit manggis itu hendaklah dicucuk dengan tali atau dawai dan dijemur secara digantung, untuk mempercepatkan ia kering dan memudahkan untuk disimpan.

Getah yang keluar dari batangnya boleh dicampur dengan getah-getah pokok yang lain, untuk dijadikan getah pemikat burung.

Pengalaman

Kita boleh berjangkit dari sepohon ke sepohon pokok-pokok manggis yang ditanam dalam jarak yang tidak begitu jauh dengan bergayut dan meniti pada dahannya yang panjang dan kuat walaupun agak lembut dibahagian hujungnya. Juteru itu kita tidak perlu turun ke tanah untuk memanjat dari sepohon ke sepohon pokok.

Pada masa kanak-kanak dahulu saya suka makan buah manggis putik, sudah masak tapi masih belum matang. Buah yang jadi pilihan ialah buah yang pada kulit luarnya ada tercalet sedikit dengan warna merah, yang dikenali “buah darah ikan”.

Buah manggis yang belum matang itu dibelah empat, menampakkan ulas isinya yang pejal dan putih melepak. Isi itu dicungkil untuk dimakan, dengan rasanya masam manis yang enak.

Yang paling saya sukai ialah membuang sedikit kulit bahagian luar buah manggis [jangan sampai terkena isinya]. Di kampung saya Kg. Salor, ia dipanggil “menggubal” buah manggis, kemudian buah-buah manggis itu dicucuk dengan apa-apa tali dan dibawa ke sungai untuk dimakan sambil mandi-mandi.

Pada masa itu di tebing sungai Kg. Salor terdapat banyak pokok yang menjadi naungan tempat berteduh kepada mereka yang ingin "bermain-main" dalam sungai. Sambil menenggelamkan air ke paras mulut, gigitlah sisa kulit buah manggis itu sedikit demi sedikit sehingga bertemu dengan isinya, barulah dimakan. Rasa pahit getahnya akan segera hilang, dibersihkan oleh air sungai yang berada dalam mulut ketika kita mengiggitnya.

Makan buah manggis gubal seperti ini amat sesuai untuk bersantai di sungai semasa mandi-manda beramai-ramai dengan kawan-kawan. Masa itu air Sungi Kelantan jernih dan bersih, dan di musin kemarau airnya amat cetek, menampak pasir di dasarnya, dan boleh digunakan untuk berendam beberapa lama yang disukai, sambil memakan buah “se-ta” [manggis] gubal seberapa banyak yang disukai.

Cubalah rasa kenikmatanya jika anda masih muda, mempunyai gigi yang kuat dan balik kampung, dan rumah anda pula terletak dekat sungai yang airnya bersih dan berkebetulan pula dengan musim manggis berbuah. Ajaklah isteri dan anak-anak anda bersantai bersama.

Ada juga sesetengah orang suka makan manggis selepas makan durian. Katanya boleh mengurangkan panas badan akibat makan durian.
xxxxxxx

Renunglah

-“Jika seseorang yang jahil itu mengetahui sebab-sebab kejahilannya, maka dia akan menjadi seorang yang bijak”. Confucius.

-“Tujuan yang luhur tidak boleh dicapai dengan sarana-sarana yang jelik”. Sayidina Ali.

-“Raja memerintah orang ramai, tetapi orang-orang yang berilmu memerintah raja”.Saiyiddina Ali.

Bisik Pondok Rahmat
“Pautkan iman.Hulurkan sejambak Mahabbah, Seuntai Kasih, Sekalung Harmoni”

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP