>> Monday, May 10, 2010
KEMBARA
SUNGAI DURIAN-CAMERON HIGHLANDS
Bersama:Hj.Mohammed Zain Saleh]
Sejarah ringkas
Cameron Highlands
Cameron Highlands was named after William Cameron, a British government surveyor who stumbled across a plateau in 1885 during a mapping expedition on the Titiwangsa Range. Failing to mark his discovery on the map, the location of the plateau was finaly confirmed by subsequent expeditions after which Sir Hugh Low suggested that this would be an ideal location for a retreat and farmland. A narrow path to the highlands was then cut through the dense jungles for the highlands.
Nothing much happened after that until 1925 when Sir George Maxwell visited the highlands and decided to develop it as a hill station. A development committee was then formed which functioned until 1931.Cameron Highlands was a haven for the British who were stationed in Malaya as it provided relief from the hot and humid tropical climate of the lowlands.
Once the road was constructed, wealthy residents and British government officials started building retreats on the slopes of the highlands. Later, some settled here permanently and a business community developed. Farming was the main activity here at that time. In 1929, John Archibaid Russell, who was the son of a British administrative officer started a tea plantation which is now the famous BOH Tea Plantation.
The Highlands developed successfully until the outbreak of the World II where the Japanese invasion ini 1941 forced the Brtish troops and civilians out of the highlands. The Japanese continued to administer the area since they saw the highlands farms as a vital food source for their troops. When the Japanese troops retreated from Malaya in 1945 the British gradualy returned to the highlands until the independence of Malaya from the British in 1957”.
Dipetik dari buku:
Cameron Highland Tourist Information
Guide Book 2010.
Kami bertolak dari rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada hari Jumaat, 7 Mei, 2010 [22 Jamadil Awal 1431], kira-kira pukul 8.15 pagi dan berhenti sekejap di Dataran Peladang tempat kami berkumpul untuk berkonvoi dengan kereta ke Cameron Highlands, dan memulakan perjalanan pada pukul 8.30 pagi menyusuri Jalan Kuala Krai-Gua Musang.
Cameron Highlands ialah salah sebuah daripada tiga tempat peranginan di aras tinggi di Pahang. Dua lagi ialah Bukit Fraser dan Genting Highlands, tempat perjudian yang terbesar. Dulunya Cameron Highlans terletak di bawah Daerah Raub, tapi kini telah menjadi sebuah daerah yang tersendiri, Daerah Cameron Highlands, dengan Pegawai Daerahnya yang tersendiri yang terletak di tanah tinggi itu.
Pagi itu jalan tak sibuk, malah boleh dikatakan lengang, kerana hari cuti am di Kelantan Darulnaim. Hampir tidak ada lori yang mengangkat dan memunggah barang. Justeru kereta berjalan lancar menuju destinasi dengan dikelilingi oleh suasana pagi agak sejuk di sekeliling jalan. Mentari masih belum bersinar di dada langit.
Jalan Berlekuk-lekik
Tidak apa-apa yang menarik di sepanjang perjalanan itu. Jalan pun boleh dikatakan baik. Tapi selepas melepasi bandar Gua Musang, kami membelok ke kiri di simpang tiga menuju ke Cemeron Highlands dan ke Kuala Betis, kami merasa terganggu kerana jalan yang tidak rata, berlekuk-lekik yang tidak dapat dilihat oleh mata pemandu. Malah kadang-kadang kami melambung naik bila kenderaan dengan tidak sengaja terjun lekuk-lekik yang agak dalam.
Bila sampai ke Lojing pandangan bertukar dari hutan kepada pemandangan peneduh-peneduh pokok yang ditanam oleh para pengusaha untuk memayungni pokok-pokok yang mereka tanam daripada ditimpa kepanasan yang terik, kebanyakannya pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran yang sensitif kepada panas terik. Peneduh-peneduh itu bertaburan di sana sini seperti sebuah kawasan perumahan mega yang ribuan banyaknya, seperti cendawan tumbuh di musim hujan.
Kami sampai kira-kira pukul 11.30 pagi di Cameron Highlands. Setelah singgah sebentar meninjau- barang yang dijual di kedai-kedai di pinggir-pinggir jalan, kami pun terus menuju ke tempat penginapan, di mana kami tinggal beramai-ramai di sebuah aprtmen, lima tingkat. Di Tanah Rata. Kami dapat tingkat atas sekali dan tinggal hanya bersama dengan keluarga kami seramai 9 orang, 4 orang kanak-kanak, [cucu-cucuku], dan 5 orang dewasa anak-anak dan menantu-menantuku.
Tengah hari itu kami sempat sembahayang Jumaat di Masjid Tanah Rata, buat pertama kali. Masjid itu terletak di atas sebuah bukit tidak jauh dari jalan besar. Khutbah Jumaat yang dibaca oleh Imam hari itu pun cukup menginsafkan, ia membicarakan tentang mati dan persediaan-persediaan untuk menghadapi kematian.
Keluargaku yang ikut bersama, ialah anakku Noorbaiti Zaini dan suaminya Safayi, dan empat orang anaknya, Syafiqah Zaini, Syafiq Zaini, Syamil Zaini dan Syaafiya Zaini [cucu-cucuku], Syaibani Zaini dan isterinya Emi.
Kesejukkan
Petangnya mereka keluar untuk membuat lawatan sendiri-sendiri tapi aku tidak keluar dan tinggal di apartmen sendirian, kerana cuaca telah mulai terasa berubah sejuk. Sejak umur kian meningkat, lebih-lebih lagi selepas kematian isteriku, Asiah Yaakob, kira-kira hampir setahun yang lalu, aku kian tidak tahan dengan kesejukan. Justeru aku merasa bimbang bila merasa kesejukan yang melampau, termasuk kesejukan aircond. Mujur aku tidak ikut mereka, kerana menjelang waktu Maghrib hujan turun,walaupun tidak lebat, tapi menyebabkan cuaca bertambah dingin di bumi Cameron Highlands ini. Aku terasa tidak tahan dengan kesejukan, hingga kaki terpaksa diurut dengan minyak dan dipakaikan dengan stoking di samping memakai baju tebal. Telinga kananku pun mulai merasa memberat. Tapi alhamdulillah, sebeluam tiba waktu Isa’ keadaan suhu badanku hampir kembali normal, dan dapat menunaikan solat Maghrib.
Aku tidak turun ke mana-mana hingga keesokannya. Kami meninggalkan apartmen itu kira-kira pukul 9.30 pagi untuk melawat tempat-tempat tertentu sebelum menuju ke rumah masing-masing. Kerana kesuntukan masa kami hanya singgah di beberapa buah tempat sahaja yang menjual pokok-pokok bunga dan membeli sedikit pokok-pokok bunga untuk ditanam di rumah kami di Pasir Tumbuh. Pokok-pokok bunga yang dibeli itu selain daripada warnanya yang cantik juga payah untuk didapati di tempat kami dan kalau ada pun harganya jauh lebih tinggi sedikit.
Memanglah pokok-pokok bunga yang dijual di Cameron Highlands ini ada banyak jenisnya, dan harganya lebih murah jika dibandingkan dengan yang dijual di tempat kami. Demikian juga dengan harga sayur-sayuran. Kami juga singgah di pasar dan membeli sedikit barang-barang keperluan untuk dibawa balik.
Taman Rama-rama?
Kami juga masuk ke Taman Rama-rama. RM 5 untuk orang dewasa, dan RM2 untuk kanak-kanak. Kami tidak nampak ada begitu ramai rama-rama dan tidak juga dapat melihat banyak jenisnya sebagaimana yang kami harap-harapkan. Pada sangkaanku taman rama-rama ini mestilah mempunyai berbagai-bagai jenis rama-rama yang berwarna warni yang cantik rupanya dengan berbagai-bagai bentuk yang luar biasa seperti yang aku pernah lihat di luar sana, di kampungku umpamanya.
Selain daripada rama-rama yang kami rasanya hanya ada satu warna sahaja, warna gelap, dan satu bentuk sahaja badannya, ada juga hewan-hewan lain yang ditontonkan di taman itu, seperti beberapa jenis ular, sepasang angsa, sepasang ayam belanda, seekur belalang gergasi yang dipanggil “King of Grasshoper”.× Kehadiran hewan-hewan itu menimbulkan bau yang kurang selesa.
Bila kami keluar dari taman rama-rama itu, jalan bertambah sesak. Kenderaan terpaksa bergerak perlahan-lahan untuk sampai ke satu-satu tempat yang dituju. Pelancung pun bertambah ramai. Mereka datang dengan menaiki bas dan kebanyakannya berkereta. Aku lihat kebanyakan mereka membeli-belah. Jarang yang bertangan kosong.
Mengikut congokku pada hari itu sahaja beratus-ratus ribuan ringgit telah dibelanjakan oleh pelancong tempatan, sebahagiannya dari Kelantan untuk membeli-belah di Cameron Highlands pada hari minggu seperti itu.
Setelah selesai membeli belah di pasar kami pun bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang kami merasa tidak begitu selesa, kerana keadaan jalan lekuk-lekkknya lebih banyak dan lebih dalam daripada ketika kami menuju ke Cameron Highlands kelmarin. Banyak kali kami melambung dari tempat duduk bila kereta terjatuh ke dalam lekuk-lekik yang sukar untuk dielak oleh pemandu. Jika ada penumpang warga emas yang kurang kuat belakangnya, atau ada orang yang sakit belakang atau pinggang, sudah tentu bila sampai ke rumah nanti mereka terpkasa berihat atau memanggil tukang urut atau memakan ubat tahan sakit.
Saya percaya keadaan jalan tidak rata dan berlekuk-lekik seperti itu sudah lama, kerana anak saya, Faris Zaini yang pergi ke Cameron Highlands kira dua tahun yang lampau telah bersungut-sungut dan kesal dengan keadaan jalan yang tidak rata dan berlekuk-lekik itu.
Saya harap pihak berkuasa dapatlah segera membaiki jalan yang sudah sekian lama terbiar berlekuk-lekik tanpa dibaiki itu untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada pelancung yang sering menghabiskan masa dan belanja yang bukan sedikit di Cameron Highlands setiap minggu atau di musim-musim percutian.
R and R Gua Musang
Di sepanjang jalan antara Cameron Highlands dan Simpang Tiga Kuala Betis itu tidak ada sebuah kedai makan atau minum di mana kita boleh berhenti untuk makan, minum, solat dan bererhat sekejap sebelum meneruskan perjalan ke Gua Musang atau ke rumah masing-masing. Saya percaya Insyallah jika ada sebuah atau dua buah kedai yang terletak di tepi jalan dan di tempat strategik di sepanjang perjalanan itu sudah tentu akan mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna jalan tersebut. Saya harap ada para peniaga kita yang memikirkan hal ini.
Kami berhenti untuk bersolat dan makan di R and R Gua Musang [Rawat dan Rehat]. Harga makanan di R and R Gua Musang ini juga membingongkan. Kami dapati harga jauh berbeza antara sebuah gerai dengan sebuah gerai yang lain walaupun makanan yang sama. Umpamanya sepinggan nasi berlaukkan setongkol ayam di gerai A, harganya RM5.00, tapi di gerai B harganya RM7.00. Pada umumnya hampir semua harga makanan di sini lebih mahal daripada makanan yang dijual di ibu negara Kuala Lumpur.
Untuk mengelak daripada pembeli merasa tertipu dan tertekan, eloklah kiranya senarai harga makanan itu dipamerkan dengan lebih jelas untuk pemerhatian pengguna. Seperti dipamerkan harga sepinggan nasi putih dengan setongkol ayam ialah RM3.50. Demikian juga seterusnya dengan harga makanan-makanan yang lain, dan diletak di tempat yang mudah dilihat. Senarai harga yang ada sekarang diletak terlalu tinggi di atas pintu gerai menyebabkan pembeli sukar untuk menilitinya, dan terpaksa beridri di depan pintu gerai agak lama dan mendongak kepala untuk membaca harga-harga barang yang hendak dibeli yang begitu banyak senarai bilangannya. Lagi pun tak mungkin semua barang yang disenarikan itu terdapat di gerai berkenaan dan kalau ada pun tak mungkin dengan harga yang sama kerana senarai harga makanan itu nampaknya telah begitu lama dipasangkan di setiap pintu gerai.
Saya juga suka mengingatkan satu perkara lagi iaitu supaya pihak yang berkenaan memasang papan kenyataan yang terang menyatakan larangan merokok di kawasan gerai menjual makan itu. Kerana setiap kali saya berhenti, saya sering melihat ada seorang atau dua yang merokok selepas makan di gerai itu. Ini menganggu dan membahayakan orang lain.
Pada para pengguna pula saya suka juga mengingatkan bila sudah makan, kalau melihat orang ramai yang masih berdiri dan mencari-cari meja untuk makan, bila sudah makan, janganlah belama-lama di meja dengan berbual-bual kosong. Berilah ruang kepada orang lain untuk makan. Carilah tempat lain untuk berihat. Kasihan orang lain yang hendak makan.
Demikian juga pengguna surau di situ, kalau hendak berihat atau tidur sekejap kerana keletihan, tidurlah di tempat yang manasabah, jangan tidur di bahagian hadapan, kerana menyusahkan orang untuk bersolat.. Tidurlah arah ke belakang atau di tempat yang terembunyi sedikit dalam surau itu supaya tidak menganggu orang yang hendak bersolat, dan mereka pun tidak akan merungut, malah merasa simpati dengan anda yang keletihan itu.
Setelah makan kami meneruskan perjalan ke rumah dan selamat sampai ke rumah di Sungai Durian pada petang Sabtu 8.Mei, 2010 [23 Jamadiawal 1431].
Alhamdulillahi Wasykurillah.
×Penulis tidak menterjemahkan perkataan “king” dengan erti “Raja”. Bagi penulis perkataan Raja itu satu institusi yang mulia yang tidak boleh dipakai sebarangan tempat yang tidak layak. Saya tidak bersetuju dengan juara lawak dipanggil dengan gelaran “Raja Lawak”, atau pemandu motosikal yang laju digelarkan “raja pecut” dan sebagainya, kecuali penggunaan pada nama-nama tertentu yang sudah lama dipakai, sejak turun-temurun lagi, seperti “ulam raja”, “pisang raja” dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment