SELAMAT KE PANGKUAN RAMADHAN

>> Thursday, April 30, 2020




SELAMAT KE PANGKUAN RAMADHAN





Ramadhan berada di riba

Membawa sejuta rahmat

Bertabur di jagat raya

Rahmat yang melimpah ruah

Membasah hati

Merendam jiwa

Menyegarkan jasad yang rebah terkulai.

Dakaplah rahmat ini

Jangan lepaskan ia terbang ke awan

Hanya sekali setahun turun

Memimpin jiwa

Meniti jambatan Ilahi

Mengetuk pintu Syurga

Mari bersama mendakap rahmat ini

Bersama sejuta berkah

Dari fana ke abadi

Wahai Ilahi  cucurilah sejuta berkah Mu

Ke atas hamba-hamba Mu yang patuh setia

Berlapar dan dahaga

Bersujud







Wahai Ramadhan tiba waktunya kau berlalu

Meninggalkan kami kesepian,

Tinggalkan jejak-jejak bertapak mu

Di hati kami

Di jiwa kami

Berkekalan sepanjang zaman

Ke kaki Tuhan

Yang pengasih dan penyayang.


Pondok Rahmat
29 April 2020/


6 Ramadhan 1441

Read more...

HATI JANGAN DIBIARKAN BERKARAT



HATI, JANGAN DIBIARKAN BERKARAT



HATI. Apakah Hati dan apakah pentingnya hati kepada manusia?

Hati adalah inti pati seorang manusia, lahir dan batinnya, kerana hati itulah yang menentukan buruk baik seseorang manusia dan amat berpengaruh.







Sesuatu yang kita lihat dan dengar akan turun ke hati, kemudian hati akan membuat penentuan atau menetapkan sikapnya terhadap perkara yang didengar atau ditonton itu untuk diambil tindakan.

Seorang gadis yang melihat seorang pemuda, lalu tercetus rasa suka atau berkenan, maka ia akan turun ke hatinya yang akan membuat keputusan untuk melanjutkannya atau tidak. Demikian juga jika seorang pemuda menghadapi perkara yang sama. Maka dikatakanlah dari mata turun ke hati.

Allah brrfirman:
“Tiupan pertama itu diringi  oleh tiupan kedua. Hati manusia pada masa itu  sangat takut. Pandangannya tunduk”.An-Naziat [79]:7-9.
Dan

“Maka pernahkah kamu melihat  orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan Nya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup di atas pengelihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah [membiarkannya sesat]? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”.al-Jatsiyah [45]:23.

Dan:
“Katakanlah, “Dialah yang menciptakan kamu dari dan menjadi pendengaran, pengelihatan dan hati nurani bagi kamu. Tetapi sedikit sekali kamu bersyukur”. Al-Mulk [67]:23

Demikianlah pentingnya hati itu dijadikan Allah Taala.

Dalam bahasa kita terdapat banyak perkataan-perkataan yang dirangkaikan dengan perkataan hati,  bertujuan untuk menggambarkan suasana atau keadaan hati.

Antara kata-kata itu ialah:

Hati batu, hati berkarat, berat hati, rela hati, sedih hati, busuk hati, pedih hati, luka hati, pintu hati, bersih hati, buruk hati, berkenaan di hati, makan hati, [berulam jantung], tulus hati, lubuk hati, besar hati dan berbagai-bagai hati lagi.
Hati itu amat penting kepada seseorang, baik dari segi lahir dan batinnya, mental dan fizikalnya, kerana hati itu mempengaruhi kedua-duanya.





Kepentingan hati itu telah digambarkan oleh Baginda Rasulullah saw dalam sabdanya:

“Ketahuilah dalam tubuh badan kita ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan kita. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh badan pula, ketahui ia adalah hati”.

Kedudukan hati itu amatlah penting kepada seseorang baik dari segi ruhani atau jasmani, kerana hatilah yang menjadi salah satu penilai darjah atau makam seseorang di sisi Allah Taala.

Dalam hal ini, Allah tidak menilai kepada rupa paras hambanya, cantik atau rupawan atau kekayaanya, mewah atau banyak hartanya. Tapi yang menjadi penilaiannya ialah hati  dan  amalan hambanya, jika baik hati itu, maka mulialah mertabatnya di sisi Allah Taala.

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kamu”.

Baginda Rasulullah saw juga bersabda:
‘Sesungguhnya orang-orang yang terutama [wali-wali] dari umatku  tidak akan masuk syurga kerana banyak sembahayang atau banyak puasa. Akan tetapi [mereka masuk syuga] kerana bersih hati, murah hati dan berbelas kasihan terhadap setiap muslim”.

Allah menceritakan bahawa pada suatu ketika Nabi Ibrahim as berdoa kepadan Nya sebagaimana berikut “.......................:“Janganlah aku d ihinakan pada hari mereka dibangkitkan, iaitu pada hari harta benda dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih”. Ash- Shu’ara [26]: 87-89.

Ada berbagai-bagai perkara yang boleh merosak dan membinasakan hati dan boleh menimbulkan berbagai-bagai  fitnah dan penyakit yang merbahaya. Antara penyakit-penyakit yang boleh merusakkan hati ialah syirik, nifak, bidaah, sombong, hasad, dengki, bakhil, serakah, mementingkan diri sendiri, menipu daya, dan mengutama kepentingan lahiriah atau duniawi dan sebagainya.

Orang-orang yang cintakan dunia ini boleh menjadikannya lalai atau hanyut persis sampah dalam kehidupan dunia, malah  lebih parah  lagi boleh menyebabkan dia lupa kepada Allah Taala yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta.

Orang yang lalai, akibat cintakan dunia tidak ada bezanya dia miskin atau kaya. Andainya dia kaya atau berada, dia akan bertindak sewenang-wenangnya menggunakan kekayaannya itu untuk mencapai hasrat dan cita-citanya tanpa mengira halal atau haram dengan  angkuh dan sombong.

Sebaliknya kepada mereka yang cintakan dunia ini kalau dia tidak berada atau miskin kerana gagal untuk mencapai apa-apa yang dia usaha dan dicita-citakannya dia juga akan menjadi orang yang jahat kerana kekecewaannya itu untuk memperolehi dunia yang telah diusahakannya.

Tambahan pula hati manusia juga mudah berada dalam keadaan keluh-kesah dan kelam-kabut, kacau-bilau dan bergoncang akibat perkara-perkara yang kecil sekalipun.

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya hati itu  lebih cepat bolak baliknya dari makanan yang sedang menididh di dalam periuk”.

Hati Keras
Daripada penyakit lalai, ia boleh berkembang menjadi penyakit hati keras membatu, malah lebih keras dari batu, tidak lagi tersentuh  atau murasa dengan perkataan-perkataan yang biasanya menggetarkan hati orang yang normal mendengarnya. Tidak ada apa-apa riaksi darinya, bak daun keladi dicurah air, semuanya tumpah ke tanah.

Hati keras ini tidak akan terusik atau keharuan bila mendengar perkataan seperti maut atau mati, neraka jahanam, seksa di alam kubur, seksa-seksa di alam Akhirat, kesusahan di Padang Masyar, kepayahan meniti jambatan Siraj dan seumpamanya. Malah jika diperingatkan bahwa perbuatan dosanya boleh melemparkanya ke neraka jika tidak segera bertaubat, dia hanya  tersenyum sinis, dan selamba menjawab “Biarlah aku masuk neraka”. MasyaAllah.

Mengenai hati keras ini Allah menyebut di dalam al-Quran:

“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga [hatimu] seperti batu, bahkan lebih keras. Pada hal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang [airnya] memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah  lalu keluar  mata air daripadanya. Dan ada pula meluncur takut kerana takut  kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan”.Al-Baqarah [2}:74.

Rasulullah saw bersabda:
“Empat perkara yang menjadi tanda kejahatan, iaitu hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira-kira dan panjang harapan atau angan-angan”.

Janganlah dibiarkan penyakit-penyakit hati itu terus bermaharajalela di lubuk hati, kelak ia akan membinasakan seluruh diri anda lahir dan batin. Bertindaklah  segera untuk merawatnya.

Langkah penting yang perlu diambil ialah senitasa mengingati Allah, bila-bila masa dan di segala tempat. Dalam Islam maksud zikir atau mengingati Allah amat luas, bukannya semata bersela di atas sejadah atau membilang biji tasbih sahaja, tapi ia merangkumi semua aktitviti seharian seseorang, asalkan ianya bertujuan kerana Allah.

Mengenai perkara ini kita petik kata-kata Dato’ Yusoff Zaky Yacob yang berbunyi, “Seluruh langkah hidup seseorang Muslim adalah ibadat belaka, segala amalan, pekerjaan, fikiran dan perasaannya adalah ibadat selama matlamatnya ialah untuk berbakti kepada Allah dan mmenyempurnakan ajaran Nya”.

Allah berfirman:
Orang-orang yang tidak lalai oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah, mengerjakan solat dan membayar zakat. Mereka gentar kepada hari ketika hati dan pengelihatan menjadi guncang [hari kiamat}. An-Nur [24]:37.

Dan Allah juga berfirman kepada Rasul Nya agar tekun beribadat sampai ke akhir hayat Baginda saw, kerana pada masa itu hati Baginda saw tidak tenteram dengan sikap orang-orang kafir terhadap seruan Baginda saw kepada agama Islam dengan cemuhan, ejekan dan penghinaan.

Ini membuktikan ibadat dalam Islam itu merupakan tonik ajaib untuk mencapai ketenangan dan kedamaian jiwa.

Allah berfirman:
“Sesungguhnnya Kami mengetahui bahawa hatimu begitu rungsing terhadap ejek-ejekan  mereka [orang-orang kafir] , bertasbihlah dengan memuji Tuhan mu dan bersujudlah bersama orang-orang yang sujud dan teruskan beribadat  kepada Allah hingga didatangi maut”.Hijr [15]:97-99.

Baginda Rasulullah bersabda:”
“Sesiapa melakukan satu dosa, maka tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya dia bertaubat, akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya.
“Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitamm, itu akan terus merebak, hingga  seluruh muka hatinya kenjdi hitam”.

Justeru itu jauhilah diri anda daripada perkara-perkara yang boleh membawa musibah kepada diri dan hati anda, seperti perbuatan-perbuatan yang keji dan hina, tidak bermaruah dan segala perbuatan yang melanggar perintah Allah Taala, sebaliknya jagalah diri anda supaya sentiasa berada dalam kebersihan lahir dan batin yang sudah tentu akan memberi kesan kepada hati anda.

Kita bukan sahaja dilarang keras melakukan kerja-kerja yang boleh merosakkan hati kita, membuat hati kita menjadi lalai, tapi kita juga dilarang mematuhi atau mengikuti orang-orang atau golongan-golongan yang lalai itu.

Allah berfirman:
“........Dan janganlah engkau mengikuti  orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginananya dan  keadaaannya sudah melanggar batas”. Al-Kahfi [182]:28.

Dan jangan pula lupa berdoa. Rasulullah saw pun berdoa untuk kebaikan hati yang keras dan resah gelisah. Antara doa baginda saw ialah:
“Wahai Tuhan yang membolak balikan hati, tetapakanlah hatiku atas agamamu”

Dalam Kitab Suci al-Quran Allah berfirman tentang sebuah doa untuk kita yang bererti:

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan hati kami, sesudah Engkau tunjukkan jalan yang benar dan berilah kami rahmat dari sisi Engkau, sesungguhnya Engkau suka memberi”.

Akasnya kita hendaklah sentiasa mengambil berat tentang hati kita supaya sentiasa berada dalam keadaan yang lurus dan bersih, dengan melengkapkan diri kita dengan akhlak yang mulia dan terpuji sejajar dengan perintah Allah, sebaliknya menjauhkan diri kita daripada perangai dan tingkah laku yang keji dan hina yang tidak diperkenan oleh Allah.


Sentiasalah ingat bahawa kebahagian hidup manusia itu bergantung kepada hatinya. Dan hati itu pula mestilah sebuah hati yang tenang, tenteram dan bahagia. Tanpanya manusia tidak mungkin mencapai kebahagian yang sepenuhnya, walaupun ada berbagai-bagai cara manusia untuk mencapai kebahagin hidup. Dan kebahagian itu pula hanya boleh dicapai oleh hati orang-orang yang beriman, hati patuh setia kepada Allah Taala. Tanpanya kebahagian penuh tidak akan tercapai walaupun sekuat dan sejauh mana mereka berusaha untuk meraihnya. Seperti dikatakan di atas, seluruh kegiatan harian umat Islam adalah ibadat, asalkan dilaksanakan kerana Allah, justeru itu semua tindak tanduk orang Islam akan mendapat ganjaran pahala, dan pahalanya akan sampai kepada hati dan ini akan menambahkan kebahagian hati sepanjang masa..



Semoga kita akan kembali kepada Allah dengan hati yang bersih tanpa sifa-sifat keji dan tercela yang menjadi kemurkaan Allah.

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu dengan hati yang puas dan diridhai Nya, maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba Ku, dan masuklah ke dalam syurga syurga Ku”. Al-Fajr [90]: 27-30.


Pondok Rahmat
30 April 2020/
7 Ramadhan 1441

Read more...

KASIH IBU SEPANJANG ZAMAN

>> Friday, April 24, 2020




KASIH IBU SEPANJANG ZAMAN




SEPERTI  lumrah, menjelang Ramadhan yang akan dijejaki oleh Syawal ingatan kepada kampung laman yang telah ditinggalkan sepi sejak sekian lama menyebak di dada.


Dan hari ini kita telah berada di awal Ramadhan 1441 [2020] yang menabur seribu rahmat.


Terkenangkan ayah bonda, adik beradik, saudara mara, sahabat handai membanjiri ingatan dalam hati  yang telah pun sebak dengan kerinduan.






Lebih mengharu bila tergambar sebuah rumah kayu yang besar, bertiang cengal, laman yang luas dan dihiasi dengan pokok-pokok duku sekitarnya..... Di rumah itulah kami dilahir, dibesar dan dididik menjadi manusia, tapi sayangnya rumah nostalgia itu telah  roboh dan hancur bersemadi dengan bumi.


Di rumah itulah ibu disinggahkan buat sementara untuk dipersiapkan jenazahnya sebelum diusung ke tanah perkuburan yang berdekatan.


Dukanya hati ini mengenanginya. Di rumah kayu itulah kami dan adik beradik dibesarkan oleh ibu, seorang ibu yang pengasih dan penyayang, yang telah berjaya melahirkan sembilan pewaris yang kini merupakan generasi keempat.


Ibuku, Maimunah Ismail seorang Hawa yang gigih dalam hidupnya berjuang membantu keluarga dalam pembangunan ekonomi untuk membesar dan mendidik anak-anak yang semuanya kini telah berjaya dalam mewarnai hidup masing-masing.


Dalam anak cucunya beliau dipanggil Mok Munah, dan di kalangan orang ramai beliau dikenali dengan panggilan Mak Su Munah.


Hati ini terasa hibanya bila terkenangkan ibu ............ Anakanda harap bonda telah memaafkan kami semuanya sebelum bonda berlepas pulang dulu, ......


Didoakan semoga bonda dan ayahanda sentiasa berada di bawah payung naungan rahmat Allah yang  tidak berhujung.


PERTTEMUAN TERAKHIR


Saya  rasa semua adik beradik yang ada pada masa itu merasa berat hati kerana tidak dapat bertemu  mata dengan ibu sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.



Ibu mempunyai sembilan orang putera dan puteri, yang sulung Gemulah Khadijah [Mek Mek Jah], Gemulah Shafiee [Abang In}, panggilannya Ayah Ngah, Gemulah Ariffin panggilannya Ayah Fin, Zubaidah panggilannya Cik Dah, Mohd Zain panggilannya Alang, Gemulah Sofiah panggilannya Cik, Maarof panggilannya Ayuh atau Anjang, Shamsuddin panggilannya Pok Din dan Siti Maryam panggilannya Su Yam.


Ibu pada masa meninggal itu tinggal bersama anaknya yang kelapan, Pok Din yang tinggal di Alor Lintang. Terengganu.






Katanya, dia pun tak sempat bertemu dengan ibu, kerana waktu itu dia berada di pejabat dan sedang bertugas. Katanya sebelah paginya, sebelum pergi bekerja, ibu kelihatan sihat-sihat sahaja. Tapi tengah hari itu, dia mendapat panggilan telefon dari rumahnya bahawa ibu berada dalam keadaan yang kritikal.


Dia lalu bergeggas pulang. Tapi bila sampai  di rumah ibu masih belum sedar, doktor yang datang kemudian mengesahkan bahawa ibu baru pergi ke pangkuan Ilahi. Pok Din merasa kecewa kerana dia terlewat beberapa minit sahaja untuk bertemu dengan ibunya sebelum ibunya berlepas pergi buat selama-lamanya. Waktu itu isterinya iaitu menantu ibu yang dipanggil Cik Yah seorang sahaja berada dan melayan ibu.


Saya pula yang  hanya tinggal di Kota Bharu petang itu berada di rumah anak saudara, Moh [Fatimah Ibrahin] anak kepada Mek Mek Jah [Khadijah] anak sulung ibu kerana menghadiri majlis pertunangan salah seorang anak perempuannya. Saya hadir bersama isteri, Allahyarhmah Asiah [Che Yah] ketika itulah kami mendapat penggilan telefon ibu telah tiada.


Akasnya tidak ada sesiapa anak ibu, baik lelaki atau perempuan yang sempat bertemu ibu menjelang kematiannya yang tidak diduga-duga itu.


Semoga Allah sentiasa cucuri rhmat ke atasnya.


Adik saya, Ayuh merasa hampa dengan kejadian ini. Dan Inilah luah hati beliau setelah beberapa tahun ibu berlalu terhadap  peristewa tersebut yang amat memilukan hatinya.


Dari Ayah Arof- Anjang


“Ayuh pun nak sebut hok sama juga sebab Alang
tertinggal. Satu lagi iaitu terlur itik rebus lembek cicah budu dengan lada solok.


Agak terkilang sebab sehari sebelum mok meninggal sepatut berjumpanya di Alor Lintang. Dah beritahu melalui telefon . Tapi  sayang terpaksa pulang ke KL  segera atas arahan MARA.


Esoknya semasa sedang mesyuarat di MARA  HQ  terima telefon dari Alur Lintang  Mok sudah pulang ke rahmatullah. Hancur luluh prasaan tapi redha.


Mesyuarat dihentikah seketika untuk ahli mesyuarat sedekah Al-Fatihah. Kemudian pengumuman dibuat  ke seluruh MARA  HQ makluman  berita sedih  serta semua kakitangan memabca Surat Al-Fatihah.


Urusan balik agak terlambat sebab Munyati sekolah petang di SM Sultan Abdul Samad PJ. Untuk bawa keluar dari sekolah banyak perkara yang perlu dibuat ikut aturan sekolah.


Alhamdulillah lebih kurang pukul lima pagi sampai di Salor dan terus cium muka Mok yang disayangi dengan linangan air mata dan membaca Yasin.


Bila ingatkan hal itu air mata keluar mengalir sampai saat ini.Namun itu adalah ketentuan Allah. Semua kita akan tetap kembali kepada Allah.



Dan ini pula luahan hati cucunya Armawati yang dikenali dengan panggilan Kak Ma:


Satu]


“Che Leh [datoknya] suka letak Kak Ma atas belakang dia...dah lah tinggi.....Last sekali Ka Ma tak kan lupa. Sebelum dia pergi Mekah, Kak Ma demam campak. Dia tinggalkan daun untuk mandi. Kak Ma simpan sampai hancur daun tu”


Dua]


“Kak Ma terima berita [mati] Mok masa kat  ofis. Terus balik Salor guna Jalan Grik. Ayuh tolak dah masa tu. Baca Bismillah banyak-banyak gajah penuh atas jalan. Masa tu Kak Ma baru kawin”.


Tiga]


Kak Ma dok nangis dah ni Ayuh. Ingat kat semua yang dah tak ada”.



Dan ini dari cucunya ,Yah Tanah Merah


“Pernah bersahur di rumah Tok [maksudnya nenek] Tok bangun sahur  bakar daging tu [daging jemur kering]  dulu, bau harum semerbak,  jika ada lemak sedikit pas tumbuk: gegerlah waktu sahur tu, kiri kanan jiran Tok tanya numbuk gapo: Pas goreng koho semerbak: Kenangan lama: Al-Fatihah untuk ahli keluarga yang telah tiada”.


Dua]


“Alfatihah untuk neneknda. Kebanyakan masakan arwah diminati. Jadi untuk tidak hilang ilmu masakan itu kita turuni kepada anak cucu”.



Demikian sekalung  coretan tentang  ibu yang telah berpulang ke rahmatullah.




Saya terkenangkan peristiwa berikut. Pada suatu hari ibu telah beberapa hari bersama kami di Desa Bakti. Pada hari itu, selepas solat Zohor, beliau menujukkan kepada kami beberapa bentuk cincin yang ada padanya.

"Allah banyaknya cincin mok", kata saya.


"Mu nakkah Zain?". Tanya beliau.


Saya tidak menjawab.


Melihat demikian, beliau lalu mencabut sebentuk cincin itu dari jarinya dan berkata, "Nah ambil satu kalau mu nak Zain", lalu meletak cincin itu dalam tanganku.


"Terimakasih", kata saya.


Sejak itu ibu tidak pernah menanya tentang cincin itu.
Tapi pada suatu hari terlintas dalam fikiran saya takut timbul salah faham di kalanan  adik beradik   maka saya serahkan balik cincin itu kepadanya. Dia tidak berkata apa-apa dan keberatan menerimanya. Namun saya serahkan juga............

Sekian.



Sekali lagi didoakan semoga ibu berada di bawah rahmat Allah dan keampunan Nya sepanjang masa.


SESUNGGUHNYA 


Kasih Ibu


Dimna


Kasih Ibu


Bila


Kasih Ibu


Bahawasanya:


Kasih Ibu: 


Kasih Ibu ; Kasih IbuTetap Sepanjang zaman;


dari:


Dunia


Sampai:


Akhirat.


Kasinya ibu


Sepanjang Zaman


Amin!



Pondok Rahmat
Jumaat, 24 April 2020/
1 Ramadhan 1441.






Read more...

Terkenangkan ibu di ambang RamadhaT

>> Tuesday, April 21, 2020





TERKENANG IBU DI AMBANG RAMADHAN


IBU telah beberapa  tahun kembali ke pangkuan Ilahi, tapi kenangan kepadanya sentiasa segar dalam ingatan. Kenangan suka dan duka bersama ibu tercinta.


Ibu Maimunah bt Ismail.


Semoga ibu sentiasa aman sejahtera di bawah langit rahmat Allah yang tidak berhujung.

Banyak perkara yang membuat ingatan kepada ibu sentiasa segar dalam kenangan yang berpanjangan, terutama kasih dan sayang dan kemesraan ibu dengan caranya yang tersendiri.

Menjelang Ramadhan 1441 H [2020] ini saya layarkan secebis kenangan manis kepada ibu dengan melarikkan sebahagian daripada sumbangan ibu kepada keluarga dalam bidang seni masakan yang merupakan sebahagian daripada lambakan kenangan manis kami kepada ibu yang tersayang.

Khususnya untuk anak cucu beliau supaya sentiasa mengenangi orang-orang tua mereka walaupun sekecil mana sumbangan yang mereka titiskan, semoga Allah menerimanya  sebagai jasa bakti mereka yang berkekalan.


Ibu menggunakan berbagai-bagai jenis bahan masakan, seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan sebagainya untuk keluarganya.




NASI

Selain dari nasi putih biasa, ibu juga sering memasak nasi kerabu Kelantan tulin, iaitu bertumiis, nasi dagang pada hari raya, berlaukkan gulai ayam atau daging, dan gulai ikan serta mempunyai sambal kelapa yang ditumbuk berminyak.


Kedua-dua nasi kerabu dan nasi dagang ibu ini amatlah istimewa, sukar untuk dicari tandingnya.

Pada hari raya beliau sering membuat nasi kapit atau nasi himpit berkuah kacang. Kadang-kadang juga membuat nasi tumpang.


MASAKAN IKAN  

Ikan-ikan yang dibeli itu ikan-ikan yang segar, tiidak lembek atau buruk; kerana ikan-ikan yang buruk itu gatal bila dimakan.

Biasanya ikan yang dibeli ialah ikan-ikan yang kurang tulangnya, seperti ikan tenggiri, ikan kembung, ikan tongkol [ikan aya], ikan parang, ikan muduk.

Kalau ikan darat, maksudnya bukan ikan laut, ikan yang dibeli ialah ikankerai, ikan lapan, dan ikan kelah.


Beliau tidak makan ikan sawah seperti ikan keli atau harwan, kerana baunya hanyir, dan tidak boleh memasaknya pun.

Justeru kalau saya hendak makan ikan darat saya masak sendiri dan ini menyebabkan beliau terpaksa berundur sekejap dari dapur.

Semua jenis ikan itu tidak boleh dimasak sejenis masakan sahaja kerana tidak sesuai.

Umpamanya masak singgan, bukan semua ikan sedap dimasak singgan. Yang dimasak singgan ialah ikan tenggiri, ikan aya, ikan kembung, dan ikan  muduk.

Semua masak singgan dimasukkan sedikit budu sebagai penyedap selera.

Ikan Bakar. Ada beberapa cara ikan dimasak bakar, dibakar garam sahaja, atau dibakar garam kunyit, dibakar tawar [panggang tawar] atau dimasak percik.

Ibu juga kadang-kadang membakar ikan masak berempah yang dibungkus dengan daun pisang.

Ikan masak berkuah pula ada beberapa jenis selain dari singgan, iaitu ikan gulai kunyit, gulai lemak, masin pedas,. Rempah biasanya dibuat sendiri secara ditumbuk dengan lesung batu.

Selain itu ada lagi sejenis ikan yang biasanya dimakan pada musim tengkujuh atau musim hujan, iaitu ikan budu atau ikan jeruk masin. Ikan ini sebelum digoreng dicelup telur ayam yang dihancurkan

DAGING

Ada beberapa cara ibu memasak daging. Terlebih dulu daging itu dipilih dari daging yang terbaik dari seekor lembu, biasanya dipanggil daging Musir yang tidak berurat atau kurang  berlemak.

Daging dimasak gulai darat, dimasak gulai kuning dan akhir-akhirnya dimasak kurma dengan rempah cap wanita yang dibeli dari pasar.

Daging masak singgan, yang rempah berlainan sedikit daripda ikan singgan.

Seperti dikatakan di atas, semua masak singgan dimasukkan sedikit budu, baik daging atau atau ikan.

Ibu suka membakar daging tawar, [daging panggang tawar], daging garam kunyti dan daging bergaram, kerana kami gemar memakannya.

Daging goreng kunyit, dengan minyak yang banyak, kerana kami suka menggaul minyak goreng daging dengan  nasi. Lebihkan sedikit bawang merah yang dimayam besar.

Daging dimasak percik, lebih kuahnya, kerana ramai yang suka memakannya dengan menggaul dengan nasi.

Sejenis daging lagi yang dibuat oleh ibu, terutama di  bulan puasa ialah daging jemur di tengah panas. Daging ini dilumur garam dan dijemur di tengah panas terik, untuk mempercepatkan dia kering dan tidak berbau busuk. Kemudian bila sudah cukup kering, bila hendak dimakan, daging itu digoreng kemudian ditumbuk dengan lesung sekadar pecah-pecah dan mudah untuk dimakan dan rasanya lebih enak.

Ibu suka membuat sambal daging, masakan yang digemari di kalangan anak-anaknya hingga ke hari ini

Selain dari daging ibu juga membeli tulang-tulang lembu, dan tulang menjadi kegemarannya ialah tulang rusuk lembu untuk dibuat sup. Sup ibu berawah atau berempah sendiri memang sedap rasanya.


AYAM

Ibu suka membuat sup ayam, rempah buatan sendiri, atau digulai lemak.

Untuk tidak berkuah pula dibakar garam kunyit, digoreng, dan dipercik.


PERUT

Ada beberapa organ lembu yang menjadi pilihan ibu, antaranya hati dan perut lembu.

Hati lembu biasanya digoreng biasa atau dibakar garam kunyit atau dimasak percik, sementara perut, ialah “perut muda”, yang direbus dan dimakan dengan penyicah yang dibuat sendiri. Kadang-kadang beliau juga membuat kerabu perut.

LIMPA


Ada tiga cara ibu memasak limpa lembu, pertama dengan measak singgan dan gulai atau goreng.


LIDAH

Lidah dilayur di atas api terlebih, kemudian dikokok untuk dibuang bahagian yang keras, kemudian dibakar, dan bila masak dipotong nipis-nipis.

OTAK

Satu lagi organ lembu yang diminati dan dimasak oleh  ibu ialah otak lembu, di masak gulai lemak. Sedapnya tak terkata.

Ibu hanya makan daging lembu, dan tidak makan daging kerbau, kerana berbau hamis katanya. Beliau boleh kenal daging lembu atau kerbau walaupun sudah dimasak.

TELUR



Telur itik jeruk, populer di bulan puasa dalam keluarga kami, telur ayam direbus masak  tiga perempat masak untuk dicicah dengan budu.

Telur juga goreng dadar atau digoreng dengan pucuk remunggai.


UDANG

Udang yang dibeli ialah jenis udang sungai yang besar yang dipanggil udang galah, besar ukurannya.

Udang ini dimasak lemak atau dimasak berkuah manis, yang kami suka menghirupnya sambil makan nasi.


SAYUR-SAYURAN

Di antara sayur-mayur yang disukai ibu meyediakannya ialah mentimun batang, tener, peria, terung dan kacang panjang, bayam, kacang miur [bendeh].

Mentimun dimasak lemak dengan gulai ikan, demikian juga dengan kacang panjang, ataupun digoreng dengan daging.

Mentimun dibuat acar mentah atau acar masak.

Peria digoreng dengan telur, tener ditumis air, terung disayur lemak atau dimasak kari, bayam ditumis air, dan bendeh digoreng dengan telur atau dsinggan.


ULAM

Berbagai-bagai jenis ulam, yang dimasak dan dimakan mentah disediakan.

Antaranya petai mentah, dimakan dengan kulit-kulitnya, atau petai jeruk, buah kerdas, jering muda, atau jeruk jering, terung dan mentimun di makan mentah.

Kepada saya jering muda lebih sedap, dan jering ini biasanya diambil daripada pokok di sekitar rumah.

Di samping itu petai, terung, mentimun, pucuk ubi kayu atau ubi setelor dicela untuk dicicah budu.


PENYICAH

Penyicah yang biasa   bagi orang Kelantan ialah budu. Ada beberapa cara menghidang budu, antaranya mengguna  lada burung [halus] dipotong atau tidak dipotong bersama asam limau nipis yang  dipotong atau tidak dipotong, kalau dipotong terus dimakan sebagai ulam, budu dicampur dengan durian atau tempoyak. Semua ini untuk dimakan dengan ikan tawar dan sebagainya.

Biasa juga beliau menggunakan kicap, biasanya kicap cap gajah, dimasukkan lada hidup dan bawang merah yang dimayam.

Dan penyicah sos lagi yang populr ialah sambal lada, sambal lada belacan, sambal  durian dan sambal lada tempoyak, dan sambal  lada dipicit asam limau nipis.

Sambal lada kering juga sedap, biasanya dimasukkan perahan air asam gelugur.


PEMANIS

Pembasuh mulutnya pula biasanya pisang rebus, sira pisang, pengat pisang,dan butir nangka.


Ibu juga kadang kala memasak nasi kaya menggunakan manisan sebagai pemanisnya.

PEMBUAT PULUT

Beliau adalah seorang pembuat pulut yang terkenal. Beliau membuat pulut bakar, berbentuk bulat dan pulut lepa yang berbentuk panjang yang mengandungi isi sambal daging.

Lain-lain pulut yang sering dibuat oleh beliau ialah pulut pagi dan pulut berinti.


MINUMAN

Beliau gemar minum teh susu, dan susunya susu cap Junjung, sejenis jenama susu yang termasyur pada hari itu, dan harganya lebih mahal sedikit susu-susu lain.

Demikianlah sekadar lintasan kenangan manis untuk ibu yang sentiasa dekat di hati.


Pondok Rahmat
21 April 2020/
27 Syaaban 1441

Read more...

SELALULAH PANDANG KE BAWAH

>> Sunday, April 19, 2020





SELALULAH PANDANG  KE BAWAH!
APA ADA DI SITU?



Beginilah keadaan mayapada ini.


Ada tinggi, ada rendah; ada besar, ada kecil; ada banyak, ada sedikit; ada betina, ada jantan, dan ada atas ada bawah. Andainya tidak ada salah satunya, maka tidak adalah kedua-duanya: tiada kanan, tiadalah kiri; tidak ada atas, maka tidak adalah bawah.


Cuba kita amati kejadian manusia. Walaupun mereka sama-sama 
makhluk manusia, tapi antara manusia itu banyak mempunyai perbezaan, bukan sahaja dalam rupa paras tapi juga dalam aneka bidang kehidupan yang luas terbentang, selebar bumi dan langit, yang membuktikan mereka itu manusia dan ciptaan Allah.


Segala perbezaan ini bukan kehendak atau bikinan manusia sendiri, tapi ianya ditetap atau ditentukan oleh Maha Pencipta, Allah sendiri terhadap ciptaan Nya. Ia meliputi dalam pembahagian nasib dan takdir hamba-hamba Nya itu dalam melayari kehdiupan di dunia yang fana ini.


Ada oran,g bernasib baik kerana mempunyai kedudukan yang mulia di sisi masyarkat, menyandang jawatan mewah atau tinggi; ada orang mempunyai tempat kediamannya yang mewah, kenderaan yang mewah, malah serba mewah.


Tapi sebaliknya ada pula manusia yang mengalami kehidupan yang susah, malah melarat hidupnya, kecil pendapatannya, dan  melarat hidupnya.


Ada orang sihat walfiat fizikalnya, tidak disentuh oleh penyakit, tapi sebaliknya ada pula orang tidak sihat, atau  kurang sihat malah ada yang menderita sakit.


Bagi sesetengah orang mereka tidak merasa puas hati dengan keadaan berbeza seperti ini di mana mereka  merasa mereka  berada di sebelah bawah atau pihak yang tidak menggembirakan, terutama dari segi pembahagian rezeki.


Sedangkan yang menentukan segala-galanya dari sejak awal dan akhir nasib manusia dari dunia hingga akhirat adalah Allah. Tidak ada sesiapa yang campur tangan dalam merangka masa hadapan dan nasib manusia selain dari Allah. Takdir Allah. Allah mempunyai kuasa mutlak dalam semua perkara.


Inilah maksud dari firman Nya:

“Yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada sekutu bagi Nya dalam kekuasaan Nya, dan Dia menciptakan segala sesuatu, lalu menetapkan ukuran-ukurannya dengan tepat”. Al-Furqan [25]: 2.


Biasanya objek yang sering menimbulkan rasa ketegangan dan rasa ketidakpuasaan hati kepada manusia adalah berhubung dengan rezeki atau pendapatan mereka yang mereka anggap tidak memadaai. Tegasnya perkara yang menjadi masaalah itu adalah masaalah keduniaan belaka.


Jarang orang merasa tidak puas hati kerana tidak berpeluang pergi ke mesjid atau ke surau, tidak mampu untuk banguna solat malam, atau tidak berdaya untuk bersedekah atau menderma, atau tidak mampu memberi kerjasama dalam pembangunan masyarakat.
Mereka merasa tidak puas hati kerana tempat kediaman mereka yang kecil dan sempit, di gobak-gobak atau di rumah-rumah pangsa yang kedudukannya tidak terjejak di bumi.


Kenapa si fulan itu nasibnya lebih baik dari aku, ada kereta, duduk di rumah banglo, sedangkan aku masih begini juga berada ditakuk lama? Soalnya pada diri sendiri berulang-ulang kali tanpa henti-henti.


Inilah salah satu daripada akibat selalu memandang ke arah yang tinggi atau ke atas dan tidak mahu memandang ke bawah. Maksud memandang ke atas itu ialah memandang orang yang  nasibnya lebih baik daripada mereka, orang yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dan seumpamanya yang menyebabkan jiwa mereka menjadi merana dan binasa dan rosak,  


Justeru itulah manusia perlu sentiasa memandang ke bawah, ke arah orang yang lebih rendah hidupnya dari mereka. Bukan melihat ke rumah banglo, tapi ke rumah setinggan, bukan melihat ke rumah pangsa, tapi melihat ke bawah jambatan, bukan melihat orang makan di kedai-kedai makan mewah, tapi ke pinggir-pinggir jalan dan di kakilima di mana manusia berebut-rebut makanan.
Ada pesanan Rasulullah saw bermaksud,


-Lihatlah kepada orang di bawah kamu dalam masalah dunia, dan janganlah melihat orang yang berada di atas,  sebab perkara itu lebih baik. Janganlah kamu meremehkan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kamu semua.


Dengan berbuat demikian insyaAllah akan terbuka hati seseorang  untuk sentiasa mengucap syukur kepada Allah dan memuji Nya kerana kurniaan nikmat Nya itu walaupun kecil dan sedikit. Yang disyukuri pemberinya iaitu Allah dan bukannya nikmat kurniaan Nya itu.


Orang yang sentiasa memandang ke atas itu hatinya tidak tenang, serabut, tersumbat, selalu marah-marah dan berdendam kesumat, dan iri hati yang boleh memusnahkan dirinya sendiri. Jika dia melihat orang memiliki kereta besar dan mewah, atau tinggal di rumah besar, hatinya  akan digelojak oleh rasa tidak puas hati, hasad dan dengki untuk mendapat nikmat yang serupa. Apa lagi kailnya hanya panjang sejengkal tapi lautan yang dalam hendak diduganya.


Tapi dengan merenung ke bawah, melihat orang-orang yang lebih rendah darinya, boleh menimbulkan rasa keinsafann, dan membuat hati menjadi aman dan tenteram, tenang dan dingin, kerana insaf mengingatkan bahawa ada lagi orang yang lebih payah dan susah darinya. Kalau dia makan nasi dua kali sehari, ada orang yang makan sekali sehari ataupun tidak makan langsung.


Dengan itu dapat menguatkan peribadi aseseorang menjadi seorang Mukmin yang cekal dan tabah dalam menghadapi berbaga-bagai godaan cabaran dan pahit getir yang diduga dan tidak diduga yang akan menimpa sepanjang hidup seseorang.


Yang menentukan rezeki, nasib dan takdir seseorang adalah Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allahlah yang mengatur semuanya. Manusia hendaklah reda dengan apa sahaja kurniaan Allah Taala kepadanya.



Allah berfirman:

-“Katakanlah, “Sungguh, Tuhan ku melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan membataskannya [bagi siapa yang Dia kehendaki] , tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. Saba’ [34]: 36. [bagi siapa yang Dia
Dan:


-“Dan tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki]. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda-tannda  [kekuasaan Allah] bagi kaum yang beriman”.az-Zumar [39]: 52.Oleh


Oleh itu sabarlah andainya jika seseorang merasa tidak selesa dengan suasana kehdiupannya hari ini, sambil berikhtiar dan berdoa untuk memperbaiki keadaan yang tidak menyenangkannya itu, kalau benar demikian, dan bukannya merupakan dorongan nafsu yang sentiasa lapar dan  bergelojak inginkan, keistimewaan, kesedapan dan kelebihan.


Dalam hal ini jangan sama sekali berburuk sangka kepada Allah Taala, dengan beranggapan Allah itu tidak adil, tidak sayang kepadanya, Allah itu pilih kasih dan sebagainya lagi. Kerana Allah itu tidak zalim dan kejam terhadap hamba-hamba Nya.
Allah berfirman:


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya dipikul olehnya”. Al-Baqarah [2]:286.


Terimalah hakikat bahawa apa yang menimpa itu semuanya merupakan ujian dari Allah untuk diberi ganjaran yang lebih besar di dunia dan di akhirat jika seseorang itu berjaya menghadapi ujian itu dengan mendapat markah yang terbaik.


Justeru itu seseorang mestilah berbaik sangka kepada Allah dengan apa sahaja takdir, iaitu ujian yang menimpa ke atasnya. Andainya berjaya menghadapinya dengan wajar, dia akan dikurnikan darjah yang tinggi di sisi Allah.


Ingatlah juga, bahawa segaka kemegahan, kemewahan, kebendaan dan harta dunia ini jika tidak dikawal dengan baik akan menimpakan kesan jelek kepada peribdi dan jiwa seseorang. Justeru itu sentiasalah berhati-hati supaya tidak terpedaya dan terjerumus ke lembah bencana.


Justeru itu andainya seseorang itu memperolehi sedikit daripada apa yang diharap-harapkannya maka bersabarlah, dan kiranya  apa yang diperolehi itu  memadai atau berlebihan bersyukurlah.
Biasakanlah diri dengan bergembira dan bersyukur dengan apa  sahaja  yang  diperolehi atau dimiliki, tanpa mengira sedikit atau banyak, itulah kurniaan Allah kepadanya.


Selalulah bersikap memandang ke bawah, dan jangan suka memandang ke atas berkaitan dengan harta dan kemudahan di dunia ini, kelak akan tersesat dalam hidup yang akan menimpa bencana ke atasnya.


Dalam ayat berikut Allah Taala jelaskan bahwa kehidupan di dunia ini tidak patut sama sekali dijadikan matalamat atau tujuan utama seseorang, kerana kehidupan akhirat lebih penting dari kehidupan dunia yang fana ini:


-“Ketahuilah bahawa [yang dikatakan] kehidupan dunia itu tidak lain melainkan [bawaan hidup yang berupa semata-mata] permainan dan hiburan [yang melalaikan] serta perhiasaan [yang mengurang] juga [ bawaan hidup yang bertujuan] bermegah-megah di antara kamu [dengan kelebihan, kekuataan dan bangsa dan keturunan] serta berlomba-lomba membanyakkan harta dan anak-pinak;


[“Semuanya iitu terhad waktunya] samalah seperti hujan yang [menumbuhkan tanaman yang menghijau subur] menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanam-tanaman itu bergerak segar [ke suatau masa yang tertentu], selepas itu engkau melihatnya berupa kuning;


“Akhirnya ia menjadi hancur bersepai, dan  [hendaklah diketahui lagi, bahawa] di akhirat ada azab yang berat [disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu, dan [ada pula] keampunan besar serta  keredhnaan dari Allah [disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat].


“Dan [ingatlah bahawa] kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orng-orang yang terpedaya”. Al-Hadid [57]:20.



Pondok Rahmat,
19 April, 2020/
25 Syaaban 1441.


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP