Pewaris Takhta Negeri Kelantan

>> Saturday, April 17, 2010

PEWARIS TAKHTA NEGERI KELANTAN
Oleh:Hj.Mohamed Zain Saleh
[Penulis beberapa buah buku dan berpuluh-puluh buah rencana mengenai KDYMM Al-Sultan Kelantan dan Keluarga Diraja Kelantan]

KDYMM Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra telah jatuh gering sejak beberapa bulan yang lalu. Namun begitu, syukur Alhamdulillah kesihatan Baginda telah berangsur pulih dan menggalakkan selepas menjalani rawatan selama beberapa bulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan selamat berangkat pulang ke negeri Kelantan Darulnaim.

Baru-baru ini buat pertama kalinya selepas gering Baginda telah berangkat mencemar duli dengan berkerusi roda menemui rakyat Baginda yang terdiri dari anak-anak yatim yang berlangsung di kediaman Baginda, Istana Mahkota, Kubang Kerian. Ini membuktikan Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, dan betapa sayangnya Baginda kepada rakyat Baginda.

Baginda adalah putera bongsu dan tunggal kepada ayahanda Baginda Al-marhum Sultan Yahya Petra Ibni al-Marhum Sultan Ibrahim, Ibni al-marhum Sultan Muhammad IV. Al-marhum Sultan Yahya Petra mempunyai 24 orang adik beradik, 11 orang putera dan 13 orang puteri, hasil perkahwinan ayahandanya dengan 6 orang isteri.


Putera Puteri Sultan Ibrahim

Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim mempunyai ramai adik beradik, iaitu seramai 24 orang; 6 orang merupakan adik beradik seibu sebapa, dan 18 orang lagi merupakan adik beradik sebapa tapi berlainan bonda, 11 orang putera dan 13 orang puteri. Mereka adalah putera puteri kepada Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV.
Dengan bonda Raja Perempuan Zainab [Tengku Zainab] Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai tiga orang saudara, iaitu Tengku Petra, Tengku Indera Petra dan Tengku Soraya.
Dengan bonda Cik Embong [Encik Puan Besar] , Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai 6 orang adik beradik, iaitu Tengku Wok, Tengku Nurain, Tengku Zainal Mulud [Tengku Temenggong], Tengku Iskandar [Tengku Laksamana], dan Tengku Mastura. Encik Puan Besar inilah bonda kepada Almarhum Sultan Yahya Petra, dan Baginda adalah merupakan putera sulung daripada 6 orang adik beradik itu.

Dengan bonda Tengku Yah [Tengku Mahrani] Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai 2 orang adik beradik, iaitu Tengku Mariam dan Tengku Petri.
Dengan bonda Cik Siti, Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai 5 orang adik beradik, iaitu Tengku Faisal, Tengku Faridah, Tengku Rashid, Tengku Alam dan Tengku Anis.
Dengan bonda Cik Safiah, Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai 5 orang adik beradik, iaitu Tengku Abdul Halim, Tengku Faridah Hanim, Tengku Fatihah, Tengku Rustum dan Tengku Sibli Shah.

Dan dengan bonda Cik Habibah, Almarhum Sultan Yahya Petra mempunyai 3 orang adik beradik, iaitu Tengku Nizam, Tengku Anan dan Tengku Shahriman.

Tengku Indera Petra
Almarhum Tengku Indera Petra dan Tengku Yahya Petra telah dihantar oleh ayahanda mereka Almarhum Sultan Ibrahim untuk melanjutkan pelajaran di England. Dari Kota Bharu mereka berangkat menuju ke Singapura untuk menaiki kapal laut. Mereka ditemani oleh ayahanda mereka, Almarhum Sultan Ibraim.

Ikut serta dalam rombongan ke Singapura itu ialah beberapa orang tukang masak istana. Salah seorang daripada mereka ialah datok kepada Nik Abdul Majid Nik Yahya [Adik kepada Dato’ Nik Hasan Nik Yahya]. Pada masa itu Nik Abdul Majid kecil lagi.

Selama berada di Singapura mereka tinggal di sebuah rumah kepunyaan seorang Cina, yang membuka sebuah kedai perniagaan di Kota Bharu yang digelar oleh penduduk Kota Bharu sebagai “hidung besar”.[1]

Setelah beberapa tahun di England mereka pun kembali ke tanah air. Walau bagaimanapun Almarhum Tengku Yahya Petra balik lebih awal daripada kakakandanya Tengku Indera Petra.
Pada tahun 1944, Almarhum Tengku Indera Petra telah dilantik oleh Almarhum ayahandanya Sultan Ibrahim menjadi “Raja Muda”, iaitu pewaris pertama kepada takhta Kerajaan Kelantan, Darulnaim. Satu acara istiadat yang sederhana telah diadakan di Istana Balai Besar untuk mengistiyarkan perlantikan yang penting itu.

Pada masa itu sudah ada seorang kerabat yang telah dilantik menjadi Raja Muda sebagai pewaris pertama kepada takhta kerajaan Kelantan, iaitu Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhammad III. Beliau adalah ayahanda kepada Tengku Sri Maharaja dan Raja Perempuan Zainab II. Beliau telah menjadi Raja Muda dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV lagi. Tapi pada waktu itu usianya sudah begitu lanjut dan berada dalam keuzuran yang berat, maka didapati tidak layak untuk menaiki takhta, lalu jawatan tersebut dikurniakan kepada Tengku Indera Petra sebagai penggantinya. Sementara Raja Muda yang sedia ada itu dikurniakan dengan gelaran baru sebagai Raja Dewa.

Sebenarnya sebelum ini dalam sejarah Kelantan moden sudah ada tiga orang , semuanya kerabat yang telah bergelar “Raja Muda” yang menjadi pewaris pertama kepada takhta Kerajaan Kelantan, tapi tidak pernah menaiki takhta kerajaan sehingga mereka meninggal dunia. Mereka ialah Long Ismail bin Long Yunus, bergelar Raja Muda dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad I [1800-1835], Long Ahmad bin Long Yusoff, bergelar Raja Muda dalam zaman pemerintahan Long Zainal [1835-1839], dan Tuan Bongsu bin Long Tan, bergelar Raja Muda dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad III.[1889-1890].

Ini menunjukkan gelaran Raja Muda itu bukanlah gelaran baru yang dipakai d alam zaman pemerintahan Sultan Ibrahim [1944-1960] , tapi ia telah dipakai dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad I lagi [1801-1836].

Tapi dalam zaman pemerintahan Sultan Ismail [1920-1944], pewaris pertama kepada takhta kerajaan Kelantan digelar “Raja Kelantan”. Namun dalam zaman pemerintahan Sultan Ibrahim ia ditukar kepada gelaran “Raja Muda”, untuk mengelak kekeliruan umum, kerana bila disebut “Raja Kelantan”, pada sangkaan orang ramai ia adalah Sultan Kelantan. Gelaran “Raja Muda” inilah buat pertama kali dikurniakan kepada putera Baginda, Tengku Indera Petra.

Kemudian Sultan Ibrahim memansuhkan pula gelaran Raja Muda yang pernah dikurniakan kepada anakandanya Tengku Indera Petra itu dan menggantikanya dengan gelaran baru “Tengku Mahkota” yang dikurniakannya kepada puteranya Tengku Yahya Petra yang menaiki singgahsana takhta kerajaan Kelantan setelah baginda mangkat.

Bila tercetus krisis antara Almarhum Tengku Indera Petra dengan ayahandanya Almarhum Sultan Ibrahim, Almarhm Tengku Indera Petra melepaskan jawatannya sebagai Raja Muda Kelantan. Selepas itu Almarhum Sultan Ibrahim dengan nasihat-nasihat para kerabat Diraja dan pembesar-pembesar negeri telah memansuhkan gelaran Raja Muda dan menggantikanya dengan gelaran baru “Tengku Mahkota Kelantan” yang digunapakai hingga ke hari ini.



Tengku Yahya Petra

Almarhum Sultan Yahya Petra diputerakan pada pukul 4 petang, 10 Disember 1917 dan merupakan putera sulung kepada bondanya Encik Puan Besar [Cik Embong].
Semasa kecilnya Baginda menerima pendidikan agama di tempat kediaman Baginda, di Istana Kota Lama. Istana itu masih terdapat lagi sekarang, terletak di pinggur Sungai Kelantan, dalam Bandar Kota Bharu.

Pada tahun 1931 dalam usia 14 tahun, Baginda berangkat belajar di Prince Light School, Pulau Pinang. Selepas 4 tahun menimba ilmu pengetahuan di situ, maka pada 4 Jun 1934 Baginda telah melanjutkan pelajarannya ke England.

Setelah berada di England selama 6 tahun, Baginda pun berangkat pulang ke tanah air, dan sampai ke Kelantan pada bulan Febuari 1939.

Tidak lama selepas berangkat kembali dari England, maka dalam usia 22 tahun, pada tanggal 4 Jun, 1939 Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Zainab bt Almarhum Tengku Muhammad Petra [Tengku Sri Utama Raja], dan kemudiannya bergelar Raja Perempuan Kelantan, bila Almarhum Tengku Yahya Petra menaiki singgahsana takhta kerajaan Kelantan Darulnaim.

Pada 21 Jun 1939 Baginda dikurniakan gelaran “Tengku Temenggong”, dan kemudiannya dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Al-Yunus, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati [D.K] oleh Almarhum Sultan Ibrahim.

Almarhum Sultan Yahya Petra gemarkan bunga-bunga, kerana itulah di halaman istana kediaman baginda penuh dengan pokok-pokok bunga yang berwarna warni yang menyedapkan mata memandang.

Baginda juga gemar bermain-main dengan binatang liar yang dijinakkan, seperti rusa, kijang dan sebagainya. Di samping itu baginda juga pernah menghadiahkan beberapa ekur binatang liar peliaharaan Baginda kepada Taman Negara, Kuala Lumpur.


Tengku Yahya Petra Sebagai Tengku Mahkota

Pada tahun 1944 Almarhum Tengku Indera Petra, kakakanda Sultan Yahya Petra telah dilantik menjadi Raja Muda, iaitu bakal pewaris pertama kepada singgahsana takhta kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim.

Tapi bila Tengku Indera Petra melepaskan jawatan tersebut, adikandanya Tengku Yahya Petra telah dilantik oleh ayahandanya Sultan Ibrahim sebagai pewaris singgahsana takhta kerajaan Kelantan yang baru dengan gelaran Tengku Mahkota Kelantan. Peristiwa itu berlaku pada 1 Febuari 1948.

Berhubung dengan perlantikan Almarhum Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota itu satu pemasyuran telah dibuat di Istana Balai Besar pada hari yang sama, melalui Sekular Nombor 6, 1948 yang ditandatangi oleh Dato’ Seri Setia “dengan titah perintah”.

Kandungan pemasyuran itu berbunyi:”Pemasyuran ketetapan dan perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra [Tengku Bendahara] menjadi bakal Sultan”.

Ketahuilah oleh sekalian,
Adalah dimasyurkan bagi pengetahuan sekalian rakyat-rakyat dan penduduk-penduduk Negeri Kelantan, bahwa Yang Maha Muia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, telah suka mengangkat, menetap dan meletakkan puteranya Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra [Tengku Bendahara] menjadi bakal gantinya dengan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

2.Adalah dimasyurkan juga bahwa ketetapan perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra menjadi bakal ganti Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad itu telah diiktiraf dengan rasminya oleh Kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King.

3.Adalah dimasyurkan bahwa istiadat pertabalan Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Kelantan itu akan dilangsungkan pada hari dan waktu yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, demikianlah adanya”.

Perlantikan Tengku Yahya Petra itu adalah selaras dengan semangat Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. Upacara rasmi penabalan Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota Kelantan telah disempurnakan pada 19 Jun 1948 di Istana Balai Besar, Kota Bharu dengan adat istiadat yang turun temurun.

Acara utama dalam istiadat penabalan Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota itu ialah sebaik-baik sahaja selesai DYMM Sultan Ibrahim bertitah dari atas singgahsana, maka tampillah YTM Tengku Mahkota Kelantan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ayahanda Baginda dan penyerahan keris diraja yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pewaris singgahsana takhta kerajaan Kelantan.

Almarhum YTM Tengku Mahkota, Tengku Yahya Petra telah dilantik menjadi Pemangku Sultan, dari 3 hingga 30 Jun 1953, kerana Almarhum Sultan Ibrahim berangkat ke England untuk menghadiri istiadat kemahkotaan Ratu Inggeris, Queen Elizabeth II dan sekali lagi dilantik menjadi Pemangku Sultan daripada 12 Ogos 1958 sehingga 12 Disember 1958 kerana ayahanda Baginda berangkat ke luar negara.

Sewaktu memegang jawatan YTM Tengku Mahkota, Baginda menyandang berbagai-bagai jawatan dalam Kerajaan Negeri, seperti menjadi Penolong Ketua Bendahari Negeri, Ketua Jajahan Kota Bharu, Setiausaha Sulit DYMM Al-Sultan, Yang Di’Pertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan lain-lain jawatan lagi yang menambahkan pengetahuan Baginda tentang siluk-biluk pentadbiran dan pemerintahan negeri.


Pandangan Sejarawan Tentang Perlantikan YTM Tengku Yahya Petra

Mengenai perletakan jawatan Almarhum Tengku Indera Petra dan perlantikan Almarhum Tengku Yahya Petra sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, beberapa penulis dan sejarahwan telah menzahirkan pendapat masing-masing di antaranya:

Sejarawan Saad Shukri Hj.Muda berkata,

“Oleh sebab Yang Teramat Mulia Tengku Indera Petra [Raja Muda] telah mengambil keputusan menyerahkan kedudukannya dan zuriat-zuriatnya sebagai bakal Sultan maka adikandanya Yang Teramat Mulia Tengku Yahya Petra telah dilantik dan diistiyarkan sebagai penggantinya dengan gelaran “Tengku Mahkota Kelantan”, sedang gelaran “Raja Muda” [sebelumnya “Raja Kelantan] telah dimansuhkan buat selama-lamanya”[2]

Sejarawan Nik Mohd Saleh berkata,

”Kira-kira dalam tahun 1947 timbul perselisihan di antara Sultan Ibrahim dengan Tengku Indera Petra [Raja Muda] yang menyebabkan Tengku Indera Petra melepaskan gelaran “Raja Muda” serta meninggalkan negeri Kelantan duduk di Pulau Pinang untuk beberapa tahun. Pada masa itu disusun semula dan ditetapkan kembali gelaran bakal pemerintah iaitu diambil daripada asas gelaran bakal ketiga “Tengku Seri Indera Mahkota” itu dipendekkan gelarannya dengan gelaran “Tengku Mahkota’’ sebagai bakal pertama. Maka pada Februai 1948 dilantik Tengku Yahya Petra putea kedua Sultan Ibrahim sebagai Tengku Mahkota Kelantan menggantikan kakandanya Tengku Indera Petra sebagai bakal pertama raja pemerintah, Sebelum perlantikan itu Tengku Yahya Petra pernah bergelar “Tengku Temenggong” [pada 21 Julai 1939 dan Tengku Bedahara [pada tahun 1945]”.[3]

Ariffin bin Abdul Rashid menulis,

”Menjelang pada hari Sabtu 9 Julai 1960 bersama Muharam 1380 baginda ini [Sultan Ibrahim-p] pun mangkat di Istana Seri Cemerlang Kota Bharu, dengan meninggalkan11 orang putera dan 13 orang puteri. Sebelum jenazah dimakamkan di pemakamanya di Langgar, pemasyuran perlantikan diistiyarkan bahawa Tengku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim menjadi Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya dengan gelaran Sultan Yaya Petra menggantikan Sri Paduka ayahandanyaA lmarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad yang ke empat.

“Perayaan memuja umur baginda yang pertama telah diadakan pada 10h.Disember 1960, bersamaan dengan 21Jamadilakhir 1380, dan telah dimahkotakan bersekali dengan Raja Perempuan pada hari Isnin 17 haribulan Julai 1961 bersamaan dengan 4 Safar 1381 di istana yang bersejarah itu iaitu “Istana Balai Besar”,Kota Bharu”[4]

Dato’ Hj. Mohammed Nasir antara pernah menegaskan,

”Che Embong [bonda Tengku Yahya Petra-p] adalah emak sepupu saya, dan saya berasa kesal di atas perkara-perkara yang dihebohkan sekarang.
“Menurut beliau perkara pewaris takhta Kelantan yang diungkit-ungkitkan oleh pihak-pihak yang berkenaan boleh menyentuh orang yang sudah meninggal.”Perkara ini amat tidak baik dalam Islam selain daripada menyentuh perasaan peribadi saya sendiri”
“Dalam kenyataan itu beliau turut menjelskan bahawa menurut undang-undang dan peraturan Negeri Kelantan, perlantikan sultan-sultan yang dahulu pernah dibuat dari keturunan ibunya daripada orang keluaran, iaitu bukan keturunan raja.
“Menurut beliau, termasuklah dalam hal ini Almarhum Sultan Ismail yang memerintah Kelantan dari tahun 1920 hingga 1944 dan Almarhum Sultan Ibrahim. Iaitu dato’ kepada Sultan Ismail Petra sekarang yang memerintah dari tahun 1944 hingga 1960. Seterusnya beliau membuat kesimpulan,”Pertikaian masalah pewaris takhta kesultanan Kelantan yang telah lama selesai di kalangan diraja sendiri serta disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri [MPN] tidak seharusnya diungkit lagi sekarang”[5]


Raja Perempuan Zainab II

Bonda kepada KDYMM Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ialah Almarhum Raja Perempuan Zainab II, permaisuri kepada Almarhum Sultan Yahya Petra yang dikenali dengan panggilan “RPZ” adalah cucuanda kepada Sultan Muhammad Keempat yang memerintah Negeri Kelantan antara tahun 1899 hingga 1920. Baginda diputerikan oleh bondanya, Tengku Kembang Petri Ibni Almarhum Sultan Muhammad Keempat yang lebih dikenali dengan panggilan “Tengku Mahrani” pada hari Rabu, 7hb. Ogos 1917 bersamaan dengan 19 Syawal 1335 H. di Kota Bharu. Ayahanda Baginda ialah Tengku Muhammad Petra yang bergelar “Tengku Seri Utama Raja”.

Tengku Mahrani Petri, ialah kakakanda kepada Almarhum Sultan Ibrahim, mangkat pada jam 10.00 pagi, hari Sabtu, 26 November 1949 bersamaan dengan 5hb. Safar, 1369H dalam usia 57 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu.

Dari sejak kecil lagi, Almarhum Raja Perempuan Zainab II telah diberi asuhan dan didikan keagamaan, dengan bergurukan guru-guru agama dan alim ulama yang terkenal di waktu itu. Di samping itu Baginda juga dididik dengan adat sopan dan tingkah laku yang mulia sebagai seorang puteri Raja Melayu yang mempunyai adat resam turun temurun yang gemilang.
Baginda mendirikan perkahwinan pada 4 Jun, 1939 dengan Almarhum Tengku Yahya Petra, yang kemudiannya bergelar Tengku Mahkota Kelantan dan seterusnya diangkat menjadi Sultan Kelantan.

Pada 9hb. Ogos 1956, Almarhum Tengku Zainab II telah dianugerahkan dengan gelaran “Tengku Ampuan Mahkota” selepas Almarhum Tengku Yahya Petra selamat dilantik dan diistiyarkan sebagai “Tengku Mahkota Kelantan” pad 1b. Febuari 1948 oleh ayahanda Baginda Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda juga telah menerima anugerah “Dajah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia” [S.P.M.K] Peringkat Pertama.

Baginda telah diistiyarkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 10 Julai, 1960, serentak dengan perisytiraan Tengku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Sultan Dan Yang Di Pertuan Negeri Kelantan Darulnaim. Perlantikan Baginda sebagai Raja Perempuan Kelantan adalah mengikut nasihat dan disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri [MPN]. Yang berotoriti dalam soal tersebut.

Almarhum Raja Perempuan Zainab telah dianugerhkan gelaran Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati [D.K] pada 10hb. Disember 1960 bersamaan dengan 12 Jamadilakhir 1380 oleh Almarhum KDYMM Sultan Yahya Petra sempena dengan istiadat pertabalan dan kemahkotaan Baginda sebagai Sultan Kelantan Darulnaim.

Almarhum Raja Perempuan Zainab seorang yang peramah dan mempunyai hati yang kasihan belas terhadap seluruh rakyat jelata. Baginda suka mengambil berat tentang kerja-kerja kebajikan masyarakat. Baginda pernah berkenan memegang beberapa jawatan dalam bidang kebajikan, di antaranya Baginda pernah memegang jawatan Pengelola Negeri Tabung Rayuan Bunga Merah dan memegang jawatan Yang Di Pertua Persekutuan Pandu Puteri Kelantan, di samping menjalankan berbagai-bagai aktiviti kemasyarakatan lagi.

Baginda mangkat pada pukul 12.00 tengah malam, 9hb. Januari 1992 di Istana Negeri Kubang Kerian dalam usia 70 tahun setelah gering sekian lama kerana sakit tua.
Tengku Indera Petra Masuk Politik

Berikut dengan tercetusnya pergeseran antara Almarhum Tengku Indera Petra dengan ayahanda Baginda Sultan Ibrahim itu maka, Almarhum Tengku Indera Petra telah mengundurkan diri ke Pulau Pinang. Setelah tinggal beberapa waktu di Pulau Pinang, bila suasana telah reda, beliau kembali ke negeri Kelantan Darulnaim.

Kemudian Almarhum Tengku. Indera Petra menyertai UMNO. Pada masa itu UMNO Kelantan masih berada dalam keadaan bergelora dan tenat. Beliau menyertai kumpulan aktivitis yang berusaha untuk menghidupkan UMNO Kelantan pada tahun 1953. Antara mereka bersama-sama beliau ialah [Dato’] Nik Hasan Nik Yahya, Nik Mohd. Amin bin Nik Ali, Ismail Mahmood [Dato’ Bentara Kiri], Abdul Majid Tahir, Abdul Rauf, Rahim Akib, Abu Bakar Al-Ahmadi dan Nik Yahya bin Nik Daud.[6]

Dalam Pilihanraya Kebangsaan yang pertama pada tahun 1955, Tengku Indera Petra telah bertanding sebagai calon UMNO untuk kawasan Parlimen Kelantan Utara. Beliau telah menang dengan majoriti 22,133 undi. Malah semua ke lima-lima kerusi Parlimen yang dipertandingkan oleh UMNO telah dimenangi oleh UMNO. Dalam pilihan Dewan Undangan Negeri yang diadakan pada 19 September 1955, pula, UMNO telah membolot kesemua 16 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam pilihanraya Kebangsaan 1959, Tengku Indera Petra sekali lagi bertanding sebagai calon UMNO untuk kawasan Parlimen Ulu Kelantan. Keputusannya beliau telah menang, walaupun kesemua calon-calon PERIKATAAN yang lain telah kecundang. Demikian juga untuk kerusi Dewan Undangan Negeri, UMNO telah tewas, di mana hanya dua calonya sahaja yang menang. Dengan itu kerajaan Kelantan telah bertukar tangan, dari UMNO kepada parti pembangkang-PAS.

Salah satu daripada risiko yang berat yang menimpa UMNO Kelantan akibat kekalahan itu ialah berlakunya krisis dalaman dalam UMNO Kelantan, menyebabkan UMNO Kelantan terpaksa digantung. Tengku Indera Petra yang memegang jawatan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan terpaksa mengundurkan diri, dan tempatnya telah diambil alih oleh Tengku Abdul Rahman Petra sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri pada tahun 1963.

Kemudian Tengku Indera Petra telah dilantik oleh Perdana Menteri,Tengku Abdul Rahman Putera sebagai duta ke negara Jepun.


Tengku Yahya Petra Ditabal Menjadi Sultan

Setelah Baginda Sultah Ibrahim mangkat pada 9 Julai 1960, maka pada hari Ahad 10 Julai 1960 Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota Kelantan telah ditabal menjadi Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim yang kedua puluh tujuh dengan gelaran Sultan Yahya Petra.

Keputusan menabal Baginda sebagai Sultan Kelantan itu telah dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri [MPN] yang telah bersidang buat pertama kali sejak ditubuhkan dan membuat keputusan sebulat suara bersetuju dengan perlantikan itu.

Pada masa itu Baginda telah memegang jawatan YTM Tengku Mahkota Kelantan selama 16 tahun, iaitu sejak tahun 1944 lagi.

Anggota MPN masa itu seramai 15 orang, iaitu Tengku Muhammad Hamzah bin Tengku Zainalabidin, Tengku Sri Maharaja- Yang DiPertua, Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Abu Bakar, Engku Sriwangsa-Timbalan Yang DiPertua, Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghafar, Tengku Panglima Raja, Tengku Abdul Majid bin Tengku Besar Yusuf , Tengku Sri Pakrama Raja, Tengku Long Abdul Rahman bin Tengku Muhammad, Tengku Sri Kelana Diraja, Tengku Anwar bin Tengku Zainalabidin, Tengku Sri Akar Raja, Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmood, Dato’ Sri Setia Raja, Nik Ahmad bin Hj,Nik bin Hj. Nik Mahmud, Dato’ Sri Nara Diraja, Nik Abdullah bin Nik Muhamad, Dato’ Sri Diraja, Haji Ahmed Maher bin Hj. Ismail, Dato’ Kaya Purba, Haji Muhammad Saleh bin Umar, Dato’ Bentara Kanan, Dato’ Bentara Kiri, Enc. Abdul Malek bin Hj.Muhammad, Dato’ Istiadat Mahkota, dan Encik Hashim bin Hj. Muhammad, Dato’ Wira jaya,.

Kandungan pemasyoran perlantikan KDYMM Sultan Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan itu berbunyi:

”Bahawasanya kami ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dilantik mengikut fasal V Undang-nndang Perlembagaaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua yang bertanda tangan di bawah ini adalah dengan surat kenyataan ini mengaku bahawa kami telah mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Kota Bharu pada 9 haribulan Julai,1960 bersamaan dengan 15 haribulan Mahram, 1380 pada jam 5 petang mengikut kehendak fasal VIII undang-undang tersebut. Kami telah memeriksa dan menimbang surat-surat dan kenyataan-kenyataan dan kami mengsahkan Yang Teramat Mulia Tengku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim D.K.,S.P.M.K., S.J.M.K.,S.M.N,warisnya sebagai Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya bagi mengganti Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad Ke empat D.K., S.P.M.K.,S.J.M.K., D.M.N. D.K. [Johor], D.K. [Brunei] yang telah mangkat pada jam 2.30 petang, 9 haribulan Julai, 1960 bersamaan dengan 15 Muharam 1380 di Istana Seri Cemerlang, Kota Bharu”.

Surat pemasyuran itu telah ditandatangi oleh semua anggota MPN yang tersebut di atas.

Selepas diistiyarkan sebagai Sultan Kelantan pada 10 Julai, 1960 bersamaan dengan 16 Muharam, 1380H maka pada 17 Julai 1961 bersamaan dengan 4 Safar 1381 Baginda telah ditabal dan dimahkotakan secara besar-besaran sebagai Sulltan Kelantan, bersama dengan Almarhum Raja Perempuan Tengku Zainab II binti Almarhum Tengku Muhammad Petra, di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Dinukilkan sedikit di sini detik-detik penting itu sebagai rakaman sejarah:

"Pada pukul 9.00 pagi KDYMM Al-Sultan dan DYMM Raja Perempuan dengan diringi oleh Biduanda-biduanda Diraja dan Pengiring-pengiring Khas telah berangkat keluar ke Majlis Singgahsana dan bersemayam di atas Singgahsana Kerajaan Kelantan, iannya diikuti oleh perarakan beristiadat membawa alat-alat kemahkotaan ke Majlis Singgahsana.

Selepas YAB Menteri Besar melafazkan seruan dan KDYMM Al-Sultan melafazkan ikrar Diraja maka YM. Tengku Sri Maharaja pun menyerah Mahkota Kerajaan kepada YM. Tengku Ahmad Panglima Raja, dan selepas melafazkan doa, maka YM. Tengku Panglima Raja pun meletakkan Mahkota ke atas hulu KDYMM Al-Sultan. Kemudian selepas menerima Gendek Permaisuri Kelantan daripada YM Tengku Sri Maharaja , dan selepas melafazkan doa, maka YM. Tengku Panglima Raja pun meletak Gendek ke atas hulu DYMM Raja Perempuan.

YM. Tengku Sri Maharaja menyerahkan keris Kerajaan kepada YM. Tengku Panglima Raja, dan melafazkan doa, maka YM. Tengku Sri Panglima Raja mempersembahkan keris Kerajaan itu kepada KDYMM Al-Sultan.

Kemudian Ketua Istiadat menyeru “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali yang dikuti oleh para hadirin yang bergema di seluruh Istana Balai Besar tempat berlangsungnya istiadat itu. Serentak dengan itu lagu “Raja Bertabal” pun dimainkan oleh Pasukan Gendang Besar Diraja dan meriam pun ditembak sebanyak 21 das yang bergema di seluruh Bandar Kota Bharu.

Setelah Istiadat Menjunjung Duli selesai, maka Istiadat Kemahkotaan pun ditutup dengan bacaaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Kelantan. KDMM Al-Sultan dan DYMM Raja Perempuan berangkat turun dari singgahsana, dan dengan diiringi oleh Pengiring-pengiring Khas maka Baginda pun berangkat mengambil bahagian dalam Perarakan Diraja yang melalui Jalan-jalan Kubang Pasu, Jalan Sultanah Zainab, Jalan Merbau, Jalan Kebun Sultan, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong, Jalan Ibrahim, Jalan Hamzah dan Jalan Sultanah Zainab sebelum berangkat pulang ke Istana Kota Lama”.

Patut juga disebut sebelum tahun 1955 pihak kerabat Diraja Kelantan berhak melantik seseorang Sultan pemerintah negeri Kelantan yang baru jika berlaku kekosongan. Tapi mulai tahun 1955 , hak itu telah berakhir, bila Almarhum Sultan Ibrahim mengurniakan Perlembagaan Negeri Kelantan Bahagian Kedua yang di antara lain kandungannya berhubung dengan perlantikan bakal pewaris takhta Kerajaan Kelantan bila berlaku kekosongan.

Bagi memenuhi kehendak-kehendak Perlembagaan Negeri Bahagian Kedua itulah, Almarhum Sultan Ibrahim telah menubuhkan dua majlis perundangan, iaitu Majlis Perajaan Negeri [MPN] dan Majlis Penasihat Raja [MPR]. Ahli-ahli kedua majlis mesyuarat itu dilantik oleh Amarhum Sultan Ibrahim sendiri.

Sebelum itu pada tahun 1948 Almarhum Sultan Ibrahim telah pun mengurniakan Perlembagaan Negeri Kelantan Bahagian Pertama sebagaimana dikehendaki oleh Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Kandungan Perjanjian ini antara lain menggembalikan kuasa Raja-raja Melayu di negeri masing-masing, iaitu dengan bantuan daripada Majlis Mesyuarat Kerja Negeri [EXCO] dan Majlis Negeri yang berkuasa membuat undang–undang yang dianggotai loleh ahli-ahli rasmi dan tidak rasmi.


Signifikan 1 Febuari 1948

Tanggal 1 Febuari 1948 yang dipilih untuk perlantikan Almarhum Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota Kelantan amatlah menarik dan mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam lembaran sejarah negeri Kelantan Darulnaim, dan tidak mungkin ia berlaku secara kebetulan.

Perlantikan Tengku Yahya Petra pada hari itu berlangsung selepas pewaris yang pertama kepada singgahsana takhta Kerajaan Kelantan, Tengku Indera Petra yang bergelar Raja Muda telah menolak jawatannya buat selama-lamanya.

Gelaran “Tengku Mahkota” sebagai gelaran pewaris takhta Kerajaan Kelantan baru pertama kali digunakan, mengganti gelaran “Raja Kelantan” dan “Raja Muda” yang telah dimansuhkan.
1 Febuari 1948 ialah hari kelahiran Persekutuan Tanah Melayu, satu bentuk pemerintahan baru yng menggantikan Malayan Union yang menggembalikan kedaulatan Raja Melayu hampir sebelum tahun 1941.[7]

Perlantikan itu berlangsung selepas DYMM Almarhum Sultan Ibrahim mengurniakan kepada rakyat Kelantan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pada hari tersebut. Hari ini dijadikan hari kelepasan am bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Perlantikan Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota itu terkandung dalam sekular No. 6 1948 yang membuat ketetapan, antara lain berbunyi:

“Ketahuilah oleh sekalian,
"Adalah dimasyurkan bagi pengetahuan sekalian rakyat-rakyat dan penduduk-penduduk Negeri Kelantan, bahwa Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, telah suka mengangkat, menetap, dan meletakkan puteranya Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra, Tengku Bendahara menjadi bakal gantinya dengan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

2,Adalah dimasyurkan juga bahwa ketetapan perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra menjadi Bakal Ganti Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad itu telah diiktiraf dengan resminya oleh Kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King.

3.Adalah dimasyurkan bahwa istiadat pertabalan Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Kelantan itu akan dilangsungkan pada hari dan waktu yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, demikianlah adanya”.

Pemasyuran itu ditandatangani oleh Dato’ Seri Setia dengan titah perintah, bertarikh pada 1 Febuari, 1948.
Sultan Yahya Petra Mangkat

Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Zainab bt.Almarhum Tengku Muhamad Petra [Tengku Sri Utama Raja] pada 4 Jun, 1939. Baginda dikurniakan dengan 7 orang cahaya mata, iaitu 6 puteri dan seorang putera, tapi dua daripada puteri baginda itu telah mangkat sejak masih kecil lagi.

Puteri-puteri dan putera Baginda Sultan Yahya Petra ialah YM. Tengku Marjan, YM.Tengku Rozan, YM.Tengku Salwani, YM. Tengku Rohani dan putera Baginda Tengku Ismail Petra, Sultan Kelantan sekarang.

Pada tahun 1968 kira-kira lapan tahun selepas menaiki takhta pemerintahan, tiba-tiba Sultan Yahya Petra jatuh gering, dan terpaksa diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan khas di Hospital Besar Kuala Lumpur. Baginda menerima rawatan selama tiga bulan sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Selama dalam kegeringan itu, menantu Baginda Yang Mulia, Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz bin Tengku Muhammad Hamzah telah dilantik menjadi Pemangku Sultan. Setelah pulih Baginda berangkat pulang ke Kota Bharu pada 4 hb. Febuari, 1968.

Pada 22 Julai, 1970 Baginda Sultan Yahya Petra telah dilantik menjadi Timbalan Yang Di Pertuan Agong oleh Persidangan Raja-raja yang berlangsung pada hari tersebut, Istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan telah diadakan pada 21 September, 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975 Baginda telah dilantik menjadi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang keenam. Istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan telah diadakan pada 21 September, 1975. Sementara istiadat pertabalan selaku DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong telah diadakan pada 28 Febuari, 1976 bersamaan dengan 28 Safar, 1396.

Untuk menjalan tugas sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong , Baginda terpaksa bernagkat dan bersemayam di ibu negara Kuala Lumpur. Sementara itu putera Baginda, Tengku Ismail Petra telah dilantik menjadi Pemangku Sultan untuk menjalankan urusan sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim.

Sultan Yahya Petra mangkat secara mengejut selaku Yang Di Pertuan Agong pada pada pukul 3.45 petang, hari Khamis 29 Mac 1979 [1 Jamadil Awal 1399 H] dalam usia 61 tahun, di Istana Negara Kuala Lumpur. Baginda mangkat selepas santapan tengahari dan ketika sedang berihat bersama keluarga di Istana Negara.

Jenazah Baginda telah diterbangkan ke negeri kelahirannya, Kelantan Darulnaim dan disemadikan di Tanah Perkuburan Diraja Langgar, Kota Bharu.
Tengku Ismail Ditabal Menjadi Sultan

Berikut dengan kemangkatan Sultan Yahya Petra itu, maka pada 30 Mac, 1979 anakanda Baginda, Tengku Ismail Petra, selaku Tengku Mahkota Kelantan, telah ditabal menjadi Sultan Kelantan Darulnaim dengan gelaran Sultan Ismail Petra.

Sebelum jenazah Almarhum Sultan Yahya Petra disemadikan Majlis Perajaan Negeri [MPN] telah mengadakan mesyuaratnya untuk memilih seorang pemerintah yang baru bagi Negeri Kelantan Darulnaim. Mesyuarat itu telah melantik dan mengesahkan putera tunggal baginda, Tengku Ismail Petra yang bergelar Tengku Mahkota Kelantan sebagai Sultan dan Yang Di’Pertuan Negeri Kelantan Darulnaim yang ke-28 pada 30 haribulan Mac, 1979.

Watikah pemasyuran Tengku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan telah dibaca oleh Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz di hadapan pembesar-pembesar negeri dan Negara, antaranya Perdana Menteri, Allahyarham Dato’ Hussein Onn, dan Menteri-menteri Kabinet Malaysia. Tembakan meriam 21 das telah bergema sebaik-baik sahaja selepas pemasyuran itu selesai dan doa selamat telah dibaca oleh Dato’ Mufti Kerajaan Kelantan.
Baginda telah dimahkotakan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1980 bersamaan dengan 13 Jamadil Awal 1340 Hijrah secara besar-besaran dengan adat istiadat yang gilang gemilang mengikut adat resam Raja-raja Kelantan Darulnaim yang turun temurun.

Istiadat kemahkotaan yang gilang gemilang itu yang berlangsung di Istana Balai Besar yang bersejarah itu telah dipancarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi Radio dan Televisyen Malaysia, serta disaksikan oleh pemimpin-pemimpin negeri dan Negara, duta-duta asing, orang-orang kenamaan, ketua-ketua jabatan kerajaan Pusat dan negeri serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan kaum yang berhimpun di Istana Balai Besar untuk menyaksikan upacara yang bersejarah itu.


Tengku Mahkota Ismail Petra

Sultan Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 bersamaan dengan 20 Muharam 1369 Hijrah di Istana Jahar, Kota Bharu. Baginda adalah putera tunggal dan bongsu kepada Almarhum Sultan Yahya Petra dan Almarhum Raja Perempuan Zainab II.

Dari sejak kecil lagi, KDYMM Sultan Ismail Petra telah diajar membaca dan menulis, serta diberi asuhan dan didikan agama, serta berbagai-bagai pengetahuan tentang adat istiadat Raja-raja Negeri Kelantan Darulnaim.

Baginda adalah bekas pelajar Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu salah sebuah institusi pengajian yang terkenal di negeri ini. Kemudian Baginda belajar dengan seorang guru tetap Bahasa Inggeris untuk mendalami pengetahuan Baginda dalam mata-mata pelajaran yang penting seperti Bahasa Inggeris, Geografi,dan Sejarah.

Tengku Ismail Petra telah dikurniakan dengan gelaran YTM Tengku Mahkota Kelantan pada 11 November 1967 oleh Almarhum ayahanda Baginda Sultan Yahya Petra sewaktu Baginda mencapai usia 18 tahun, dan ditabalkan sebagai YTM Tengku Mahkota sempena dengan sambutan hari ulang tahun keputeraan Baginda Sultan Yahya Petra yang ke-58 pada tahun 1968.

Dengan pengurniaan gelaran YTM Tengku Mahkota itu, maka bererti Baginda adalah merupakan pewaris pertama kepada takhta Kerjaan Negeri Kelantan bagi menyambung pemerintahan ayahanda Baginda nanti.

Sejak menerima gelaran YTM Tengku Mahkota, Baginda telah memperlihat kecenderungan dan kemahuan yang lebih besar nntuk mempelajari dan mendalami mengenai siluk-beluk pentadbiran dan pemerintahan negeri dalam berbagai-bagai jurusan, termasuk politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Sejak itu Baginda sering meluangkan masa berangkat mengiringi atau mewakili Almarhum ayahanda Baginda Sultan Yahya Petra, baik di majlis-majlis rasmi atau pun tidak rasmi.

Baginda juga memegang jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan negeri untuk membolehkan Baginda mendalami siluk-beluk pentadbiran negeri. Pada bulan April 1968 Baginda bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan yang menjadi induk kepada seluruh jabatan-jabatan di Negeri Kelantan. Di samping itu Baginda juga pernah bertugas di Pejabat Tanah Kota Bharu.

Baginda menghadiri persidangan-persidangan ketua-ketua pejabat, menyertai mesyuarat-mesyuarat dan juga perjumpaan-perjumpaan baik yang diadakan di Kota Bharu atau pun di peringkat jajahan-jajahan. Baginda juga tidak ketinggalan berangkat meninjau projek-projek yang sedang dijalankan pada masa itu.

Dalam masa memegang jawatan Tengku Mahkota itu Baginda telah beberapa kali menjadi Pemangku Sultan Kelantan. Pada 6 Julai hingga 25 Julai 1975 Baginda menjadi Pemangku Sultan, pada masa itu ayahanda Baginda Sultan Yahya Petra berangkat ke ibu Negara Kuala Lumpur untk menjalankan tugas sebagai Sri Paduka Baginda Yang Di’Pertuan Agong. Pada 12 Julai 1975 hingga 25 Ogos, 1975 Baginda dilantik menjadi Pemangku Sultan kerana ayahanda Baginda Sultan Yahya Petra berangkat melakukan lawatan ke Negara-negara Eropah.

Baginda menjadi Pemangku Sultan Kelantan untuk kali ketiga pada 21 Disember 1975, sewaktu Almarhum ayahanda Baginda berangkat ke ibu Negara Kuala Lumpur untuk bertugas sebagai Sri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang keenam hinggalah Baginda mangkat pada 29 Mac, 1979.


Perkahwinan Tengku Ismail Petra

Dalam masa menyandang jawatan YTM Tengku Mahkota itulah Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Anis bt. Tengku Abdul Hamid. Istiadat perkahwinan mereka telah disempurnakan di Istana Kota Lama pada 4 Disember 1968, sementara istiadat persandingan Diraja yang gilang gemilang telah dilangsungkan di Istana Balai Besar pada 12 haribulan Mac, 1969 mengikut adat istiadat raja-raja Kelantan yang turun temurun.

Dari hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan dengan 4 orang cahaya mata, tiga putera dan seorang puteri, iaitu Tengku Muhammad Faris Petra [Tengku Mahkota sekarang yang dilantik pada 6 Oktober 1985], Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Muhammad Fakry Petra dan seorang puteri Tengku Amalin A’Isah Petri.


Sultan Kelantan Tengku Ismail Petra

Selama menjalankan pemerintahannya Baginda terkenal sebagai seorang raja yang baik hati dan pemurah.Baginda juga terkenal sebagai seorang ramah raus dan luas pergaulannya dengan seluruh rakyat jelata, dan selalu prihatin tentang kebajikan rakyat jelata, dan memahami hasrat dan kehendak rakyat Baginda.

Namun begitu Baginda adalah seorang yang tegas dalam menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran, kezaliman dan ketidakadilan, terutama yang melibatkan rakyat jelata. Justeru itulah Baginda mudah terdedah kepada berbagai-bagai fitnah dan kecaman pahit daripada golongan-golongan tertentu yang tidak senang dengan sikap Baginda itu.

Baginda sering berangkat menemui rakyat jelata, walaupun di kawasan-kawasan jauh terpencil di ,pendalaman. Malah kalau boleh menurut Bagind, Baginda berhasrat untuk selalu berdamping dengan rakyat Baginda sepanjang masa.

Justeru itulah Baginda tidak segan silu untuk berangkat untuk bertemu dengan rakyat jelata Baginda di segenap pelosok negeri, walaupun jauh di pendalaman. Baginda bukan sahaja gemar melihat negeri dan rakyatnya berkembang maju, tapi Baginda juga menjadi penjana kepada kemajuan negeri Kelantan Darulnaim.

Biasanya setiap hari Jumaat Baginda berangkat menunai solat Jumaat di masjid-masjid mukim dalam negeri Kelantan, di mana Baginda mengambil kesempantan untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata dari segenap lapisan masyarakat.

Baginda amat mengambil berat tentang agama Islam dan selaku penaung agama di negeri ini. Sepatah titah baginda,

“Beta sedar betapa besarnya tanggungjawab Beta sebagai Raja dan Kepala bagi pemerintahan dan Penaung Ugama Islam dalam negeri ini, lebih-lebih lagi di masa yang serba mencabar ini. Beta juga sangat sedar bahawa pertanggungjawab yang ini adalah amanah Tuhan yang mesti Beta tunaikan, bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan kerajaan Beta”.

Baginda telah dua kali menunai ibadat haji dengan perbelanjaan Baginda sendiri.

Sultan Ismail Petra adalah seorang raja yang amat mengambil berat tentang badan-badan amal dan kebajikan, serta pergerakan-pergerakan yang mempunyai hubungan dengan kemajuan dan kebajikan rakyat jelata. Sehubungan dengan itu Baginda memegang berbagai-bagai jawatan dalam berbagai-bagai pertubuhan dan persatuan. Di antara berbagai-bagai jawatan yang pernah dipegang oleh Baginda ialah:

-Penaung Persatuan Bekas Prajurit Malaysia [PBPM] Cawangan Kelantan.
-Penaung Jawatankuasa Pemulihan Orang-orang Cacat Negeri Kelantan.
-Penaung Persatuan Menembak Kelantan.
-Penaung Persatuan Peladang.
-Penaung Kelab Rotary Kota Bharu
-Penaung Majlis Jaksa Pendamai Kelantan. Dan lain-lain.

Sebagai penaung pertubuhan-pertubuhan itu Baginda sentiasa memberi sumbangan berupa material dan buah-buah fikiran yang berguna untuk kemajuan pertubuhan-pertubuhan itu. Baginda mempunyai berbagai-bagai kegemaran, seperti membaca buku-buku dan majalah-majalah terbitan dalam dan luar negeri untuk menambah ilmu dan pengetahuan.

Baginda menggemari sukan menembak. Justeru Baginda sering menyertai pertandingan sukan menembak, dan biasanya muncul sebagai juara menembak yang handal. Baginda suka mendalami sesuatu bidang yang diminati oleh Baginda. Umpamanya dalam bidang senjata api Baginda mengumpul fakta-fakta mengenai senjata api, termasuk fakta-fakta mutakhir.

Penulis dimaklumkan dalam satu lawatan ke London, Baginda telah mengejutkan seorang pegawai kerajaan British kerana Baginda boleh menjelaskan secara terperinci dalam bahasa Inggeris yang fasih mengenai alat-alat persenjataan yang terkini, dengan menggunakan istilah-istilah persenjataan yang teknikal yang hanya diketahui oleh pakar senjata api.

Sultan Ismail Petra adalah seorang raja yang berwibawa dan berdaulat yang menaungi rakyat dan negeri Kelantan Darulnaim sepanjang pemerintahan Baginda untuk terus melangkah maju dengan aman dan jaya mengikut sunnah Allah S.W.T,

Baginda telah melantik putera sulung Baginda, Tengku Muhammad Faris Petra secara rasmi sebagai YTM Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, sebagai pewaris pertama yang sah untuk menaiki takhta Kerajaan Kelantan nanti


Sejauh Mana Kuasa MPN?

Seperti dikatakan di atas mulai tahun 1955 hak para kerabat DiRaja Kelantan untuk memilih dan melantik seorang Sultan pemerintah negeri Kelantan telah berakhir, bila Almarhum Sultan Ibrahim mengurniakan Perlembagaan Negeri Kelantan Bahagian Kedua yang di antara lain kandungannya berhubung dengan perlantikan bakal pewaris takhta Kerajaan Kelantan bila berlaku kekosongan.

Bagi memenuhi kehendak-kehendak Perlembagaan Negeri Bahagian Kedua ini, Almarhum Sultan Ibrahim telah menubuhkan dua majlis perundangan, iaitu Majlis Perajaan Negeri [MPN] dan Majlis Penasihat Raja [MPR]. Kedua-dua ahli majlis itu dilantik oleh Almarhum Sultan Irahim sendiri. Mengikut perlembagaan ini perlantikan seorang Sultan hendaklah dibuat oleh badan yang khas yang ditubuhkan itu.

Justeru bila Almarhum Sultan Ibrahim mangkat, maka Majlis Perajaan Negeri [MPN] yang ditubuhkan oleh Baginda itu telah bersidang buat pertama kalinya, dan persetujuan sebulat suara telah dicapai untuk mengangkat dan melantik Tengku Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan pada 10 Julai, 1960.

Demikian juga yang berlaku bila Sultan Yahya Petra mangkat pada 29hb. Mac, 1979, maka Majlis Perajaan Negeri [MPN] telah bersidang dan bersetuju melantik putera Baginda, Tengku Ismail Petra yang bergelar Tengku Mahkota Kelantan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Ismail Petra.

Dengan itu nyatalah Majlis Perajaan Negeri [MPN] mempunyai peranan yang penting di dalam perlantikan Sultan Kelantan, malah “tidak boleh sesiapa pun menaiki takhta Kerajaan Kelantan melainkan lantikannya itu telah disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri”.[5;6].

Anggota MPN. hendaklah terdiri daripada seorang Yang Di’Pertua, seorang Timbalan Yang Di’Pertua, seorang Setiausaha, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, empat orang kerabat Di’Raja dan tidak kurang dari empat atau tidak lebih daripada lapan orang lain daripada Bangsa Melayu dan menjadi rakyat Negeri Kelantan Daruinamin, serta dilantik oleh KDYMM Al-Sultan”.[5:7].
Bila berlaku kekosongan Sultan akibat kematian umpamanya, maka MPN hendaklah segera bermesyuarat dan mengesahkan bakal Sultan menjadi Raja, tapi jika MPN tidak bersetuju dengan perlantikan itu, maka MPN hendaklah mengesahkan waris-waris lain menjadi Raja yang didapati layak pada pandangan MPN, iaitu mengikut susur galur yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Negeri. [8:3].

Seorang kerabat yang hendak dilantik menjadi Raja itu mestilah seorang Melayu yang berdarah Raja, daripada keturunan zuriat Long Yunus, Raja dan Pemerintah Negeri Kelantan, seorang lelaki yang beragama Islam bermazhab Ahlus-Sunnah Wal Jamaah.[15].

Dan selepas daripada Baginda Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim, maka Raja itu hendaklah daripada keturunan zuriat tubuh badan dan darah daging DYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang diakui sah dan halal.[[15:16].

Mereka yang layak menjadi Raja dari keturunan Sultan Yahya Petra itu hendaklah terdiri daripada putera, cucuanda putera, cicitanda putera dan sebagainya dari sebelah lelaki dahulu lepas satu keturunan ke satu turunan yang lain. Tidak sah seseorang lain menjadi Raja selagi keturunan zuriat Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra masih ada. Itupun dengan syarat bakal Raja itu hendaklah seorang yang normal jasmani dan rohaninya, iaitu tanpa kecacatan-kecacatan yang besar, seperti gila, buta dan bisu”.[16:2]

Dalam hal ini andainya keturunan zuriat Sultan Yahya Petra telah pupus, atau tinggal hanya seorang sahaja [tapi tidak layak menaiki singgahsana takhta Kerajaan Kelantan, maka perlulah dipilih dan dilantik seseorang lain menjadi Raja, iaitu dari kalangan keturunan sebelah lelaki Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad Keempat.[17:1].

Andainya tidak ada lagi turunan ataupun tidak ada yang layak menaiki singgahsana takhta kerajaan Kelantan daripada zuriat Almarhum Sultan Ibrahim, maka perlulah dipilih dan dilantik menjadi Raja seseorang lelaki dari keturunan Almarhum Tengku Long Senik Sultan Muhammad Keempat. [17:2].

Demikianlah seterusnya dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan itu menegaskan bahawa jika tidak ada juga yang dapat menjadi Raja dari keturunan Almarhum Tengu Long Senik Mulut Merah, maka hendaklah dipilih dan dilantik dari keturunan zuriat lelaki daripada Almarhum Sultan Muhammad Ketiga [Sultan Bongsu]. [17:31.

Dan jika ini pun tidak ada juga maka hendaklah dipilih dan dilantik daripada seseorang menjadi Raja daripada zuriat sebelah lelaki Almarhum Sultan Ahmad [Sultan Tengah}. [17:4].

Andainya semua mereka yang disebut itu tidak mempunyai turunan, ataupun mempunyai seorang turunan tapi tidak layak menjadi Raja, atau kerana sebab-sebab yang tertentu MPN enggan mengesahkannya sebagai Raja maka MPN berkuasa memilih dan melantiknya daripada rakyat biasa yang bukan berdarah Raja sekalipun. [18;2].

Perlantikan itu hendaklah dibuat dengan syarat orang itu seorang lelaki yang cukup umur, mempunyai akal yang sempurna, berbangsa Melayu yang diperanakkan di Negeri Kelantan Darunaim, iaitu seorang rakyat Raja yang dahulu, beragama Islam dan bermazhab Ahlu-Sunnah Wal Jamaah dari keturunan orang baik-baik, dan peranakannya diakui sah dan halal, serta mempunyai pengetahuan membaca dan menulis, mempunyai nama yangbaik, fikiran yang waras, serta mempunyai perangai dan tingkah laku yang terpuji. [9:1].

Seseorang waris yang terpilih menjadi Raja Kelantan itu pula tidak boleh mempunyai kecacatan yang besar baik dari segi rohani mahupun jasmaninya yang meyalahi sifat-sifat Raja, seperti gila, buta, bisu ataupun mempunyai sifat-sifat keji yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak. [9:2].

Selain daripada berkuasa melantik seorang Sultan yang memerintah Negeri Kelantan, MPN juga mempunyai peranan dalam perlantikan seseorang pewaris bakal Raja Kelantan; dalam hal ini tanggungjawab MPN ialah menolong dan menasihatkan Raja dalam memiliih dan melantik bakal Raja itu, iaitu terdiri daripada keturunan zuriat-zuriat yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Negeri Kelantan itu. [14:2].

Jika seseorang Raja yang gilirannya menaiki takhta Kerajaan Kelantan telah disahkan oleh MPN, maka ia dianggap sah menjadi Raja sebaik-baik sahaja berlaku kematian terhadap Raja yang dahulu daripadanya. [21:2].

Demikianlah peranan MPN dalam menentukan Sultan pemerintah negeri ini sebagaimana telah ditetapkan oleh undang-undang Negeri Kelantan Darulnaim.


Kesimpulan

Segala dakwaan yang dibuat mengenai kedudukan KDYMM Al-Sultan dan takhta mulai tahun 1990an adalah lebih merupakan faktor politik daripada faktor sejarah yang sebenarnya di mana mereka yang menyimpan niat buruk berusaha untuk melumurkan singgahsana kerajaan Kelantan dengan dakwaan-dakwaan dan fitnah-fitnah yang kotor.

Tengku Indera Petra semasa hayatnya tidak pernah kedengaran menuntut takhta kerajaan Kelantan, baik semasa pemerrintahan adikandanya Almarhum Sultan Yahya Petra atau semasa pemerintahan anak saudaranya, Tengku Ismail Petra. Perkara ini hanya timbul selepas kemangkatan Tengku Indera Petra.

Krisis yang berlaku antara Almarhum Sultan Ibrahim dan anakandanya Almarhum Tengku Indera Petra pada tahun 1944 telah diexploitasi oleh sesetengah ahli plitik masa kini yang ingin mengoncangkan kedudukan Sultan Ismail Petra dari atas takhtanya kerana tujuan-tujuan tertentu. Silap-silap langkah mungkin ada kerabat-kerabat terjerumus dalam perangkap samar yang dipasang oleh ahli-ahli politik itu.

Seluruh rakyat Kelantan sentiasa berharap dan berdoa semoga dalam zaman pemerintahan Baginda ini Negeri Kelantan akan terus melangkah lebih maju, baik di bidang jasmani dan juga kerohanian, dan seluruh rakyat Kelantan dalam semua peringkat dapat menikmati natijah daripada pembangnan itu.

Ya Allah, ya Tuhan kami kurniakanlah kesembuhan kepada KDYMM Al-Sultan Tuanku Ismail Petra dan dapat menjalankan tugasnya sebagai seorang Raja dan Pemerintah negeri ini.

Kebelakangan

Pada hari Selasa 4h.Mei,2010 KYMM Sultan Kelantan, Tuaku Ismail Petra dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia [HUSM], Kubang Kerian. Kemudian timbul pula khabar mengatakan Baginda akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur [HKL], tapi telah ditangguhkah.

Mengikut laporan, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad, setakat hari itu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra belum mengeluarkan sebarang titah membenarkan ayahandanya dipindahkan ke hospital lain. Menurut arahan Pemangku Raja kepada pihak polis, sebarang pergerakan ayahandanya hendaklah mendapat perkenan baginda terlebih dahulu.

Sebelum itu pada hari Selasa, DYMM Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis bt. Tengku Abdul Hamid, dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra serta dua orang doktor cuba membawa KDYMM Sultan Kelantan ke Hospital Mount Elizabeth dengan menaiki pesawat, tapi dihalang oleh polis dan baginda pun dimasukkan ke HUSM.

Pasir Tumbuh 2010.

[1]Nik Abdul Majid Nik Yahya, wawancara di Resturan Purnama, Kota Bharu, 14 Julai,1993.
[2] Dalam “Detik-detik Sejarah Kelantan”-Pustaka Aman Press, Simpang Tiga Telipot, Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, Kelantan.-1971.
[3] Dalam “Sasilah Raja-raja Kelantan”- Seminar Sejarah Dan Budaya Wilayah Kelantan”, Kota Bharu, pada 12 hingga 15 April 1980, anjurab Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia.
[4] Dalam “Sejarah Kelantan”-Al-Ahliah Press, 5509, Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan-1962.
[5]Seorang ahli politik. Bekas Menteri Besar Kelantan, dan bekas Menteri Kabinet Kerajaan Malaysia.

[7] Persekutuan Tanah Melayu mengandungi 9 buah negeri Melayu, iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Trengganu dan Kelantan. Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dengan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Yang Di’Pertua Majlis Mesyuarat Negri ialah Menteri Besar.

Photobucket Photobucket


Photobucket Photobucket


Photobucket Photobucket



Photobucket Photobucket


Photobucket Photobucket





1 comments:

Omar MENGASA Farm November 1, 2018 at 12:46 AM  

Che puan embong binti daud rakyat biasa yg asal kgnye pntai sabak klntn ke

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP