Ramadan:Kg.Salor Dalam Nostaglia
>> Monday, August 2, 2010
Ramadhan:Kg. Salor Dalam Notaglia
BULAN Ramadan seribu empat ratus tiga puluh satu Hijriah hampir melabuhkan tirainya ke seluruh alam. Membawa segala rahmatnya.
Setiap tahun bila bulan Ramadan melabuhkan tirainya, aku akan direnggut oleh kenangan terhadap kampung laman kelahiranku, Kg. Salor, yang terletak di pinggir Sungai Kelantan, dan sejauh 12 batu daripada bandar Kota Bharu. Di kampung inilah aku dilahir, dibesarkan dan menerima pendidikan awalku.
Aku masih ingat lagi, setiap petang, khususnya dalam bulan Ramadan kami anak-anak muda, akan berkumpul di tebing sungai untuk berbual-bual smentara menunggu ketibaan waktu berbuka. Panaroma alam Sungai Kelantan ini begitu indahnya dengan matahari terbenam nun jauh di kaki langit, di ufuk timur. Mega-mega dalam berbagai-bagai bentuk dan warna tergantung-gantung di tabir langit petang yang tenang. Air sungai yang beralun-alun lembut kemilau di timpa sinar matahari senja yang sedang berlabuh untuk menutup tirai siang. Bayu berpupuk nyaman dan menyegarkan.
Bila hampir benar waktu berbuka akan tiba, barulah kami semua akan bersurai dan kembali ke rumah masing-masing. Biasanya aku akan terus masuk ke dapur menolong ibu mengangkat dan menghidang makanan untuk berbuka di bahagian luar dapur. Aku aturkan pinggan-pinggan yang berisi makanan itu dalam bentuk bundar dan meletakkannya di atas lantai papan yang telah dihamparkan dengan tikar mengkuang yang dijadikan seperah. Kami akan duduk mengelilinginya.
Lauk yang paling disukai oleh keluarga di bulan Ramadan ialah daging panggang tawar yang dicicah dengan budu pedas ataupun dicicah dengan kicap yang dicampur dengan bawang dan lada. Kalau tidak daging, ikan panggan tawar bersama ulam petai atau jering. Kadang-kadang hati lembu garam kunyit yang dibakar. Kadang-kadang lauk itu dibuat percik, ikan, daging atau hati. Kuahnya kadang-kadang ikan singgan.
Minumannya air batu kosong. Air batu ini dibeli dari satu-satunya penjual air batu di kapung kami dalam bulan puasa. Namanya Sayid Agil, dan kami panggil dia “abah”, dan di kalangan orang-orang tua pula memanggilnya “habib” yang berniaga kedai kopi. Dan kalau bukan bulan puasa, isterinya yang dipanggil “Mak Cik Wook” menjual nasi belauk pagi. Kdua-duanya sudah lama meninggal. Dan yang ada ialah kedai kopinya dan keluarganya. Di mana mereka sekarang?
Abah mendapat bekalan air batu daripada peniaga yang menghantarnya setiap hari dengan kenderaan. Peniaga ini menghantar air batu kepada para penjual di sepanjang jalan dari Kota Bharu ke Seberang Pasir Mas. Air batu itu dibekal dalam bentuk blok besar, dan setiap penjual kena memotongnya terlebih dahulu dengan gergaji dalam tongkol-tongkol kecil untuk dijual dengan harga dua puluh sen setongkol. Bekalan air batu itu tidak pernah mencukupi, siapa pergi lewat sedikit sahaja, tak dapat air batulah dia petang itu. Kadang-kadang akulah yang pergi membeli air batu itu.
Untuk mencegah air batu itu cepat hancur, ia dimasukkan ke dalam guni gula yang diisikan dengan habuk gergaji [habuk kayu selepas digergaji]. Pada waktu itu peti ais masih belum populer, dan sukar untuk didapati.
Kami duduk dalam bulatan mengelilingi hidangan sambil menunggu masuk waktu berbuka. Walaupun abangku pada waktu itu sudah memiliki jam tangan, dan jamnya selalu tepat, tapi kami tetap menunggu paluan beduk oleh tok siak dari masjid, yang penduduk panggil "surau", kira-kira satu kilometer lebih sedikit dari rumah kami.
Selain itu kami juga dapat mendengar dengan jelas bunyi dentuman mer1am yang ditembak setiap hari sepanjang bulan Ramadan daripada Padang Merdeka, di bandar Kota Bharu. Bunyi dentuman itu membelah senja yang sunyi menyusuri Sungai Kelantan sejauh berbelas-belas kilometer hingga kami dapat mendengarnya dengan begitu jelas walaupun jaraknya jauh dua belas batu dari rumah kami.
Apa yang aku mula-mula jamah, ialah gelas air batu. Ibu dan ayahku selalu menegur aku berbuat demikian, tidak baik katanya. Dan aku hanya diam sahaja. Selepas meneguknya, baru menjamah nasi.
Kadang-kadang sebelum waktu berbuka, aku menolong ibu menghantar juadah atau lauk ke rumah jiran tetangga. Dan lumranya pinggan yang berisi itu tidak akan di kembalikan dengan pinggang kosong, sebaliknya akan diisi pula dengan makanan-makanan balasannya, kalau tidak pada petang yang sama, kerana tidak ada makanan yang hendak dikongsikan, maka petang besok pinggan itu akan dikembalikan dengan berisi.
Walaupun yang dihantar itu mungkin sepinggan yang mengandungi beberapa biji pengat pisang sahaja, atau semangkuk kecil bubur kacang, tapi ia mengandungi erti yang besar untuk menambahkan lagi keenakan makan dan mengukuhkan lagi tali persaudaran, semangat kejiranan dan tali kekeluargaan.
Tapi hari ini, tradisi yang indah ini mungkin sudah tidak ada lagi, terutama di kalangan penduduk-penduduk bandar. Jiran sebelah menyebelah rumah pun mungkin tidak dikenali, kerana tidak pernah bertegur sapa, kalau tidak terpaksa. Kita telah kehilangan semangat mahabbah, dan kasih sayang dalam memburu kehidupan dunia yang fana ini. Semangat Ramadan yang mulia telah tercabaut dari jiwa kita dan yang ada ialah nafsu nafsi belaka.
Bila menjelang waktu Isa’, aku akan turun dari rumah untuk sembayang tarawih. Pada masa itu ada dua tempat untuk besembahayang, iaitu di masjid atau di “madarasah” yang letaknya lebih hampir dengan rumah kami dan di tepi jalan raya. Madrasah kayu itu masih lagi hidup hingga ke hari ini dan dikenali dengan panggilan “Balaisah Pohon Sagu”. Madrasah ini yang menjadi pilihan aku.
Di seberang jalan itu pula sawah padi yang luas terbentang. Pada masa itu boleh dikatakan tidak ada rumah yang didrikan di tepi sawah itu. Di waktu malam bulan terang, sawah itu akan menjadi lautan yang bermandikan cahaya bulan yang begitu mempesonakan.Kadang-kadang di waktu bulan megambang aku pergi sendirian ke tengah sawah dan terpacak beberapa waktu di atas batas sawah untuk menikmati belaian udara yang sejuk dan bermandikan cahaya bulan melimpah ruah.
Dan sebelum tiba waktu subuh, nun di sebelah timur sana, di sebalik kampung di hujung yang sesayup mata memandang itu akan muncul cahaya fajar yang aneka warna, bersewang menghiasai dada langit pagi, hingga muncul sang matahari menutup tirai malam dan membuka tirai pagi. Kadang-kadang selepas solat subuh di madarah itu, aku berdiri di pinggir jalan menghala ke sawah, merenung panaroma pagi yang begitu indahnya menyelimuti sawah yang luas terbentang itu, dengan embun-embun yang masih menitis..... Ya Allah Maha Kaya Engkau.
Biasnya selepas solat tarawih, ada jamuan makan [mori] disedikankan. Biasa menunya ialah cendol bersirap, bubur kacang atau jagung dengan teh o. Kadang-kadang buah buah-ketuah juga di bawa oleh jemaah, jika berkebetulan musim buah sedang menjadi, biasanya buah rambutan, langsat atau duku yang manis rasanya.
Kadang-kadang ada juga tak ada jamuan. Jika ditanya oleh kawan-kawan makan apa di balaisah, kami dengan senyum menjawab “makan pisang raja”, yang dikiaskan “sa-ja”, yang bermaksud tak ada makan apa-apa.
Selepas tarawih kami anak-anak muda tidak terus balik ke rumah, tapi menghabiskan masa dengan berbagai-bagai aktiviti untuk menunggu jauh malam sedikit, terutama di malam bulan terang. Antaranya main sembunyi-sembunyi secara berpasukan.
Sebelum bermain itu, kalau ada duit, kami makan colek dahulu di salah sebuah daripada tiga buah kedai kopi yang terdapat di situ. Paling tidak colek kerpuk.
Selain daripada jamuan lepas terawih, diadakan juga jamuan “menghantar puasa”, ini bererti hari raya dah dekat dan bulan puasa pula dah hampir habis. Biasanya jamuan menghantar puasa balik itu didakan pada malam 20 likur ke atas, kadang-kadang diadakan pada waktu berbuka dan kadang-kadang pula diadakan untuk bersahur. Tergantung kepada kemudahan dan prsetujuan jemaah. Untuk jamuan ini bukan saja para jemaah yang dijemput, tapi orang-orang kampung yang liat pergi tarwih pun dijemput sama, dan mereka tidak pula menolaknya.
Dan aku pernah membwa hidangan bersahur yang disediakan oleh ibu ke balaisah tempat aku bertarawih itu, dan ikut makan bersama, tapi di hidangan orang lain. Memanglah hidangan-hidangan itu disediakan oleh orang-orang kampung. Kalau banyak hidangan yang disediakan, maka lebih ramailah mereka yang dijemput.
Adakah tradisi ini masih hidup? Tapi hari ini kalau ada majlis berbuka puasa pun ianya disediakan oleh orang-orang tertentu, terutama waki-wakil rakyat atau ahli-ahli politik yang menghulurkan sumbangan untuk berbuka, bukan lagi berkongsi-kongsi atau bergotong-royong seperti masa dahulu itu.
Selepas tamat peperiksaan Senior Cambridge di Sultan Ismail College, dan ditawar kerja oleh [Dato’] Ustaz Yusuff Zaky Yaacob sebagai pengarang di Pustaka Dian semua aktiviti tersebut telah menjadi kabur kerana dibayangi oleh kerja-kerja yang tidak pernah habis-habis, dan hanya menjadi kenangan yang menyayukan setiap kali tirai bulan Ramadan terkuak.
Kadang-kadang tercetus pertanyaan dalam benak, adakah aku ini bodoh, kerana hampir melupakan kampung sendiri dari amali hidupku dan membiarkan ianya semarak dalam kenangan, terutama di bulan Ramadan dan di hari-hari raya? Kampong di mana aku dilahir dan dibesarkan yang mengandungi berbagai-bagai kenanagan manis dan pahit, bersama ibu dan ayahku yang pengasih dan penyayang? Sekarang kedua-duanya sudah tidak ada lagi, semoga Allah melimpahi rahmat ke atas mereka berdua.
Walau bagaimanapun, kakaku Zubaidah yang terkenal dengan panggilan “Kak Dah” dan suaminya Abdul Rahman yang terkenal degnan panggilan “Cik Gu Man” di kalangan penduduk tempatan masih menetap di situ. Anak-anak saudaraku, iaitu anak kepada Allahyarham abangku, Ariffin masih ramai di sana. Pusara-pusara ibuku, isteriku, datok dan nenek dan seluruh keluargaku yang dikasihi ada di sana. Semoga Allah limpahi rahmat ke atas mereka semuanya, dan menjadikan kubur-kubur mereka sebagai “taman-taman dari Syurga. Amin.
Kadang-kadang kenangan manis itu begitu menyayu dan menjentik-jentik hati dan mengalun-alunkan perasaan hingga tidak dapat digambarkan dengan jelas riak-riaknya yang menggetar jiwa dengan kata-kata? Mungkin begitulah yang dirasakan oleh seseorang perantau yang berada jauh diperantauan bila teringat kampug halamannya? Teringat teman-temannya, teringat ayah dan bondanya, teringat segala-galanya ?
Selamat datang Ramadan Al-Mubarak, semoga membawa rahmat Allah yang melimpah-ruah ke atas kami semua, baik yang masih hidup atau telah kembali ke pangkuan Ilahi. Selamat datang Ramadan Al-Mubarak ke Kampung Salor dengan membawa keberkatan ke atas seluruh penduduknya yang aku kenali dan tidak aku kenali. Amin.
Yang sentiasa merinduimu,
Mohd Zain Saleh
Xxxxxx
Renungilah:
-“Jangan menghina sesiapa pun dari kalangan kaum Muslimin, kerana orang Muslim yang kecil dan hina pada pandangan kamu itu, adalah besar dan mulia di sisi Allah”. HR: Bukhari.
-“Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang terbaik akhlaknya. Dan sebaik-baik di antara kamu ialah yang terbaik kepada isterinya”. HR:Tarmizi.
-“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak, dan Allah benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuannya”. HR:Abu Qarda.
Bisik Pondok Rahmat:
"Pautkan Iman, hulurkan sejambak mahabbah, seuntai kasih, sekalung harmoni".
alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5500601344777966610" />
1 comments:
Saya selalu mengingati kampong Halaman. Rumahku sebelah rumah Abang Zin. (Anak Pak Man)
Post a Comment