DATO' HJ MUHAMMAD NOR DAN TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN
>> Monday, January 25, 2016
SEJAUH MANAKAH
PERANAN DATO’ MUFTI HAJI MUHAMMAD NOR
DALAM TAFSIR “PIMPINAN AR-RAHMAN KEPADA PENGERTIAN AL-QURAN”?
PERANAN DATO’ MUFTI HAJI MUHAMMAD NOR
DALAM TAFSIR “PIMPINAN AR-RAHMAN KEPADA PENGERTIAN AL-QURAN”?
SATU-SATUNYA Kitab tafsir al-Quran yang dihasilkan di Malaysia dan dicetak
dan diterbitkan di Malaysia oleh pihak berkuasa sendiri ialah “Tafsir Pimpinan
Ar-Rahman Kepada PengertiaN Al-Quran 30 Juzuk.
Kitab tafsir ini diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana
Menteri”. Pada kitab itu dinyatakan bahawa ianya ditashihkan oleh Dato’ Mufti Haji Muhammad Nor dan
diterjemahkan oleh Syikh Abdullah Basmeih.
Abdullah Al-Qari B Hj.. Salleh [A.Q.HA.S] dalam bukunya “Ketokohan Dato’
Mufti Haji Muhammad Nor Penambang Dalam Angkatan ‘Ulama dan Pengarang
Nusantara”, telah mempersoalkan sejauh manakah peranan sebenar Dato’
Hj. Muhammad Nor dalam pentafsiran kitab tersebut? Adakah peranan beliau hanya
semata-mata sebagai pentashih atau turut
memberi sumbangan menterjemahkannya sebagaimana bukti-bukti yang didedahkannya?
Buku A.Q.HA.S ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, Selangor.
Untuk tidak memanjangkan pena, saya petik sahaja apa yang dikatakan oleh
Abdullah Al-Qari dalam buku beliau itu sebagaimana berikut untuk menjadi
renungan bersama:
“........Beliau [Dato’ Mufti Haji Muhammad Nor-penulis] mengatakan bahawa
beliau sedang mengarang kitab tafsir dalam Bahasa Melayu; dan beliau tidak pun
menyebutkan bersama sesiapa beliau menyusunnya. Demikianlah berdasarkan kenyataan
ramai murid-murid beliau.A
“Adalah berat pengiraan bahawa beliau telah membuat kerja ini lebih daripada separuh. Akan tetapi kerana hasrat Perdana Menteri ketika itu mengingini segera disiapkan, maka wujudlah seorang lagi sebagai pembantunya dan kemudian mengambil tempat beliau sebagai pengarang pula sehingga akhirnya disebutkan dikulit buku tersebut bahawa dia ditashihkan oleh Dato’ Mufti Hj. Muhammad Nor tanpa disebut peranan utama ikut mengarang. Dalam hal ini keupayaan Ustaz Abdullah Basmeth dalam Bahasa Melayu adalah melebihi Dato’ Mufti di mana beliau adalah seorang pengarang Al-Qalam yang berpengalaman dari Singapura.....Sementara dalam bidang tafsir pula Dato’ Mufti adalah sebaliknya. Walllaahu a’klam.
“Ada suatu yang perlu disebutkan ialah Dato’ Mufti menjalankan tugas
menyusun atau mentashih tafsir ini adalah secara melaksanakan suatu amanah
besar. Demikian disebutkan sendiri oleh beliau kepada muridnya Ustaz H. Ab.
Sattaar. Amanah yang paling besar ialah amanah Allah S.W.T. sendiri agar
terjemahan dan tasfsiran kitab Suci-Nya benar-benar menurut maksud atau
kehendak firman-Nya yang Dia firmankan. Manakala suatu amanah lagi ialah amanah
pihak yang menugaskan kerja ini, katanya, “Orang gaji kita dalam kerja ini.
Kita mesti beramanah.
“Walau bagaimanapun, terjelas juga kenyataan di atas dalam mukadimah tafsir
tersebut yang antara lain berbunyi “......dengan cita-cita dan harapan kuat
supaya usaha peterjemahan al-Quran dijalankan dengan seberapa seegra yang
boleh, dan dengan tiba-tiba dan tidak disangka-sangka saya ditugaskan oleh
Y.T.M. Tunku menyelenggarakan usaha penterjemahan makna kitab suci itu, satu
tugas yang amat besar.....”.
Demikian A.Q.HA.S. menulis dalam bukunya itu.
Berdasar faktor-faktor tersebut, Abdullah Al-Qari B.Hj. Salleh inginkan pencerahan
tentang peranan Dato’ Mufti Hj. Muhammad Nor dalam tafsir tersebut yang hanya
disebut sebagai pentashih semata.
Saya juga sebagai seorang pembaca dan rakyat Kelantan yang menghormati Dato’
Mufti Hj. Muhammad Nor ingin mendapat penjelasan tentang perkara yang
dibangkitkan oleh Abdullah Al-Qari itu?
Sekian.
Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
0 comments:
Post a Comment