KUBUR

>> Thursday, May 6, 2010


KEPENTINGAN KUBUR KEPADA YANG HIDUP
Oleh:Hj.Mohammed Zain Saleh


Perkuburan ialah bumi di mana orang mati dikebumikan. Selepas mengiring jenazah sampai ke tanah perkuburan untuk pengebumian, kebanyakan kita jarang sekali menjenguknya, kecuali pada hari-hari raya untuk mendoakan si mati yang kita sayangi itu sementara menunggu ketibaan hari raya seterusnya. Itupun sudah boleh dinggap baik, kerana ada orang yang langsung tnidak pernah menziarahi kubur, walaupun yang dikebumikan di situ ialah ibu dan bapa yang amat berjasa kepadanya, seolah-olah orang yang mati itu tidak pernah wujud. Sedangkan kita dianjur supaya menziarahi tanah perkuburan.

Ini tidaklah dihairankan kerana manusia hari ini terlalu sibuk dengan urusan kehidupan. Di samping itu ada pula dari mereka yang sanggup membuang ibu bapa mereka yang telah tua semasa mereka masih hidup di dunia lagi, dengan membiarkan mereka hidup sendirian, menyingkirkan mereka ke ruumah-rumah kebajikan atau ke rumah-rumah orang tua dan kurang upaya, seolah-olah orang tua itu bukan ayah dan ibu yang menghidup dan membesarkan mereka. Malah ada pula si anak yang sanggup mencedera dan membunuh ibu bapa mereka sendiri kerana tidak bersedia memberikan wang yang mereka pohonkan untuk tujuan yang jahat.

Kita umat Islam biasanya mengunjungi kubur pada hari Jumaat. Pada hari itu si mati di alam Barzakh mengenali siapa yang mengujunginya di samping merasa amat gembira menerima kunjungan orang yang mereka kasihi dari alam bumi itu. Si mati dikatakan “bergurau senda” dengan kekasihnya yang berkunjung ke tanah perkuburannya itu. Tidaklah diketahui bagaimana caranya. Di samping itu, hari Jumaat merupakan hari istimewa di mana ada waktu tertentu yang tidak diketahui leh kita, di mana Allah akan mengabulkan doa orang yang berdoa. Semoga doa kita untuk kesejahteaan si mati bertepatan dengan saat yang mjustajab itu.

Amalan menziarahi kubur pada hari Jumaat adalah sukar dilakukan oleh umat Islam yang negeri atau negara mereka cuti pada hari Ahad, khususnnya kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar, seperti Kuala Lumur, kerana dihalang oleh masa. Sejak pagi-pagi lagi, malah di antaranya azan subuh masih belum berkumandang mereka telah turun dari rumah untuk ke tempat kerja. Waktu pulang pula, menjelang waktu Maghrib atau waktu Isa’ telah masuk mereka baru sampai ke rumah. Keadaan menjadi bertambah parah bila jalanraya tersumbat oleh kenderaan yang bersimpang-siur dan berebut-rebut menuju hala masing-masing.

Mungkin ada faedahnya jika semua tanah perkuburan Islam dibersihkan dari rumput dan rampai yang memanjang, dari semak dan samun meninggi dan diterang benderangkan dengan lampu-lampu untuk membolehkan mereka yang ingin menzirahi kubur pada waktu malam, kerana tidak berkesempatan untuk berbuat demikian pada waktu siang Jumaatnya.

Sedangkan hari Jumaat mempunyai hubungan yang istimewa antara orang yang masih hidup di dunia dengan orang yang mati di tanah perkuburan. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Tiadalah seorang lelaki yang menziarahi kuburan saudaranya dan duduk di sisinya [bukan di atasnya] melainkan dia akan bermesra dengannya dan akan menjawab salamnya, sehinggalah lelaki itu bangun”.


Sebenarnya ada beberapa sebab utama kita umat Islam pergi ke tanah perkuburan. Pertama kerana mengiringi jenazah yang baru meninggal dan hendak dikebumikan sebagaimana diperintahkan oleh agama.

Sebelum itu beberapa orang, atau sekurang-kurang dua orang terlebih dahulu pergi ke tanah perkuburan itu untuk menggali kubur di mana jenazah itu akan disemadikan. Penggali-penggali kubur itu mungkin melakukannya secara gotong ruyung dan mungkin diberi sagu hati ala kadarnya, sebagaiman masih berlaku di kampung-kampung hingga ke hari ini. Atau penggali-penggali kubur terdiri dari penggali kubur profesional yang memang kerjanya mengambil upah menggali kubur.

Kita umat Islam juga mengunjungi tanah perkuburan untuk menziarahi kawan, saudara-mara, suami atau isteri, atau sesiapa sahaja orang yang kita kasihi yang telah kembali ke pangkuan Ilahi dan dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Kita pergi ke kubur itu bukan sahaja untuk menjenguk dan melihat-lihat tanah perkuburan orang yang kita sayangi itu, tapi juga kita akan membaca doa untuk disampaikan kepada si mati untuk kesejahteraannya di alam Barazkh dalam perjalanan menuju akhirat dunia yang kekal abadi.

Malah kita bukan berdoa, tapi kita juga sudah pasti teringat bahawa suatu hari nanti kita juga akan mati seperti mereka dan akan menuju ke akhirat untuk menerima pengadilan daripada Allah S.W.T. Segala perbuatan kita di dunia ini, kecil atau besar, banyak atau sedikit akan diminta pertanggungjawab oleh Allah S.W.T.

Ingatan kepada mati ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap seseorang. Ingatan ini akan mendorong seseorang mempunyai iman yang lebih kuat, lebih rajin beribadat, hidup sederhana dan lebih banyak membuat kebajikan.

Dari segi fizikal pula orang-orang yang dikurniakan manfaat setelah menziahi tanah perkuburan itu mungkin akan menjadi bertambah sihat dan cergas, kerana menjalani gaya hidup dengan lebih tenang dan teratur, sabar dan pemurah dan bersimpati dengan kesusahan orang lain.

Dalam hal ini penyakit kronis yang dihidapi oleh seseorang penziarah kubur, seperti penyakit darah tinggi dan sebagainya mungkin akan menjadi bertambah baik untuk menuju kesembuhan berpunca daripada kebiasannnya menziarahi kubur yang telah berjaya menghidupkan ingatannya kepada kematian.

Dalam keadaan seperti itu, dia akan mempertingkatkan amalannya, seperti solat, baik solat wajib dan solat sunat, puasa, baik puasa wajib dan puasa sunat, mengeluarkan zakat, memberi hadiah, bersedekah dan seumpamanya yang mempunyai nilai dan kesan yang penting terhadap rohani dan jasmani seseorang. Dari segi makanan pula, dia akan memilih bukan sahaja makanan yang berkhasiat, tapi juga mementingkan makanan yang bukan sahaja bersih, tapi juga halal dari segi fizikal dan hakikatnya, iaitu diprolehi dari hasil-hasil kerja yang halal dan tidak syubahat, seperti hasil penipuan, rasuah dan seumpamanya yang menimpakan kesan yang besar terhadap jasmani dan rohani seseorang.

Dengan cara itu kehidupannya lahir dan batin berada di atas landasan yang benar, dan diredahai Allah sebagai seorang Islam yang sentiasa berpegang teguh kepada tali Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Penulis sendiri sejak kebelakangan ini lebih kerap menziarahi kubur, iaitu selepas isteri penulis, Aahyarahmah Asiah Yaacob yang dikasihi kembali ke rahmatullah yang berpunca daripada karenah kedengkian manusia. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya ke atas beliau. Selain daripada isteri penulis, keluarga penulis juga, seperti ibu, datok, ibu, saudara-mara dan sebagainya dikebumikan di tanah perkuburan yang sama, di kubur Pohon Rambai, Salor. Penulis merasa kekeraban kunjungan itu memang mempunyai kesan yang positif terhadap penulis yang lemah ini. Semoga amalan ini akan terus memberi keberkatan kepada penulis, dunia dan akhiat.

Inilah barangkali tujuannya dengan sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Aku pernah melarangmu mengunjungi perkuburan, maka sekarang ziarailah perkuburan itu, sesunguhnya yang demikian membawa kesederhanaan bagimu dalam urusan dunia dan mengingatkan diri pada akhirat”.HR: Ibnu Majah.

Namun begitu, ada sesetengah orang termasuk orang Islam, pergi ke perkuburan dengan niat dan tujuan yang salah malah haram, yang ditegah oleh Islam. Seperti meminta sesuatu secara langsung kepada si mati di dalam kubur, terutama kubur yang dianggap keramat, seperti meminta kemenangan dalam perjudian yang memang dilarang oleh Islam, meminta nombor ekor dan sebagainya. Serentak dengan itu mereka melakukan upacara-upacara pemujaan untuk meminta nombor ekor kepada si mati yang mereka anggap keramat itu. Sebenarnya yang mereka puja dan seru itu ialah hantu dan syaitan yang telah berjaya menipu mereka. Semoga Allah menjauhkan kita daripada kerja terkutuk itu.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP