Nasionalisma Hancurkan Perpaduan Arab

>> Saturday, August 7, 2010







NASIONALISMA Hancurkan PERPADUAN Arab


SEBELUM kedatangan Islam dahulu, orang-orang Arab jahiliah mempunyai semangat nasionalisma yang sempit, yang tercermin dalam sikap mereka yang berpuak-puak, bersuku-suku dan hidup dengan terbatas dalam satu lingkungan kekeluargaan sahaja. Semangat nasionalisma yang amat sempit itu menyebabkan mereka tidak saling kenal mengenal antara satu sama lain, tidak hormat menghormati, tidak bertegur sapa, tidak ada hubungan jual beli antara satu sama lain, jauh sekali daripada bermahabah atau bersilaturahim antara satu sama lain, walaupun asal keturunan mereka sama-sama berdarah Arab.

Malah ketika permulaan kebangkitaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. dahulu pun mereka masih lagi mengamalkan semangat kebangsaan yang sempit itu, masih berpuak-puak dan masih bersuku-suku yang bertelagah dan bersengketa antara satu sama lain. Pada masa itu kaum Quarish masih bermusuh-musuhan hebat dengan kaum Bani Hashim dan Bani Abdul Muthalib. Mereka telah memutuskan hubungan antara satu puak dengan satu puak yang lain, seumpama masyarakat moden hari ini memutuskan hubungan diplomatik antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain kerana sebab-sebab yang tertentu. Akibatnya berlakulah pertempuran, pembunuhan, dan penumpahan darah antara sepuak dengan sepuak, atau antara satu suku dengan suku yang lain yang selalu hidup dan bercakaran seperti anjing dengan kucing. Keadaan seperti ini bukan sahaja tidak perlu, tapi amat menyusahkan.

Akibat persengketaan yang tidak perlu dan merugikan itu banyak darah yang telah tumpah membanjiri bumi sejak beratus-ratus tahun yang lalu hingga sekarang, bukan sahaja di negara-negara Arab, tapi di seluruh dunia.

Mana-mana orang Islam hari ini yang suka hidup berpuak-puak atau berkelompok-kelompok, kerana politik yang berbeza, kerana kedudukan ekonomi yang tidak setara, atau kerana status kerja yang tidak sejajar dan sebagainya, maka perangai mereka itu tak ubahlah seperti perangai orang-orang kafir Quarish sebelum kedatangan Islam yang hidup penuh dengan perseteruan yang sengit antara satu suku dengan satu suku yang lain.

Keadaan berpuak-puak yang merupakan tradisi jahiliah orang-orang Arab itu terus hidup subur di zaman moden yang secara umumnya membahagikan masyarakat manusia kepada beberapa blok, dan di antaranya yang terpenting ialah dua blok, iaitu Blok Barat dan Blok Timur. Blok Barat ialah kapitalis dan Blok Timur ialah komunis. Kdua-duanya tidak diperlukan.

Dalam hal ini sungguh malang, semangat nasionalisma atau kebangsaan Arab yang sempit ini telah dipergunakan sebagai senjata yang ampuh dan berbahaya oleh penjajah, khususnya penjajah British dan Peranchis untuk menghancur leburkan Islam dan umat Islam. Malah lebih jauh lagi, British telah bersepakat dan bekerjasama dengan Yahudi untuk membakar umat Arab dengan semangat kebangsaan yang sempit ini untuk menguggat kerajaan Uthamniah dari dalam. Hingga akhirnya umat Arab telah terbakar oleh tiupan api perkauman yang memabara itu yang sengaja dinyalakan oleh musuh-musuh Islam yang jahat yang sentiasa bercita-cita untuk melihat kejatuhan Islam.

Kerana kencangnya smangat nasionalisma yang sempit itulah merupakan salah satu sebab kehancuran Daulah Islamiah yang berpusat di Turki itu, dan diganti oleh golongan nasionalis di bawah pipimpinan Mustafa Kemal Attaruk yang menukar negara Turki dari sebuah negara Islam kepada sebuah negara sekular,

Umat Arab terus menerus dilanda oleh persengketaan dan perpecahan kerana kepentingan diri masing-masing yang dibakar oleh api kebangsaan yang sempit itu. Tempat mereka berpijak ialah kepentingan bangsa dan negara-nagara masing-masing, dan bukannya kerana kepentingan agama Islam yang suci yang sepatutnya mereka meletakkan kemuliaannya mengatasi segala kepentingaan yang tidak berasas dan berupa keduniaan itu.

Justeru itulah bila Palestin diduduki dan dicerobohi oleh Yahudi pada tahun 1948 negara-negara Islam pada masa itu seperti Mesir, Iraq, Syria dan sebagainya tidak mampu menumpaskan tentera-tentera Yahudi yang dengan sewenang-wenangnya menjarah bumi Palestin.

Demikian juga ketika Afghanistan diceroboh oleh komunis Rusia tidak ada negara Islam yang berani bangkit menghulurkan bantuan dan pertolongan secara terang-terangan. Apa yang mereka mampu lakukan, seperti biasa ialah mengecam tindakan biadab Rusia itu. Dan yang paling hebat ialah mengirimkan bantuan kewangan kepada golongan Mujahidin menerusi pemipin-pemimpin mereka yang berjuang secara berasingan.

Semangat nasionalisma juga mendorongkan tercetusnya persengketaan antara Iraq dan Kuwait. Dalam persengketaan ini negara Islam Mesir telah menyebelahi Amerika Syarikat atas nama pasukan keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Dengan sokongan itu, hutang Mesir kepada Amerika Syarikat yang berjumlah sebanyak 7 bilion itu telah dilupuskan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Adakah ini yang dikatakan perjuangan Islam?

Akibat didorong oleh semangat nasionalisma jugalah dua negara Islam yang berjiran, iaitu Iraq dan Iran telah terlibat dalam persengketaan yang berlarutan selama 8 tahun, di mana seramai lebih dari sejuta jiwa umat Islam di kedua-dua belah pihak telah terkorban dengan sia-sia. Perang yang berakhir dengan “kalah jadi abu, menang jadi arang”. Seperti biasa Yahudilah yang berada di belakang persegketaan ini yang membakar semangat nasionalisma umat Islam.

Arab Saudi adalah sebuah neagra Islam, di negara inilah terletaknya kota suci Makkah yang dikunjungi oleh jutaan orang Islam setiap tahun untuk menunai ibadat haji. Pada mula-mulanya Arab Saudi telah disekat oleh Amerika Syarikat untuk membeli alat-alat persenjataan. Tapi sekatan itu segera dihapuskan bila Arab Saudi membenarkan Amerika Syarikat menempatkan tentera-tenteranya dan juga ribuan tentera dari negara-negara lain yang bukan Islam memasuki negara yang mengandungi kota suci Makah itu. Malah lebih jauh lagi, Arab Saudi pernah memohon perlindungan keselamatan daripada Amerika Syarikat yang pernah menjadi musuhnya.

Arab Saudi juga menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Amerika Syarikat kerana kepentingan pembangunan dan kemajuan ekonominya. Walaupun Arab Saudi kaya raya dengan bahan mentah, seperti minyak, namun mereka tidak mempunyai peralatan, teknologi dan kepakaran untuk memproseskannya, justeru segala benda-benda yang penting itu terpaksa mereka impot dari Barat, khususnya Amerika Syarikat. Justeru itu mereka terpaksa menjalinkan hubungan yang baik dan mesra, malah juga menjadi pak turut kepada Amerika Syarikat supaya bekalan bahan-bahan yang penting seperti itu terus diperolehi sepanjang masa yang diperlukan dan tidak terhenti.

Kerana kepentingan-kepentingan tersebut Arab Saudi tidak berkotek, takut untuk menentang kehendak-kehendak Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya walaupun sudah terang dan jelas bertujuan untuk menghancurkan Islam dan umat Islam. Malah negara-negara Arab yang lain juga takut untuk menentang Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, kerana sebab-sebab yang sama, kerana kepentinagan semangat nasionalisma masing-masing..

Di samping itu, mengikut para penganalisis Islam, pemimpin-pemimpin Islam itu merasa gentar, mungkin kerana mereka tidak mempunyai semangat jihad, tidak mempunyai semangat juang yang kental kerana Islam. Apa yang mereka jaga ialah kepentingan negara masing-masing. Justeru hampir tidak ada kerjasama langsung yang wujud dalam erti kata yang sebenarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam antara negara-negara Arab sesama sendiri

Sedangkan kerjasama dan perpaduan itu amat penting demi servival masa hadapan mereka dan masa hadapan umat Islam di seluruh dunia. Tidak ada pilihan lagi selain daripada mahabbah dan perpaduan, iaitu perpaduan dalam erti kata yang sebenarnya sebagaimana digaris oleh Islam. Tanpa perpaduan yang kental umat Islam tidak mungkin akan bangkit kembali untuk muncul sebagai suatu kuasa besar yang pernah menguasai dunia.

Sejak tahun 1956 lagi Jamal Abdul Nasir dan Parti Baath di Syria menggunakan nasionalisma sebagai landasan perjuangan mereka dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat Arab pada masa itu.Tapi kemudiannya bila keadaan telah berubah, negara-negara Arab telah mencapai kemerdekaan, maka sambutan terhadap perjuangan yang berlandaskan nasiolnalisma Arab bertukar menjadi sejuk dan dingin. Justeru sebagai alternatifnya umat Arab terpaksa memilih ideologi baru yang bukan nasionalisma dan bukan juga sosialisme untuk menjadi landasan perjuangan mereka, iaitu ideologi Islam yang telah lama wujud tapi sengaja dipinggirkan dari ufuk pemikiran umat Islam sehingga mereka terpaksa memimjam isme-isme yang bercanggah dengan Islam sekali pun.

Selepas Perang Dunia Ke-2, semangat nasionalisme atau kebangsaan Arab itu sudah tidak laku lagi di dunia Arab, sudah tidak mendapat tempat lagi, kerana perjuangan menentang penjajah sudah selesai, negara-negara Arab satu demi satu telah mencapai kebebasan dan kemerdekaan

Demikian juga negara-negara Islam di Asia Tenggara, seperti Indonesia dan Malaysia telah mencapai kemerdekaan masing-masing. Penjajah telah gulung tikar, walaupun sisa-sisa penjajahannya masih kekal, malah masih tebal diwarisi oleh anak peribumi yang ditinggalkan oleh penjajah itu.

Justeru itu kemudiannya, Mesir di bawah pemerintahan Jamal Abdul Nasir dan Syria di bawah pemerintahan Parti Baath telah memilih sosialisme sebagai ideologi perjuangan mereka untuk mengganti nasionalisma atau semangat kebangsaan yang tidak laku lagi itu. Namun begitu rakyat Mesir dan Syria juga tidak memberi sambutan yang baik kepada ideologi sosialisme itu, kerana ia diimpot dari luar negara yang tidak berpaut pada akar umbi rakyat Arab dan Islam.

Mengikut sejarahnya, negara- negara Arab sentiasa terdedah menjadi medan perebutan dan pertarungan kuasa-kuasa besar dari Timur dan dari Barat, tegasnya dari penjajah Barat termasuk Amerika Syarikat ataupun dari penjajah Timur atau Rusia. Amerika Syarikat bererti kapitalis, sementara Rusia bererti komunis. Kedua-dua ideologi itu bercanggah ruah dengan ideologi Islam yang suci dan murni.

Mana-mana negara Islam yang berbaik dengan komunis Rusia sudah tentu mendapat simpati dan bantuan daripada Rusia, termasuk penjualan senjata. Sebaliknya mana-mana negara yang berbaik dengan kapitlais Amerika Syarikat, sudah tentu pula mendapat simpati dan bantuan daripada Amerika Syarikat, termasuk kemudahan pembelian senjata. Setiap buah negara Arab itu dibayangi oleh negara kuasa-kuasa besar berada di belakangnya yang akan bertindak jika sesuatu yang tidak diingini menimpa ke atas sesebuah negara tersebut demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri daripada terguggat.

Ada dua faktor yang menyebabkan negara-negara Arab itu menjadi begitu penting kepada kuasa-kuasa besar dunia itu. Pertama kerana kedudukannya begitu strategik, di mana perairannya menjadi laluan yang penting, termasuk menjadi laluan kepada kapal-kapal yang membawa bekalan minyak dan makanan. Kedua kerana negara-negara Arab itu kaya dengan sumber-sumber semula jadi terutama minyak yang amat penting kepada dunia sebagai bahan bakar. Justeru itu negara-negara Arab persis anak dara comel yang sentiasa menjadi intipan para jejaka yang ingin menyuntingnya, termasuklah lelaki yang berhidung belang.

Keadaan menjadi bertambah komplikited, kerana ada di antara ketua-ketua negara itu berusaha untuk menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin yang paling berpengaruh dan menjadikan negara mereka sebagai sebuah negara yang dihormati yang menjadi pemegang teraju bagi seluruh negara-negara Arab. Tapi sehingga kini tidak ada seorang tokoh atau sebuah negara pun yang muncul sebagai tokoh ulung dan muncul sebagai sebuah negara kuasa besar di dunia Arab

Dalam hal ini, bila pengaruh Mesir di bawah kepimpinan Jamal Adul Nassir tersungkur, beberapa orang tokoh pemimpin Arab, seperti Muammar Ghadafi dari Libya, dan Saddam Hussein dari Iraq telah berusaha untuk muncul sebagai tokoh penting, untuk mengganti Jamal Abdul Nasir, tapi usaha mereka telah gagal. Malah Saddam Hussein kerana keangkuhannya, telah ditawan oleh musuh-musuh Islam dan diperlakukan dengan penuh kehinaan, dan akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh, kononnya untuk mencari keamanan dan kedamaian. Tapi setelah beberapa tahun berlalu, negara Iraq bukan sahaja tidak menemui kedamaian, malah bertambah kucar kacir dan permusuhan yang membanjirkan darah termasuk orang-orang yang tidak berdosa.

Di samping itu Arab Saudi juga pernah berusaha untuk muncul sebagai sebuah negara yang berpengaruh di dunia Arab, namun begitu usaha mereka juga tidak pernah berjaya, walaupun Arab Saudi sebuah negara yang kaya raya, tapi tidak dapat diterima oleh negara-negara Arab kerana sebab-sebab tertentu.

Salah satu faktor penting yang menyebabkan majoriti negara Arab menolak Arab Saudi ialah kerana negara itu terlalu menonjol sikap yang pro Barat, khususnya Amerika Syarikat yang bersikap memusuhi Islam dan umat Islam.

Pada tahun 1990, bila Prisiden Saddam Husain, Iraq melanggar dan menakluk Kuwait, tindakannya itu seperti biasa telah mendorong Barat dan khususnya Amerika Syarikat campur tangan dalam kemelut itu. Bila pemimpin PLO, Yasser Arafat mengecam campurtangan itu, pemimpin-pemimpin negara Arab amat marah, terutama Arab Saudi. Mereka telah menggambil tindakan yang drastik terhadap rakyat Palestin dengan memotong bantuan kewangan yang sebelum ini mereka sampaikan kepada PLO, HAMAS dan institusi-institusi Islam lain yang terdapat di Palestin. Lebih malang lagi rakyat Palestin yang sedang belajar atau sedang bekerja di Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang lain telah dihalau keluar dari negara-negara itu dan terpaksa balik ke bumi Palestin yang telah dicerobohi oleh Yahudi. Ini menambahkan lagi problem kepada Palestin, kerana mereka yang baru pulang itu memerlukan, antaranya tempat tinggal dan pekerjaan.

Walau bagaimana pun, mengikut sejarahnya umat Arab pernah bersatu padu ketika Yahudi bertindak menubuhkan negara Israel di bumi Palestin yang penuh dengan sejarah kemungkaran itu. Pada 22 Mac 1945 negara-negara Arab itu telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan yang dipanggil Liga Arab, kemudian pada 17 Jun 1950 mereka telah berjaya menubuhkan Pakatan Tentera Arab. Ini sudah tentu merupakan kejayaan yang amat membanggakan.

Demikian juga cetusan berbagai-bagai rangkaian peristiwa yang berlaku di dunia Arab telah berjaya menunjukkan adanya kesedaran dan adanya minat mereka kepada perpaduan Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Dalam peristiwa Perang India-Pakistan berhubung dengan Kasymir telah mencetuskan kegemparan dalam masyarakat dunia, termasuk masyarakat Barat. Berikut dengan peristiwa itu satu persidangan ketua-ketua negara Arab telah diadakan di Casablanca, sebuah bandar pelabuhan di Morocco. Persidangan itu sebulat suara menyokong keputusan untuk menyelesaikan persengketaan itu dengan mengadakan pungutan suara di Kasymir. Umat Arab juga mengadakan upacara berdoa beramai-ramai di masjid-masjid, melancarkan pungutan derma serta menawarkan bantuan sukarelewan-sukarelawan untuk berjuang membantu rakyat Kasymir mencapai kemenangan dalam perjuangan mereka yang medannya telah diwujudkan oleh penjajah British yang bertujuan untuk menghancurkan Islam.

Namun begitu keraguan-keraguan tetap timbul dari masa ke masa tentang keutuhan perpaduan di kalangan umat Arab itu, kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku sering menampilkan kewujudan kelonggaran semangat perpaduan yang amat penting untuk masa hadapan umat Islam di seluruh dunia. Sesungguhnya sejarah menunjukkan bangsa Arab dari sejak dahulu lagi memang terkenal dengan kelemahan iman dan kekurangan perpaduan di kalangan mereka. Dua faktor inilah yang menjadi sebab utama kepada ketewasan mereka dalam menentang Yahudi durjana dan kegagalan mereka untuk menyekat kemaraan Yahudi di bumi Palestin.

Demi kerana semangat nasionalisma, negara-negara Arab terpaksa berhati-hati dalam bertindak supaya tidak menyinggung hati kuasa-kuasa besar itu, khususnya Amerika Syarikat, justeru itu tidak ada negara Arab Muslim yang berani mengutuk rejim tentera yang berkuku besi di Algeria dan tidak ada mana-mana negara Arab yang berani menyokong perjuangan Islam di Algeria yang bernaung di bawah FIS untuk menegakkan sebuah negara Islam. Malah sebaliknya negara-negara Arab itu, seperti Mesir dan Arab Saudi memberi kerjasama dan sokongan kepada rejim tentera Algeria yang anti-Islam yang membunuh orang-orang Islam.

Justeru itu apakah landasan yang kukuh yang perlu digunakan untuk menegakkan perpaduan Arab yang mudah goyah itu? Apakah ubat pahit yang wajar digunakan untuk membangun semula perpaduan Islam yang kukuh? Adakah semangat nasiolnalisma Arab yang sempit yang telah terbukti gagal itu masih mampu mengikat hati-hati umat Arab untuk hidup dalam wadah perpaduan yang unggul dan murni? Jawabnya, tidak! Sejarah telah membuktikan sebagaimana disebeut di atas. Tapi kalau tidak apa lagi ubat yang mujrab? Jawabya Islam! Tegasnya perpaduan itu hendaklah ditegakkan di atas landasan Islam yang sejati dan murni sebagaimana dikehendaki oleh Allah S.W.T. dan RasulNya, dan bukan sama sekali atas adunan atau kacukan berbagai-bagai isme yang berkembang di dunia ini.

Dengan mengikut landasan Islam itu mengikut Al-Imam Hassan Al-Bana, sudah tentu umat Arab bersemangat dan berani berjuang menentang kebatilan dan menegakkan kebenaran, rela mengorbankan tenaga dan hartabendanya untuk membina agama Allah yang Maha Luhur. Dengan itu berkembanglah agama Islam dari jazirah Arab hingga ke hujung barat dan hujung timur dunia. Hingga berlindunglah di bawahnya bangsa-bangsa yang masih belum beriman, maka dengan itu kata beliau meluaslah pengaruh Arabisme, bukan semata-mata di kalangan orang-orang Arab, tapi untuk semua bangsa di dunia yang menganut Islam. Justeru itu mereka lalu merasa sebagai satu umat, seakidah, seiman, senasib dan sepenanggungan.

Orang mungkin bertanya kenapa Islam dijadikan landasan perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan? Untuk menjawabnya izinkanlah kami petik pendapat Al-Imam Hassan Al-Banna yang menegas Allah mengurniakan berbagai-bagai keistimewaan kepada Islam, anataranya menurut beliau:

“Allah menjadikan Islam itu sebagai dasar kemanusiaan yang luhur di mana segala urusan langit dan bumi tertumpu kepadanya.

“Islam menyeru manusia kepada ketuhanan. Allah mengajak manusia menjalin hubungan denganNya dan menegak nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Allah menggalak manusia memikir dan memerhatikan alam sekitarnya, dan dipupuknya pula erti persaudaran dan kasih sayang serta hubungan antara sesama manusia.

“Semua perkara yang diperintahkan oleh agama, baik yang fardhu, berupa ibadah mahdhah, amal perbuatan, ucapan-ucapan dan hukum-hukum semuanya bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai luhur dalam hati manusia.

“Agama yang luhur itu ditegakkan di atas dasar toleransi, dan lapang dada, dan demikian wujudlah keamanan, kesejahteraan serta keselamatan. Islam ditegakkan atas dasar keadilan walaupun terhadap orang-orang yang tidak beriman dan tidak memaksa mereka memeluk agama Islam. Islam mewajibkan semua pengikutnya mengimani semua nabi yang terdahulu dan semua kitab suci yang diturunkan Allah, malah Islam memuji nabi-nabi, kitab-kitab suci, para rasul dan para sahabat mereka serta umat yang beriman pada masa yang lalu. Malah Islam memerintah umatnya mengikuti jejak orang-orang yang terdahulu yang baik dan benar.

“Islam juga membuka pintu tolong menolong dan saling berhubungan dengan orang bukan Islam dalam batas-batas yang diperkenan Allah, tanpa mengurbankan prinsip-prinsip Islam.

“Dengan jalan tersebut, Islam dapat membawa manusia ke arah kemajuan yang sentiasa berpusat kepada keluhuran jiwa, serta membimbing mereka ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan kemanafatan kepada umat manusia. Islam menegakkan keadilan yang merata, tanpa membezakan kelas dan golongan seperti yang pernah terjadi dalam sejarah.

Justeru itu, mengikut Al-Imam Hassan Al-Banna semua orang Arab merasa bangga dengan Islam. Mereka harus menjadikan Islam itu sebagai satu ajaran untuk mewarnai kehidupan praktiknya, baik mengenai hukum dan perundangan, kebudayaan dan juga peradabaan mereka.

“Bagi orang Muslim, Islam adalah agama dan akidah mereka, sedangkan bagi orang bukan Muslim, Islam adalah warisan dan kebangaan mereka, sebagai kebangaan yang abadi dan sebagai mukjizat yang kekal”

Demikianlah Al-Imam Hassan Al-Bana.

Sesunggguhnya Islam itu untuk seluruh umat manusia, bukan hanya untuk umat Arab semata-mata. Nabi Nuhammad s.a.w. adalah seorang Rasul akhir zaman, dan risalah yang dibawanya untuk seluruh umat manusia sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Aku diutuskan kepada seluruh manusia baik merah ataupun hitam”.

Sejarah menunjukkan sesudah bangsa-bangsa itu memeluk Islam, semangat kebangsaan yang sempit itu dengan sendirinya terhapus, semangat berpuak-puak menjadi lesap, semangat bersuku-suku menjadi hilang, maka lahirlah sebuah umat Islam yang kuat, yang bersaudara dan bersatu padu antara satu sama lain, membentuk satu kekuatan yang kuat dan amat ampuh hingga dapat menumpaskan dua empayar yang besar pada waktu itu, iaitu Empayar Rome di Barat dan Empayar Parsi atau Iran di Timur.

Itulah agama Allah.
Xxxxxxx
Renungilah:

-"Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya,Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan orang-orang yang mati syahid,walaupun dia meninggal di tempat tidurnya".Maksud Hadis.

-"Islam dibina di atas lima perkara: mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahayang, memberi zakat, menunaikan haji dan puasa Ramadhan".HR:Bukhari&Musliam.

Bisik Pondokrahmat:
“Pautlah Iman.Hulurkan Sejambak Mahabbah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni”.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP