>> Wednesday, May 26, 2010
GARA-GARA SAMPAH MASUK TELINGA
Pagi itu aku dan anak lelakiku, Ahmad Syaibani Zaini berada di sebuah bengkel kereta di Pasir Tumbuh. Kami sedang menunggu kereta yang sedang diservis siap. Tiba-tiba handfon dalam kocek seluarku berbunyi.
Sebelum menekan butang jawapannya, aku tenguk nama pemanggilnya pada kaca handfon, tertera nama anak perempuanku yang pada waktu itu berada di rumah.
Selepas memberi salam dan mendengar jawapanku, dia terus menceritakan tentang telinga anak perempuan bongsunya ada biji-biji polistring besar sedikit daripada kepala macis api.
“Bagaimana boleh berlaku? Tanyaku sedikit kecemasan,
Katanya dia bermain-main dengan bunga plastik di atas meja tamu Di hujung bunga-bunga itu plastk itu dedebu bunga yang kecil yang diperbuat dari polistring dan diletakkan begitu sahaja. Cucuku itu mengambil dua biji dedebu bunga tiruan itu dan menyumbatkan ke dalam telinganya. Kakaknya yang melihat perbuatannya itu tidak sempat menghalangnya.
Sebutir daripadanya telah dapat dikeluarkan dan tinggal sebutir lagi tak dapat dieluarkan. Untuk keluarkan benda itu dari telinga cucuku itu memanglah tidak mudah. Dia seorang yang aktif, selalu bergerak dan petah bercakap walaupun usianya baru lebih sedikit dua tahun. Cakapnya macam kanak-kanak besar.
Justeru sampah dalam telinga cucuku itu tidaklah membimbangkan, aku pun tidaklah tergesa-gesa untuk pulang, kemudian menelefon balik kepada anak perempuanku supaya menunggu suaminya pulang yang pada waktu itu ada urusan penting di bandar Kota Bharu. Kemudian bolehlah dia bawa cucuku itu ke klinik. Walau bagaimana pun sampah dalam telinganya itu pasti dibuang.
Tengah hari itu selepas makan dan solat Zohor mereka suami isteri keluar bersama dengan anaknya itu untuk mencari doktor. Hari itu hari Sabtu. Aku tak ikut sama, kerana aku rasa aku tidak akan tahan dengan kerenah cucuku itu bila dia berhadapan dengan doktor.
Setelah beberapa jam berlalu, anak perempuanku menilfon memberitahu mereka telah pergi jumpa doktor di klinik swasta. Pertama mereka pergi ke sebuah klinik pakar, tapi pada hari itu, hari Sabtu doktor pakarnya tak bertugas, mereka dinasihatkan supaya mencari doktor lain.
Katanya selepas itu mereka ke klinik biasa. Tapi di klinik itu doktor yang bertugas adalah masih baru dan tidak mempunyai cukup pengalaman, dia tidak berani berbut-buat apa, apa lagi cucuku menunjukkan sikap agresif. Doktor itu mencadangkan kepada mereka supaya pergi ke hospital.
Waktu itu hampir pukul 5.00 petang. Klinik-klinik swasta pun hampir di tutup untuk hari itu. Mereka pun tergesa-gesa pergi ke sebuah klinik lagi.
Tapi doktor di klinik itu pun tidak sanggup mengeluarkan sampah dari telinga cucuku itu kerana sikapnya yang agresif. Dia bimbang takut berlaku sesuatu yang tidak diingin berlaku pada telinga cucu ku itu. Dia mencadangkan supaya mereka menemui seorang doktor pakar yang ditunjukkannya.
Mereka sampai ke rumah menjelang Maghrib dan kelihatan agak sedikit kecewa, kerana masih belum menemui doktor yang sanggup mengeluar sampah yang begitu kecil dalam telinga anak mereka.
Mereka suami isteri sudah tentu ingin memberi “khidmat” yang terbaik kepada anak perempuan mereka itu. Sudah tentu mereka tidak sampai hati melihat anaknya itu diberi layanan yang tidak memuaskan.
Pagi esoknya mereka menemui doktor pakar telinga. Kata doktor oleh sebab anaknya itu “aktif”, dia tidak sanggup mengeluarkannya secara biasa, takut-takut berlaku perkara yang tidak diingini. Oleh itu anak itu perlu dibius, untuk mengeluarkan sampah dalam telinganya. Katanya bagi anak yang tidak “cergas” sampah itu mudah sahaja dikeluarkan.
Proses untuk melakukannya mengambil masa juga. Justeru anak itu baru diberi makan, dia memerlukan beberapa jam baru boleh dibius. Sementara menunggu itu dia perlu dimasukkan ke wad.
Beberapa jam kemudian anak itu pun dibawa masuk ke dewan bedah. Dan setelah kira-kira 15 minit brada di dalamnya, dia pun dibawa keluar dengan mulutnya mulai becok. Sampah sudah dibuang dari telinganya.
Katanya dia lapar, dia nak makan. Tapi dia tidak boleh lagi, kerana kena tuggu lagi dua jam selepas dibius baru boleh diberi makan. Tadi pun sebelum dibawa masuk ke dewan bedah dia telah dipuasakan selama beberapa jam.
Setelah anak itu diberi makan, semuanya selesai. Mereka kedua boleh tersenyum lebar, puas hati, walaupun ongkos yang perlu dibayar mencecah ribuan ringgit untuk mengeluarkan sampah yang begitu kecil dalam telinga anak mereka.
Pagi besok bila anakku pergi ke tempat kerja, dia merasa bersyukur bila mendengar ada kawan-kawan sekerjanya yang membawa anak mereka menemui doktor biasa untuk mengeluarkan sesuatu yang masuk ke dalam telinga mereka terpaksa “dikerjung” oleh doktor. Tubuh anak itu dibalut dengan kain selimut dan dipegang oleh beberapa petugas untuk mendiamkannya bagi membolehkan doktor mengeluar sampah dalam telinga mereka.
Bagaimana trumanya anak itu tidaklah diketahui. Inilah yang tidak diingini oleh anakku. Kasihan kepada anaknya. Belanja lebih sedikit tak apa, asalkan hati puas. Alhamdulillah.
Anakku mengeluh mendengar cerita kawan-kawannyanya itu, dan bersyukur kerana anaknya itu tidak mengalami nasib seperti yang dialami oleh anak-anak kawannya itu.
Walau pun sudah beberapa hari berlalu, walau pun tidak “dikerjungkan” seperti anak-anak kawannya itu, tapi anak kecil yang belum berusia tiga tahun itu, sekali sekala masih kedengaran memarahi ibu, memarahi papanya, dan memarahi doktor kerana “membuat dia seperti itu”. Dan tidurnya juga masih belum nyenyak benar seperti biasa. Nampaknya dia masih truma.
xxxx
0 comments:
Post a Comment