DI ANTARA BINTANG DI LANGIT

>> Wednesday, April 14, 2010

DI ANTARA BINTANG DI LANGIT
DAN BINTANG DI BUMI?
Renungan: Hj.Mohammed Zain Saleh


Salah satu fenomena alam raya yang menakjubkan ialah bintang-bintang yang kelihatan bergermerlapan di dada langit pada waktu malam yang terang cuacanya. Begitu banyaknya bintang-bintang itu bertaburan di segenap ceruk rantau langit angkasa lepas itu. Tidak ada manusia yang mengetahui berapakah banyaknya bintang-bintang yang bergayutan sejak sekian lama itu, kecuali Allah SWT.

Bintang-bintang di langit meruapakan salah satu ciptaan Allah yang amat indah di alam semesta ini.

Begitu indahnya bintang-bintang itu ia tergambar seumpama gumpalan gas yang terbakar dan bersinar gemerlapan berkelap-kelip dan menyala dengan zatnya yang tersendiri.

Bintang-bintang itu telah menyala bersinar gemerlapan sejak jutaan tahun yang lampau lagi, dan tidak pernah padam-padam tanpa terpengaruh dengan apa yang berlaku ke atasnya dan di sekelilingnya.

Sudah pasti Allah jadikan bintang-bintang itu dengan tujuan suci dan mulia, kerana tidak ada suatu pun di alam maya ini yang Allah jadikan dengan tujuan main-main dan sia-sia.

Begitu indahnya bintang-bintang itu yang bergermerlapan seperti butir-butir berlian yang bertaburan mendamaikan mata dan menyejukkan jiwa yang memandang.

Tapi jika anda tinggal di kota-kota atau di bandar-bandar yang waktu malamnya diterangi oleh cahaya lampu yang terang benderang, sukar kepada anda untuk melihat dan menikmati keindahan bintang-bintang itu. Malah mungkin sudah bertahun-tahun lamanya anda tidak menyedari akan kewujudan bintang-bintang itu. Alangkah baiknya sekali sekala anda balik ke kampung atau desa untuk melihat temasya-temasya bintang-bintang di langit, dan juga melihat bulan yang sedang mengembang indah di langit biru di dalam tiupan bayu malam yang damai dan menyegarkan.


Bintang-bintang Di bumi

Justeru manusia merasa amat kagum dengan kejadian bintang-bintang yang bergayutan di langit itu, mereka telah mengaitkan berbagai-bagai benda di bumi ini yang mereka anggap indah dengan bintang-bintang di langit itu.

Untuk menggambarkan keindahan kerdipan mata seorang wanita dikatakan, “matanya seperti bintang timur”. Untuk menggambarkan kecantikan yang berganda dikatakan, “sperti bulan dipagar bintang”.

Pelakon-pelakon filem pula, dipanggil ”Bintang filem”, mungkin berasal dari bahasa Inggeris “filem star”. Juara-juara lagu nyanyain atau lagu yang dianjurkan oleh sesuatu institusi, seperti RTM dikatakan :bintang RTM” atau dianjurkan oleh Radio dikatakan “bintang radio”. Semuanya dirojokkan kepada juara atau pemenang dalam lagu atau nyanyian.

Untuk juara dalam skop penampilan yang lebih luas, seperti pengelibatan dalam bidang nyanyian, lakonan dan sebagainya ia dikatakan “bintang populer”.

Di samping itu mungkin ada beberapa gelaran lagi yang disandarkan kepada bintang-bintang di langit untuk meggambarkan keindahan “bintang-bintang di bumi”.

Bagi kita mengaitkan gelaran-gelaran seperti itu dengan bintang-bintang di langit itu amatlah tidak beretika, kerana bintang-bintang di langit yang dijadikan oleh Allah SWT merupakan ciptaan yang amat mulia yang amat besar gunanya kepada alam semesta dan makhluk yang mendiami bumi ini, khususnya manusia.

Justeru itu anak-anak wayang itu lebih wajar disebut “pelakon filem”, sahaja daripada disebut “bintang filem, pemenang-pemenang pertama suara lagu pula disebut “juara lagu” atau seumpamanya, dan bukannya disandarkan kepada bintang-bintang di angit yang tinggi.


Bintang Di dalam Al-Quran

Bagaimana benda-benda yang bersifat keduniaan yang musnah sifatnya itu disandarkan dengan bintang-bintang di langit yang Allah mengungkapkanya dalam kitab suci al-Quran.

Dalam al-Quran ada sebuah surah yang dipanggil “A-Najm” yang bererti bintang.

Sebagai tanda bintang-bintang itu suatu ciptaan yang mulia, di dalam Al-Quran Allah bersumpah dengan menggunakan bintang. Dalam Surah al-Waqiah ayat 75-76 Allah berfirman, maksudnya,”Maka Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui”.Al-Waqiah:75-76.

Dalam Surah At-Takwir ayat 15 dan 16, Allah bersumpah,”Aku bersumpah demi bintang-bintang, yang beredar dan terbenam”.At-Takwir 15-16.

Sedangkan Allah tidak memerlukan sesuatu daripada makhluknya untuk bersumpah. Sumpah itu dibuat sebelum diberikan peringatan kepada orang Islam khasnya dan seluruh umat manusia pada amnya. Menurut ahli tafsir, ini menggambarkan betapa pentingnya permasalahan atau objek yang disumpah itu.

Bintang-bintang di langit itu seperti juga ciptaan Allah yang lain akan berakhir dengan kemusnahan.

Allah berfirman dalam Surah A-Takwir, ayat 2 maksudnya, “Dan apabila bintang-bintang berjatuhan”. At-Takwir.

Ayat al-Quran di atas menggabarkan bintang-bintang itu akan berguguran dan akan hapus menjelang Kiamat.

Berhati-hati

Justeru kita harap pada masa-masa akan datang kita umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dalam penggunaan atau menyandarkan sesuatu kepada bintang-bintang di langit yang begitu mulia dijadikan oleh Allah SWT. supaya kita tidak menurunkan darjah bintang-bintang ciptaan Allah SWT itu.

Takkanlah ciptaan Allah yang begitu agong itu kita sandarkan kepada benda-benda atau peristiwa-peristiwa keduniaan yang kecil dan remeh-temeh, kerana terpengaruh dengan budaya barat yang manusianya tidak beriman.

Walau bagaimana pun penggunaan perkataan “bintang hatiku” untuk menyatakan orang yang amat dikasihi atau dicintai, seperti isteri atau suami boleh diterima, kerana ia mencerminkan sikap yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada seseorang dalam menjalani hidup berkasih sayang.

Bagiku, isteriku, Allahyarham Asiah Yaacob yang kembali ke rahmatullah kira-kira enam bulan yang lalu adalah “bintang hatiku”. Kehilangan beliau menimpakan impak yang besar terhadap diri dan keluarga. Dan daku sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkannya dan melimpahkan rahmat ke atasnya.

Selain itu dalam masyarakat kita masih ada lagi perkara-perkara atau benda-benda lain disandarkan kepada bintang-bintang yang jauh lebih mulia dan unggul, seperti ada sesetengah orang suka membei gelaran “bintang lawak” kepada mereka yang pandai berlawak. Ia amat janggal kedengaran digelarkan “raja lawak”. Bagimana tukang lawak boleh diangkat jadi “bintang lawak”. Sehubungan dengan ini gelaran “Raja Lawak” patut dikaji semula kewajarannya, kerana raja adalah suatu institusi yang mulia dan dihormati dalam masyarakat dan budaya kita, sedangkan pelawak ialah orang yang pandai membuat orang bergelak ketawa.

Kita harap perkara ini akan mendapat perhatatian dari semua pihak yang terlibat dalam memberi gelaran kepada sesuatu yang bersangkut dengan perkara-perakara yang ada hubunganya dengan agama, termasuklah para pengamal media kita yang beragama Islam.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP