ADAKAH ANDA SUKA MENDERMA?
>> Saturday, January 30, 2016
PSIKOLOGI DERMA
SALAH satu tanda seseorang telah cukup dewasa atau matang adalah mereka
tidak kedekut, lokek, rakus, tamak haloba. Sebaliknya mereka yang benar-benar
matang akan merasa lebih gembira dan merasa amat puas hati jika mereka dapat
memberi kepada seseorang.
Yang dimaksudkan memberi di sini bukanlah semata-mata menderma harta benda dan wang ringgit kepada orang lain. Tapi dalam erti yang lebih luas ialah memberi atau menderma di sini, termasuklah menderma diri anda sendiri, dengan memberi cinta dan kasih sayang, serta memahami orang lain, baik keluarga anda, sahabat-handai anda dan juga orang-orang lain dalam komuniti anda.
Pemberian dan pendermaan anda itu akan memberi lebih bererti dan lebih memberi kepuasaan kiranya a apa yang anda berikan itu memberi manfaat atau kenikmataan kepada mereka yang menerimanya.
Orang yang tidak boleh memberi, tidak boleh berkongsi atau menderma ialah
bayi atau kenak-kanak kecil yang memang sifat semula jadinya tamak dan rakus.
Mereka mementingkan diri sendiri, mengutamakan diri sendiri, tanpa memikirkan
orang lain selain dari diri sendiri.
Justeru sifat tamak haloba bukanlah sifat orang-orang dewasa atau orang
yang telah matang, tapi sifat yang menjadi pakaian kanak-kanak atau bayi yang
tidak wajar sama sekali menjadi pakaian orang-orang telah dewasa lahir dan
batinnya.
Jika anda berjaya meninggalkan sifat-sifat yang buruk itu maka bererti anda
telah berjaya meninggalkan zaman kanak-kanak anda yang mengutamakan diri
sendiri. Anda telah melangkah ke alam dewasa. Dengan itu bererti matlamat hidup
anda telah berubah, dari semata-mata menerima kepada memberi yang menjadi sifat
orang dewasa, atau telah matang.
Kebolehan mengalih perhatian anda kepada orang lain, mengutamakan orang
lain merupakan kejayaan terbesar yang pernah anda capai dalam kehidupan anda. Bersyukurlah
kepada Allah.
Anda tentu masih ingat, ketika anda sedang belajar dulu, jika guru anda
meminta pelajar-pelajarnya melakukan kerja-kerja sukarela, sudah tentu ada di
antara mereka akan bertanya, “Apa ada menegna dengan kita semua ini?” atau “Apa
faedah yang kita perolehi?” dan seumpamanya.
Itu menujukkan mereka semua masih belum matang. Kerana pelajar-pelajar yang
matang akan bertanya sebaliknya, seperti “Apa pertolongan yang dapat saya
sumbangkan?”, atau “Apa yang boleh kita bantu?” dan seumpamanya dari pertanyaan-pertanyaan
posiif yang menunjukkan kedewasaan seseorang.
Ini bukanlah bererti kita tidak perlu menerima apa-apa pemberian orang kepada kita. Ia bukan semata-mata kita hanya
perlu memberi. Ini bukan bererti kita tidak memerlukan cinta dan kasih sayang orang
terhadap kita atau memerlukan pertolongan dalam keadaan yang mendesak.
Tapi tidak wajar kiranya jika kita memberikan sesuatu kepada orang lain
dalam masa senafas itu juga kita mengharap akan menerima pembalasan darinya.
Malah kita tidaklah mengharap penghargaan atau terima kasih dan kita tidak akan
merungut atau mengomel jika orang yang kita tolongi itu tidak memberi apa-apa
tanda terimakasihnya kepada kita. Berbuat sebaliknya, iaitu mengharap pembalasan bererti kita tidak ikhlas.
Sedangkan kita sepatutnya bersikap ikhlas, berbuat sesuatu kerana Allah
semata-mata.
Justeru sudah tentu tidak wajar sama sekali kepada kita mengharap untuk
mendapat sanjungan dan pujian yang berlebihan dari orang lain, terutama
daripada mereka yang kita berikan pertolongan dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi tidak wajar akibat tidak mendapat pujian
dan sanjugan yang berjela-jela maka hati kita menjadi tawar dan tidak bersedia
lagi untuk memberi apa-apa sumbangan yang memang diperukan orang atau bertindak
menyempitkannya kerana tidak puas hati.
Walau bagaimanapun kemampuan memberi atau menderma ini ada hubungan rapat
dengan pengalaman masa kecil kita. Jika kiranya di masa kecil itu kita mendpat kepuasaan
dalam menerima kasih dan sayang dan pemahaman daripada keluarga kita, maka kita
juga akan menjadi manusuia yang lebih bersedia memberi kepada orang lain
daripada semata-mata mengharap untuk menerima pemberian daripada orang lain.
Sebaliknya jika semasa kecil kita tidak memperolehi semuanya itu niscaya sukar
kepada kita untuk berbuat sebaliknya sebagaimana orang dewasa yang telah
matang.
Namun begitu kita tidak boleh berserah pada takdir, kita tidak boleh
berkata itu nasib kita, ianya ketentuan sejak azali lagi kita dibentuk untuk
menjadi manusia yang rakus, kedekut dan mementingkan diri sendiri. Sebaliknya
kita mesti berusaha untuk mengubahnya, mebaikinya, mendidik diri kita menjadi
manusia yang lebih baik, dengan memahami keperluan orang-orang sekeliling kita
dan juga masyarakat. Dengan itu kesedaran kita kepada keperluan masyarakat akan
meningkat dan demikian juga daya kita untuk memberi akan meningkat.
Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa kian dewasa dan kian matang kita, maka
kita akan lebih berminat dan bersedia untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja
sosial atau kemasyarkatan. Menjadi orang-orang yang tidak bakhil untuk
membelanjakan wang dan masa mereka untuk kepentingan orang ramai.
Bersedialah anda untuk berkhidmat kepada bukan sahaja keluarga anda, tapi juga
kepada komuniti dan masyarakat anda.
Banyak kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan dari masa ke masa atau anda
oleh menganjurkannya sendiri jika anda mempunyai kemampuan. Baik anda
tinggal di kota atau di desa.
Berbagai-bagai sumbangan boleh diberikan, baik berupa wang ringgit, masa
dan tenaga untuk membantu membina komuniti dan masyarakat.
Kalau anda ada duit berlebihan bantulah masyarakat dengan harta anda.
Jangan kunci pintu jika ada peminta yang datang ke rumah menghulur tangan
memohon bantuan.
Kian banyak anda memberi, kian banyak anda menghulur, kian matang anda menjadi. Dan akhirnya anada akan
merasa kenikmatan yang tidak tergambar dalam memberi atau menderma.
Tidak akan berbahagia orang orang hanya tahu menerima, tapi tidak tahu
memberi.
Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Infaklah sebagian dari
rezeki yang telah Kami berikan kepadamu.......”.Al-Baqarah [2]:254.
Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.