Keah-kesah Dari Alam Barzakh
>> Monday, May 17, 2010
1]JAGOAN LAWAN MUNKAR NAKIR
Oleh: Hj.Mohammed Zain bin Saleh
[Setelah dikemaskini pada 6 Mac 2011]
Peristiwa ini telah lama berlaku, di sebuah desa yang jauh terpencil, di pendalaman Kalimantan, Indonesia. Di desa itu ada seorang lelaki yang terkenal gagah, berani dan handalan yang digelar jagoan. Tidak siapa yang berani menentangnya. Dia seorang guru yang mempunyai ilmu kebatinan dan persilatan ynag amat tinggi. Dia mempunyai anak-anak murid yang cukup ramai yang datang dari segenap ceruk dan rantau. Seperti lumrahnya orang seperti ini disegani, ditakuti dan dimalui.
Sebagai seorang jagoan ulung dia pernah bertarung selama berhari-hari tanpa henti-henti dan tanpa makan dan minum.
Jasadnya tidak lut dimakan senjata. Dia dipercayai kebal.
Si jagoan ini dipercayai menjalin persahabatan yang ikrab dengan makhluk-makhluk halus untuk dijadikan teman dan tempat meminta bantuan dan pertolongan.
Namun begitu tidak ada siapa pun makhluk Allah yang boleh menyanggah takdir Ilahi. Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan segala-galanya. Manusia hanya boleh merancang, tapi membuat penentuannya adalah Allah belaka.
Pada suatu hari jagoan yang sentiasa meningkat masyur namanya itu dengan tiba-tiba dan tak semena-mena jatuh sakit. Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah jenis penyakit yang menyerangnya itu. Tiba-tiba sahaja pada suatu pagi, dia merasa terlalu amat berat untuk bangkit daripada pembaringannya. Badannya terasa amat lemah dan kaku. Kedua belah tangannya yang selama ini kuat dan sasa itu begitu susah untuk diangkat. Dan badannya pula terasa macam digayuti batu besar.
Seperti biasa di jagoan ini berusaha untuk merawat dirinya sendiri dengan menggunakan segala kemampuan ilmu yang ada padanya. Tapi tidak berjaya. Malah setiap hari penyakitnya bertambah tenat juga. Tubuhnya yang selama ini kuat dan gagah perkasa, makin lama bertambah susut juga. Dia tidak pernah berfikir seorang jagoan sepertinya akan ditimpa penyakit ganjil seperti itu yang tidak diketahui sebab dan puncanya. Dia sering mengeluh kesal, marah, geram dan menyumpah-nyumpah, dan mengutuk dirinya sendiri.
Isterinya mencadangkan seorang bomoh lain dipanggil untuk merawatnya, tapi dia enggan dan mentah-mentah menolaknya, kerana katanya buat malu dia sahaja. Seorang jagoan yang begitu tinggi ilmu sudah tentu tidak layak memanggil orang lain untuk merawatnya. Dia rela mati daripada berbuat demikian.
Murid-muridnya yang begitu ramai itu pun sudah tentu tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong guru mereka. Mereka merasa amat sedih melihat nasib yang menimpa gurunya itu.
Akhirnya kira-kira sebulan kemudian, dalam keadaan hati yang dirangkul kekecewaan dan hancur luluh, si jagoan itu pun menghembuskan nafasnya yang akhir di hadapan isteri dan beberapa orang murid kepercayaannya yang berkebetulan berada di sampingnya. Tubuhnya yang selama ini kuat dan sasa itu telah terkulai layu tidak bermaya lagi di mamah penyakit yang diturunkan Allah.
Sebagai seorang Islam, jenazah jagoan itu dimandi, dikafan dan disembahayangkan seperti lumrah sebelum diusungkan ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Setelah jenazah selesai disembahayangkan dan sebelum keranda ditutup untuk dibawa ke tempat persinggahan yang terakhir, salah seorang anak muridnya, tiba-tiba muncul dari muka pintu rumah membawa sebatang alu lesung atau antan dan segera meletakkan di sisi jenazah dalam keranda untuk dikebumikan bersama dengannya.
“Maaf”, katanya kepada ustaz yang menguruskan jenazah itu, “ini pesanan terakhir guru kami sebelum dia mati”.
Mula-mulanya ustaz yang tahu tentang hukum hakam itu membantah, tapi bila dikerasi juga oleh anak-anak murid di jagoan itu, dia pun mendiamkan diri tidak berani membantah walaupun tidak bersetuju, kerana bimbang berlakukan perkara-perkara yang tidak diingini.
Bberapa orang yang masih berada dalam rumah itu pun saling pandang memandang kehairannan, tapi tidak berani berkata apa-apa. Mereka bertanya-tanya dalam hati, kenapa, mengapa, buat apa dan, dan........?? Tapi semua mereka diam walau pun tidak setuju, memandangkan murid-murid sang jagoan itu garang-garang.
“Ikut suka hati kamulah”, kata ustaz dengan suara hampa dan kecewa dengan nada yang hampir tidak kedengaran.
Kemudian keranda pun ditutup dan terus dipikul oleh anak-anak murid si jagoan ke tanah perkuburan. Bila sampai, jenazah terus diturunkan ke dalam lubang kubur yang telah siap digali, dan sebelum tanah ditimbus antan itu diletak di sisi mayat oleh murid sang jagoan tadi.
Seperti biasa, setelah kerja menimbus kubur selesai, talkin dan doa pun dibacakan untuk jenazah yang terbaring dalam kubur, sepi dan kaku sendirian dalam bumi yang gelap gelita. Tiada kuasa, tiada kehebatan, tiada kejagoan, tiada harta, tiada murid dan tiada segala-galanya selain daripada amalan semasa hidup di dunia yang menjadi teman. Dari tanah manusia dijadikan, maka kepada tanah mereka disimpan. Dari Allah mereka datang, kepada Allah mereka kembali. Kematian adalah sesuatu yang pasti untuk seluruh kehidupan di maya pada ini
Seteah selesai mereka pun meninggalkan tanah perkuburan itu, kecuali beberapa orang anak muridnya yang setia masih terpaku di tepi pusara. Suasana telah kembali sepi, Tiba-tiba mereka tersentak kerana mendengar bunyi yang ganjil dari arah kubur guru mereka. Serentak dengan itu mereka melihat tanah perkuburan itu begerak-gerak dan hampir terangkat. Kemudian bunyi bising dalam kubur itu telah hilang. Kesepian kembali melabuh.
Salah seorang daripada mereka mencadangkan kepada kawan-kawannya yang masih terpenga-penga itu supaya mereka menggali kubur itu untuk melihat apa yang berlaku. Mula-mulanya salah seeorang daripada mereka membantah, tapi bila didesak oleh tiga orang sahabatnya, dia pun bersetuju.
Menggali kubur baru seperti itu tidaklah sukar, kerana tanahnya masih lembut dan belum kemas. Mereka pun menggalinya dengan hati yang penuh debaran. Tidak lama kemudian mereka dapat melihat mayat gurunya. Mereka amat terkejut, kerana keadaan mayat gurunya telah jauh berubah. Kain kafannya telah trkoyak rabak dan mayat hampir bogel. Antan yang terletak di sisi mayat itu telah tersumbat dari mulut terus ke dubur. Mayat telah disula dengan antan. Mata mayat tersembul keluar dengan lidah terjelir. Amat menggerikan. Amat menaktukan.
Tanpa berkata apa-apa mereka terus melompat naik, dan segera menimbus semula tanah perkuburan itu.
Setelah selesai mereka pun tergesa-gesa meninggalkan kubur itu. Muka mereka pucat lesi. Mereka lesu dan gementar, dan berjalan dengan guntai.
“Aku baru faham, kenapa guru meminta supaya dia ditanamkan dengan antan. Rupa-rupanya dia ingin berlawan dengan Munkar dan Nakil. Masyaallah. Lihat tadi apa dah jadi?".
Kemduian kesepian menjengah kembali. Langkah-langkah mereka makin cepat meninggalkan tanah perkuburan dengan hati yang digegarkan oleh ketakutan yang tidak dapat dibayangkan
Semoga hati mereka disinar oleh cahaya keimanan, kembali ke jalan yang benar menuju keredaan Allah.
[Cerita ini disusun daripada Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rashid di Madrasah Keramat Jaya, Kuala Lumpur pada 20hb. Jun, 1980].
xxxx
Kisah di atas antara lain cuba menunjukan bahawa seksa kubur itu nemang ada. Rasulullah S.A.W. pernah memper peringatan kepada umatnya.
MAYAT DISEKSA DALAM KUBUR
Baru-baru ini penulis terbaca sebuah kisah yang berciri yang sama tentang seksa kubur. Dalam buku itu dikisahkan tentang mayat seorang pemuda berusia 18 tahun yang digali semula selepas tiga jam dikebumikan dan didapati telah jauh berubah seperti seorang yang sangat tua.
Di samping itu terdapat tanda-tanda yang jelas menunjukkan dia telah diseksa dengan teruknya selama tiga jam selepas dikebumikan. Tulang-tulang kaki dan tangannya telah hancur. Darah bersembah keluar daripada mayat menunjukkan dia telah dipukul dengan teruknya.
Menurut penulis buku itu, Mohamad Sodikin Rahman-"Misteri Keajaibaan Dunia" pemuda itu meninggal dunia di sebuah hospital di Oman.Tapi kuburnya telah digali semula kerana ayahnya merasa ragu tentang diagnosa yang dilakukan oleh doktor terhadap anaknya itu dan dia ini mengetahui apakah sebenarnya yang menyebabkan kematiann anaknya itu.
Foto menunjukkan mayat pemuda itu bekas kena seksa juga disertakan. Untuk mengetahuinya dengan lebih jelas bacalah buku tersebut yang banyak mengandungi perkara-perkara ganjil yang menginsafkan terdapat di dunia ini yang menjadi tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT.
xxxxxxxxx
3]Pengalaman Nurul Dalam Kubur
Nurul Farah, 19 tahun seorang pelakon, ketika ditanam hidup-hidup dalam kubur yang sempit dan gelap itu mendakwa mendengar berbagai-bagai jeritan meminta tolong di samping mendengar hentakan tapak kaki yang sungguh dasyat dekat dengan kepalanya.
Pada masa itu kata Nurul dia terbayang Malaikat Munkar Nakir datang untuk menanya tentang amalannya. Tapi nasib baik katanya, tanah perkuburan di mana dia dikebumikan dikorek semula dan dia diangkat naik dari kubur.
Dia juga mendakwa mendengar bunyi bising seperti seseorang berjalan mengheret rantai besar untuk memukul ahli kubur yang berdosa.
Pada masa kejadian itu berlaku, Nurul sebenarnya masih belum mati, tapi sedangkan melakonkan sebahagian daripada acara pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara dalam drama Karma Salina arahan pengarah terkenal, Erma Fatima tidak lama dahulu.
Sebelum dikebumikan, Nurul Farah yang menjadi mayat itu, dibungkus dengan tiga lapis kain putih, kemudian dimasukkan ke dalam keranda dan seterusnya dikebumikan ke dalam liang lahad dan tikambus seperti kubur biasa.
Ketika berada dalam liang lahad itulah dia mendakwa mendengar berbagai-bagai suara jeritan meminta tolong yang datang dari segenap penjuru liang lahad di mana dia dikubumikan.
Nurul Farah menceritakan pengalaman seramnya itu kepada Mingguan Warta Perdana dan ceritanya terpapar pada muka hadapan akhbar itu keluaran 2 Januari 2011.
Katanya pengalaman tersebut amatlah berharga kepadanya serta banyak memberi keinsafan kepadanya.
Kita berharap dan berdoa semoga peristiwa luar biasa ini akan mengurniakan taufik dan hidayah bukan sahaja kepada Nurul Farah tapi juga kepada kita semua dalam mencari keredaan Allah dalam menjalani hidup di dunia yang fana ini.
Itulah tujuan saya mengungkapkan kisah ini kembali untuk renungan kepada sesiapa yang tidak sempat membacanya.
Renunglah:
"Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka [yang telah dibinasakan itu] telah pernah jelajah di beberapa negeri. Adakah [mereka] dapat tempat lari [dari kebinasaan]?-Qaaf:36.
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment