AURA HOSPITAL

>> Thursday, January 7, 2016









AURA HOSPITAL


Menjelang tahun 2016 hingga ke hari ini kami kami merupakan sebahagian dari keluarga hospital di negeri ini. Setiap hari kami berkunjung ke hospital untuk menziarahi dan untuk bersama-sama dengan keluarga tersayang yang diwadkan di rumah sakit.



                                          Bunga Dan Pengharapan


Sebagaimana tempat-tempat yang lain, hospital juga mempunyai aura yang sendiri. Aura hospital yang dapat kita rasai bila kita berada dihospital. Banyak perkara yang terdapat di hospital menyentuh pengelihatan, pendengaran, perasaan dan hati kita yang sebahagiannya akan menimpa kesan yang mendalam terhadap lubuk jiwa raga kita.


Hanya ketika berada di hsopital kita akan menyedari begitu ramainya manusia yang sedang diuji dengan aneka jenis penyakit. Penyakit yang biasa dan penyakit yang luar biasa yang terpaksa menerima  rawatan intensif di wad-wad, seperti rawatan pembedahan.


Di hospital kita dapat melihat hamba-hamba Allah yang sedang diuji dengan sakit dan penyakit. Sejauh mana mereka menanggung ujian itu. Di hospital kita dapat mendengar cerita-cerita mengenai aneka jenis penyakit yang diderita oleh manusia. Di hospital kita dapat melihat bagaimana mahabah dan kasih sayangnya manusia sesama manusia, terutama terhadap keluarga dan sanak saudara dan sahabat handai.


Semua kita lihat, kita dengar, dan kita rasa itu akan menyentuh hati dan jiwa kita. Kita akan sedar bagaimana Maha Berkuasanya Allah yang Maha Penentu segala-galanya. Dan Dialah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang mengadakan penyakit dan menyembuhkannya.


Adalah duharapkan aura hospital ini akan membawa kita ke lembah keinsafan dan kesedaran, untuk kembali kepada Allah dengan penuh keimanan yang akan memberi kesan positif yang berkekalan di jiwa kita, baik kepada pesakit dan juga kepada teman-teman dan pengunjung-pengunjung pesakit.


Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Allahuakbar!


SABAR

Sebenarnya saya tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk memberi apa-apa nasihat supaya orang-orang yang ditimpa musibah bersabar. Lidah saya kelu untuk memberi nasihat supaya orang sakit bersabar. Saya percaya mereka semua telah memikul kesabaran yang tinggi untuk berada di tahap tersebut. Apa yang hendak saya sentuh dalam tulisan ini kesabaran yang berhubung dengan perkara-perkara yang tidak secara langsung berkait dengan penyakit yang mereka tanggung. Saya sendiri masih belum mengenali diri saya sendiri dengan sepenuhnya untuk menasihati orang supaya bersabar.


Lumrhnya pesakit yang sedarkan diri yang tersadai di rumah sakit  dan juga keluarga pesakit mengharap sangat-sangat keluarga, sanak-saudara, kawan-kawan dan para jiran dan sebagainya akan mengunjung mereka yang ditimpa ujian itu. Apa yang saya ingin ingatkan, janganlah terlampau mengharapkan kunjungan mereka sebagai suatu kewajipan terhadap kita yang tidak boleh diabaikan. Ada beberapa sebab mereka tidak datang, antaranya mungkin kerana tidak mengetahui perkara tersebut, mungkin mereka sendiri sedang keuzuran yang menghalang mereka mendekati pesakit, seperti menghidap penyakit atau selsema yang mudah berjangkita, batuj dan lain-lain  lagi.


Saya dimaklumkan para doktor juga tidak begitu gemar para pesakitnya yang baru sahaja  menjalani pembedahan besar, dan masih berada dalam bilik CCU atau ICU dikunjugi oleh ramai pelawat. Kerana tidak dapat dipastikan sejauh mana pengunjung itu bebas dari unsur kuman pembawa penyakit yang boleh berjangkit. Di samping itu tidak jarang pula, pelawat-pelawat itu boleh mengusik atau menganggu pesakit dari segi perasaan dan hati dengan perbuatan-perbuataan atau kata-kata mereka yang tidak wajar dilakukan dan tidak pula menyenangkan pesakit.


Justeru itu para pengunjung pesakit harulah berhati-hati ketika berada di sisi orang sakit daripda melakukan sesuatu yang tidak wajar yang boleh menganggu fizikal, mental dan perasaan pesakit yang amat sensiif waktu itu.

Berdoalah kepada Allah supaya pesakit diampuni dan disembuhkan daripada penyakit yang sedang dideritainya, jauh lebih baik daripada meratap dan menangis yang tidak sewajarnya itu.


INSURAN


Mengikut pengamatan, bagi orang awan yang menghidap penyakit kronis tanpa mempunyai potensi kewangan yang mencukupi keadaan ini mendebarkan. Sebagai misalannya, pesakit jantung yang membutuh pembedahan. Oleh sebab pesakit-pesakit tersebut bukan sedikit bilanganya, sedang kemudahan pembedahan tidak mencukupi keperluan, maka para pesakit terpaksa berbaris menunggu giliran untuk menerima rawatan pembedahan. Bagi mereka yang berada, mereka boleh menggunaka perkhidmatan doktor swasta untuk menyelesaikan masalah mereka.


Di sinilah perlunya pengambilan insuran rawatan dan perubatan. Namun begitu, biasanya pelanggan-pelanggan isnuran seperti ini hanya terdapat di kalangan orang-orang yang mempunyai pendapatan yang tetap setiap bulan, seperti kakitangan-kakitangan kerajaan. Itupun bukan semua mereka mampu mengambil insuran yang terpaksa disedut daripada gaji atau pendapatan bulanan mereka. Kalau mereka mampu mengambilnya sekalipun, pekerja-pekerja yang bergaji kecil akan mengambill insuran kecil yang tidak pula mampu untuk menampung rawatan yang besar tinggi kos bayarannya, kerana itu terpaksa meminta bantuan daripada ajenis-ajensi kerajaan yang tertentu atau individu-individu atau badan amal yang prihatin dengan nasib manusia dilanda kesushan.


Kepada para peneman atau pengujung pesakit hendaklah sentiasa menjaga adab sopan ketika berada bersama dengan pesakit yang sedang menjalani rawatan. Jagalah gerak geri dan tutur kata supaya tidak tersasul melakukan sesuatu yang tidak wajar. Jauhi perbuatan yang tidak disenangi oleh pesakit. Jangan ucapkan kata-kata yang boleh mencetuskan keraguan, kebimbangan, ketakutan kepada pesakit. Sebaliknya sampaikan kata-kata yang boleh memberi semangat dan perangsang dan keyakinan diri kepada pesakit untuk sentiasa mengingati Allah SWT.


Demikianlah sekadar celoteh saya beradasarkan pengalaman beberapa hari berulang-alik ke hospital. Marilah kita berdoa semoga keluarga saya yang  diuji itu dan juga semua pesakit akan dikurniakan kesembuhan yang berkekalan oleh Allah SWT.


Di akhiri dengan sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Tuhan kami, Allah yang ada di langit, Maha Suci Asma-Mu, perintah-Mu berlaku di langit dan bumi. Ya Allah, Tuhan kebaikan, ampunilah dosa dan kesalahan kami, turunkanlah rahmat-Mu, penyembuhan-Mu atas apa yang diderita [oleh si polan] dari apa yang dikeluhkan”.



Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP